Khamis, 30 April 2009

Minggu ini dalam sejarah

27- Isnin :
- Tafaqquh bersama Syeikh Muhammad Nuruddin Marbu Marbawi Banjari Al Makki

28- Selasa :
-Kuliah Fiqh Manhaji : Akademi Ar-Rasyidin

29-Rabu :
-Kuliah Tafsir Al Quran : Akademi Ar-Rasyidin.
-Usrah Pemuda Kawasan Indera Mahkota

30-Khamis :
-Ke Kuala Lumpur

1 Mei-Jumaat :
-Bengkel

2-Sabtu :
-Ke IP Bukit Aman. Bayar dua sama trafik.

3-Ahad :
- Ke Darul Quran
-Balik ke Kuantan.
- Mesyuarat Agung PAS Kawasan Indera Mahkota.
-11 Malam, ke Kem Rehlah Pantai Bisikan Bayu di Pasir Puteh sebagai guru pengiring perkhemahan kebangsaan Persatuan Kadet Bersatu Malaysia (LAUT).

*Isnin - Khamis di Kem Rehlah Pasir Putih.

8 - Jumaat :
-Bertolak ke Kuantan
-5.00 pm - Bertolak ke Kuala Lumpur.

Ya Allah, Permudahkan laluan perjuangan ku ini... aku inginkan redha-Mu rabbi...

Ahad, 26 April 2009

Membina Minda Khalifah

Malam ini, saya meluangkan masa selepas menelaah beberapa laman blog untuk menambah thaqafah dan pengetahuan isi semasa untuk menyiapkan tugas penting – menyemak kertas jawapan peperiksaan.

Kertas sejarah tingkatan 4 dan 5.

Kurang 10 keping yang saya semak, satu pemandangan baru terlukis di minda saya tentang landskap sebuah pemahaman yang sebelum ini berterabur.

Tiba-tiba datang satu mesej dari Marwan, usrah Ghuraba’ DQ.

Mesej yang mencantumkan puzzle landskap pemikiran saya dengan lebih lengkap.

Falsafah INQILABIYYAH.

Kemahiran sebenar NEGARAWAN.

Kemahiran untuk meRUNTUHkan dan memBINA semula dengan lebih baik.

Antara dua kemahiran di celah dua minda. Itulah yang membezakan di antara penjajah, pejuang kemerdekaan dan negarawan sejati. Kemahiran meruntuh dan membinanya kembali.

Proses yang cukup penting dalam membina tamadun dan peradaban manusia. Peradaban yang dicanangkan dengan pendekatan yang dibawa oleh Islam.

Kedua-duanya memerlukan daya fikir yang tinggi, pengamatan yang tajam dan intuisi yang cukup ampuh serta jelas berdasarkan kajian dan pengalaman, bukan sekadar tanggapan dan telahan.

Paderi di Eropah meruntuhkan proses pemikiran manusia dengan harapan mereka akan meyakini arahan gereja. Namun paderi tidak mampu membina keyakinan itu. Maka akhirnya Eropah merudum ke zaman gelap.

Penjajah yang datang ke Tanah Melayu, dengan tujuan untuk membina kesedaran bernegara kepada masyarakat semenanjung. Namun mereka miskin cara untuk meruntuhkan minda ‘asobi melayu sehingga mereka akhirnya dihalau keluar.

Pejuang kemerdekaan, dengan semangat juang yang tinggi, menuntut kemerdekaan dengan meruntuhkan sistem pemerintahan penjajah, namun mereka pula miskin cara untuk membina sistem sendiri yang lebih baik. Tambah duka, apabila yang kaya cara diketepikan dan dipadam sejarahnya dari peradaban.

Tunku hebat meruntuhkan kerajaan penjajah, namun fakir untuk membina kerajaan yang lebih baik selepas itu. Dr Burhanuddin dan rakan-rakannya yang kaya cara dibisukan.

Sejarah berdialog membuktikan peristiwa satu persatu.

Negara jiran pernah menjulang satu tokoh, namun akhirnya ditumbangkan semula selepas tidak berjaya membina yang lebih baik selepas itu. Sejarah telah menulis begitu ke atas SUKARNO.

INQILABIYAH

Ciri-ciri khusus islam ini harus dihayati secara realiti melalui pengertian zahiri dan batini. Mengambil pengertian zahiri menjadikan kita penjajah versi baru yang kejam. Mengajak kepada Islam yang bakal dilihat sebagai ‘jumud’ akhirnya.

Marilah kita melihat sejarah pemimpina agung Islam terdahulu.

Nabi Muhammad S.A.W membawa agenda Islam yang sama seperti yang kita pikul sekarang. Rasulullah meruntuhkan jahiliyyah di Jazirah arab dan seterusnya membina satu sistem yang cukup ampuh, hingga islam menguasai 2/3 dunia. Kepimpinan baginda disanjung sehingga ke hari ini. Orientalis barat sendiri mengakuinya. The 100: A Ranking of the Most Influential Persons in History. (Terbitan New York: Carol Publishing Group/Citadel Press) karya Michael H. Hart yang diterbitkan pada 1978 menjadi bukti.




Teringat kata-kat Rub'ii bin ‘Amir kepada King Rustam:

“ kami adalah satu kaum yang diutuskan oleh Allah untuk mengeluarkan sesiapa sahaja yang dikehendakinya dari sistem perhambaan sesama hamba kepada perhambaan kepada tuhan hamba, dari kezaliman keagamaan kepada keluasan Islam, dari kesempitan dunia kepada keluasan dunia dan akhirat…”.

"padahal Allah telah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba". Al- Baqarah : 275.

Jelas sungguh konsep INQILABI yang dicanangkan.

Saidina Umar meruntuhkan kejahilan dan kezaliman di Jerusalem dengan membina keadilan di sana.

Begitulah juga yang dibawa selepasnya oleh Salahuddin Al Ayyubi.

Dan juga Sultan Muhammad Al Fateh apabila membuka kota Kostantinopel.

Mereka meruntuhkan sistem yang buruk dan membina sistem baru yang lebih kondusif dan efektif. Justeru, merekalah negarawan sebenar. Merekalah KHALIFAH ALLAH di muka bumi.

MALAYSIA KINI

Keretakan pemerintahan negara disambut hebat oleh parti oposisi yang bertanding. Bergembira dengan kebobrokan yang berlaku dalam parti lawan yang menjadi petanda bahawa agenda perjuangan untuk meruntuhkan sistem dan isme yang jauh dari islam itu hampir berjaya.

