Sabtu, 28 Jun 2008

4 Tahun Kehilangan

Jun 2008. Genap 4 tahun Nenda, Abdul Wahab Bin Mohamed meniggal dunia.

6 Jun 1986.

Saya dilahirkan ke dunia. Anak dan cucu sulung dalam keluarga Wahab Maryam ini lahir setelah 4 tahun ayah dan ibu saya diijabkabulkan. Sehingga akhirnya, datuk saya bernazar, “ kalau aku dikurniakan cucu lelaki, aku akan menjadikannya seorang ‘hafiz’". Nazar ringkas itu dilafazkan setelah hampir 2 tahun penantiannya hampa.

Penantian itu akhirnya terubat dengan kelahiran saya yang ditakdirkan meneruskan generasi Adam.

8 September 1990.

“ Mari kat ayah…” kata-kata ringkas datukku itu masih belum aku fahami. Seruan itu sebagai memujuk saya yang tidak henti-henti meraung, menangis memanggil ayah yang dari semalam tidak kelihatan selepas beliau tidur berpakaian putih penuh. Dahi ayah yang saya cium waktu itu terasa amat dingin. Ibu masih belum reda dari tangisannya. Dengan dodoian burdah berzanji, saya mudah terlena dipangkuan 'ayah' itu.

1 Januari 1992

Hari pertama persekolohan ditahap satu Sek Keb Perol. Saya hanya berkepit dengan atuk saya setiap masa. Saya akan mengikuti setiap kelas yang beliau hadiri untuk mengajar. Atuk tak pernah marah dan tengking. Masa rehat, dia pergunakan sepenuhnya supaya saya berkenalan dengn kawan-kawan. Seminggu begitu, akhirnya saya dapat masuk kelas seperti pelajar lain.

23 september 1995

Saya balik ke rumah dalam keadaan menangis. Kawan-kawan sekolah mengejek saya dengan nama ayah. Saya bergaduh, menang. Tapi akhirnya saya tetap dimarahi oleh ibu budak tersebut yang bertugas sebagai guru kelas saya ketika itu.

10 ogos 1998

Selepas kelas tambahan waktu malam, saya terus balik ke rumah tanpa menemani sepupu perempuan saya untuk balik bersama. Tidak ada sebab lain, hanya kerana benci diejek sebagai 'suami isteri', kerana saya selalu bersamanya. Sampai dirumah, atuk bertanya seolah mengetahui perbuatan saya, “ mana Kak long?”. Akhirnya saya terpaksa berkayuh kembali ke sekolah untuk menjemput sepupu saya tersebut. Atuk saya mengajar erti kehidupan seorang lelaki yang bertanggungjawab menjaga kaum wanita.

23 Jun 2002

Saya baru selesai peperiksaan pertengahan tahun di MTDQ. Segalanya serasakan lancar. Seusai sahaja keluar dari dewan, pakcik datang menjemput. Arahannya ringkas. Kemas baju untk seminggu. Atuk saya telah dimasukkan ke wad HPRZ tiga hari lepas akibat strok.

12 Ogos 2003

Hari keramat. Pada tarikh ini, saya telah Berjaya khatam 30 juz Al Quran. Balik ke rumah untuk mengkhabarkan berita gembira. Dalam rantaian kelumpuhan, tok ayah sempat mengukir senyuman yang amat bermakna disamping linangan air mata.

6 Jun 2006.

Saya baru balik dari majlis tahlil sempena sebulan lebih kematian ayah Zubaidillah, kawan rapat saya. Sambil berbual-bual dengan rakan-rakan di bilik B 13, bercerita suka duka masing-masing. Hampir sahaja jam menunjukkan pukul 3 pagi, saya berceloteh, “tok se sambut besday aku ko?”..deraian hilai tawa memenuhi kesunyain malam. Dan akhirnya kami terlena.

5.00 pg. bangun unutk solat subuh, tiba-tiba tingkap bilik terang dengan suluhan lampu kereta yang semakin menghampiri. Saya bingkas menyelak daun pintu. Mak usu yang bergegas ke bilik saya dengan arahan tanpa bersuara, hanya dengan air matanya cukup cepat memahamkan saya. Capai beberapa helai baju, berlari ke van. Semuanya bagai membisu. Sunyi membunuh perasaan waktu itu.

Sampai di rumah, orang ramai kelihatan. Saya berwudhuk menenangkan diri. Solat subuh. Naik ke rumah, langkah pertama saya di sajikan dengan sekujur jasad yang dilitupi kain putih. Betul-betul di tepi dinding tempat saya selalu diulik dengan burdah ‘abdau bismillahi war rahmaani’… Inna lillah. Perasaan lerai dan air mata saya tumpah.

Rabu, 25 Jun 2008

Ini Kerja Tidak Ikhlas

Berzzz, Berzzz : Balance 0132002074 RM 0.03, valid until 21/07/2008, Tariff plan UOX.

Kredit RM 75 habis dalam masa tak sampai sebulan. Saya hanya sempat menghubungi emak sebanyak dua kali. Itupun dalam masa kuarantin, saya tidak menggunakan HP. Kertas nipis sebesar 3x4 cm tu pulak amat mahal, paling murah pun RM 5 sekeping…

Dari Kelantan, nak balik ke DQ, nak kena pakai duit lagi. Minta dengan mak ? Malu. Saya anak sulung tua. Sepatutnya sudah menyumbang untuk si ibu itu. Cukuplah adik sahaja yang dibiayanya setiap minggu.

