Selasa, 21 Februari 2012

Status Terakhir



4.40 pagi, 21 Februari 2012

Penggera aturan dari telefon bimbit berbunyi. Punca bunyinya saya gapai, dengan sebelah mata yang masih disepetkan, saya menilik-nilik angka, 4.40am. Selepas mata ditenyeh-tenyeh beberapa kali untuk mengaktifkan kedua-duanya, saya bangkit ke tandas, buang air dan berwuduk.

Kembali semula ke bilik dan tunaikan solat sunat dua rakaat. Kepala mula terasa pening. Selepas solat sunat, azan subuh berkumandang. Pening semakin bertambah. Saya bangkit berdiri, bertakbir untuk solat fardhu Subuh. Rakaat pertama sempurna dalam qiyam yang tegap. Rakaat kedua, saya sudah tidak berdaya untuk bangkit, solat diteruskan dalam keadaan duduk. Rukuk, sujud, duduk antara dua sujud dan sujud lagi. Saya pengsan sebelum sempat bangkit ke tasyahhud.

Saya terjaga semula dalam keadaan masih terlungkup di sejadah. 10 minit telah berlalu. Udara sejuk menggigit badan. Saya gagahkan badan untuk meneruskan solat. Semuanya dibuat dalam keadaan yang sekadar termampu dalam keadaan duduk. Sujud dan rukuk dengan isyarat yang terdaya. 

Solat sempurna namun pening semakin menggila. Semua anggota badan saya bagaikan tidak mampu diarah. Saya cuba berdiri untuk ke dapur mencari air. Tekak terasa sangat haus. Selepas daun pintu diselak, saya tersembam ke lantai. Pengsan lagi.

Entah berapa lama, saya terjaga semula. Badan terasa sangat sejuk. Suhu terakhir yang saya catat sebelum tidur adalah 2 darjah. Saya merangkak ke selimut. Fadzil yang masih keletihan selepas menyudahkan proposal kerjasama MPPMJ dan MARA dikejut.

"Fadzil, subuh. Ana pening." Itulah sahaja ayat yang mampu saya keluarkan.

Fadzil bangkit keluar dari bilik. Saya teringatkan pemanas udara masih terbuka. Aku lemas, barangkali. Meski masih menggeletar kesejukan, saya merangkak untuk menghulurkan kepala ke luar bilik. Dari celahan daun pintu itu, saya hirup udara yang lebih bersih sebelum kemudiannya pengsan lagi untuk kesekiankali.

Masa berlalu tanpa saya sedari berapa lama ia berlari. Kali ini, saya terlentang di hadapan pintu bilik rakan serumah. Sebelah kiri saya adalah Fadzil yang kini hanya terduduk lemah.

"Fadzil, Fadzil..", saya menyeru.

"Ana pening, ana tak boleh gerak", sahut Fadzil lemah. Kepalanya hanya ditundukkan ke bawah.

Kudrat yang ada saya kerah seluruhnya. Tangan kanan dihayun beberapa kali ke daun pintu.

"Tolong, tolong..buka tingkap, buka pintu", hanya itu yang saya mampu lafazkan. Entah siapa yang mendengarnya. Saya pengsan untuk kesekiankalinya.

6:30 Pagi, 21 Februari 2012

Lampu putih terpancar ke anak mata saya. Bebola mata kecil itu sangat sukar untuk diarahkan ke kiri mahupun ke kanan. Apatah lagi kaki ataupun tangan. Seluruh kudrat diarahkan ke mata untuk melihat, di manakah saya. Masih di dunia atau sudah berada di sana...? Andai di sana, saya bimbang, kerana kalimah terakhir bukanlah lafaz syahadah, tetapi, "buka tingkap dan buka pintu."

Tiba-tiba alat bantu pernafasan disarungkan ke kepala saya. Udara segar hinggap di corong hidung mendorong oksigen ke dalam saraf-saraf otak. Carotid Artery menjadi lebuhraya yang paling sibuk, membekalkan udara yang lebih bersih ke kepala.

Mata terasa cerah, semakin jinak, namun tangan dan kaki masih belum mampu digerakkan. Suara masih tenggelam di pangkal tenggorok.