Sekularis dan nasionalis bakal berkubur.

Cuma persoalannya, konsep inqilabi yang kita canangkan ini bertepatankah dengan yang sebenarnya untuk menyempurnakan tuntutan ciri sebenar ISLAM itu. Islam itu datang bukan hanya untuk meruntuhkan yang buruk, tapi juga untuk membina yang lebih baik.

Meruntuhkan sekularis sudah hampir berjaya. Namun, berjayakah kita untuk membina ISLAMIS yang sebenarnya selepas ini.

Moga tiada Turabi di Malizi.

Jangan pula selepas kita meruntuhkan ‘asobiyah, timbul pula neo-‘asobiyah, selepas meruntuhkan jahiliyah, timbul pula neo-jahiliyah.

Oleh itu, persediaan untuk membina selepas meruntuhkan perlu dipersiapkan dari sekarang. Para pemuda perlu berminda negarawan. Minda Khalifah. Minda manusia mukallaf.

"Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi." . Al-Baqarah : 30


Pasca Kemenangan

Jangan pula terlalu gembira dengan runtuhnya musuh, kita leka dari mengisi makna sebenar sebuah nikmat kemenangan kurniaan tuhan. Bimbang nanti, peristiwa Uhud berulang tayang.

Janji Allah pasti tiba untuk mengurniakan pemerintahan bumi ini kepada mereka yang SOLEH. Namun, bersediakah si soleh dengan minda KHALIFAH untuk memerintah.

Membina minda Negarawan. Membina minda Khalifah. Misi pemuda menjunjung Ummah.

Sabtu, 25 April 2009

Kuliah kepada Ibu





“Ust, nak minta tolong ust gantikan ana untuk bagi kuliah kepada muslimat petang Jumaat nanti boleh..?”, tanya Ustazah Zu yang merupakan Ketua Muslimat Indera Mahkota.

Segunung harapan yang diluahkan dari permohonan yang sebenarnya saya tafsirkan sebagai cabaran itu cukup-cukup mengejutkan.

Satu cabaran baru. Kuliah untuk ibu-ibu. Dan saya menyahutnya.

Bagaimana seorang remaja muda yang masih mentah seperti saya ingin mengumpil dinding rumahtangga, menyelongkar the real problem untuk saya utarakan dalam kuliah tersebut.

Moga nanti, kalimah yang terkeluar dari bibir saya bukanlah ayat-ayat awangan yang tidak berpijak di bumi nyata, sebaliknya untaian kalimah yang menyentuh hati ibu-ibu yang bakal saya hadapi dengan ‘isu-isu’ yang cukup dekat. Akan saya usap hati-hati itu, melalui tiupan kalimah warisan Rasulullah, untaian ayat Allah.

Justeru, ayat mana yang paling dekat?

Cuba menyelidiki. Bertanya pada Ustzah Zu. Katanya hanya diuli dengan fardhu ain sudah memadai. Kitab Nasihat Agama dan Wasiat Iman yang menjadi pilihannya.

Tanya pada umi, jelaskan isu-isu semasa yang masih samar. Nga Kor Meng masyhur di situ.

Akhirnya keputusan saya ketemui. Hasil dari pengamatan dan pengkajian, bukan fikrah yang menjadi keutamaan, bukan isu yang menjadi agenda. Namun, proses pembetulan cara berfikir dan membuat keputusan yang menjadi permasalahan. Dicission making.

Pengalaman saya di'tua'kan suatu ketika dahulu. Bagaimana minda saya pada waktu itu 'menarik' perhatian ibu dengan melakukan sedikit kesalahan. Menutupnya balik dengan menangis bersama itik peliharaan. Pengalaman itu cukup baik untuk saya kongsikan bersama ibu-ibu pada hari ini.

Mengajar ibu bagaimana untuk membaca fikiran seorang anak yang sudah pandai bercakap, setelah bahasi bisu sewaktu anak itu kecil telah berjaya difahami.

Saya cuba untuk mengajar para ibu yang hadir untuk 'memancing', agar saya tidak perlu acap di sini untuk memberi ikan.

Sampingannya, statistik penceraian yang melambung tinggi juga menjadi keutamaan saya. Borang cerai di Pejabat Agama laris bagaikan pisang gorang panas.

Pengalaman saya bersama Us Zulkhairi, pegawai kanan JAIS Hulu Selangor sewaktu mencari bahan untuk menyiapkan tesis Diploma DQ betul-betul membuka mata.

Justeru, Falsafah Kelambu di‘posting’kan pula dalam bentuk bicara. Intitusi rumah tangga harus dibaiki untuk menjamin kebaikan produk akan datang.

Saya cuba untuk menyahut sarana ketua pemuda, “berfikir seperti negarawan”. Lalu tema saya, “membina generasi akan datang dengan meperbaiki generasi sekarang”.

Kuliah bermula.

Sedutan hadith dan ayat-ayat Al-Quran saya petik silih berganti. Kadang-kadang diselit dengan statistik jenayah untuk menyedarkan ibu-ibu yang kebanyakannya tidur dapur dan terlena di ampaian. Hanya terjaga bila ada HI TEA dan berbeqeu daging mayat.

Nada kuliah sejati terbit dengan bahasa original saya. Loghat Kelantan.

Kuliah berakhir. Bertolak pulang ke rumah.

“ Ihsan, tadi ada tiga empat orang telefon umi, tanya ayat…yang minta bagi kuliah pulak pon ada…”, Umi memulakan bicara saat nasi terhidang di meja. Makan malam.

Alhamdulillah. Semoga usaha kerdilku memberi manfaat. Namun saya harus sedar, penceramah yang baik bukan melahirkan ramai pendengar tetapi melahirkan ramai penceramah.

Pemimpin yang baik bukan yang melahirkan ramai pengikut bahkan menghasilkan ramai pemimpin yang hebat sepertinya.

Jumaat, 24 April 2009

Selamat Tinggal LUMIX



Selamat tinggal LUMIX. Kamera Digital semi pro pertama saya yang sanagt disayangi kini bertukar milik.

Dijual.

Banyak sungguh kenangan bersamanya. Namun, kesuntukan dan kemelesetan tika ini mendesak supaya ianya ditukar dengan wang ringgit.