Sesampai di DQ, banyak makanan yang perlu saya elak dan berpantang. Perlukan duit lagi untuk membeli makanan yang halalan toyyiba. Program-program pula berjalan, mesti ada sumbangan yang disalurkan oleh seorang YDP.

Sebagai pimpinan yang bakal menjadi perhatian ramai, penampilan sedikit sebanyak perlu dijaga. Jubah rasmi bernilai RM 100, kopiah Hj Idris pula naik harganya. Kasut yang terkopek tapaknya mungkin perlu diganti. Tapi caranya entah bagaimana…atau tampal sahaja dengan gam gajah.

Dalam kesibukan, appointment dengan HKKB sahaja yang free, tapi ongkos untuk ke sana memerlukan RM14 pergi balik kerana kenaikan harga tambang private car setelah naiknya harga minyak.

Program anjuran Persatuan pula beratur panjang untuk diselesaikan. Setiap gerak-geri memerlukan duit untuk dilaksanakan. Berhubung dengan mereka yang berjawatan besar perlu, sudah semestinya SMS tidak berguna saat itu.

Kerja kami juga amat banyak di luar. Justeru banyaklah jabatan yang perlu kami kunjungi seperti ROS dan sebagainya. Dan pengangkutan hanyalah komuter kerana kenderaan lain ‘haram’. Oleh kerana tidak semua komuter dan LRT menghantar kami ke pintu pagar bangunan terbabit, susahlah jadinya. Acap kalilah kami terlewat balik dan lantas diberi ‘nasihat’ supaya balik awal. Hem, nasib badan.

Bakti Huffaz yang kian tiba, menekan komitinya supaya banyak berkorban. Kenderaan perjuangan, Toyota KY tidak sempat tidur lena. Ada saja ajakan untuk dibantu dengan keringat emasnya yang bernilai RM2.70 seliter. Perjalanan sejauh 480KM memerlukan hampir 70 liter, bayangkan sahaja kosnya. Makan minum sepanjang di sana perlu dikorek dari poket sendiri. Kami tidak pernah disediakan dengan kenderaan jabatan mahupun kad kredit @ baucer khas untuk petrol.

Teringat pula kawan-kawan dari MPM ( Majlis Perwakilan Mahasiswa ) di Universiti @ kolej lain, mereka mendapat bajet khusus setiap tahun, semuanya tidak kurang dari RM 40000. Setiap program, tidak perlu pening kepala untuk mencari sumber pendapatan. Setiap penggal diberikan persalinan khusus yang mahal-mahal untuk mereka. Yuran kolej juga free. Makcik-makcik kafeteria pula ingin berbaik dengan mereka, jadi, makan minumnya juga free.

Mesyuarat persatuan kami belum pernah dipecahkan tradisinya dengan jamuan makan atau minum walau hanya dengan sedikit santapan. Berbeza dengan mesyuarat pentadbiran yang pasti dihidangkan dengan santapan lazat. Kalau adapun, santapan rohani dari tazkirah yang diberi.

Dalam kesibukan begini, kami hanya seperti sahabat-sahabat yang lain, 24 jam sehari dan RM 50 sebulan. Pengurusannya kekadang tersasar sedikit dari jadual sebenar. Justeru, kami dihambur dengan pelbagai ‘ucapan’ ringkas.

Segala masalah pelajar dan juga yang berkaitan pelajar bakal dipersoalkan ke atas kami. Masa 24 jam kekadang amat singkat untuk memikirkan semua itu.

Saya rasa, tidak perlu untuk menulis panjang, nanti orang kata, nak mengada-ngada pula.Walhal untuk kerja yang tidak ikhlas sahaja.

Isnin, 23 Jun 2008

Semuanya kerana Duit...

Di hadapan Rumah Datuk Seri Dr Zahid Hamidi

Bersama Atuk Hamidi



21 Jun 2008. Bersama 3 orang sahabat, Firdaus Kadir, Syaukani dan Amir Hafizi, kami bertolak ke Bagan Datoh untuk mengikuti sesi perbincangan dengan penduduk Kampung untuk membincangkan gerak kerja program Bakti Huffaz disitu. Tempat ini dicadangkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Hj Ahmad Zahid Hamidi. Mungkin keran itu adalah kampong asal beliau.

Perjalanan sela 3 jam merentasi hampir 220KM, kami tiba di sebuah rumah biru muda yang agak besar. Disambut oleh seorang tua yang agak uzur, bertongkat untuk membuka pagar besar rumah beliau. Orang tua itu ialah Atok Hamidi. Orang gajinya bercuti.

Bersalaman, kemas barang, berborak dan bertanya khabar sebentar, terus keluar untuk meninjau kawasan sekitar kampong yang bakal dijadikan tempat program. Berkunjung ke Jeti Bagan Datoh, kami tercari-cari tempat untuk mengisi perut. Santapan terakhir pukul 8 pagi, sekarang pukul 4 petang. Singgah di gerai, makan sambil bertanyakan tetang sejarah dan tempat menarik untuk dilawati. Saya menduga-duga gaya dan budaya masyarakat disitu.

Balik. Singgah di sekolah-sekolah yang bakal dijadikan tempat riadah dan motivasi. Rata-rata sekolah agak kurang dari sudut prasarana, mungkin kerana kawasan yang agak pendalaman walaupun banyak sumber ekonomi disini. Dekat dengan kawasan pantai dan muara, tanah delta yang subur, kawasan kebun kelapa dan sawit yang luas. Semuanya boleh buat duit.

