Selasa, 20 Disember 2011

Hasan Ulubate Malaya


"Ustaz, kenapa ustaz sokong si budak kurang ajar, Adam Adli tu?" tanya seorang kawan melalui kotak mail Facebook saya. Pertanyaan sebegitu tidak hanya sekali. Lebih 10 kali pertanyaan itu diajukan. Akhirnya saya menulis sedikit jawapan di status Facebook. 

Saya sokong Adam Adli kerana beliau adalah mahasiswa yang peduli. Asalkan mereka jenis peduli, saya akan sokong meski namanya Jet Li. Itulah pendirian saya. Anak muda, kalau hanya diikat dengan makan, minum, kuliah, tidur dan mengawan, tidak ada nilai pada manusia dan mudanya.

HASAN ULUBATE

558 tahun dahulu. Tentera Islam pimpinan Sultan Muhammad Al-Fateh semakin hilang semangat. Kubu Kostantinopel sangat kukuh untuk mereka robek. Tempoh serangan selama lebih 50 hari telah memakan banyak tenaga dan menghanguskan banyak semangat. Mereka semakin berputus asa. 

Kostantinopel mesti diruntuhkan juga. Kezaliman mereka yang berkubu di dalam kota itu terhadap penduduk bumi selama ini mesti ditamatkan segera. Janji Rasulullah pula mesti ditunaikan. Sultan Muhammad Al-Fateh bangkit memberi pidato. 
 "Wahai tenteraku, aku telah membuat keputusan untuk syahid di sini. Siapa yang inginkan syahid, maralah kalian bersama aku". 
Maka bangkit seroang pahlawan bersama rakan-rakannya, menyerbu kubu Kostantinopel. Dinding batu itu dipanjat. Panah dan lembing lebat menghujani mereka. Ada yang gugur dan ada yang parah. Hasan Ulubate, anak muda perkasa ini terus maju dan mara. Panji Kota Kostantinople kepunyaan Rome dilempar ke bawah. Panji Keamanan milik kerajaan Uthmaniah pula dipacakkan di situ. Panji berkibar. Semangat tentera Islam pula berkobar. Serangan dilipat gandakan. Tujahan peluru semakin padu. Asakan ketumbukan semakin keras. Kota Kostantinople akhirnya dibebaskan. Bayarannya, Hasan Ulubate terbunuh. Beliau syahid bersama puluhan rakan-rakannya. 

LUDAH DAN LEMBING

Bendera DS Najib di PWTC diturunkan. Adam Adli mungkin orang yang bertanggungjawab. Tapi, dia mewakili ribuan anak muda yang kini sangat tidak tenang dan tidak senang dengan prestasi pemimpin yang ada sekarang. Lantaran itu, beliau dijanjikan tumbuk dan ludah. Diugut dan ditohmah. Mungkin beliau yang ingin diserang, tapi beliau tidak keseorangan. Puluhan ribu anak muda yang masih menyanjungi Hasan Ulubate 2011 yang menurunkan bendera Kostantinopel di PWTC.

Mungkin beliau dikenakan tindakan. Silakan, tapi saya yakin dan pasti, aspirasi ini akan menjadi api. Membakar segenap urat dan sendi. Anak muda akan tumbangkan pemerintah zalim yang telah sekian lama mengkhianati amanah yang mereka pikul.

Kalau obor Adam Adli ini dipadam, seribu Adam Adli lain akan bangkit. Anda berani?

HASANHUSAINI, 
Darul Muttaqin, Mu'tah, Jordan.

Tiada ulasan:

Facebook Comments Box: Bloggerized by HASANHUSAINI.COM

Catat Ulasan

Komen Anda Adalah Buah Tangan Terbaik [hasanhusaini]