Ahad, 24 Julai 2011

Mustahil Jahil



Seorang makcik tua, berteduh di sebuah pondok buruk di pinggir sungai, tanah rezab kerajaan persekutuan. Jadual hariannya hanya mengutip pucuk ubi kayu untuk dijual di pasar. Seterusnya menukarkan hasil jualan itu dengan sebungkus nasi dan sedikit keperluan lain. Pondoknya tidak mempunyi lampu. Pelita minyak tanah hanya dipasang sekali sekala. Sumber airnya hanyai dari sungai kecil yang mengalir. Di situ dia berwuduk mahupun mandi dan membasuh pakaian. Rutin hariannya hanya rutin ritual, namun makcik tua itu tak pernah bosan untuk meneruskan hidup.

Suatu hari, Kerajaan Persekutuan melalui syarikat GLCnya ingin membangunkan  tebing sungai kecil itu. Katanya, amat sesuai untuk kawasan rekreasi. Maka jentolak dan traktor dikerah. Pondok usang itu relai lebur dimamah jentolak kuning beroda besar. Tikar mengkuang yang menjadi alas solat makcik tua koyak rabak, diuli gigi keluli traktor. Pinggan sumbing dan cawan retaknya juga hancur remuk.

Sebelum mentari tenggelam diufuk barat, makcik tua pulang dari pekan. Menjinjing sebungkus nasi dan sedikit roti. Asarnya belum terlaksana. Meski lututnya lenguh, kayuhan kakinya dilajukan walaupun kekadang tersepak akar dan batu. Padanya, itu sore paling malang. Biasanya, Asarnya pasti di tikar mengkuang lusuh, bermunajat selepas penat seharian.

Tapi, alangkah terkejutnya makcik itu. Pondoknya kini hilang dari pandangan. Bongkah batu tempat wuduknya juga telah hilang. Ampaian usangnya juga turut lesap. Makcik itu terjelepuk di tanah. Matanya dipakukan ke tanah bekas pondoknya berdiri. Tangannya ditadah ke langit seraya berdoa dan merayu kepada tuhan yang Esa.

"Ya Allah, ke mana dikau saat aku di pekan? Mustahil pondok kecilku ini terlepas dari penjagaanmu sehingga ianya telah diroboh manusia durjana?"

MUSTAHIL JAHIL

Seminggu yang lepas, saya sibuk disebuah bangsal. Memasak dan berniaga, bersama teman dan rakan. Dari pagi hingga ke malam, berlarutan lagi hingga pagi. Tiga hari kepenatan mengaharapakn hasil mahsul dan pulangan. Akhirnya, bila pesta berakhir, modal pun nyaris tiada pulangan. Namun kami masih mampu mengukir senyuman. Ya, masih tersenyum mengenangkan 'untung' yang lebih besar bersama kawan-kawan, teman dan kenangan. Ditambah pula dengan perkongsian dakwah yang merupakan perniagaan yang tiada ada istilah kerugian. Maka, kami tersenyum riang.

Mentari Rabu terbit di ufuk timur, menjenguk segar disebalik bukit segar yang melatari tasik tenang. Itulah gambaran keindahan suasana di lembah Al-Quran.

Saya bersiap untuk kembali ke Kelantan. Periuk dan belanga siap berbasuh. Semua disumbat ke but kereta bersama tong-tong gas dan dapur. Selepas mengisi petrol di PETRONAS dan menghantar Amir Hafizi ke stesen Komuter Kuala Kubu Bharu, kami melewati Ampangan Pertak, mendaki Fraser Hill. Masih riang merakam beberapa potret kenangan. Sejam kemudia, Raub menjadi saksi, Sentra 1989 kepunyaan Zunnur minta diusap manja. Bahagian tayar depan menyanyi janggal. Sebuah bengkel diziarahi untuk mengubati. Setelah itu, beberapa not merah melayang. Zuhur dan makan tengah hari ditangguhkan ke Asar untuk menyantap Laksam istimewa di Merapoh.

Perjalanan kami perlahan diadun cermat dan berhati-hati. Namun Allah sentiasa tahu apa yang kita buta. Setengah jam mendaki banjaran Titiwangsa, kemalangan menjadi tetamu istimewa. Tiga buah kereta terlibat total dan mengalami rosak serius. Saya, berbekal sedikit pengalaman sebelum ini dan qudrat kurniaan yang Esa, sempat mengelak dan hanya sedikit mudguard kiri DBH 1141 tercedera. Kereta dihambat ke bahu kanan jalan.

Saya menekup muka. Nama yang Esa diseru panjang. Muka kemudiannya dihadap ke langit. Menyeru lagi dengan hati yang penuh debaran.

"Ya Allah,jahilkah kamu akan kemiskinan kami? Jahilkah kamu akan ruginya perniagaan aku? Ya Allah, mustahil jahil pada mu, bantulah kami.".

Saya melangkah keluar dari kereta. Siraj terlebih dahulu mengatur langkah ke sebarang jalan.

Apek yang memandu Persona keluaran pertama saya dekati. Tidak sampai 5 minit perbincangan, apek tersebut berjanji untuk menanggung semua kerugian. Meski muka masih dihinggap belas kasihan dan kebimbangan,  perut pula masih merungut menahan kelaparan, hati saya menangis syukur dengan nikmat tuhan. 

Mutahil jahil padaMu, Ya Allah.



Asar dan Zuhur ringkas (Qasr) pada petang itu menjadi lebih bermakna. Khusyuknya pula mungkin lebih lama dari biasa. Sujud akhir saya juga lebih lama. Manakala nasi putih hanya dijamah sedikit sahaja. Kenyang dengan nikmat dan berkatNya.

Tulislah perancanganmu dengan sebatang pensil, serahkan pula pemadamnya kepada Allah. Dan izinkanNya memadam bahagian yang tidak sempurna untuk digantikan dengan perancangan yang lebih baik, hadiah istimewa dariNya untukmu.

HASANHUSAINI, 
Darul Muttaqin, Mu'tah, Jordan.

3 ulasan:

  1. bahan bacaan dan perkongsian yg sgt bermakna..

    BalasPadam
  2. menangis terharu!
    Ibrah buat semua yang menyangkakan Tuhan itu tidak adil. Allahu Allah.

    jazakallah atas perkongsian!

    BalasPadam

Komen Anda Adalah Buah Tangan Terbaik [hasanhusaini]