Sampai di rumah, berbincang dengan muslimat tentang tempat yang kami lawati tadi, adakah sesuai untuk muslimat atau panggilan sebenar di DQ, banat. Sedikit persediaan untuk perbincangan pada malam ini.

Solat Maghrib dan ‘Isya’ jamak. Makan malam yang agak mewah bagi saya, 5 mata lauk yang boleh dipilih. Tapi, dek kerana sakit belum sembuh sepenuhnya, saya terpaksa menahan keinginan itu.

Mesyuarat Jawatankuasa BH 08


Perbincangan bermula. Saya tidak banyak bercakap. Mendengar, menduga dan menafsirkan ayat yang dituturkan dan memek muka yang dipamerkan. Ada yang serasi dan ada yang berlawanan. Perbincangan berkaitan dengan perasmi penutup menjadi hangat kerana ‘ketua kampung’ menjadi pilihan kami. Sikap yang tidak professional menjadi halangan. Tema kami, “satu tekad, satu harapan, satu impian” tidak tercapai. Masalah perbezaan politik menjadi perbincangan besar. Saya memang telah menduga perkara itu akan berlaku.

Saya menduga, “kalau kita panggil keduanya, boleh tak?”.
“isy, tak booleeh, ni kawasan Datuk..bahaya, susah nak kerjasama…” jawab seorang pakcik.
Hem, baru saya tahu, kenapa mereka banyak berpesan tentang tatatertib dan syarat-syarat program.

Wakil penduduk berkeras hati, enggan menjemput ketua kampung kerana KK baru berparti PAS. Saya tanya kenapa? Seorang pakcik memberi jawapan, “ Setelah bertukar kerajaan di Perak, ketua-ketua kampung mogok letak jawatan, jadi kerajaan negeri lantik KK baru dari parti mereka”. Jawapan yang diberi hanya menyatakan ‘kesalahan’ kerajaan baru Negeri Perak. Atok Hamidi hanya memerhati.

Betullah, isu yang sebenar tidak disebut akhbar nasional semasa kes itu panas dahulu. Kes yang sebenarnya berlainan dari yang menjadi berita.

Sebelum tamat, wakil penduduk bertanya tentang belanjawan program, tujuan sebenarnya telah saya baca dari awal. Pasti inginkan kepastian tentang imbuhan yang bakal diterima. Saya lekas memintas bertanya tentang program yang lepas. Ternyata, mereka tidak berpuas hati kerana ‘bayaran sewa rumah’ yang diterima dari anak angkat murah. Persetujuan secara ringkas membuahkan natijah RM 200 untuk satu keluarga. Alasan yang kami terima, ‘minyak mahal’, ‘barang naik’ dan yang paling menarik, “kalau homestay, kena bayar RM 50 sehari”. Hahaha, saya tergelak sendirian. Kawan-kawan yang bersama saya berusaha menyembunyikan air muka kecewa dan terkejut masing-masing.

Keesokkannya, kami berkunjung ke tempat pembuatan minyak kelapa dara ( Virgin massage oil ). Rumah Che Rose, ketua cawangan Umno kawasan tersebut. Melihat proses yang begitu teliti dan amat bersih. Seterusnya sebelum balik, kami ditunjukkan sarang lebah. Kenangan bersama lebah di Lebah Madu Besut terungkit di sini.

Bisa sengatan Lebah


Seekor lebah sempat memberi kucupan selamat tinggal sebgai kenangan untuk dibawa ke DQ. Tapi, tak mengapa, mengikut apa yang saya pelajari, sengat lebah mempunyai khasiat yang amat besar.

Khamis, 19 Jun 2008

Catatan Kuarantin- Hospital Pakar Perdana

Epilog Sebuah Ukhuwwah..

Dalam dunia ini kita tidak punya sesiapa,
Hanya diri sendiri…
Tetapi…
Dalam kita bersendirian, kita masih bertuah,
Mempunyai sahabat yang memahami...

Sebagaimana kita mengharapakan keikhlasan dan kejujuran Seorang sahabat,
Begitulah juga dia.
Tetapi kita sering terlupa.

Kita berkira tentang harapan dan perasaan kita…
Kita rasa dikhianati bila dia tidak menepati janjinya.
Kita tidak memberi dia peluang,
Untuk menerangkan keadaannya.
Bagi kita,
itu hanya alasannya untuk menutup kesilapan..
Kita juga pernah membiarkan dia ternanti-nanti
Kerana kita juga ada janji yg tidak ditepati.
Kita beri beribu alasan memaksa dia terima alasan kita.
Waktu itu, terfikirkah kita perasaannya…..?
Seperti kita,
Dia juga tahu rasa kecewa…..
Tetapi kita sering terlupa.

Untungnya mempunyai seorang sahabat yang sentiasa memahami
Yang selalu berada di sisi tika kita membutuhkan teman,
Dia mendengar luahan perasaan kita,
Segala rasa kecewa dan ketakutan...
Harapan dan impian...
Tika kita buntu, Dia memberi jalan..

Selalunya kita hanya bercerita,
Sehingga kita terlupa,
Sahabat kita juga ada berita yg ingin dikongsi bersama..
Pernahkah dia diberi peluang,
Mengkhabarkan bimbang dan takutnya?
Pernahkah kita menenangkan dia sebagaimana dia pernah menyabarkan kita...
Ikhlaskah kita mendengar tentang kejayaan dan berita gembiranya?
Mampukah kita menjadi sumber kekuatannya...
Sepertimana dia meniup semangat setiap kali kita rasa kecewa dan menyerah kalah?
Dapatkah kita yakinkan dia yang kita boleh dipercayai,
Kita boleh dijadikan tempat untuk bersandar tika lemah,
agar dia tidak lagi rebah….?
Bolehkah kita menjadi bahu untuk dia bersandar harapan?

