Selasa, 29 Disember 2009

Menanti Batu Berbicara

“Israel dan Yahudi pasti akan kalah…” Kata Dr. Amin [bukan nama sebenar], Pegawai tentera yang mengajar mata pelajaran Sains Ketenteraan di Universiti Mu’tah.

“Itu janji nabi yang wajib kita yakini…kita pasti akan mengalahkan Yahudi dan Israel..segala makhluk akan membantu kita, hatta batu dan pokok kayu.”


“Meski bukan kita, pastinya generasi anak cucu kita yang akan menjadi saksi benarnya janji nabi itu..kita hanya perlu bersabar dalam menunggu janji itu terlaksana…”


Saya terkedu seketika. Sudah entah ke berapa kali saya mendengar hadis tersebut. Namun, inilah sudut pandang baru yang saya mampu lihat.

Tidak akan berlaku kiamat sehingga Yahudi akan ditentang habis-habisan, maka Yahudi akan berlindung di sebalik batu, maka berkatalah batu tersebut : “wahai hamba Allah, ini Yahudi di belakang aku, marilah kamu membunuhnya…”

Jumaat, 25 Disember 2009

Forum FISCO 2009

Saya baru empat bulan di bumi Jordan. Masih mentah dan muda dalam menilai dan mengkritik. Apatah lagi untuk mengutarakan pandangan dalam sebuah majlis rasmi, persidangan tahunan mahasiswa Malaysia Mu'tah.

Namun, seminggu yang lalu, saya menerima kejutan itu. Surat jemputan sebagai ahli panel forum sempena "Festival Of Islamic Scholars Conference 2009".

Digandingkan bersama Timbalan Exco Biro Penerbitan dan Publisiti PERMATA, Us Afifah Azzam dan juga orang lama yang bakal graduasi sebulan sahaja lagi, Us Ifwat yang juga merupakan tenaga pengajar kelas bantuan akademik untuk pelajar Malaysia di Mu'tah. Beliau juga mantan Timbalan Presiden MPPMJ dan meupakan naqib saya.

Terasa kurang ajar benar untuk berganding dengan orang lama sehebat mereka di pentas forum mahasiswa. Namun, dengan semangat dan dorongan dari kekanda Us Ridzuan Khalin, say cuba menggagahkan kaki melangkah.

Ahad, 6 Disember 2009

Watak Direalitikan, Sejarah Akan Berulang

Seminggu yang lalu, saya bersama rakan-rakan menyambut Hari Raya Aidiladha  anjuran Kesatuan Mahasiswa Kelantan Jordan, [KMKJ] di Nadi Mu'allimin, Mafraq.

Bertemu mata bersama teman-teman lama menjadi satu memori yang cukup manis untuk dikenang. Teringat wajah-wajah mereka sewaktu umur awal belasan tahun di MTDQ Repek hampir 10 tahun yang lalu. (Tiba-tiba terasa tua). Seronok. Terutamanya bila dengan teman cerminan diri itu, kita mampu untuk mengukur sejauh mana meningkatnya kualiti diri. Alhamdulillah.

Selasa, 24 November 2009

Cerita Anak Khatulistiwa

P/S : Cerita ini cukup berkaitan dengan yang hidup, mahupun yang telah mati. Tujuan ianya diceritakan semula adalah untuk diambil iktibar oleh mereka yang masih hidup. Samada menghirup nafas  dari oksigen  bekalan Tropika di Khatulistiwa malahan yang menghirup udara di garisan ekstrim, Mediterranean. Iktibar yang baik adalah dengan membacanya dengan kaedah : Al-I'tibaar bi 'umuum al-lafz, laa bi khusuus al-Sabab...Terima Kasih.

Tepat jam 5.30 pagi. Jam surau berjenama Protime sumbangan ahli korporat berdecit-decit.

Azan berkumandang dari corong speaker TOA Model TC-650 M, buatan asli diimport dari negeri matahari terbit, Jepun. Jelas dan nyata. Menggerudi anak telinga yang masih nyenyak tidur. Ayam jantan Khatulistiwa pula sudah kering anak tengkuknya memanggil-manggil anak Adam ke masjid.

Namun, tentera syaitan yang berikrar dihadapan Allah, bahawa hidup dan matinya akan diwaqafkan untuk menyesatkan anak-anak Adam tidak akan lena. "Sejuk diluar sana, 27 darjah selsius...tidurlah.." Bisik anak murid Azazil.

Jumaat, 20 November 2009

Wasiat Terbuka Untuk Huffaz



Teruskan Manhaj Kebangkitan Generasi Al-Quran

Tulisan ini adalah khusus untuk sahabat Darul Quran. Ditulis sempena Muktamar PERKEMAT DQ tahun 2009. Diulang siar sempena Muktamar PERKEMAT DQ 2010.

Assalamu'alaikum warahmatullah wabarakatuh.

Sewaktu warkah ini ditulis, para sahabat di Darul Quran semestinya telah selesai memilih pimpinan yang berkenan di hati masing-masing. Bahkan sedang bersiap sedia untuk bermuktamar pada keesokan harinya.

Selamat bermuktamar.

Pertamanya, sekalung tahniah dan takziah kepada mereka yang bakal memikul amanah yang maha berat dan tidak pernah terfikir untuk memikul jawatan itu. Apa yang kalian bakal rasai esok dan  hari  mendatang adalah apa yang saya dan kami pernah rasainya dahulu. Jalan saya dan jalan kalian adalah sama. Jalan khidmat yang tak akan menjanjikan pulang keduniaan.

Rabu, 18 November 2009

'Puzzle' Peduli : Satu Pencerahan

"Zul, baca akhbar hari ni..? ada berita besar..."
"Aduh nta, kita di jordan ni..kat sini mana ada utusan, berita harian atau metro..."
"Internet 2MB dirumah nta tu untuk apa...?"


"Pas bergolak sekarang ni..."
"Ye ke..? tak tau pun..."


"Umno dan MCA pon ada krisis jugak ye.."
"Ana tak minat la politik ni syeikh.."


"Ada junior kita meninggal di Malaysia..."
"Apa kita boleh buat...? lagi pun mana sempat kita nak melawat..."


"Kat sini pon ada orang hisap rokok juga ye.."
"Alah, biarkanlah dorang, apa kita nak sibuk-sibuk pula.."

Sabtu, 14 November 2009

Manhaj Qur'ani, Praktikal Insani

Selalu benar hinggap di telinga saya pesanan ibu sewaktu saya kecil dulu. Pesanan yang melambangkan kasih sayangnya yang tidak terhingga kepada saya dan kami, anak-anaknya. Ibu selalu mengingatkan kami tentang haramnya bersiar-siar, haramnya berkawan dengan budak 'jahat', haramnya mandi sungai dan sebagainya.

"Mulai sekarang, mak tak benarkan kamu keluar rumah....kalau keluar juga, nantilah kamu..." begitu gertak ibu suatu ketika dahulu. Saya tidak dibenarkan keluar rumah, selepas keputusan peperiksaan percubaan UPSR tidak mencapai target sepatutnya.

Pastinya jiwa muda saya cukup memberontak. Kawan-kawan kesayangan, aliran air sungai yang dirindui, kayuhan basikal tua, malah kadang-kadang motor pusaka ayah akan saya uli jika berkesempatan. Itulah syurga saya.

Syurga kanak-kanak yang masih buta, apa itu dunia dan apa pula peranannya.

Selasa, 10 November 2009

Sebuah Catatan : Rindukan Makkah

p/s : Biarlah potret yang menjadi jurubahasa saya dalam menterjemahkan bahasa kenangan ini. Bahawa hati-hati yang telah terikat dengan ukhuwah itu, pastinya mudah memahami sedang saya pula hilang seribu kata untuk menafsirkan sejelasnya. Sebuah kenangan yang mengajar erti kehidupan.