Seorang sahabat memberi respon, “nta jual kamera tu…sayangnya..”.

Ya.Sayang seribu kali sayang.

Akhir Ogos atau awal September bakal terbang ke seberang laut.

Ke luar negara tanpa kemera bagaikan bermusafir dengan menutup mata. Sehala kenangan bakal menjadi 'kenangan' tanpa nyawa. Kenangan yang bisu, pekak dan tuli.

Mengukir kenangan diatas sekeping gambar, bagaikan menulis kenangan sebanyak sepuluh jilid THESIS diploma DQ.

Setahun yang lalu, saya juga telah menjual laptop kesayangan. Kini kamera kesayangan.

Kenapa tak jual Canon 1000D tu…? Satu persoalan dilontarkan oleh teman-teman.

Siapa yang tahu jawapannya…?

Rabu, 22 April 2009

Falsafah Kelambu

“ Kalau Ustaz nak tau, di sekolah saya teruk, ada banyak geng..ada geng pengetua, geng gpk, hui, kalut jadinya…tapi saya tak sokong mana-mana geng” seorang guru cuba berkongsi cerita dengan saya.

Saya selaku orang baru cukup menggeletar bila dikhabarkan dengn berita-berita sedemikian.

“ Orang rumah saya ni memang malas dalam bab masak memasak, sebab tu bila you datang, saya ajak makan kat kedai je, senang..tak perlu tengok muka prootes bila minta masakkan makanan”.

“ aku dah tak tau nak cakap macam mana lagi dengan bini aku tu..tak larat lagi dah..bila ditegur, membebel” seorang suami berkongsi masalah kelambunya kepada mantan teman sekelambunya ketika di asrama sekolah menengah.

" إن من شر الناس عند الله منزلة يوم القيامة الرجل يفضي إلى امرأته وتفضي إليه ثم ينشر سرها "

Falsafah Kelambu

Dalam hadis di atas, Rasulullah mengatakan bahawa, orang mendedahkan cerita aib pasangan masing-masing akan berada pada martabat yang paling bawah, paling hina.

Mungkin dialog yang saya paparkan di atas tidak satu pun sampai ke tahap yang telah disebut dalam hadith ini, namun falsafahnya adalah sama.

Kerahsian sebuah perkongsian dalam organisasi tidak perlu didedahkan kepada orang yang tidak sepatutnya.

Saya yang baru seminggu di dunia baru pendidik, cukup gerun dan tidak selesa bila didedahkan dengan masalah dalam kelambu yang berlaku dalam organisasi pengurusan dan pentadbiran sekolah.

Begitu juga yang berlaku dalam institusi rumah tangga, bila si suami menasihati isterinya di kedai-kedai kopi ketika lunch bersama rakan sekerjanya. Tidak ketinggalan si isteri yang cuba berkongsi teknik menawan suami di majlis gotong-royong kanduri. Dapur tersebut bakal menjadi medan talk yang mempunyai seribu channel untuk didengari. ( dibaca, loya untuk didengari)

Untuk lebih dekat di hati, saya ingin membawa situasi dan iktibar yang baik ini dalam dunia yang sebaya dengan saya, dunia oraganisasi dan dunia persatuan. Meski masih banyak contoh dalam organisasi lain yang lebih besar.

“ Ana kalau di kolej sendiri, malas la nak terlibat,serabut dengan muslimat, asyik bising dengan benda-benda yang remeh”, seorang penggerak tarbiah kampus berkongsi pengalaman dengan rakan tarbiahnya dari kampus lain.

“Rais ana tu teruk la, semua benda yang ana buat tak kena. Asyik kena marah je kalau dalam meeting. Tension jadinya, pandangan kami ni, hanya tak dijelingnya walau sebelah mata..”, seorang lagi berkongsi dengan kawan rapatnya.

Budaya tembak curi dan jerangkap samar sangat biasa didengari dalam dunia organisasi sama ada di kolej, mahupun universiti.

Saya mempunyai ramai kenalan di beberapa universiti utama, dan dialog seumpama ini senantiasa didengari dan cukup menyakitkan telinga. Tidak ada lagi semangat tafahum. Apatah lagi semangat takaful dan ithar yang begitu agung.

Jangan bangga menjadi produk tarbiah andai jiwa murabbi masih kontang dalam jiwa.

Bila ditanya kepada yang terlibat, adakah si fulan ini pernah bersemuka atau menegur secara telus dan terus, seolah-olah pasti akan dijawab TIDAK.

“ Nta pernah tegur secara langsung dengan muslimat tu..? Itu persoalan biasa yang akan saya ajukan bila diluahkan tentang ‘masalah’ tersebut. Sinonimnya, gelengan kepala menjadi jawapan pada perseoalan begitu.

Sikap berlapang dada dan nilai profesional tandus dalam jiwa mereka.

Salah ibu mengandung atau salah sendiri yang keras hati.

Al Imam Al Syahid Hasan Al Banna pernah menyebut tentang martabat ukhuwah, dan yang paling bawahnya adalah, salaamatu sadri. Berlapang dada.

Tidak menegur secara terus disamping ‘menegur’ secara ‘ikhlas’ disebalik tabir menjadi bukti kukuh, suu’ zhon telah bersarang dan salaamatu sadri telah hilang disorok di sebalik permaidani egoistik yang luas terbentang. Lalu buah yang timbul dari benih suu’zhon adalah hidangan daging mayat mentah yang cukup enak dimakan beramai-ramai atau berpasang-pasangan.

12. Hai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan purba-sangka (kecurigaan), karena sebagian dari purba-sangka itu dosa. Dan janganlah mencari-cari keburukan orang dan janganlah menggunjingkan satu sama lain. Adakah seorang diantara kamu yang suka memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang.

Sesungguhnya amaran Allah itu cukup menakutkan hati yang senantiasa menukarkan gantinama ayat ayat Al Quran menjadi ‘kamu’.

اقرؤوا القرآن وابكوا فإن لم تبكوا فتباكوا


Setelah 23 tahun hidup di dunia, barulah saya mempu untuk menulis sebegini. Menulis selepas tadabbur yang menjemput linangan air mata. Namun masih tidak sehebat Umar yang pipinya beralur hitam. Dek kerana air mata.