Sesekali jadilah sahabat yg mendengar dari yg hanya bercerita…..
Curilah masa untuk memahami hati dan perasaannya,
Kerana dia juga manusia,
Dia juga ada rasa takut, bimbang, sedih dan kecewa..
Dia juga punyai kelemahan dan membutuhkan seorang sahabat…



Dimana kita saat dia bersedih,
Sombongnya kita untuk sama bergembira tika dia ingin berkongsi keriangan,
Sehingga kita sering melarikan bahu kita tika dia ingin bersandar,
Melarikan peha kita saat dia ingin bermanja..

Jadilah kita sahabatnya itu….
Kita selalu melihat dia ketawa,
Tetapi mungkin dia tidak setabah yg kita sangka...
Di sebalik senyumannya tersorok cerita duka....
Di sebalik kesenangannya, tersimpan seribu kekalutan…
Kita tidak tahu…

Siapakah yang akan menjadi Abu Bakar,
Sentiasa membenarkan kata-katanya ?
Siapakah yang akan menjadi Umar untuknya,
Sebagai benteng kukuh mempertahankannya ?
Siapakah yang akan menjadi Uthman,
Mencurahkan harta kepadanya ?
Siapakah yang akan menjadi Ali,
Menjadi penggantinya untuk dibunuh ?

Ingatkan ?
Bukan kita tak pernah menangis untuknya..

Wahai sahabat yang amat ku sayangi dan ku cintai kerana Allah, Cintailah sahabatmu ketika dirimu masih mempunyainya..
Ikhlaskanlah kasihmu sebelum kehilangannya...

Sabtu, 14 Jun 2008

Minyak seribu khasiat cap PETRONAS

Kemaskini dan tambahan dari Post Siapa yang membazir? Siapa yang Perlu berjimat?

Malaysia RM 2.70
Brunei RM 2.03
UEA RM 1.19
Kuwait RM 0.67
Turkemenistan RM 0.39
Arab Saudi RM 0.50
Nigeria RM 0.32
Iran RM 0.29
Mesir RM 0.18
Venezuela RM 0.16

Begitulah senarai harga petrol dalam ringgit Malaysia selepas kenaikan mengejut yang memecahkan rekod kenaikan harga minyak dengan kenaikan sebanyak RM 0.78 sen seliter bagi petrol. ( sumber: HarakahDaily.net ) Bodohnya rakyat Malaysia yang tenggelam dalam ‘ketenangan’ apabila diperbodohkan dengan mudah PM yang membandingkan harga minyak negara dengan harga minyak jran-jiran kita. Siapa jiran kita untuk dibandingkan? Adakah mereka pengeluar minyak? Malaysia yang diterajui oleh Pengerusi OIC menduduki tangga teratas podium harga minyak bagi negara pengeluar minyak. Tahniah.

PM yang bijak pandai pula ketika diminta untuk memberi komen sewaktu di Kelantan, menyarankan supaya kerajaan Pakatan Rakyat sahaja yang menurunkan harga emas cair itu sedangkan pendaratan gas yang sepatutnya didaratkan dan diproses di Kelantan telah dirompak dan didaratkan di negeri lain. Manakala pendaratan ‘royalti’ minyak untuk rakyat Terengganu yang dianggap sebagai anak emas Hadhari juga tergendala.

Menteri Minyak Naik pula dalam debat di RTM bertegas bahawa minyak memang patut naik sebab harga minyak dunia naik. Alasannya bahawa PETRONAS telah menanggung kos subsidi yang berjumlah berbilion ringgit. Hei Menteri, lupakah ketika PETRONAS mula ditubuhkan untuk mencarigali minyak pada tahun 1970, lalu minyak yang digali di Malaysia dieksport keluar negara. Ianya lebih menguntungkan berbanding digunakan terus di dalam negara kerana minyak Malaysia lebih berkualiti dan lebih mahal. Maka keuntungan itu (PETRONAS) di persetujui oleh kerajaan untuk dikembalikan kepada rakyat dengan wajah subsidi bagi menggantikan harta rakyat (minyak Malaysia) yang dieksport. Memang untung PETRONAS untuk subsidi rakyat. Maka rakyat Malaysia pada ketika itu mampu memiliki harta mereka dengan harag yang berpatutan.

Itu tahun 1970. Sekarang tahun 2008, seiring dengan kenaikan harga minyak dunia, maka keuntungan PETRONAS juga kian meningkat pada nisbah yang berkadar terus dengan kenaikkan harga minyak dunia. Soal peningkatan jumlah RM yang dikeluarkan oleh PETRONAS sebagai subsidi tidak menjadi masalah, yang penting jumlah peratusan subsidi berbanding keuntungan yang dipertikaikan. Cuba bandingkan jumlah peratusan subsidi 1970, 1997 dan 2008? Adakah ianya berpatutan? Adakah kerajaan semakin membela rakyat atau mendera?