Nasirin dan Tarmizi sewaktu dalam flight ke Jeddah ( semacam tahu akan bersama )

Semalam, saya terkenang beberapa orang sahabat. Semuanya bermula apabila pesawat Royal Jordanian terbang rendah melewati sutuh Dar Muttaqin, teratak pejuang muda di bumi Syuhada', Mu'tah.

Sabtu, 7 November 2009

Kunci Syurga, Kunci Neraka

"Geddesh?" saya bertanyakan harga caj telefon yang saya gunakan kepada Ahmad, tuan empunya kedai tersebut.

"Liratain khamsa sab'ien..", jawabnya sambil tersenyum selepas mengetuk-ngetuk mesin kira di mejanya. 2.75 JD. Bersamaan dengan RM 14.50. Sejam 5 minit saya berkongsi cerita bersama ibu di Malaysia. Cerita saya mungkin hanya 5 atau sepuluh minit. Selebihnya, saya akan menemani sepi ibu dengan menjadi pendengar setia di corong telefon, di kedai terpencil di pekan Mu'tah, Jordan.

Begitulah rutin saya setiap petang Khamis.

Selasa, 3 November 2009

Dr. Ra'ud Pun Ketawa...

Hampir dua bulan saya mengikuti sistem pengajian di Jordan, secara khususnya di Universiti Mu'tah. Pelbagai ragam manusia yang saya ketemu. Dari yang bertudung litup seluruh tubuh sehingga ber'telanjang' dengan bonggol unta di kepala. Itu yang wanita. Lelaki pula, dari yang berjubah kemas sehingga berpelikat dan bebaju pagoda untuk ke kelas.

Itulah ragam manusia yang harus saya hadapi.

Bagi semester (fasal) pertama ini, saya mendaftar sebanyak lima madah, lebih satu dari saranan abang-abang senior. Al Maklumlah, umur dah lanjut, tak sanggup untuk menghabiskan masa terlalu lama untuk Ijazah Sarjana Muda. Lima madah tersebut ialah, Ulum Al-Quran ( sains Al-Quran? ), Ulum Hadith, Ulum Askari ( Sains Tentera ), Madkhal Fiqh dan Hadhrah Islamiah.

Subjek yang paling saya minati ialah subjek Tamadaun Islam (Hadarah Islamiyah). Namun minat itu sedikit pudar dek bertukarnya tajuk Tamadun Islam kepada 'Tamadun Arab Islam'. Saya melayu muslim terasa panas cuping telinga. (kadang-kadang). Namun, saya cuba sedaya upaya untuk berlaku adil terhadap ilmu dan pemberi ilmu. Setiakan hati menadah ilmu dan maklumat yang dicurah, namun mengasah minda untuk menapis keladak yang mungkin datang dari lautan ilmu itu.

Subjek Ulum Hadith pula diajar oleh  Dr. Mustafa Abu Zaid. Dr. yang cukup terkenal sebagai pensyarah yang cukup menyayangi Malizi, sehingga ada segelintir arab yang tidak selesa dengan keadaan itu. Beliau juga terkenal dengan obsesnya beliau terhadap harakah islam di Malaysia, PAS.

Pernah satu hari, beliau berbisik di telinga saya dan bertanya : "Nta min BAAS...? (PAS)" ( kamu ahli PAS? )

Selepas mendapat respon dari saya, beliau menepuk bahu, lantas tersenyum dan berkata : Ahsanta ya bunay,ana uhibbuka... (bagus wahai anakku, aku sayangkan kamu...)

Satu lagi subjek yang saya minati ialah Madkhal Fiqh. Dr. Syuwesh yang pakar dalam bidang Fiqh dan Usul Fiqh itu pasti akan menghilangkan mengantuk saya dengan teknik penyampaiannya yang cukup jelas melalui bahasa arab fushahnya.

Subjek terakhir, Ulum Askari. Subjek yang diwajibkan oleh kerajaan Jordan kepada seluruh penuntut Universiti di Jordan. Seubjek ini diajar oleh seorang Sarjan dari Janah Askari, Jamiah Mu'tah. Pada awalnya saya agak mengantuk lantaran bahasanya yang cukup laju, tambahan pula, saya ketiadaan buku rujukan. Selapas buku rujukan saya miliki dengan harga 4JD (RM 20), barulah saya sedari bahawa subjek itu juga cukup menarik.


HARI INI DALAM SEJARAH

Hari ini dalam sejarah. Selepas peperiksaan awal Madkhal Fiqh, saya ke kelas Ulum Al Quran. Dr Ra'ud pasti digeruni dek kerana matanya yang bulat dan ketegasaanya sewaktu mengajar. Kekadang, tepukan tangannya ke meja cukup baik dan praktikal untuk membunuh mengantuk yang mungkin hinggap di sesetengah mereka yang 'keletihan'. Ayyu mulaahazah, ayyu su'aal...mein yaqra'? . Antara yang menjadi trademark Dr. Ra'ud.

Hari ini, perbincangan berkisar tentang Naskh dan Mansukh Al-Quran. Lebih seminggu tajuk ini diuli untuk memahat kefahaman yang mendalam ke dalam minda kami. Perbincangan tentang hukum-hukum syariat yang dipadam dari konteks penggunaan dan amalan pada hari ini cukup menarik. Ayat 'iddah, pengharaman arak dan beberapa ayat dan contoh hadith dikeluarkan sebagai asas perbincangan.

Sebelum kelas berakhir, seorang sahabat dari Filipina bertanya soalan :

"Dr, bagaimana dengan hukum tudung pada hari ini...?", pertanyaan yang mengurniakan beliau markah  musyarkah dalam perbincangan. Dr Ra'ud memberi respon yang cukup baik melalui kaedah 'jalan terbaik dan jalan paling selamat' serta kaedah, al-dharurah tubih al mahzurah.

Untuk penjelasan Dr. Ra'ud membuat analogi dengan mebayangkan si penanya sebagai suami yang sedang berhadapan dengan isteri yang bakal melahirkan anak.

" Apa yang akan kamu buat bila isteri kamu nak melahirkan anak...? : Tanya Dr Ra'ud.

" Saya akan cari hospital yang menyediakan perkhidmatan perbidanan Islam..."  Jawab sahabat tersebut.

"Kalau tak ada perbidanan Islam?"

"Saya hantar ke hospital biasa, tapi minta doktor perempuan yang menguruskannya...."

"Kalau tak ada doktor perempuan...? Dr Ra'ud terus memberi provokasi.


"Saya jadi bidan sendiri..." jawab sahabat tersebut dengan serius.

Seluruh kelas gempa dengan deraian hilai tawa mereka yang faham isi perbualan tersebut. Saya dan Hayyi cuba menahan ketawa, bimbang dilihat melebih-lebih oleh Dr. yang betul-betul berada di hadapan kami. Pelajar arab lainnya ada yang ketawa berdekah-dekah.



Bergambar selepas muhadharah bersama Dr.Ra'ud ( Ulum Al-Quran ) Musim Sejuk.

Dr. Ra'ud yang sebelum ini yang senyumnya dianggap sebagai ketawa, kini merah padam muka beliau dan akhirnya tertunduk-tunduk menahan sisa ketawa yang mungkin melimpah dari empangan Taqwa dan Wara'nya.

Dr. Ra'ud pun ketawa. Beliau kemudian segera istighfar dan berselawat seterusnya mengakhiri kelas kami. Hari ini dalam sejarah.