Selasa, 14 April 2009

Cerita Tabung Ibu


Mengira syiling dari Tabung Ibu selepas esakan reda


Seminggu yang lepas, saya meminta izin untuk membawa kereta Datsun 120Y pusaka berwarna putih itu untuk ke Kuantan, tapi ibu berkeras juga mahu saya menggunakan kereta baru, Saga.

Minggu ini, saya meminjam seratus dari ibu untuk membeli alat pembantu kanta mata saya, a.k.a cermin mata. Dalam keadaan kemarau panjang, ibu menghulurkan kad gironya.

Semalam, saya memeriksa borang SSLN dan borang permohonan Jordan. Mengisi dan menyemak dokumen. Ke semuanya lengkap.

Kecuali...

Bank draf sebanyak USD 40.

Perancangan minggu lepas untuk meminjam duit dari adik perempuan saya hangus apabila duitnya dicuri tempoh hari. Duit yang dikumpula hasil jualan Muffin di sekolah habis lesap.

Untuk meminta dari ibu, sesuatu yang mustahil pada musim kemarau begini. Kalaupun tidak mustahil, saya cukup tidak sampai hati.

Jalan terakhir, saya menaip sms kepada seorang sahabat dengan hasrat untuk meminjam duit.

Hampa.

Beliau juga kekeringan dan hanya tinggal Allah dan Rasul, bak kata Abu Bakar.

Akhirnya saya tertidur selepas mengisi 7 borang setebal 20 muka surat.

Pagi ini, 14 April, ibu memanggil dari dalam biliknya. Jarang situasi ini berlaku. Saya jarang menjenguk bilik ibu semenjak ber-ayah 3 tahun lepas. Menghormati sebuah privacy.

Masuk.

Ibu menghulurkan kotak kain pelekat bejenama Atlas berwarna hitam. Saya menyambut.

Berat.

" tu, duit syiling yang ma simpan, pergi tukar di kedai Abg Azhar la untuk bayar draf bank awak tu..." ulas ibu sambil diperhatikan ayah.

Air mata saya tetiba mengalir.

Dan kini kembali mengalir saat saya sedang menulis cerita pagi tadi di cybe cafe..

Saya tidak dapat untuk meneruskan coretan. Ada mata tertumpu kepada saya...

Publish Post, bayar dan keluar dari ALC.

Terima Kasih ibu..jasamu takkan terbalas.

Ringkaskan Waktu Untuk Peribadimu

Selepas membuat panggilan kepada ibu, saya nekad untuk balik ke kampung. Meski zahirnya mengatakan,

" tak payah balik la, esok kan mengajar...".

Namun, saya amat mengetahui suara batin ibu yang nyaring memanggila anak lelaki tunggalnya pulang.

Selesai mengemaskan kepala Ustaz Syaukani, saya segera bersiap, solat maghrib dan meminta izin untuk berundur.

Umi dan aboh terpinga-pinga, namun sempat berpesan agar berhati-hati.

" Jangan laju sangat bawa kereta tu, hati-hati, " begitu pesan mereka.

Ithar adik usrah saya menguatkan dirinya untuk menginfaqkan not terakhirnya ke dalam poket baju melayu saya. Terima Kasih, Uhibbuka fillah.

Pukul 8 malam, saya bertolak dengan selamat melalui Kemaman - Dungun - Marang- Kuala Terengganu. Kelam malam ditambah dengan memandu berseorangan menyebabkan saya tidak menggunakan jalan Kuala Berang meskipun jimat hampir 60KM.

Perjalanan sendirian memenatkan. Nasib baik, pemain cd Clarion itu berkhidmat cemerlang memutarkan lagu dari cd-cd nasyid dan Ikim.

Penunjuk aras petrol berkelip-klip memberi makna bahawa perut Saga saya sudah berkeroncong.

Teringat begitu, perut pemandunya juga bercakap. Kruuup. Panjang. Santapan terakhir pukul 3 petang usai Muktamar.

Sambil mengisi petrol, saya membeli seketul roti, sebotol air mineral. Perancangan awal untuk berhenti makan di perhentian R&R terpaksa dibatalkan lantaran misi yang jelas di hadapan saya untuk pulang secepat mungkin menguatkan semangat ibu.

Waktu peribadi saya terpaksa diringkaskan lantaran misi yang jelas di hadapan.

Misi yang jelas itu juga telah menjadikan mata saya begitu segar untuk meneruskan pemanduan. Melupakan alahan terhadap silau, melupakan rabun malam, melupakan sepi sendirian bermusafir.

Misi yang jelas itu menggagahkan saya.

Ayyuhal Ikhwah wa akhawat, jelaskah misi kita sehingga kita masih sejuk saat ini?

Jelaskan misi kita, sehingga kita masih beremosi saat ini..?

Jelaskah misi kita sehingga kita masih mementingkan diri saat ini..?

Jelaskah misi kita sehingga masih sanggup meriba tangan saat jemaah sedang diserang...?

Jelaskah misi kita sehingga masih sempat memilih cd movie saat ini...?

Jelaskan misi mu, nescaya ringkaslah urusan peribadimu..

Isnin, 13 April 2009

Selangkah Ke Alam Realiti


Bersama Akhwan Affendi


Selama ini saya hanya berteori di dunia kampus.

Berhadapan dengan mad'u yang cukup soleh untuk didakwah. Berhadapan dengan masalah yang cukup senang untuk diselesaikan. Berhadapan dengan gangguan yang berupa gurauan dan celoteh dari teman-teman. Mehnah dan tribulasi tika itu hanya sebagai seperti membuang sisa makanan di celahan gigi. Semudah itu.

Dunia perjuangan kala itu dirasakan sehebat insan.

Sedangkan duit mencurah saban bulan.

Sedangkan jauh dari kehidupan alam realiti, kehidupan sebenar insan.

Segalanya teori dan fantasi. Pun begitu, ianya cukup bagus untuk menjadi simulasi sebuah perjalanan dakwah.

Kini, selangkah kaki saya berada di alam realiti.

Bergelumang bersama masyarakat pendidik untuk membentuk generasi pemimpin masa akan datang. Pelbagai kerenah perlu dihadapi dengan hati seorang murabbi. Hati yang betul-betul lunak untuk membentuk, bukan membentak!