PETRONAS pula lebih suka membazir di luar dengan alasan ‘melabur’ yang sebenarnya melebur. Masih diingat lagi kebodohan PETRONAS menyertakan diri dalam sukan perlumabaan motosikal termahal, World Superbike Championship dengan psuka Foggy-PETRONAS dan menjemput Carl Fogarty sebagai rakan kongsi kononnya kerana ianya lagenda, Foggy..Berapa kerugian yang ditanggung sehingga PETRONAS akhirnya menarik diri dari arena kejohanan itu ? Dimana keuntungannya untuk rakyat ?
Untuk akhirnya saya tinggalkan satu persoalan untuk renungan bersama, kenapakah PETRONAS yang dimilikki kerajaan lebih suka untuk mengiklankan produknya di Media Prima berbanding RTM (kerajaan) ? Bagaimana dengan siaran Petronas Sprinta, Iklan Petrol, minyak pelincir bahkan peraduan yang dianjurkan Petronas. Fikir-fikrkanlah (dengan nada Farid Ismeth Amir).

Khamis, 12 Jun 2008

" sesungguhnya pada harta kamu itu ada hak untuk orang yang meminta dan orang yang tidak meminta" Al-quran.


Perkemat DQ, singkatan bagi Persatuan Kebajikan Pelajar Maahad Tahfiz Darul Quran, Satu-satunya pertubuhan perwakilan pelajar yang bertaraf NGO, berperanan menaungi serta menjaga kebajikan semua ahli persatuan sepanjang pengajian mereka selama 3 tahun (diploma) dan 18 bukan (persijilan DQ-UIAM). Berbagai program kebajikan telah dijalankan oleh persatuan samada dalm kolej atau di luar kolej. Jadual program merangkumi program utama yang menjadi program keutamaan setiap tahun . Program kemasyarakatan juga diadakan setiap tahun seperti Bakti Huffaz dan khidmat masyarakat.

Oleh kerana status Persatuan sebagai pertubuhan bukan kerajaan, maka kami tidak mendapat dana khusus dari pihak pentadbiran Darul Quran bahkan perlu mencari dana sendiri untuk menjalankan setiap program.

Justeru, Posting pada hari ini, diharapkan sebagai penyumbang kearah melahirkan generasi al-quran yang unik.
Kepada mereka yang ingin menderma bolehlh menderma melalui akaun persatuan atau berhubung dengan Bendahari Agung di talian 013 2002348 @ 019 5165906.
Alamat surat-menyurat adalah seperti berikut,
Persatuan Kebajikan Pelajar Maahad Tahfiz Darul Quran,
Jalan Hamzah, Ampang Pecah,
44000, Kuala Kubu Bharu,
Selangor Darul Ehsan.

" sesungguhnya pada harta kamu itu ada hak untuk orang yang meminta dan orang yang tidak meminta" Al-quran.

Selasa, 10 Jun 2008

Siapa yang membazir? Siapa yang patut berjimat?

Minyak petrol Malaysia
Minyak Petrol Saudi. Rs 10 = 20.9 Liter

Tanggal 4 jun 2008, perdana menteri malaysia mengumumkan kenaikan harga minyak yang memecahkan rekod kenaikan harga bahan bakar itu, petrol 78 sen dan RM 1 bagi diesel. Mungkin itulah tanda terima kasih beliau kepada penyokong setia kerajaan dan mungkin juga sebagai ancaman kerana mempercayai janji Pakatan Rakyat. Walaupun alasan yang diberi ialah kenaikan harga bahan mentah itu di pasaran antarabangsa.

Sehubungan dengan itu, ramailah yang bangkit menentang, berpiket dan menganjurkan tunjuk perasaan. Tidak kurang juga yang bersedia dengan pelan perancangan hidup baru, mungkin merancang untuk kembali menunggang motosikal, berbasikal atau bersunnah dengan menunggang kuda. Yang malang ialah mereka yang bersetuju malah membela keputusan kerajaan menaikkan harga emas cecair itu.

Saya menulis pada hari ini bukan untuk membahaskan dari sudut akademik atau politik jauh sekali dalam bidang ekonomi. Bahkan berpandukan pengalaman berkunjung di negara sejawatan dengan Malaysia sebagai pengeluar minyak, Saudi. Harga minyak di Saudi jauh berbeza dengan harga di Malaysia. Rs 10 mampu memulangkan lebih 20 liter petrol. Tak perlu beralasan bahawa kita membeli minyak dari luar. Yang penting negara kita adalah negara pengeluar minyak.

Bukan sekadar itu, negara kita juga terkenal dengan negara pengeluar minyak sawit terbesar dunia. Di mana keuntungan semua itu? Di mana keuntungan sawit? Di mana keuntungan getah? Dimana keuntungan minyak mentah? Ketidakpedulian kita terutamanya pimpinan negara untuk bersyukur dan berjimat menyebabkan harta kurniaan ilahi yang diperap berbillion tahun di bawah tanah itu yang sepatutnya mampu bertahan ribuan tahun bakal habis dalam jangkamasa tidak sampai 100 tahun.
Maka untuk menutup kemarahan rakyat, pengerusi OIC yang merangkap imam HADHARI pun mengarahkan ustaz dan ustazah menyerap masuk dalam masyarakat samada dalam media elektronik, media cetak, malah terjun dalam dunia realiti ke kampung dan desa untuk menyampaikan ceramah dan forum supaya berjimat cermat. Maka berbondno-bondonlah ustaz dan ustazah Hadhari tampil dengan upah yang tinggi, berkereta besar pergi berceramah ke kampung kepada pakcik dan makcik yang sudah puluhan tahun mengira biji beras, berjimat cermat untuk menjaga anak-anak yang bakal meneruskan hidup.


