Selasa, 15 April 2014

AKAL : INOVASI IBADAT ATAU INOVASI MUAMALAT


Mutakhir ini, hal ini ribut diperbincangkan oleh awam. Maka, di atas rasa tanggungjawab menunaikan amanah ilmu yang saya pelajari, risalah ringkas ini dicoret untuk memberi suluhan. Ia mungkin mengandungi cacat dan kurang, maka saya secara sukarela mengisytiharkannya sebagai boleh dikritik dan diperbaiki serta ditambah baik jika ada hujah yang lebih tuntas dan kukuh. Wallahu a'lam.

Terbuka untuk perbincangan matang tanpa prejudis.

Allah telah menugaskan kita beribadat dengan cara yang telah dipraktikkan oleh Rasulullah S.A.W. Firman Allah " Katakanlah wahai Muhammad, "Kalau kamu benar cintakan Allah, maka ikutlah aku, nescaya Allah akan cintaikamu" (Ali-Imran : 32)

Sabda Rasulullah S.A.W, "Ambillah dariku, cara menunaikan manasik (haji) kamu". (Sahih-Al-Baihaqi)

Dan Sabda baginda lagi : "Solatlah seperti kamu melihat aku solat". (Sahih-Al-Bukhari)

Kita dilarang mereka-reka ibadat. Sabda Rasulullah S.A.W, " Sesiapa yang mengada-adakan (mereka cipta) dalam urusan kami (agama) sesuatu perkara yang tidak termasuk dalam (agama) maka ianya tertolak (batal). (Sahih : Bukhari dan Muslim)

Kita juga dilarang melakukan ibadat mengikut hawa nafsu tanpa sandaran sumber yang sahih kerana ; "Hukum asal dalam ibadat adalah tawaqquf (terhenti/haram) sehingga ada dalil yang mengharuskannya." (Kaedah Fiqh)

Kata Ibn Qayyim al-Jauziyyah: الأصل في العبادة البطلان حتى يقوم دليل على الأمر

Terjemahannya : Hukum asal sesuatu ibadat itu TERBATAL (tidak diterima) sehingga ada dalil perintah. (I'lam al-Muwaqqi'in, jld. 1, hlm 401). Kaedah ini juga pernah disebut oleh Ibn Hajar dengan lafaz yang berbeza tetapi dengan maksud yang sama

Kita juga dilarang beribadat dengan cara tradisi turun temurun semata-mata. Ianya dicela dalam ayat firman Allah ketika menceritkan perangai ahli nereka yang kufur : Apabila mereka diseru ”Turutlah akan apa yang telah diturunkan oleh Allah”. Mereka menjawab: “Tidak, bahkan kami menurut apa yang kami dapati datuk nenek kami melakukannya”. Patutkah (mereka menurutnya) sekalipun datuk neneknya itu tidak faham sesuatu apa pun tentang perkara-perkara agama, dan tidak pula mendapat petunjuk hidayah. (Al-Baqarah : 170)

Kemampuan akal bukanlah ditugaskan untuk menginovasikan ibadat kerana ibadat telah ditetapkan aturcaranya oleh Rasulullah S.A.W . Bahkan akal seharusnya digunakan untuk menggarap inovasi dalam urusan muamalat dan pembangunan ummat Islam agar menjadi maju, berteknologi, bermaklumat dan bertamadun. 

Sabda Rasulullah S.A.W,  "Kamu lebih mengetahui urusan dunia kamu" : (Sahih - Muslim) Imam An-Nawawi ketika membuat syarah dan komentar telah meletakkan hadith ini dalam bab : 'Wajib mematuhi perintah Rasul dalam bab syariat, bukan apa yang diperintah (berbentuk pandangan) dalam bab urusan dunia.'

Mari kita menoleh kebelakang melihat sejarah zaman para sahabat dan salafus saleh. Mereka beramal ibadat dengan amalan yang telah diijazahkan oleh Rasulullah S.A.W kepada mereka melalui panduan hadis-hadis sahih tanpa sebarang inovasi dan modifikasi terhadap amalan tersebut. Kemampuan akal mereka digunakan untuk meneroka teknologi dan membangun tamadun Islam. Teknologi ketenteran, logistik, pengangkutan, armada laut, teknologi armada udara, semuanya dipelopori oleh tokoh Islam. Lalu, Islam menjadi agung dijulang oleh sepertiga penduduk dunia. Hari ini, kita dapat melihat, negara umat Islam yang sibuk menginovasikan ibadat baharu adalah negara yang sangat mundur dan terkebelakang, dan sebaliknya.

Sesungguhnya, Allah mempermudahkan Islam dan cara beribadat dengan menghantar Rasulullah S.A.W sebagai juru bicara. Firman Allah : "Allah mahu kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak mahu kamu kesukaran." (Al-Baqarah : 185) 

Sabda Rasulullah S.A.W : Sesungguhnya agama (Islam) itu mudah. Tidak akan ada orang yang memberat-beratkan agama melaikan ia akan tewas. (Maka) perbetulkan (aqidah, amal ibadat tanpa melampau-lampau dan melalaikannya) dan perdekatkanlah (manusia kepada agama), dan pohonlah pertolongan (dengan beribadat dan berdoa) pada waktu pagi dan malam".

Wafatnya Rasulullah S.A.W menandakan tamat sempurnalah silibus ibadat. Sesiapa yang menambah ibadat selepas itu adalah sesuatu yang karut dan dianggap menambah dalam hal agama. Mereka (yang menginovasi ibadat) bagaikan beranggapan bahawa cara ibadat yang diajar oleh Rasulullah S.A.W sebelum ini tidak lengkap? Bukankah Rasulullah S.A.W telah menyampaikan kesemua tugasannya dan tidak menyembunyikan sesuatu? Atau mereka menganggap teknik dan tatacara yang diajar Rasulullah S.A.W itu tidak sempurna?
Siapa lebih sempurna dari Rasulullah S.A.W?

Terbuka untuk perbincangan matang tanpa prejudis.

HASANHUSAINI, 
Putra Heights, Subang Jaya.

Tiada ulasan:

Facebook Comments Box: Bloggerized by HASANHUSAINI.COM

Catat Ulasan

Komen Anda Adalah Buah Tangan Terbaik [hasanhusaini]