Terlibat juga secara langsung bersama Pemuda Kawasan Indera Mahkota. Terlibat secara langsung dengan usrah-usrah kawasan dan cawangan. Bahkan dilibatkan juga dalam Mesyuarat Agung Tahunan.
Mesyuarat Agung Tahunan

Tarikh keramat itu dimaklumkan oleh Ketua Muslimat yang menjadi ibu sementara saya. Arahan untuk menghadiri mesyuarat itu saya terima dengan anggapan hanya hadir sebagai pemerhati.

Persepsi awal berubah pada hari kejadian, nama kami tersenarai sebagai perwakilan.

Peluang yang ada saya pergunakan sepenuhnya. Mengubat debaran di dada dengan kata-kata motivasi dari HP Nokia 6233.

Saya cuba memehami keadaan dan latarbelakang sebelum memberi pandangan. Bertanya kepada yang berpengalaman adalah jalan terbaik.

Saya tidak mahu menjadi pengkritik hebat tanpa merasai jiwa jurulatih yang hebat. Setiap teguran mesti disertakan saranan yang diikuti tindakan!

Akhirnya beberapa kesimpulan berjaya saya buat.

Berdiri di hadapan pembesar suara, saya menjadi tarikan ramai. Banyak mata tertumpu. kepada pmuda asing berbaju kuning.

Saya melontarkan beberapa cadangan, idea dan tidak dilupakan teguran. Asas yang saya ambil, keputusan Muktamar DPPP di Perak, dan ucapan dasar Ketua DPPP, The Future Leader.

Pemerkasaan tarbiyah melalui pendekatan baru dengan jiwa negarawan perlu diusahakan. Ahli Pas perlu bersedia dengan kekuatan yang mencukupi untuk mengambil alih pemerintahan negara.

Usrah perlu diperkasa, budaya K-politic perlu diterapkan, Brainstorm menjadi ruji, tidak ada istilah sokong kerana semangat, bahkan dengan kajian dan hujah dan PENDEKATAN ATAU TINDAKAN ORANG TERDAHULU BUKAN SATU PERKARA WAJIB YANG KITA HARUS LAKUKAN.

Tranformasi perlu dilakukan, seiring dengan perubahan geo politik yang berlaku sekarang.

" Takbir!!" " Allahuakbar"

Laungan itu menggegarkan dewan usai saya memberi pandangan.

Syaukani juga menjadi tumpuan bila memberi ucapan dengan gelaran adik beradik lantaran ada yang mengatakan wajah kami seiras!!

Muktamar berakhir tepat jam 2.30 petang. Barisan baru anak muda yang penuh dengan idealisme baru diyakini bakal membawa gelombang baru tarbiah generasi muda di sini. Us Syukri yang berpengalam, Us Yusri yang merupakan Timbalan Presiden Gamis pada zaman Us Zaharudin begitu disanjungi, dan beberapa muka muda yang lain.

Usai muktamar, dua orang budak berbaju kuning dikerumuni lantaran belum pernah dilihat sebelum ini. Semuanya teramat bergembira bila mengetahui bahawa kami adalah anak kelahiran KAMPUS yang berjaya turun berkhidmat di kawasan.

Namun akhirnya kecewa bila mengetahui bahawa kami tidak akan lama di situ, dan saya bukan berasal dari Kuantan.

" Johari, orang macam ni kita perlukan. Jadi, nta kena cari rumah untuk ustaz-ustaz kita ni, cari rumah yang ada orang rumah sekali..." Pengerusi Tetap itu serius berseloroh dan disambut deraian ketawa para perwakilan yang lain.

Saya tersipu malu. YDP Indera Mahkota hanya tersenyum bersahaja.

Selangkah ke ALAM REALTI.

Sungguh mendebarkan diri dengan pelbagai mehnah tribulasi yang kini bukan lagi simulasi. Inilah dunia tarbawi, dunia siyasi dan dunia jama'i.

Persiapan harus mantap, diri dan jiwa harus kental.

Ayuh sahabat ku, dunia di luar sedang menunggu.

Balik Kampung Sekejap

Tadi, sedang memotong rambut Syaukani, saya dapat mesej dari ibu dan adik.

Rumah saya dinaiki pencuri. 7.00pm

7.20 pm, saya bertolak balik.

1.10 pm, saya sedang mengupdate blog dihadapan Balai Polis Nilam Puri selepas membuat laporan polis tentang kejadian musibah petang tadi.

Mohon sahabat mendoakan ketabahan untuk kami sekeluarga menempuh dugaan ini.

Sabtu, 11 April 2009

Silakan Komen



Baru-baru ni, saya mendapat komen dari sahabat-sahabat bahawa blog saya tidak dapat dipostkan komen untuk artikel yang saya tulis.

Justeru, saya mengambil serius dan ctelah menyelesaikan problem tersebut.

Dipersilakan para pembaca dan sahabat-sahabat sekalian untuk meninggalkan komen terbaik anda semua. Semoga ianya bakal menjadi pencetus motivasi untuk saya pertingkatkan lagi mutu Hasanhusaini.com.

Dakwah dan hikmah. Insyaallah.

Jumaat, 10 April 2009

Kabinet Baru Malaysia

Berikut Senarai Menteri Kabinet Baru Yang Menjadi Pilihan Perdana Menteri.

Selaku rakyat Malaysia dan merupakan warga pendidik, saya dengan penuh hormat mengaku tidak bersetuju dengan barisan Kabinet ini.

Saya juga mengambil kesempatan untuk berpesan kepada Dato' Jamil Khir supaya tidak berubah haluan perjuangan meski selepas bergelar Menteri. Jangan pula bila ada isu yang dimainkan, Dato' meletakkan Islam di bawah tapak kaki, hanya kerana gaji, atau kerana kroni dan kerusi Menteri.