Sabtu, 31 Oktober 2009

Ada Apa Pada Mu'tah

Kedatangan saya ke Mu'tah sememangnya mengundang pelbagai persepsi, tinggal lagi, untuk menukarkan negatif persepsi itu dan menerima positifnya sebagai tanda sayangnya mereka terhadap jasad ini. Saya cuba mengelak dari menjustifikasikan persepsi tersebut kepada baik dan buruk.

Abang-abang di Jordan terkedu, kenapa saya memilih Mu'tah sedangkan mendapat tawaran istimewa dari bandar Nabi, Madinah Al-Munawwarah.

Begitu juga abang-abang dan sahabat se'muqabalah' dari Madinah ditinggalkan dengan penuh persoalan, mengapa saya menolak tawaran berjiran dengan Rasulullah S.A.W?

Tak dilupakan sahabat-sahabat saya yang kebingungan dengan kenyataan-kenyataan saya yang 'pelik' di penghujung nafas di bumi semenanjung Melayu.

Sementelahan pula sanak saudara yang cukup (dibaca hanya) mengenali Madinah, amat pelik dan janggal bila diberitahu bahawa saya memilih Mu'tah yang sepi dari pengetahuan mereka.

Bukanlah tujuan saya 'mencipta' senario tersebut untuk mencari publisiti, tapi demi menjaga hati-hati banyak yang menyayangi diri ini. Saya berjauh diri dari melukai hati-hati mereka yang banyak membantu  diri ini meski sering kali bantuan itu tidak saya hargai.

Sehingga ke hari ini, jawapan kenapa ke Mu'tah masih digantung jauh di sudut hati saya. Saya masih belajar, mengkaji, merenung dan meneliti, bagaimana untuk memberi jawapan yang harmoni kepada semua yang sudi bertanya. Supaya kelak, yang menerima kehadiran saya tidak terlalu gembira dengan pilihan saya, dan yang terpaksa melepaskan pula tetap redha dan mendokong perjuangan saya.

Ada apa pada Mu'tah?

Tidak ada kurangnya Muta'h dan tidak ada lebihnya Madinah. Begitulah sebaliknya.

Faktor utama yang harus saya teliti adalah diri saya sendiri. Bukan tempat yang harus saya tuju. Dengan mengenali potensi diri, saya akan mengetahui, jalan mana yang sesuai untuk saya lalui demi mengukir diri ini agar menjadi bintang dalam masyarakat, andai tidak menyuluh, masih mampu memberi petunjuk meski dengan kerdipan halus di hujung penjuru bima sakti.

Seperti mana peperangan Mu'tah yang diatur penuh strategi, begitulah juga saya menyusun langkah dan strategi jihad ilmu saya. Memilih tapak pengajian tanpa mengenakan dengan sedikit kajian dan selidikan  untuk disesuaikan dengan diri sendiri pastilah ianya menjadi kebodohan yang mengundang sesalan.

Bukanlah Mu'tah kerana ramainya sahabat saya ke sini. Bahkan semasa memilih Mu'tah, saya hanya berseorangan memilihnya, barulah kemudiannya mendapat undian kedua tertinggi selepas bumi Kinanah, Mesir.

Bukanlah Mu'tah kerana diracuni Saifulislamisme. Saya hanya mengenalinya sebagai sifu dalam dakwah dan penulisan, bukan dunia pengajian. Meski gaya berfikir saya banyak berubah selepas mengenali susuk itu. Memilih untuk datang ke 'bumi' yang banyak 'menyeksa' susuk itu pasti bukan pilihan yang baik.

Saya juga tahu akan seksanya berada di sekeliling persekitaran yang kurang bersistem. Saya tahu akan sesaknya dada berhadapan dengan kerenah segelintir arab. Saya tahu akan betapa sengsaranya menggantung perut di sini dek kerana kewangan yang sempit. Saya juga sedar akan seksanya rakyat Malaysia dengan kurangnya air di dataran ini. Saya sedar, bahawa saya sedang meninggalkan ibu sendirian sepi.

Tidak dinafikan, jauh di sudut hati, ingin sekali menjadi jiran jasad mulia dan suci itu.

Namun, saya masih ke sini. Saya sedar akan mahalnya mahar yang saya bayar untuk menyambut sapaan mesra Saidina Ja'far At-Tayyar yang sungguh mengugat hati.

Inilah jalan yang akan saya lalui.

Di Medan Mu'tah, Dataran Syam yang pernah didoakan Nabi.

Doakan saya teguh di sini meski kita berbeza 'bumi. Moga saya terus disayangi meski memilih jalan sendiri.

p/s : Artikel ini ditulis sebulan yang lepas, diulang tayang semula atas sebab yang munasabah.

Komen Anda Adalah Buah Tangan Terbaik [hasanhusaini]

Jumaat, 30 Oktober 2009

Dari Mereka Saya Belajar

Saya punyai ramai teman, kawan, sahabat, junior dan senior melata di seluruh pelusuk dunia. Mereka yang pernah saya kenali dalam diari hidup saya di bumi Allah ini. Ada yang masih rapat sehingga hari ini. Ada yang sudah terputus hubungan. Ada juga yang sudah mendirikan rumahtangga dan mendapat cahaya mata. Malah ada yang telah kembali ke sisi yang Esa.

Teman, sahabat dan kawan. Mereka banyak mengajar erti kehidupan kepada saya. Mereka yang saya kenal sepanjang saya bergelumang dalam dunia Al-Quran.

Sebulan saya di Jordan, semakin saya merindui kelibat mereka. Namun, apakan daya, mereka kini melata di muka bumi Allah, dan sedang sibuk menguruskan manusia, kerana mereka adalah Khalifah Allah.

Di Malaysia, Us Idris Yussuff kini tergalas dengan beberapa jawatan besar, menandakan betapa besarnya tanggungjawab beliau. Juga menjadi penanda aras bahawa besar jugalah ganjaran yang menanti beliau di sisi Allah.

Menjawat Presiden Ikatan Studi Islam UKM, Presiden Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia dan di samping beberapa jawatan lain dalam MPPUKM bukanlah satu tugas yang ringan.

Us Dzulkhairi sebelumnya juga merupakan generasi Al-Quran dan merupakan Al-Hafiz lulusan MTAQ Pulai Chondong.

Us Abd Khalil, teman paling lama saya semenjak di MTDQ Repek kini menggalas tugas menjaga kebajikan 'agama' di UKM melalui Ikatan Studi Islam UKM, ISIUKM juga.

Saudara Iqbal pula kini di UIA, menjawat jawatan tertinggi di situ dan jawatan penting dalam organisasi GAMIS. Meski tidak terlalu rapat sewaktu di Darul Quran, saya cukup menyanjungi kesungguhan beliau. Adik saya Hamidi dan Muntaqim kini masing-masing mengepalai mahasiswa di UIA Nilai dan UIA PJ. Abd Malik juga sedang berkembang baik di UIA Nilai apabila berpeluang mengepalai IRK.

Dalam tak sedar, seorang senior juga dari Darul Quran yang banyak memprovok kami sewaktu Haluan Siswa di DQ juga kini menjadi orang kedua GAMIS. Ustazah Fasihah Fauzi cukup terkenal di Malaysia saat ini. Dulu menjawat Naib Yang Dipertua PERKEMAT DQ. Kini orang besar di GAMIS juga Universiti Malaya.

Kembali sebentar ke DQ, adik saya, Qutaibah kini gah bersama temannya yang lain memimpin Perkemat DQ dengan jayanya. Pelbagai pembaharuan dan pembaikan telah dibawa oleh generasi kepimpinan beliau. Perkemat DQ kini gah di Malaysia. Pembekal dan kilang modal kepemimpinan yang baik kepada ummat. Ameen.