Sedangkan panel penceramah, ahli vip yang hadir serta penganjur masih dalam dunia membazir. Tidak pernah sekali Allah mempersaudarakan manusia yang zalim dengan syaitan, berbeza dengan si pembazir, maka Allah berfirman, “ Sesungguhnya orang yang membazir itu adalah saudara bagi syaitan-syaitan”.


Suka untuk saya tegaskan pada hari ini, golongan yang patut ditegur ialah para pembesar negara yang secara zalimnya meletakkan beban kepada rakyat sedangkan mereka masih bersenang-lenang dengan pangkat dan harta yang bertimbun bahkan masih menerima elaun dan dividen serta keistimewaan yang keterlaluan.
Kenyataan seorang 'orang besar kerajaan', "tidak relevan memotong elaun menteri, bukan sampai bilion pun". Ya, memang rakyat tahu, elaun menteri tak sampai billion, sebab itulah rakyat nak ia dipotong. Mana kesanggupan pemimpin untuk bersama rakyat kalu masih menikmati elaun ?

Saya amat tertarik dengan kisah Imam Nawawi yang dibuang negeri setelah beliau enggan untuk memberi fatwa untuk mengharuskan Raja mengambil harta rakyat untuk mencukupkan kelangkapan perang demi mempertahankan negara. Sekali imbas, patut bagi si raja untuk mengambil harta rakyatnya pada waktu itu. Tapi, kecerdikan Imam Nawawi tidak seperti ustaz dan ustazah Hadhari yang mudah ditipu oleh ketamakan pemerintah. Beliau berhujjah bahawa beliau akan membenarkan si raja mengambil harta rakyat jika gedung kekayaan istana dikosongkan, gundik-gundik dibebaskan dan segala kemewahan ditinggalkan namun kelengkapan perang masih belum mencukupi. Maka raja naik marah lantas membuang Imam Nawawi ke luar negeri.

Begitu juga dengan kisah seorang sahabat yang dihantar untuk menjadi gabenor di salah sebuah wilayah islam. Maka apabila tiba musim pembahagian zakat, nama si gabenor tadi berada di tangga teratas senarai penerima zakat lantaran kemiskinan beliau kerana senantiasa meninggalkan kesenangan dan keperluan diri serta keluarga semata-mata untuk membantu rakyat jelata. Samalah juga tentang apa yang berlaku pada Khalifah Umar Khattab yang terlebih dahulu mengorbankan kesenangan diri sebelum meminta rakyat berjimat cermat apabila tiba musim kemarau, Musim RAMAD, selama hampir 9 bulan. Sepanjang temoh itu, Saidina Umar tidak memakan lemak, meminum susu bahkan memakan daging. Rasulullah sendiri yang sememangnya menjadi contoh tauladan kepada umat islam hidup dalam keadaan sederhana.
Itulah gaya sebenar seorang pemimpin. Terlebih dahulu mengorbankan kesenangan sendiri, bukan hany dengan mudah meletakkan beban kepada rakyat. Sedangkan diri sendiri masih sempat untuk bermain golf, menunggang kuda, bercuti ke luar negara dengan dibiaya duit Rakyat! Bagaiman patut pemimpin negara berpesta dengan berhabis jutaan ringgit sedangkan rakyat miskin yang tidak mempunyai pendapatan tetap dan tanpa apa-apa skim yang menaungi sedang mengikat perut membilang biji beras ekoran kenaikan harga beras dan kenaikan mendadak harga minyak.

Tertarik saya untuk mengikuti jejak langkah Imam Nawawi menegur Pembesar Negara supaya terlebih dahulu berjimat sebelum melepaskan beban itu kepada rakyat. Tinggalkan dahulu istana besar, kecilkan dahulu poket tebal menteri-menteri, hilangkan dahulu skim eksekutif dan eklusif yang melindungi para menteri, jual dahulu saham-saham individu yang bernilai bilion ringgit. Hilangkan dahulu sifat pentingkan diri para pembesar dengan mengosongkan garaj kereta mewah dan eksotik pembesar negara. Patutkah seorang pemimpin masih bermewah mengurniakan pangkat bermewah-mewah berpesta saat rakyat mereka menderita.

Bayangkan Pak Lah berucap supaya rakyat berjimat, sedangkan dia sejurus menyantap di meja mewah berasama konconya? Dari mana duit untuk membayar makanan itu? Bukankah lagi patut Pak Lah meniru gaya seorang MB yang hanya makan nasi goreng dalam polisterin?
Wahai rakyat Malaysia, sedarlah bahawa anda semua sedang diperbodohkan oleh pemimpin yang kamu junjung. Anda di desa telah puluhan tahun berjimat, sedangkan mereka masih sempat bermewah. Patutkah anda memilih meraka untuk kali kedua?

Rabu, 4 Jun 2008

Seni Bina Bait Muslim

Lagi dua hari, usia saya bakal genap 22 tahun. Dalam usia sebegini, Muhammad sudah hampir berkahwin dengan Khadijah. Dalam usia ini, Musa diketemukan dengan Anak Nabi Shu’aib. Dalam Usia sebegini, Adam memohon untuk berteman. Dalam usia sebegini, Yusuf digilai Zulaikha.

Seolah memahami kematangan usia saya, keadaan sekeliling berubah. Segalanya seolah berkisar tentang ‘kehidupan baru’. Bermula dengan pernikahan mengejut sahabat baik di Tanah Haram. Diikuti juga secara mengejut seorang sahabat yang mengahwini dua wanita sekaligus. Menjadi saksi pernikahan dua abang tiri. Pertunangan sepupu dengan sepupu. Kelahiran ahli baru dalam keluarga Wahab Maryam. Semuanya seolah meraikan hari lahir saya yang ke-22.