Perdana menteri -
Datuk Seri Najib Razak
Timbalan perdana menteri - Tan Sri Muhyiddin Yassin

Menteri di Jabatan Perdana Menteri
Tan Sri Dr Koh Tsu Koon - perpaduan & pengurusan prestasi
Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz - perundangan dan Parlimen
Tan Sri Nor Mohamed Yakcop - Unit Perancang Ekonomi
Mej-Jen (B) Datuk Jamil Khir Baharom - hal ehwal Islam

Timbalan-timbalan menteri:
Datuk Liew Vui Keong
Datuk Dr Mashitah Ibrahim
Datuk SK Devamany
Ahmad MaslanT Murugiah

Menteri kewangan IDatuk Seri Najib Razak
Menteri kewangan IIDatuk Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah
timbalan Datuk Chor Chee Heung, Datuk Dr Awang Adek Hussin

Menteri pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin
timbalan Datuk Dr Wee Ka Siong dan Dr Mohd Puad Zarkashi

Menteri pengangkutan Datuk Ong Tee Keat
timbalan Datuk Abdul Rahim Bakri dan Datuk Robert Lau Hoi Chew

Menteri perusahaan, perladangan dan komoditi
Tan Sri Bernard Dompok
timbalan Datuk Hamzah Zainudin

Menteri dalam negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein
timbalan Datuk Wira Abu Seman Yusop dan Jelaing Mersat

Menteri penerangan, komunikasi, kesenian dan kebudayaan
Datuk Seri Dr Rais Yatim
timbalan Datuk Joseph Salang Gandum dan Senator Heng Seai Kie

Menteri tenaga, teknologi hijau dan air
Datuk Peter Chin Fah Kui
timbalan Noriah Kasnon

Menteri kemajuan luar bandar dan wilayah Datuk Seri Shafie Apdal
timbalan Datuk Hassan Malek dan Datuk Joseph Entulu Belaun

Menteri pengajian tinggi Datuk Seri Mohd Khaled Nordin
timbalan Datuk Dr Hou Kok Chung dan Datuk Saifuddin Abdullah

Menteri perdagangan antarabangsa dan industri Datuk Mustapa Mohamed
timbalan Datuk Mukhriz Mahathir dan Datuk Jacob Dungau Sagan

Menteri sains, teknologi dan inovasi Datuk Dr Maximus Ongkili
timbalan Fadillah Yusof

Menteri sumber asli dan alam sekitar Datuk Douglas Uggah Embas
timbalan Tan Sri Joseph Kurup

Menteri pelancongan Datuk Ng Yen Yen
timbalan Datuk Seri Sulaiman Abdul Rahman Abdul Taib

Menteri pertanian dan industri asas industri Datuk Noh Omar
timbalan Datuk Johari Baharum dan Datuk Rohani Abdul Karim

Menteri pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi
timbalan Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad

Menteri kerja raya Datuk Shaziman Abu Mansor
timbalan Datuk Yong Khoon Seng

Menteri kesihatan Datuk Liow Tiong Lai
Datuk Rosnah Rashid Shirlin (timbalan)

Menteri belia dan sukan Datuk Ahmad Shabery Cheek
timbalan Datuk Razali Ibrahim (timbalan)Wee Jeck Seng (timbalan)

Menteri sumber manusia Datuk Dr S Subramaniam
timbalan Datuk Maznah Mazlan

Perdagangan dalam negeri dan hal-ehwal pengguna Datuk Ismail Sabri Yaakob
timbalan Datuk Tan Lian Hoe

Menteri perumahan dan kerajaan tempatan Datuk Kong Cho Ha
timbalan Datuk Lajim Ukin

Menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat Datuk Seri Sharizat Jalil timbalan Datin Paduka Chew Mei Fun

Menteri luar Datuk Anifah Aman
timbalan A Kohilan Pillay dan Datuk Lee Chee Leong


Menteri wilayah persekutuanDatuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin
timbalan Datuk M Saravanan

Pelbagai spekulasi yang timbul dari pelantikan menteri-menteri tersebut.

Kenapa Khairy yang mengalahkan Mukhriz tersingkir sedangkan Mukhriz yang kalah terpilih, begitu juga timbalan beliau, Razali Ibrahim.

TPM pula hanya memegang Kementerian Pelajaran memecahkan tradisi sebelum ini yang mencatatkan TPM akan memegang kerusi kanan yang terpenting seperti Ekonomi dan Pertahanan.

Sebaliknya kerusi-kerusi tersebut dipegang oleh Hishamudin yang merupakan sepupu PM dan Zahid Hamidi, bekas Setiausahanya.

Terlampau ramai wakil dari Borneo.

Dan terlalu banyak lagi persoalan yang masih terbuku...

Ya Allah, selamatkan negara ku dari pemimpin yang MAHU jawatan.

Khamis, 9 April 2009

Tamrin Untuk Sek Teknik Kuantan

Mencari wasilah di bumi asing bukan semudah yang disangkakan.

Proses tarbiyah yang dirangka mustahil untuk dilaksana tanpa platform yang kukuh. Birokrasi cukup kukuh untuk dirobek. Saya tercari-cari peluang yang dijanjikan sebelum saya melangkah kaki ke sini.

Ketua Warden bukanlah kabel konduktor yang baik untuk saya salurkan tarbiyah melaluinya. Pembantu Warden pula hanya mampu solat berjemaah bersama isteri-isteri baru mereka. Ustaz tunggal di sini hanya menjadikan pekerjaan sebagai Aqidah perjuangan.

Justeru, saya kehilangan punca.

Sehinggalah tengah hari ini.

Perbincangan secara tidak langsung tentang pergerakan Unit Bina Insan telah memberi nafas baru untuk saya menghidupkan biah dakwah di bumi teknik ini.

Program terdekat bakal menyusul untuk penghuni asrama dengan nama 'Tamrin Asasi' yang tertulis di planner di tangan saya.

Terkejut beruk saya dibuatnya. Syaukani memandang penuh ke arah saya.

" Tamrin..?" serentak kami memberi respon terkejut.

" Kenapa Ustaz..? Ada masalah ke..?" Tanya ketua Bidang yang bertanggungjawab mengimport kami ke sini.

" Tak apa, cuma saya terkejut dengan nama program ni..biasanya orang kerajaan takut dengan istilah-istilah begini..terutamanya tamrin dan usrah", saya cuba menjelaskan keaadan kami.

PERANCANGAN

Untuk meralisasikan peluang yang ada dengan melestarikan impian, kami harus bersedia secukupnya.

Hujung minggu ini, peluang yang ada bakal digunakan semaksimum yang mungkin.

Membina kader dakwah bukan semudah melakar dan mendirikan KLCC.

Kader-kader dakwah ini bakal menjadi mercu tanda dunia, bahawa tarbiyah tidak mustahil untuk bertapak di bumi teknik yang unik ini.

Wahai penghuni asrama SMTK, tamrin menanti mu...

Nantikan Tamrin pertama 24 April ini..