Belum sempat saya menjelajah seluruh Malaysia, teringat pula pimpinan saya di Jordan. Us Syahrul Adnan, Presiden MPPM Jordan juga merupakan ahli Al-Quran, begitu juga Timbalan Presiden, Ustazah Nurul Ain dan Us Azraie yang merupakan Setiusaha Agung MPPM Jordan.

Minggu lepas saya ke Mafraq. Bertemu dengan Us Arif Azfar, mantan Presiden KMKJ, proksi anak Kelantan di Jordan. Pertemuan setelah terpisah hampir lima tahun pastinya satu kenangan yang cukup manis.

Kembara lagi menerobos hudud  Jordan ke Syria. Presiden PPMS, Us Hairul Faizal merupakan senior saya di Darul Quran. Begitu juga Setiausahanya Us Farid Faizul, Us Khalidi dan beberapa teman lain seperti Us Nasir dan beberapa lagi yang saya terlupa nama mereka, namun mereka adalah ahli Quran.

Sebelum meneruskan kembara, saya singgah sebentar di Bumi Kinanah, Mesir. Kiblat Ilmu dan pencari Ilmu. Di situ, saya dikhabarkan, ada beberapa orang senior dari Darul Quran yang menjawat beberapa jawatan penting di PMRAM, Mantiqah dan Persatuan Anak Negeri. Teringat adik saya, Us Nik Abdul Hayyi yang kini menjawat jawatan Bendahari Anak Kelantan, KPKM. Begitu juga jiran asrama saya di MTDQ Repek, Us Firdaus Mohd Muzi. Syabas, tahniah dan takziah.

Mengembara lagi ke Saudi, Presiden pelajar Malaysia Universiti Madinah, Us Azhar Abd Rahman juga dari kalangan Huffaz. Beliau pernah menjawat jawatan Yang Dipertua Perkemat DQ suatu ketika dahulu. Teringat juga senda seorang teman, Us Fitri pula menjawat Presiden Pelajar Malaysia di Jamiah Riyadh. Tersenyum.

Apakah ini tandanya Generasi Al-Quran Yang Unik impian Syed Qutb kian hampir memimpin ummat..? Moga itulah natijahnya, dan inilah petanda baiknya.

Merekalah yang sentiasa tawaf di sekeliling saya dan saya malu terhadap mereka. Jasa, jerih payah dan titik peluh mereka telah tumpah di muka bumi ini. Pastinya akan menjadi saksi di hadapan Allah kelak untuk membela mereka. Maka semestinya saya perlu banyak belajar dari mereka yang hebat dan telah berjaya . 
 
Teringat satu kata-kata : "Menyerupai orang yang berjaya itu adalah satu kejayaan."

Menulis tentang teman-teman di kala terasa sendirian dalam pemikiran. Moga-moga ianya mampu menjadi pencetus kebangkitan semangat dan daya juang.

Selasa, 27 Oktober 2009

Nilai Taqwa Di Perantauan

Mereka yang mengikuti perkembangan saya, samada di Facebook, blog, Twitter mahupun YM, pasti akan pernah melihat tagline TAQWA yang terpapar. Obses saya kepada taqwa dengan menyebutnya pada setiap peluan dan ruang. Moga-moga ianya benar-benar meresap kedalam jiwa. Meresapi dan sebati. Menyucikan hati. Menjadikan hati saya sesuci dan semulia hati milik Ibrahim a.s. Begitulah yang diharapkan. Ameen.

Sehingga usaha terbaru saya ialah menamakan rumah kami di Mu'tah dengan Darul Muttaqin - tempat tinggal untuk mereka yang mempunyai sifat Taqwa. Moga doa dalam bentuk nama ini dikabulkan Allah.

Lantas respon yang saya dapat pelbagai dari pembaca dan sahabat-sahabat disekelinling yang pastinya pelbagai fikrah, ragam dan latarbelakang.

Ada yang responnya bagus. Ada juga yang kurang bagus. Tidak kurang juga yang menyakitkan hati dan mengerikan bila dibandingkan dengan title pemberi respon tersebut.

Namun saya lebih suka untuk memekakkan telinga dari respon sebegitu. Lebih selamat dan tenang. Untuk memuaskan hati manusia pastinya mustahil, maka redha Allah itulah yang paling utama.

KENAPA TAQWA

Ramai juga yang bertanya, kenapa mesti Taqwa yang harus saya war-warkan. Tidak ada kalimah lainkah untuk diletak dan dikongsikan...? Juga, kenapa perlu ditulis dalam blog, YM, Twitter dan sebagainya, bukankah ianya riya', sumah dan takabbur...?

Saya ada satu kisah yang menyentuh hati sebagai jawapan.

Abu Ayyub Al-Ansari adalah seorang sahabat yang rapat dengan bagindaNabi Muhammad. Beliau terkenal dengan obsesnya beliau terhadap janji nabi tentang kemenangan tentera muslimin ke atas Rom Byzantine dengan robohnya benteng Kostantinopel. Sehingga setiap masa, pasti ayat 41 : Surah At-Taubah pasti akan meniti di bibir beliau di mana sahaja berada.

Sehingga akhirnya beliau syahid dan dikebumikan berhampiran dengan tembok Kostantinopel demi hasratnya ingin mendengar derapan kaki mereka yang akan membuka kota itu kelak.

Cukuplah satu misal kepada mereka yang berakal dan mahu menggunakan akal. Bukannya emosi dan dengki lantas mengeraskan hati meski yang baik itu datang dengan bukti.

Nilai Taqwa di Perantauan

وَتَزَوَّدُوا فَإِنَّ خَيْرَ الزَّادِ التَّقْوَىٰ
"Berbekallah, dan sesungguhnya sebaik-baik bekalan adalah takwa" (Al Baqarah : 197)
Untuk mencari bekalan taqwa itu, saya cuba mencari punca dan sumbernya. Sehingga beg saya yang sepatutnya dipenuhi dengan bekalan makanan, pakaian, kelengkapan 'kebiasaan' untuk mereka yang bakal bermusafir menjadi terbalik apabila dipenuhi dengan buku dan kitab. Dengan harapan, buku-buku itu mampu menjadi inspirasi taqwa kepada saya.

Taqwa : Sensitiviti...?

Saya teringat sebuah dialog yang cukup penting antara Saidina Umar al-Khattab ketika menanya Ubay bin Ka'ab tentang taqwa.

" Pernahkah kamu lalui jalan yang berduri? "  Tanya Ubay r.a. 

Lalu jawab Umar, "pernah...".

"Bagaimanakah kamu laluinya?".  Tanya Ubay r.a


" Aku akan sentiasa peka, bersedia dan berhati-hati dengan penuh usaha agar tidak terpijak duri tersebut'',  jawab Umar.

Maka jawab Ubay,  " itulah juga sifat taqwa ".

Maka, kesimpulan yang saya mampu buat untuk memetakan kefahaman sendiri demi memahami isi penting dialog di atas ialah dengan meringkaskan isi-isi tersebut kedalam satu kalimah. Sensitiviti.

Sentiasa sensitif dan peka untuk mencari jalan paling selamat dan jalan yang paling baik. Al-Mulk : 2, mungkin boleh menjadi pedoman yang baik.

Sentiasa sensitif dan peka dengan keadaan sekitar, sensitif dan peka dengan keadaan sekitar, sensitif mencari ruang kebaikan, sensitif menjauhi ruang dan jalan yang memungkinkan keburukan. Sensitif.