Lebih kurang setengah jam kemudian, keadaan semakin pulih. Namun dada terasa amat perit, bagaikan ada tulang-tulangnya yang retak. Katanya, hasil chest compression. Terima kasih Allah, aku masih dipanjangkan usia untuk mensyukuri nikmat hidup sebelum mati. Terima kasih kepada teman-teman yang membantu.

10.00 malam, 20 Februari 2012

Fadzil tiba dengan laptop. Segak berbaju tebal warna merah. Kami berjanji untuk menyelesaikan sebuah tugas, merangka dan menyiapkan proposal untuk cadangan kerjasama ekonomi antara MPPMJ dan MARA.

Sambil menyelesaikan beberapa tugas saya yang tertangguh, saya memberi idea-idea dan pandangan untuk proposal. Melatih lebih baik dari membantu. Selang dua jam kemudian, proposal hampir siap. Tinggal untuk mengisi data keperluan rakan-rakan di Jordan. Meski jam hampir 12 tengah malam, saya tuliskan status di Facebook sendiri dan ruangan My MPPMJ. Respon cepat diterima. Kami mengisi data-data yang diterima setelah digabungkan dengan beberapa penambahbaikan.



12:00 Tengah Malam, 20 Februari 2012

Proposal siap sempurna. Namun laptop Fadzil mati tiba-tiba. Entah bila suis plug tertutup. Riak kecewa jelas di mata Ketua Biro Ekonomi MPPMJ itu.

"Tak apa, Microsoft Word tersedia dengan sistem autosave. InsyaAllah data dan dokumen kita tak hilang.", saya memujuk.

Suis plug dibuka semula. Selepas diONkan ternyata, dokumen kembali seperti pukul 10 malam. Dua jam memerah idea bagaikan sia-sia.

Riak putus asa semakin jelas di raut wajah keletihan Fadzil. Saya mencapai laptop dari tangan beliau. Beberapa setting disemak. Semuanya sempurna. Autosave ditetapkan setiap 10 minit. Tanpa bertangguh lama, saya mula menaip. Proposal ini mesti disiapkan sebelum fajar 21 Februari terbit.

2:00 pagi, 21 Februari 2012

Proposal berjaya disiapkan dan diemailkan kepada Presiden MPPMJ. Fadzil membuat keputusan untuk bermalam di rumah saya, Darul Muttaqin. Saya menghamparkan tilam, menyelak sedikit tingkap untuk alihan udara dan membiarkan pemanas udara terpasang. Sebelum tidur, beberapa cerita kami kongsikan bersama.

3:00 pagi, kami terlena dalam kesejukan dipukul keletihan.

5:00 pagi 21 Februari 2012, peristiwa berlaku.

Saya mengimbau semula detik semalam yang sekali imbas dilihat tidak menyenangkan. Rupa-rupanya ia adalah penyelamat nyawa kami.

Bayangkan, andai suis plug tidak tertutup. Andai pula laptop tidak mati dan kerja sempurna jam 12 malam. Andai autosave system berfungsi sempurna. 5 jam lena yang mungkin membawa maut. Sedangkan otak hanya mampu bertahan selama 4 minit tanpa oksigen sebelum ianya 'kering' dan mati.

Pemadam Allah telah memadam perancangan saya yang tidak sempurna. Terima kasih ya Allah.
Tulislah perancanganmu dengan sebatang pensil, serahkan pula pemadamnya kepada Allah. Dan izinkanNya memadam bahagian yang tidak sempurna untuk digantikan dengan perancangan yang lebih baik, hadiah istimewa dariNya untukmu.

HASANHUSAINI, 
Darul Muttaqin, Mu'tah, Jordan.

2 ulasan:

  1. Subhanallah.....Sheikh, jaga kesihatan & keselamatan. Selalu juga ingatkan sahabat-sahabat yang lain agar peristiwa yang sama tidak berlaku lagi. Syukur semuanya kembali pulih...

    BalasPadam
  2. Allahu...penangan pemanas gas, Allah ternyata masih memberikan ruang dan peluang... :)

    BalasPadam

Komen Anda Adalah Buah Tangan Terbaik [hasanhusaini]