Rabu, 8 April 2009

Cina Baca Quran, Melayu Baca Quran


Hakim Tilawah, bersama Cikgu Subri

Hari ini, 7 April, saya dipilih unutk menjadi hakim bagi Majlis Tilawah Al Quran Peringkat Daerah Kuantan.

Berpagi saya ke Sek Men Bukit Rangin.

Menumpang kereta Toyota Us Ghazali.

Tiba di Sek Bukit Rangin. Terima taklimat dari Us Syamsul selaku pengerusi Jemaah Hakim.

Sambil menunggu peserta, para hakim rancak berbincang. Saya selaku hakim termuda hanya tersenyum, tanpa menjampuk isi perbualan mereka.

Tajuk hangat, Cina baca Quran.

Pelbagai cadangan, pandangan dan kritikan saya dengari. Masam manis saya sorokkan di sebalik songkok besar saya. Banyak pandangan yang mengecewakan hati saya kerana ianya keluar dari mulut para murabbi yang mengajar pendidikan Islam.

Senyap saya akhirnya menjadi perhatian.

Lantas, seorang Us yang juga sesenyap saya menarik perhatian rakannya untuk cuba bertanya 'Ahli Quran' setelah mengetahui bahawa saya adalah produk DQ.

" ha, apa pandangan Ustaz.." tanya salah seorangnya. Matanya yang cekung sebelah cuba disorok di sebalik kaca mata gelap.

" ehem, saya tak tahu sangat, cuma, saya pelik je, kenapa kita marah sangat kalau cina baca quran..?" saya cuba mencari punca kusut untuk dileraikan.

"Ya lah, dia tu kafir, kalau nak sangat percaya kepada Al Quran, masuk Islam la..jangan pulak, bila ayat itu ada kaitan dengan politik, maka dia ambil untuk dijadikan modal, tapi ayat lain tentang ibadat, kenapa tak nak ambil.." Jawab seorang lagi dengan nada yang cukup emosi.

Tebal betul 'Amanu'nya.

" Kalau pasal separuh-separuh yang menjadi isu, saya tak sedih dengan cina yang ambil separuh-separuh, kerana orang islam sendiri pon ramai yang ambil separuh-separuh. Tuntutan untuk beramal dengan keseluruhan Al Quran itu ditujukan kepada orang beriman, bukan orang kafir. Kerajaan kita yang mengaku beriman, ketua-ketua kita yang mengaku beriman, kenapa hanya ambil dan amalkan ayat-ayat yang berkaitan dengan ibadat sahaja? Kenapa tidak diambil sekali ayat tentang hukum syariat..? Contohnya, ayat puasa dan ayat qisas yang datang dengan struktur bahasa arab yang sama, kenapa pemimpin kita boleh amalkan yang puasa, dan tinggalkan yang berkaitan dengan Qisas...? Bukankah kita ni sama dengan cina tu..?" Saya mengulas panjang selepas mendapat ilham.

Entah emosi entah tidak. Tetapi ayat saya masih tersusun untuk difahami.

Ustaz yang senyap tadi mengiya panjang. Begitu juga seorang cikgu Matematik yang berasal dari Kedah.

" Haa, betul kata Ustaz kita tu.." sahut keduanya seolah diastukan dalam fikrah yang sama.

" Tuan- tuan dan puan-puan,Majlis Tilawah akan bermula sekejap lagi..." umum pengerusi majlis yang emnyebabkan perbincangan kami terhenti.

Usai majlis, Cikgu tersebut mengajak saya minum di Kantin Sekolah.

Sepanjang perbualan, beliau tak habis-habis memuji keberanian saya bersuara dihadapan orang kuat 'amanu' tadi.

" Saya tak kenal dia cikgu, tu sebab saya berani..." Ungkap saya sambil menghirup teh limau.

Bagaimana saya akan berhadapan dengan mereka yang alaim , tapi membisu, manakala yang jahil tapi berani berhujah. Moga diperkuatkan kaki ini di jalan ke Syurga yang penuh liku dan onak duri ini.

Sejarah Cikgu Sejarah

Hari pertama di Sek Teknik Kuantan. Saya dan Syaukani hanya menginap di Dorm kosong dengan 20 katil.

Boleh digilir setiap hari untuk sebulan.

Sambil menunggu ketua warden, saya berbual dengan seorang guru yang juga warden di situ.

“ Saya rasa perlu berterus terang dengan ustaz,budak- budak kat sini nakal sikit ustaz” cikgu tersebut memberi taklimat kepada kami selaku warden baru di situ.

Panggilan ustaz agak janggal bagi saya yang bakal mengajar sejarah.

Saya hanya mengangguk sambil menduga, apa kesimpulan dari taklimat petang itu.

“ Jadi, ustaz jangan bagi muka sangat kat diorang tu, nanti naik kepala, susah, tambah pulak, ustaz berdua ni guru baru dan muda lagi, mesti dorang demand punya..” amalan tradisi itu ingin diperturunkan kepada kami.

Saya tersenyum lagi sambil mengangguk.

Dalam hati, saya telah menanam tekad, bukan semua yang akan saya pakai, dan tidak semua yang bakal saya buang.

Memekakkan telinga dari nasihat orang yang berpengalaman adalah satu perbuatan yang bodoh.

Tapi, menurut segalanya amalan tradisi tanpa kaji adalah seratus kali lebih bodoh.

Saydina Ali R.A pernah berkata,

“ Didiklah anak-anak kamu mengikut zaman mereka”.

Zaman saya cukup berbeza dengan zaman anak didik saya sekarang, apatah lagi jika ingin dibandingkan dengan zaman si cikgu tadi.

Saya tidak akan menawarkan kekerasan atau kelembutan dalam mendidik. Namun keduanya pasti akan terkandung di dalam pakej hikmah yang bakal saya bawa.

HIKMAH

Subuh pada hari pertama tidak sampai 2 saf. Sepatutnya lebih tujuh saff.

Hari kedua lebih azab.

Berbeza dengan solat Maghrib dan Isyak. Penuh sesak surau kayu itu.

Saya mengorek, apakah masalah sebenar ?

The real problem, not the present problem.

Memberi ikan cukup meletihkan berbanding memberi pancing.

Lalu saya mencuba formula baru yang belum pernah dibawa ke dalam surau tersebut.

Tazkirah Maghrib saya bermula.

Kisah Yahudi dan Israel menjadi keutamaan untuk menarik perhatian. Para jemaah muda dari Ting 4 dan 5 itu saya biarkan bertaburan.