Sensitif dalam percakapan, berjaga-jaga dengan lidah, dibimbangi tertuturnya kalimah yang kurang elok yang memungkinkan murkaan Allah. Kerana tutur itu tak akan terlepas dari catatan Malaikat Allah. [ Qaaf : 16-18 ]

Berjaga-jaga dan sensitif dengan Mata dan sifat Khianatnya kerana ada Zat yang maha mengetahui.  [ Ghafir :19 ]

Sensitif dengan anggota kaki dan tangan yang bakal menjadi saksi terhadap perbuatan kita. Sensitif dengan segalanya. [ Yaasin : 65 ]

Maka, dengan sifat begitu kita akan lebih merasa diri bertaqwa. Terasa meresapnya kualiti hamba yang memakai pakaian IHSAN dalam harakat hidup.

Sensitiviti : Jumud vs Taqwa

" Ayah tak benarkan kamu pakai tali leher ni...bukan pakaian orang islam....", Tegas seorang ayah kepada anaknya.

" Siapa yang tanam pokok Kristian ni kat sini..?" Marah seorang Ibu melihat ada pasu di halamannya berisi pokok pain.

"Kalau kamu nak keluar rumah, pastikan kepala kamu ada kopiah...kalau tak, jangan keluar rumah..." Pesan seorang bapa lain kepada anak remaja lelakinya.

Terpulang kepada para pembaca sekalian, apakah penafsiran kepada dialog di atas, samada ianya positif dengan sensitifnya orang dahulu dalam menjaga agama dan identitinya ataupun jumudnya mereka dalam menafsirkan dunia dan massa.

Saya teringat pula dengan fatwa klasik zaman Khilafah Uthmaniyyah yang pernah mengharamkan beberapa perkara yang pada zaman sekarang ini telah menjadi kebiasaan yang meluas. Sensitif ataupun jumud? Terpulang kepada anda.

Namun harus diingat, pada zaman itu, (jumud @sensitif ) majoriti ibu ayah amat peka dangan perkembangan anak-anak. Tidak ada ibu ayah yang 'sudi' membenarkan anak lelakinya membawa pulang teman perempuannya ke rumah, begitu juga sebaliknya. Berbeza dengan zaman 'terbuka dan maju' sekarang ini. Tidak ada istilah family saya opened and sporting. Open dan Sporting yang membawa ke neraka.

Maka, saya dengan pemahaman yang saya bina dan saya usaha, mengajak untuk kita lebih sensitif dalam hidup sebagai ahli agama. Sensitifnya kita sebagai dalam memikat hati tuan Yang Maha Esa. Sensitiflah dalam beragama. Sensitiflah, atau hidupmu bakal binasa.


Taqwa, tabiat dan Sumbernya

Antara tabiat taqwa seperi yang tercatat dalam Al Quran dilampirkan secara tersusun oleh Ustaz Said Hawwa dalam kitab Jundullah :Thaqafatan wa Akhlaqan. Kitab dan buku rujukan yang cukup baik untuk dibaca oleh mereka yang sudah, bakal dan telah lama mengaku sebagai JUNDULLAH.

Apakah sikap, moral, akhlaq, attitude, intelektual kita telah cukup menepati ciri-ciri wajib seorang jundullah...? Andai tak cukup, rasailah lekuan dan sekehan dari Ustaz Said Hawwa apabila kita menatap bait nasihat dan tunjuk ajar dari beliau.

Sekadar perkongsian ringkas dari insan dhaif yang ingin mendaftar sebagai Jundullah, namun malu dengan diri yang lemah.

Sabtu, 24 Oktober 2009

Kembali

Lama benar tidak menulis. Lama benar tidak berkongsi. Bukan malas, bukan sibuk, bukan dah kecundang, namun hanya diri ini yang tahu, kenapa khabar minda ini semakin takut untuk terbit menjengah massa.

Mungkin alasan yang paling kukuh ialah, saya baru berpindah rumah. Darul Muttaqin yang baru sebulan diduduki ini masih belum berbekal dengan khidmat internet. Kukuh. (padahal, rumah saya di Kelantan juga tak berinternet.)

Khabar Dari Syam

Sudah hampir sebulan saya mengikuti sitem pengajian di Jordan, khususnya di Universiti Mu'tah. Sistem yang saya suka dan saya pilih. Suka kerana bagus dan pilih kerana perlu. Berkesan atau tidak, terpulang kepada bagaimana saya memanfaatkan kebaikan yang ada ini.

Banyak cerita yang terpaksa saya skip demi aulawiyyat yang lebih besar. Kisah Minggu Haluan Siswa, kisah kembara mencari rumah, kisah air, kisah coaster, kelas dan kembara ke Abdali, Mafraq dan sebagainya. Semuanya adalah kisah sampingan.

Pencerahan

Mengikuti pengajian aka muhadharah di sini cukup menenangkan. Kecuali perangai segelinti arab yang tandus adab dan akhlaq. Ruang perbincangan dibuka seluasnya. Lebih selesa kepada orang seperti saya yang amat tidak suka untuk dicucuk hidung.

Para pensyarah yang cukup alim dan pakar yang berkongsi pendapat dengan bakal alim ulama'. Begitu mungkin gambaran yang saya boleh bawakan untuk anda.

Identiti

Seperti yang selalu berlaku dan sentiasa saya lakukan ialah berhepotesis. Maka, sebelum datang ke Jordan, saya berkira-kira, apakah masalah yang akan timbul? Apakah yang bakal menjadi penghalang utama kepada bakal penuntut seperti saya di luar negara...?

Antara yang sempat saya senaraikan ialah berkaitan dengan identiti. Sejarah Turki atau lebih tepat, Khilafah Uthmaniyyah pernah dilanda krisis yang amat teruka lantaran dari masalah identiti yang timbul dari kalangan anak muda Utmaniyyah yang menuntut di Eropah. Anak muda Uthmaniyyah yang dihantar untuk mencuri teknologi eropah akhirnya menjadi peluru jarak jauh yang kembali memakan tuan apabila mereka balik membawa angin revolusi dari Eropah.

Maka, sedikit sebanyak, masalah itu akhirnya menjadi salah satu punca tumbangnya Uthmaniyyah dari peradaban agung Islam.

Dan Hepotesis itu seakan hampir terbukti apabila saya melihat gelagat segelintir teman-teman se-syariah saya di sini. Kecelaruan identiti yang berlaku memerlukan ubat segera sebelum ia menjadi barah apabila doktor-doktor ini balik untuk merawat ummat kelak.

Perbualan saya dengan seorang murabbi sebelum meninggalkan tanah nusantara memberi kesan yang amat berat dan berharga.

"Kalau nta nak ke Eropah, mungkin pesanan ana ringkas, dan mungkin ana tak perlu banyak berpesan, sebab nta dah ma'aruf dengan fasadnya Eropah dari sudut akidah, dan nta semestinya akan berhati-hati...namun bila nta menuju ke Tanah arab, pesanan ana menjadi sedikit panjang...", begitu mukaddimah perbualan kami di suatu malam.

Konklusi penting yang saya ingin kongsikan ialah, falsafah budaya kuning tafsiran beliau :

"Kalau dulu, kita bimbangkan pelajar yang ke Eopah, namun sekarang tidak, kita lebih bimbangkan pelajar yang ke Tanah Arab...mereka kebanyakkannya tersilap identiti...hilang jati diri, terkeliru dan akhirnya haru biru..Apa yang ada pada arab bukan semuanya baik, juga bukan semunya buruk. Bahkan ada yang pada arab itu lebih teruk dari apa yang ada pada barat. Itu yang payah untuk dihadapi dan dinilai oleh para pelajar di tanah arab. Akhirnya mereka tersilap cedok 'ramuan' dan balik ke Malaysia untuk 'memasak ramuan arab' di tanah melayu...hancur..."

