Selasa, 9 Ogos 2011

Ujian Tanpa Izin dan Rela


"Wahai mak lembu, akan daku sembelih anakmu untuk kenduri kahwin anakku nanti. Minta halalkan ye." Pak Hamid meminta izin dari mak lembu untuk menyembelih anak lembu. Kalau Pak Hamid sendirian, mungkin tak mengapa. Tapi, kalau ada yang memerhatikan, mungkin pak Hamid dianggap gila.

Begitulah gambarannya. Kita milik tuhan, boleh diuji bila-bila masa, tanpa izin mahupun redha.

Mengenangkan itu, lama saya termenung sore ini. Tafsir yang dipegang makin kejap digenggam. Isi tazkirah malam ini berkaitan redhan dengan ujian Allah. Ayat kedua surah Al-Mulk yang menjadi tagline blog saya diberi nafas baru kepada kaedah memahaminya.

Teringat urutan perjalanan hidup saya. Bermula dengan kelahiran yang mencemaskan, sehingga duduknya saya hari ini di mihrab masjid, menjadi muzakkir tetap sempena Ramadhan. Laluan yang penuh berliku.

1989. Umur yang baru sahaja mencecah tiga tahun, leher saya dirodok dengan besi pengupas kelapa. Leher kecil saya tembus, darah membuak keluar bagai lembu disembelih. Kelapa kering terlepas, leher pula tersangkut di hujung besi, tangan terjuntai layu ke bawah, jasad kecil saya menggeletar. Ayah dan ibu yang baru menerima khabar tentang benih adik yang semakin besar dalam kandungan ibu terkedu. Seluruh keluarga menunggu cemas bercampur hiba.

1990. Khamis. Kambing jantan hitam disembelih. Kepala adik akan dibotakkan selepas solat Jumaat. Saudara mara bermalam di rumah. Sembang mereka hangat di tengah balai tamu. Hilai tawa menutup sunyi malam. Ayah hanya tersenyum tawar. Kata mereka, ayah sedang penat, seharian bekerja tanpa rehat. Tengah malam berlalu, tamu beradu. Ayah pula mengadu dan mengaduh. Asmanya menyerang, kaki dan badannya kejang. Isi rumah tertumpu pada bilik kecil bercahayakan sebiji mentol kuning 40watt. Tepat jam 2.05 pagi, Allah menjemput ayah ke sisiNya tanpa mengejutkan saya dari tidur. Meski saya tidur dengan dodoian ayah, saya terjaga dengan tetesan air mata tangisan ibu.

1995. Basikal baru ditukar tiubnya. Hendalnya juga telah diketatkan. Mengayuhnya tidak lagi ngeri seperti biasa. Dengan beg yang digalaskan di belakang, hendal kanan dan kiri dimuatkan plastik berisi kuih untuk dijual di kantin sekolah. Itu sumber pendapatan ibu waktu itu. Untuk makan kami, saya, ibu dan adik. 

Dengan bismillah, doa dan restu ibu, saya memulakan kayuhan. Semangat menuju ke medan jihad ilmu. Tiba di jambatan kayu, saya mengayuh perlahan. Jambatan itu ngeri dengan papan jarang dan lubang memuatkan badan kecil tahap satu saya. Tiba di tengah jambatan, lori gila ( sebenarnya lori tak gila, tapi pemandunya mungkin gila) turut sama merangkak di jambatan uzur itu. Ruang sehala yang sempit menyukarkan saya mengawal basikal lebih muatan tersebut. Saya hilang kawalan. Kaki kanan tersepit, beg sekolah carik dan plastik kuih saya rabak. Cakoi, donat dan kuih lapis berteraburan di atas jambatan. Lori jahanam berlalu pergi. Silap, pemandu lori jahanam berlalu pergi. 

Saya singgah di masjid. Mencuci luka kaki dan luka hati. Air mata belum lagi berhenti. Bagaimana akan ku jawab pada ibu yang bertanyakan duit hasil jualan nanti?

1998. Saya baru seminggu di MTDQ Repek. Ibu datang menjenguk setiap hujung minggu. Hari ini masih Khamis, tapi ibu datang bersama datuk. Nenek tenat. Itu mesejnya.

2002. Minggu lepas, Jumaat kami tergadai. Lori yang memunggah kami ke masjid masih belum muncul. Minggu ini, Solat Jumaat tidak akan digadai lagi. Namun, meski niat saya baik, saya masih layak untuk diuji. Peristiwa 2 Ogos 2002 masih kemas dalam simpanan. Cukup pahit untuk dijadikan kenangan, cukup manis untuk dijadikan pengajaran.

2004. Tidak terlalu banyak untuk diselesaikan sebelum tiba tarikh peperiksaan. Namun, prasarana di MTDQ dan tanggungjawab saya terhadap ibu serta keluarga agak menyulitkan urusan pengajian saya. Cuti  MTDQ hanya pada Jumaat, sedangkan saya masih di rumah pada subuh Ahad, setelah bergegas pulang ke rumah pada petang Khamis yang lalu. Selepas Subuh Ahad barulah kembali semula ke MTDQ. Di rumah, saya bergilir dengan ibu, menguruskan datuk yang diserang strok. Moga kepulangan saya meringankan beban mereka. 

Jauh di sudut hati, saya sedikit cemburu melihat kawan-kawan yang semakin laju di depan. Lalu, saya berdoa agar dipermudahkan jalan saya menghadapi peperiksaan. Jun 2004 menjadi saksi, Allah menjemput datuk kembali. Saya menangis dan bertanya, Adakah ini jalan kau permudahkan pereriksaanku...? Mahal benar darjat Imtiyaaz dalam SMU untuk digantikan dengan jasad lemah datuk kesayanganku itu...

Kini 2011 hampir berakhir. Ujian Allah pula masih belum berhenti selagi oksigen ini saya nikmati. Maka, saya akan terus diuji, lagi dan lagi, meski tanpa izin dan redha, kerana kita adalah hambaNya.

Ya Allah, maka dengan pasrah dan redha, aku izinkan ujianMu menziarahiku.
Tulislah perancanganmu dengan sebatang pensil, serahkan pula pemadamnya kepada Allah. Dan izinkanNya memadam bahagian yang tidak sempurna untuk digantikan dengan perancangan yang lebih baik, hadiah istimewa dariNya untukmu.

HASANHUSAINI,
SS3, Kelana Jaya, Selangor.

4 ulasan:

  1. Ikhlas ku lihat, hujung hidupmu bercahaya terang. Tengah hidupmu gemilang, kerana mula hidupmu penuh ujian yang mematangkan..

    BalasPadam
  2. Mudah2an Allah sentiasa melindungi akhi, takkan jemu dari perjuangan ini yang bukan perjuangan manusia biasa.

    Allahuyubarikk fikk..Allahumma amin, doa dari muqobill jami' syuhada'.

    BalasPadam
  3. semoga dipermudahkan setiap jalan menuju denai kehidupan..berjuang memang pahit kerana syurga Allah itu manis..
    Semoga diri dibekalkan dengan segunung ketabahan menuju jalanNYA.
    Ujian hebat untuk hamba yg hebat..inshaAllah syurga menanti saudaraku..

    BalasPadam

Komen Anda Adalah Buah Tangan Terbaik [hasanhusaini]