Mereka akan memberi perhatian bukan diberi PERHATIAN.

Perhatian timbul dari sikap prihatin si pemberi.

Mereka yang pada awalnya bising kini hening.

“ siapa yang sayang Israel, angkat tangan..” saya cuba menimbulkan provokasi.

Semuanya senyap.

“ Ok, siapa yang benci Israel..? Israel yang telah membunuh rakan kita di Palestin, yang telah menceroboh Palestin, kalau benci Israel, angkat tangan.” Saya cuba untuk menyuntik semangat.

“ Saya…!” hampir serentak, semua jemaah suaru itu menyahut dengan mengangkat tangan.

Waah, mereka betul-betul bersemangat dalam membenci Israel.

“ Ok, apa yang kita buat untuk menunjukkan kebencian kita pada Israel..? Saya menyoal lagi.

“ Bokiooot”, serentak lagi mereka menjawab.

Wehdatul fikr dan wehdatul Amal. Alhamdulillah.

“ Apa yang kita boikot..?" solan terbit lagi dari minda saya untuk menggali.

Berderet senarai yang keluar. Alhamdulillah. masih punyai kesedaran.

" Nak tak kalau saya tambah dua item lagi untuk menunjukkan kita benci Israel dan Yahudi..?"

" Naak" serentak lagi.

" Ok, yang pertama, Al Quran, yang kedua solat jemaah..."

Lalu saya menjelaskan, kenapa Al quran dan Soat berjemaah amat dibenci malah ditakuti Yahudi dan Israel.

Samuanya ternganga dan terlopong dengan maklumat baru itu.

Moga mulut dan mata mereka yang luas terbuka itu memudahkan maklumat yang saya curahkan memasuki hati dan kalbu mereka.

Ameen

Justeru, saya menunggu subuh hari seterusnya untuk melihat bagaimana efek dan reaksinya.

Namun andai belum berubah, saya harus menerima, dakwah itu perlu tadarruj.

Ya Allah, permudahkanlah urusan kami, dunia dan akhirat.

Khamis, 2 April 2009

Memanusiakan Manusia

Sebulan yang lalu, ketika asyik membaca blog Us Hasrizal berkaitan dengan pengembaraan beliau tentang sejarah Khalifah Terakhir, Sultan Abdul Hamid, saya tertanya-tanya, bagaimanakah saya akan meminati subjek sejarah.

Subjek yang pernah menjadi ubat pelali setiap kali saya menekuninya. Samada yang berbahasa melayu atau yang berbahasa Arab dengan gelaran Tarikh.

Semuanya menyebabkan mata saya terasa bagai digantung sekilo batu pemberat.

Lalu, saya menanam tekad untuk meminati sejarah. Meminta padaNya untuk diberi jalan.

Sepertiga Al Quran adalah sejarah.

Sejarah perlu dikaji dan diambil iktibar.

Sepetang itu juga, saya merenung perut yang semakin taqaddum.

Berat badan yang menjangkau 80 kg cukup membimbangkan saya. Bayangkan bila dah berkeluarga nanti, adatnya bertambah lagi 10-20 kilo. Ahh, berat saya bakal menjadi 100kg?


Nauzubillah

Moga-moga bumi arab yang melambai bakal menguruskan badan yang semakin berisi ini.

Minat saya pada sukan kian terhakis kerana kesuntukan masa yang membelenggu. Kasut bola hanya menjadi bahan antik dalam rak kasut di rumah saya.

JAWAPAN ALLAH

Sejarah Dan Pendidikan Jasmani.

Ya. Sejarah dan PJ. Itulah subjek yang bakal saya ajarkan kepada anak-anak murid saya di Sek Men Teknik Kuantan bermula 6 April 2009.

Sebulan yang lalu, saya mendapat lamaran dari Syaukani untuk bersamanya berkhidmat di S M Teknik Kuantan atas ajakan seorang kenalan ibunya. Setelah membuat beberapa pertimbangan, saya menyahut ajakan tersebut.

Hari ini, 1 Aril 2009. Saya bertemu dengan Encik Yusuf, Penolong Kanan merangkap pemangku Pengetua. Beberapa keping kertas putih dibelek-beleknya. Resume saya seminggu lepas kini diperthati satu persatu. Keputusan SPM ditanya satu persatu.

“ Ok, saya boleh terima kamu tapi kmau kena sanggup untuk tinggal di asrama la ye…” Kami hanya tersenyum.

“ insyaallah Cikgu..dah sepuluh tahun kami di asrama, masih tak kekok untuk kembali semual ke asrama” saya cuba meyakinkannya.

“ Cuma yang penting, kamu kena fikirkan pengisian kepada budak-budak tu semua maksudnya, walaupun awak jadi cikgu pada siang hari, awak juga akan jadi ustaz pada malam hari..” cikgu Yusuf menala anak matanya kepada saya.

Ya, cikgu sejarah dan PJ di siang hari, Ustaz dan Murabbi pada malam hari.

Syaukani pula ustaz forever bila memegang jawatan guru sandaran dengan mengajar subjek Pendidikan Islam dan Sivik.

“Walaubagaimana pun, kami cukup berbangga mendapat Al Hafiz sebagai kakitangan di Sek Teknik ni..kalau tak ada masalah, insyallah..kita jumpa hari isnin nanti ye, ustaz-ustaz sekalian…” cikgu Yusuf mengakhiri bicara.

Usai bersama Cikgu Yusuf, kami ke bilik Ketua Bidang Kemanusiaan, Ustazah Zuryati Mohamad. Beberapa buku dibekalkan kepada kami untuk persediaan.

“ saya memegang beberapa subjek yang penting untuk menjadikan manusia itu betul-betul manusia, antaranya adalah yang ustaz-ustaz pegang sekaranglah ye” Ustazah Zuryati menjelaskan persoalan yang saya lontarkan.

Beratnya tugas kami untuk menyempurnakan kemanusiaan seorang manusia. Misi para Rasu l dan para pejuang agama yang terdahulu.

Ilmu yang pernah kami tuntut selama ini, bakal saya curahkan. Aulwiyyat cukup memainkan peranan.

Bagimana untuk mencapai misi murni itu melalui wasilah sejarah dan Pendidikan Jasmani..?

Ya Allah, kurniakan aku jalan..