Saya termenung lama untuk menyusun pemahaman secara optimum dari kata-kata guru tersebut. Dan kesimpulan yang saya mampu buat ialah, ramai di kalangan kita yang tersilap posisi..Penyelamat bertukar menjadi mereka yang perlu diselamatkan...Sedih dan sayu mengenangkan hakikat pedih ini.....

Baca Juga :

Huffaz : Perbetulkan Posisi Kita


Rabu, 30 September 2009

Tandanya Imanmu Menipis

"Giler ah...bangang betul budak-budak tu...siot la.."

"Woi, ko nak makan tak menatang ni, kalau ko tak nak, aku nak mentekedarah je semuanya..."

"Bodoh betul la ngko ni..aku pun nak pegi jugak, ko yang tak ajak..."
 
"Eleh, apa nak heran...memang mak bapak dia pun lebih kurang je bahlolnya.."

"Bapak giler laju driver tu bawak.."

TATABAHASA BARU

Saya berbangsa melayu. Bangsa timur yang terkenal dengan sifat santun, lemah lembut, bersopan dan bermacam akhlak mulia yang lain, kecuali terlalu pemalu dan pesimistik. Melayu yang masyhur dengan adab dan tatasusila. Sejarah yang berbicara membuktikan bahawa poses komunikasi masyarakt melayu pada zaman dahulu berlaku dalam keadaan yang cukup santun. Pantun dan seloka indah meniti di bibir masyarakat umum. Ganti nama yang merendah diri dan bersopan santun banyak dicatat, seperti, hamba dan tuan hamba dan sebagainya.

Masih belum pernah diajar sejak saya menghabiskan silibus pengajian bahasa melayu saya sejak dari darjah 1 sehingga tingkatan lima, tentang bahasa yang tidak sedap didengar seperti yang ada sekarang.

Dialog di atas cukup sedikit jika dibandingkan dengan istilah dan tatabahasa baru yang timbul akhir-akhir ini. Bahasa yang tempang itu melambangkan tempangnya pemikiran dan jatidiri melayu pada hari ini.

Lebih menyedihkan, ada dikalangan mereka yang bertitle ahli agama juga masih tidak mampu untuk berhati-hati dalam perkara ini. Uruf yang tidak akan dilayan kerana ianya bersalahan dengan syariat.

Lupakah melayu islam, bahawa ketua kita, Al-Rahiq Al-Makhtum, Muhammad S.A.W, pernah bersabda...?
من كان يؤمن بالله واليوم الاخر فليقل خيرا أو ليصمت
"sesiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, maka hendaklah dia mengatakan perkatan yang baik, ataupun diam."

Asasnya, kita disuruh oleh baginda Nabi Muhammad S.A.W untuk menjaga lisan dari menuturkan perkataan yang buruk. Meninggalkan umpat, keji mengeji, kutuk mengutuk dan sebagainya.

Namun, saya ingin juga menukilkan satu lagi hadith yang lebih 'dalam' bagi menyokong hadith di atas.

انما بعثت لاتمم مكارم الاخلاق
"Sesungguhnya akau ini diutuskan untuk menympurnakan akhlak yang mulia"

Maka, termaklum dan maaruf di kalangan kita (harapnya), bahawa pertuturan yang baik, lemah lembut, bersopan santun adalh sebahagian dari akhlaq yang mulia.

Perhatikan pula nasihat Luqman Al-Hakim kepada anaknya yang terakam dalam kitab suci :

وَلَا تُصَعِّرْ خَدَّكَ لِلنَّاسِ وَلَا تَمْشِ فِي الْأَرْضِ مَرَحًا إِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ كُلَّ مُخْتَالٍ فَخُورٍ (18) وَاقْصِدْ فِي مَشْيِكَ وَاغْضُضْ مِنْ صَوْتِكَ إِنَّ أَنْكَرَ الْأَصْوَاتِ لَصَوْتُ الْحَمِيرِ

Pesan datuk saya ketika saya masih kecil dan kenakalan saya sedang memuncak, :

"Nak buat salah, silakan. Namun, pastikan kamu sempat bertaubat...dan ingat, jangan sampai kesalahan itu kita terlupa bahawa ia adalah kesalahan akibat dari terbiasa melakukannya."
Andai masih ada yang tidak sedar akan kebiasaan yang menyedihkan ini, bahawa bahasa dan tuturmu tidak selunak yang digariskan oleh AL-Quran dan Sunnah, sedarlah, bahawa itulah tanda imanmu makin menipis. Taqwamu semakin tumpul, basirahmu semakin berkarat, dan hatimu makin zhulumat.

Sirnakanlah ianya dengan meninggalkan maksiat, mengerjakan ibadat, dan taatlah kepada tuhan yang juga pandai melaknat. Jangan hanya tenggelam dalam illusi dan strategi yang direka-reka. Kononnya dakwah itu perlu bervariasi, sedangkan asas dakwah itu kita tinggalkannya dibelakang.

Akhirnya, pesan murabbi agung abad ini, ayahanda Syeikh Abdullah Nasih Ulwan, :

“Anakku, jangan sibuk ingin memenangkan Islam dengan strategi semata-mata sedangkan basirahmu semakin menumpul & Ibadahmu semakin berkurang. Teladanilah Abdullah Bin Mubarak yang menggandingkan semangat jihadnya dengan ketaqwaan yang mutlaq kepada Allah. Bukankah AlBanna itu seorang yang sufi lagi haraki?”
Sesungguhnya berhalus dan berhati-hati dalam menuturkan kata serta beradat, beradab dan berbudaya itu adalah lambang muslimnya muslim, lambang mukminnya mukmin, dan ianya juga adalah lambang Taqwa.

Moga sayalah yang lebih dahulu mengamalkannya.

Ahad, 27 September 2009

Malu Aku Berjiran Dengan Mu

Semalam, saya bermimpi lagi. Setelah hampir sebulan saya berkelana di Dataran Syam, harapan untuk menziarahi Makam Syuhada' Mu'tah belum tercapai. Meski jarak kurang 5km dari Bayt Malizi, tempat saya berteduh sementara mendapat mahligai baru.

Perasaan bersalah timbul. Saya melawat Karak pada hari keempat saya di Jordan. Di situ, saya telah melawat tempat yang dikatakan Maqam Nabi Nuh a.s. Di situ juga saya melawat Qal'ah Saahuddin. Kubu yang baginda perolehi selepas menawan kerajaan Rom Bzyntine.

Semalam, saya ke Laut Mati yang jauhnya melebihi dua marhalah. Mencari pengajaran penting di situ.

Namun, makam Syuhada' yang berjiran dengan tempat tinggal saya masih belum dijejaki.

Dek mimpi itu, saya bersiap di awal pagi. Membelek sedikit sebanyak buku-buku dan kitab sirah. Buku Sejarah Peperangan tulisan Us Riduan Mohd Noor menjadi pilihan. Al-Rahiq Al-Makhtum tulisan Syeikh Sofiyurrahman juga tidak dilupakan. Akhirnya, Sirah Ibnu Hisyam juga saya selak.

Sejarah perang Mu'tah saya teliti sebenar-benarnya.

PERANG MU'TAH

Peperangan Mu'tah berlaku pada tanggal 13 Jamadil Awwal tahu ke-8 Hijrah. Bersamaan dengan Ogos dan September 629 Masihi.