Mengingatkan sedemikian, tertarik minat saya untuk menulis sedikit tentang senibina Bait Muslim. Bukan untuk meruntun jiwa ke arah itu, tetapi untuk menambah sedikit ilmu melalui pembacaa dan perkongsian ini. Semoga ia boleh dijadikan bekal bila tiba masa dan waktunya.

Dalam bait muslim, Rasulullah SAW adalah uswah hasanah sebagai seorang suami kepada isteri-isterinya, sebagai bapa kepada anak-anaknya dan sebagai pemimpin. Di dalamnya tergambar identiti dan ciri-ciri tersendiri bait muslim untuk dicontohi senibinanya.
Sabda Nabi Bermaksud:
“Apabila seseorang hamba itu telah berkahwin maka dia telah melengkapi separuh dari agamanya, bertaqwalah ia kepada Allah dalam hal yang separuh lagi. (Baihaqi)
Muhammad Rashid Ridha dalam menafsirkan firman Allah SWT:
Yang bermaksud: “Dan di antara tanda-tanda kekuasaanNya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikanNya di antaramu kasih sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir.” (Ar Rum:21)
Berkata, ada tiga unsur yang harus dicapai oleh rumahtangga muslim:
1) Lahir ketenteraman jiwa suami isteri – perasaan rindu, kasih dalam pergaulan mereka
dan saling menjaga antara satu sama lain.
2) Lahir perasaan cinta melalui pergaulan dan tolong-menolong.
3) Lahir naluri keibuan dan kebapaan yang memberikan kasih sayang kepada anak-anak.
Pemilihan Calon Suami Atau Isteri

Pemilihan suami atau isteri dalam rumahtangga mestilah berdasarkan Syariat. Orang berilmu dan beragama adalah kufu’ untuk orang-orang seumpamanya juga, supaya tidak terjadi kepincangan antara suami isteri. Di dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda:

تخيروا لنطفكم وأنكحوا الأكفاء
Maksudnya: “Dirilah olehmu benih-benih dari keturunan yang baik-baik sesungguhnya sistem baka (sesuatu yang diwarisi) itu suatu warisan”.
Di dalam hadis lain Rasulullah SAW bersabda:
تنكح المرأة لأربع : لمالها، ولجمالها ، ولحسبها ، ونسبها ، ولدينها فاظفر بذات الدين تربت يداك
Firman Allah dalam surah An Nur.
Maksudnya: “Lelaki-lelaki yang berzina, tidak berkahwin melainkan dengan perempuan penzina atau perempuan kafir, manakala penzina perempuan tidaklah berkahwin melainkan dengan penzina lelaki atau seorang musyrik dan diharamkan mereka itu ke atas orang mukmin.”
Bersabda Rasulullah SAW dalam satu hadis:
اذا خطب اليكم من ترضون دينه وخلقه فزوجوه انكم لال تفعلوا تكن فتنة فى الأرض وفساد عريض
Maksudnya: “Apabila datanglah kepada kamu pinangan orang yang kamu redhai agamanya dan akhlaknya, maka kahwinlah olehmu akalnya, sesungguhnya kamu sekiranya tidak berbuat demikian akan menyebabkan fitnah dan kerosakan di muka bumi.”
CIRI-CIRI BAIT MUSLIM
1) Rumahtangga yang teguh, kukuh dan damai, ahli-ahlinya berpendidikan Islam

Rumahtangga yang bercirikan Islam impian setiap orang Islam. Ia merupakan rumahtangga yang mengenal dan mengasihi Allah dan RasulNya. Kedua-duanya menjadi sebutan setiap ahli rumahtangga itu. Suatu kelaziman yang dikasihi akan disebut selalu dan diceritakan tentangnya melalui sebutan dan amalan, semata-mata kerana Allah SWT dan RasulNya. Umpamanya membaca Al Quran, mengkaji sunnah dan sirah serta sejarah gerakkan Islam. Oleh itu semestinya sebuah perpustakaan wujud di sebuah rumahtangga muslim.
2) Suasana semulajadinya sentiasa riang dan gembira.
Rumahtangga muslim adalah bagaikan sarang burung yang diselubungi oleh ketenangan dan kedamaian, jauh dari suara riuh-rendah yang keterlaluan atau melampaui batas.
Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Rendahkanlah suaramu kerana sesungguhnya seburuk suara itu ialah suara keldai” (Luqman :9)
Walaupun dalam gembira Rasulullah SAW tidak keterlaluan dalam ketawa. Baginda tersenyum sahaja dalam gembiranya dan kadang-kadang baginda ketawa sehingga nampak dua taringnya. Senyuman menjadi lambang kepada setiap ahli rumah seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Hendaklah kamu temui saudaramu dengan wajah manis itu adalah suatu sedekah”
Senyuman dapat membantu menenangkan fikiran.