Perang Mu'tah tercetus disebabkan oleh terbunuhnya utusan Baginda Muhammad S.A.W, Al-haarith bin Umair Al-Azdi yang diutuskan untuk menghantar surat kepada pemimpin Basra.

Beliau akhirnya telah dibunuh oleh Gabenor Al-Balqa' bernama Syurahbil bin Amru Al-Ghassani di Mu'tah, daerah berhampiran dengan Kota Karak di Jordan. Al-Balqa' merupakan kawasan taklukan Rom berdekatan dengan Syria.

Mengetahui berita tersebut, Baginda S.A.W amat bersedih lantas mengumpulkan tentera seramai 3000 orang untuk mara ke Mu'tah bagi menuntut bela atas kezaliman yang telah dilakukan oleh Kerjaan Rom ke atas Islam, khususnya ke atas Al-Harith.

Sebelum berangkat ke Mu'tah, baginda S.A.W telah berpesan kepada tiga orang sahabat baginda.
إن قتل زيد فجعفر، وإن قتل جعفر فعبد الله بن رواحة ، وعقد لهم لواء أبيض، ودفعه إلى زيد بن حارثة
Rasulullah S.A.W telah memberi arahan dari segi kepimpinan ketika berlakunya peperangan yang mana dimulai dengan Zaid bin Harithah diikuti oleh Ja'afar bin Abi Thalib jika Zaid gugur. Kemudian diganti oleh Abdullah bin Rawahah apabila Ja'afar telah syahid. Jika ketiga-tiganya telah gugur maka para tentera diminta memilih salah seorang yang thiqah atau dipercayai di kalangan mereka untuk memimpin.

Saat membaca wasiat baginda ini, saya menangis. Hati saya bertutur, "Seolah-olah ini adalah petanda awal bahawa mereka akan syahid!"

Lalu maralah tentera Islam ke Mu'tah.

Sebaik sahaja mereka tiba di Mu'tah, tentera musuh telah mendengar kemaraan tentera Islam yang mana dengan segera panglima perang musuh, Harcules mengumpul bala tentera lebih seratus ribu orang disamping Syurahbil pula mengumpul seramai seratus ribu bala tentera yang lain hasil gabungan qabilah Lakham, Juzam, Qain dan Bahara'.

Apabila mendengar berita mengenai jumlah tentera musuh yang begitu ramai, maka tentera muslimin telah berbincang langkah mereka yang seterusnya di Ma'an selama dua malam. Ramai di kalangan mereka telah mencadangkan agar menghantar maklumat kepada Rasulullah S.A.W mengenai perkara ini tetapi Abdullah bin Rawahah dengan tegas bangun bekata:

يا قوم، والله إن التي تكرهون لَلَّتِي خرجتم تطلبون : الشهادة، وما نقاتل الناس بعدد ولا قوة ولا كثرة، ما نقاتلهم إلا بهذا الدين الذي أكرمنا الله به، فانطلقوا، فإنما هي إحدي الحسنيين، إما ظهور وإما شهادة

"Wahai kaumku, sesungguhnya apa yang kita benci itu sedang kita hadapi dan kita mahukan sekarang ini, iaitu mati syahid. Kita tidak memerangi musuh kerana bilangan, bukan juga kerana kekuatan dan bukan juga kerana jumlah tentera yang ramai, namun kita berperang hanya semata-mata untuk agama yang telah Allah muliakan kita ini dengannya. Marilah kita mara, di sana nati ada dua kegembiraan yang menanti, Menang atau Syahid."


Maka maralah tentera islam yang dipimpin oleh Zaid Bin Harithah, anak angkat Baginda S.A.W yang disayangi merempuh pertahan musuh. Lantas akhirnya Saydina Zaid terbunuh.

Maka Saydina Jaafar menyambut panji Islam dan memimpin peperangan dengan penuh semangat. Namun, kerana semangat juangnya yang tinggi, beliau juga telah gugur dengan kesan tikaman dan anak panah yang tidak kurang dari 70 tikaman di badan beliau. Manakala kedua belah tangan beliau terputusu ditetak musuh.

Abdullah Bin Rawahah seterusnya menggantikan Jaafar sepertimana kehendak Rasulullah. Dan akhirnya, beliau juga gugur syahid.

Lalu tentera islam memilih Khalid Al-Walid untuk menjadi panglima. Dengan pemikiran strategis beliau, akhirnya tentera islam berjaya mengundurkan musuh setelah ratusan musuh berjaya dibunuh sedangkan hanya 12 orang tentera islam yang terbunuh.

Rasulullah yang menerima berita kematian 3 perajurit itu amat bersedih dan air mata nubuwwahnya menitis.

Kesedihan keluarga Jaafar dipadamkan dengan khabar bahawa Perajurit itu telah dikurniakan sayap, digantikan dari kedua tangannya yang terputus mempertahankan panji Islam.


Sehari Senyuman saya hilang

Bersendirian memenuhi jemputan Saidina Jaafar, saya menaiki Coaster dari pekan Mu'tah ke Mazar. Dengan tambang 15 Qurusy, saya tiba di hadapan masjid besar yang sedang di ubahsuai.

Berteleku di sisi makam Zaid di bawah kubah kiri masjid, saya menitiskan air mata. Anak angkat kesayangan nabi ini terbunuh. Air mata kesedihan saya mengalir. Terasa bagaimana terhirisnya perasaan baginda S.A.W. Zaid Ibn Harithah dalah satu-satunya nama sahabat yang terukir di dalam Al-Quran.

Melangkah pula ke Makam Saidina Jaafar Al-Tayyar. Sekali lagi air mata saya mengalir. Namun kini lebih deras. Esakan saya menarik pengawal makam menepuk-nepuk bahu saya.

"Selawat ke atas nabi wahai anakku" kata pakcik berbaju biru itu.

Baginda Nabi amat menyayangi Jaafar. Baginda juga pernah bersabda mengatakan bahawa Jaafarlah orang yang paling mirip dengan baginda dari sudut akhlak, tingkah laku dan rupa paras.

Berbahagialah Wahai Jaafar, sayapmu menjadi mahkota agung syuhada' Mu'tah.

Lama di makam Jaafar, saya ke luar kawasan masjid. Melangkah ke sebelah kiri menuju ke kubah putih di celah-celah pohon Zaitun. Di dalam taman itu, tersemadinya jasad Panglima ke-3 Mu'tah, Abdullah Bin Rawahah.

Seorang pakcik menyambut. Saya terus ke dalam. Membaca bait Syair puitis yang menyentuh hati, nukilan sekeping hati suci milik penyair nabi itu. Sekali lagi saya menangis.

Azan Asar berkumandang. Saya bingkas ke Masjid.

Menunggu solat, saya termenung mengenang diri. Malunya aku berjiran dengan para syuhada' Mu'tah yang kental semangatnya, kukuh tekad perjuangannya. Sedang aku masih bertatih berperang dengan diri sendiri.

Malu aku pada Zaid yang terbunuh untuk membela Islam. Malu aku pada Jaafar yang hilang kedua tangannya. Malu aku pada Abdullah Ibn Rawahah.

Terkenang kembali saat saya memimpin persatuan suatu ketika dahulu. Bagaimana ingin mencontohi Jaafar yang menjemput dan manyambut saya ke bumi ini, sedang semangat saya semakin merudum, hati saya semakin rapuh, motivasi saya semakin kusam.

Masih meraba-raba mencari bekalan TAQWA di kelana panjang perjuangan ini. Moga semangat Syuhada' itu meresapi juga hati kotor jiranmu ini...

Artikel sebelum : "Laut Mati Yang Mematikan Hati".