3) Rumahtangga yang sentiasa suci,bersih dan selesa
Sabda Rasulullah SAW:
ان الله طيب نظيف يحب النظافة، كريم يحب الكريم جواد يحب الجواد
فنظفوا افتيكم ولا تشبهوا با ليهودز
Maksudnya: “Di antara seutama-utama ciri seorang muslim pada diri, rumahtangga dan kawasan sekitar rumahtangganya adalah kebersihan serta kesucian zahir batin.”
Sabda RasulullahSAW:
لا تتشبهوا باليهود كانوا يضعون الأكب ( القامة) فى افنية بيتهم
Maksudnya: “Jangan kamu menyerupai orang Yahudi; mereka itu meletakkan longgokan sampah sarap di halaman rumah mereka.”
Sabda Rasulullah SAW: النظافة من الايمان
Maksudnya: “Kebersihan itu sebahagian daripada iman”
4) Menjauhi perkara-perkara haram dan syubhat
5) Penjagaan sembahyang:
Sabda Rasulullah SAW:
مرو أولادكم باالصلاة وهم ابنا سيع سنين وأضربوهم عليها وهم أبنا عشر، وفوقوا فى المضاجع
Maksudnya: “Suruhlah anak kamu mendirikan sembahyang ketika berumur 7 tahun dan pukullah dia ketika berumur 10 tahun dan pisahkan mereka di tempat tidur.” (Riwayat Abu Daud)
Firman Allah SWT:
Maksudnya: “Perintahlah olehmu akan keluargamu dengan sembahyang”
Sembahyang merupakan proses pembersihan diri ataupun muhasabah. Seseorang itu akan meminta ampun atas setiap kesalahan dan maksiat yang dilakukannya dan cuba membuangnya seberapa segera. Dengan ini bersihlah masyarakat, tanpa undang-undang yang diawasi oleh polis dan pencegah maksiat.
6) Wanita muslimah (yang menjadi penghuni rumahtangga muslim) suci hatinya:
Dia benci kepada orang yang memerhatikannya sepertimana Sayyidatuna Fatimah mengatakan kepada ayahandanya Muhammad SAW ketika ditanya oleh baginda:
قالت فاطمة لأبيها محمد (ص) حين سألها أحب الى المرأة؟ فقالت : (ألاتري رجل ولايراها رجل)
Maksudnya: “Apakah sesuatu yang paling baik untuk wanita?” Jawab Saidatina Fatimah: “Supaya tidaklah wanita itu melihat lelaki dan tidak pula lelaki melihatnya”. Mendengar jawapan itu, Rasulullah mendakap Fatimah dengan gembira dan membaca ayat di dalam surah al Imran; di mana maksudnya: “satu keturunan yang sebahagiannya (keturunan) dari yang lain dan Allah Maha Mendengar dan Mengetahui. (al Imran:34)
Sabda Rasulullah SAW:
النظرة سهم مسموم من سهام ابليس اللعين
Maksudnya: “Pandangan itu adalah panahan beracun dari panahan syaitan dan iblis yang terkutuk.”
Islam menutup semua jalan kepada perzinaan dengan mengharamkan tabarruj (iaitu pendedahan diri wanita dengan segala kecantikan yang mempesonakan). Tabarruj adalah suatu pengkhianatan kepada agama, negara dan punca kerosakan.
7) Kebijaksanaan mentadbir rumahtangga
Muslimah wajar memiliki pengetahuan yang luas dan mencukupi dalam pentadbiran rumahtangga selain daripada pengetahuan agamanya. Selain itu seorang muslimah seharusnya mahir serba sedikit tentang ilmu jiwa dan pertolongan cemas serta kraftangan.
8) Rumahtangga yang sentiasa menjadi tumpuan kebaikan.

Rumahtangga muslim adalah rumahtangga yang menyinarkan cahaya ibadah dengan melaksanakan hukum-hakam Allah SWT. Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Dan ingatlah apa yang dibaca dirumahmu dan hikmah sunnah nabimu, sesungguhnya Allah adalah Maha Lembut dan Maha Mengetahui.” (al Ahzab:34)
Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Dan dirikanlah olehmu rumah kamu sebagai kiblat dan dirikanlah olehmu akan sembahyang dan berilah berita gembira kepada orang-orang mukmin”.
Nas di atas menjelaskan bahawa kita mesti menjadikan rumah sebagai kiblat yang sentiasa terbuka untuk semua amalan soleh.
9) BI’AH SOLEHAH

Para da’ie harus mengekalkan bi’ah solehah dalam seluruh kehidupan kekeluargaan seseorang da’ie. Harakah Islamiah mestilah mengatur agar ahli-ahlinya berumahtangga dengan muslimat yang juga terlibat dalam dakwah. Ini penting kerana tidak mungkin seseorang da’ie itu menghayati tugasnya sekiranya suasana perjuangan itu sendiri tidak dihidupkan di dalam rumahtangga bersama-sama anak dan isterinya.
Sebaliknya jika asas perkahwinan seseorang muslim dan muslimah itu adalah untuk melaksanakan perjuangan menegakkan Islam, maka hubungan suami isteri pada hakikatnya adalah satu hubungan yang dapat meningkatkan dan meneruskan tarbiyah. Ini kerana perbincangan dan amalan mereka sentiasa berkisar di sekitar hal-hal yang berkaitan dengan perjuangan Islam. Bagaimana hendak meningkatkan komitmen dengan amal Islami, bagaimana hendak mendidik anak-anak untuk menjadi pejuang-pejuang Islam di masa depan.
Bermula dari membina Bait Muslim yang hakiki dan dengan mengetahui matlamat dan ciri-ciri yang dituntut oleh Islam akan melahirkan suatu suasana kehidupan Islam yang syumul, dari Daulah Sughro ini hingga Daulah Islamiah kerana Bait Muslim adalah anak tangga ke arah pembinaan Daulah Islamiah.