Komen Anda Adalah Buah Tangan Terbaik [hasanhusaini]

Sabtu, 26 September 2009

Laut Mati Yang Mematikan Hati

Setelah hampir separuh purnama saya bermastautin di bumi Syam, beberapa perancangan ziarah diatur untuk menjinakkan kami dengan bumi gersang ini sebelum bermulanya sesi pengajian pada minggu depan. (Baca hari Ahad, 27 Sept 2009).

Tempat pertama yang bakal dilawati setelah ke Makam Nabi Nuh dan Qal'ah Salahuddin tempoh hari ( ceritanya bakal menyusul) ialah ke Laut Mati.

Laut Mati terletak kira-kira 80 km dari Amman- ibu negara Jordan, bersempadan dengan Tebing Barat, Palestin yang kini diduduki oleh Yahudi Laknatullah 'Alaih. Pesisir laut sepanjang lebih 60km itu terbahagi kepada Tebing Barat di sebelah Palestin, dan Tebing Laut Mati di sebelah Jordan. Ukuran rentas di antara dua tebing adalah sejauh 18km.

Laut Mati (البحر الميت‎) merupakan tasik air masin yang terletak di kedudukan serendah 418 m di bawah aras laut, kedudukan terendah di atas daratan, dan juga tasik masin yang terdalam, sedalam 330 m.

Airnya mempunyai kemasinan kedua tertinggi di dunia selepas Laut Asal di Djibouti dengan kemasinan hampir 30 %. Ini bermakna, dalam sekilo air laut mati, terdapat 300gram garam, 8.6 kali lebih masin dari laut biasa. Oleh kerana itu tiada satu pun hidupan yang boleh hidup di dalamnya dan kapal tidak boleh berlayar di atas permukaannya. Cabang sungai utamanya ialah Sungai Jordan dan Wadi Mujib.

Kesan Laut Mati ini membuktikan kebenaran dari ayat Al-Quran mengenai bala yang telah menimpa kaum Nabi Luth a.s di atas maksiat yang mereka lakukan kira-kira 3900 tahun yang lampau.

Nabi Luth a.s adalah anak saudara kepada Nabi Ibrahim a.s. Bapa baginda Hasan bin Tareh adalah saudara kandung Nabi Ibrahim a.s. Baginda mengikuti Nabi Ibrahim berhijrah dari Babylon (Iraq) ke Palestin yang dikenali dengan wilayah Kana'an pada ketika itu.

Seterusnya mereka ke Mesir dan berpisah di situ. Nabi Luth a.s berhijrah ke satu kawasan bernama Sodom dan Jemoroh yang kini merupakan kawasan bernama Jazirah Lisan terletak di selatan Laut Mati.

Menurut riwayat, kaum Nabi Luth a.s berjumlah 4 juta orang. Kaum Nabi Luth a.s dibinasakan oleh Allah S.W.T disebabkan melakukan perbuatan terkutuk iaitu Homoseks yang belum pernah dilakukan oleh kaum terdahulu.

Cerita tentang Nabi Luth dan kaumnya banyak tercatat secara jelas di dalam Al-Quran.

Antaranya, ayat 80-81 Surah Al-A'araf :
Dan Nabi Lut juga (Kami utuskan). ingatlah ketika ia berkata kepada kaumnya: "Patutkah kamu melakukan perbuatan Yang keji, Yang tidak pernah dilakukan oleh seorang pun dari penduduk alam ini sebelum kamu?
"Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki untuk memuaskan nafsu syahwat kamu Dengan meninggalkan perempuan, bahkan kamu ini adalah kaum Yang melampaui batas".

Dakwah dan amaran keras Nabi Luth a.s tidak dipedulikan oleh kaum Sodom dan Jemoroh malah mereka bertindak untuk mengusir Nabi Luth a.s dari wilayah tersebut dan menuduh Luth a.s hanya berpura-pura menunjukkan kebaikan.

Setelah dakwah dan usaha baginda tidak berhasil, maka berdoalah Nabi Luth a.s supaya ditimpakan bencana terhadap kaumnya yang sudah melampaui batas.

Lalu Allah mengutuskan malaikat untuk membalikkan bumi Sodom sekaligus menghancurkan seluruh kaumnya.

Firman Allah di dalam Surah Hud ayat 82 :

Maka apabila datang (Masa perlaksanaan) perintah kami, Kami jadikan negeri kaum Lut itu diterbalikkan (tertimbus Segala Yang ada di muka buminya) dan Kami menghujaninya Dengan batu-batu dari tanah yang dibakar, menimpanya bertalu-talu.

Begitulah kisah umat Nabi Luth a.s yang telah dilenyapkan oleh Allah setelah mengingkari arahan dan ajakan dakwah Nabi mereka.

Berkaitan dengan cerita Nabi Luth juga adalah berkaitan dengan isterinya yang derhaka. Title sebagai isteri seorang nabi tidak menjamin seseorang itu mendapat hidayah, apatah lagi untuk dijamin syurga.

Perbandingan yang cukup jelas dan dekat dihati telah dirakamkan oleh Allah dalam Surah Al-Tahrim, ayat 10-12. Sila rujuk tafsir untuk meneliti bahasa Al-Quran yang sungguh indah itu.

Isteri-isteri Nabi Nuh dan Nabi Luth dibandingkan oleh Allah dengan Isteri Firaun yang kufur. Isteri-isteri Nabi Nuh dan Nabi Luth mendapat neraka meski tidur sekelambu dengan Nabi Allah, manakala Isteri Firaun yang kufur mendapat syurga yang kekal abadi meski suaminya adalah penderhaka besar yang mengaku tuhan.

Laut Mati juga sinonim dengan cerita tentang kemenangan tentera Rom ke atas Tntera kerajaan Parsi. Berita yang menggembirakan ini dikhabarkan oleh Allah saat Rom dimbang kekalahan yang teruk sehingga bangsa arab beranggapan bahawa, adalah amat mustahil untuk Rom kembali bangkit, malah untuk mempertahankan diri saja, mereka sudah tidak berdaya. Negeri-ngeri jajahan Rom seperti Syria dan sebagainya dirampas oleh Parsi dalam operasi ketenteraan itu.

Namun, turunnya wahyu Allah yang terakam di dalam surah Al-Ruum, ayat 2 dan 3 amat mengejutkan dan menerima cemuhan dari bangsa arab. Namun, deduksi Al-Quran yang merupakan wahyu itu tidak dapat disangkal, akhirnya Rom berkuasa semula, dan kemenangan itu dicatatkan di sekitar laut mati yang terendah. ( Adna Al-Ardh). Untuk bacaan lanjut, saya cadangkan untuk merujuk tafsir-tafsir seperti Al-Azhar dan Fi Zilal Al-Quran.

Kembali kepada ziarah saya.

Sebelum bertolak, saya sempat meneliti beberapa cerita tentang Laut Mati dari beberapa kitab, buku dan artikel di internet. Sambil memasak bekalan, saya bertanyakan tentang tentatif perjalan kami. Bertolak selepas Asar dan kembli selepas Isya'. Sempat juga saya mencadangkan agar dipesan secara tahqiq agar niat untuk ke Laut Mati diperbatulkan andai ada yang tersasar untuk berkelah di Laut Mati.

BANGSA YANG MENYEDIHKAN

Perjalanan merentas bukit batu dan jalan yang berliku-liku selama lebih kurang 2 jam, kami tiba di Pinggir Laut Mati. Sungguh mengejutkan saya, sebuah kawasan peranginan yang cantik terhias di depan mata.

Bagai tidak percaya. Pantai Amman. Begitu yang terpahat di papan tanda.

Ya Allah, bangsa muslim apakah begini..?

Saya menepuk-nepuk dahi beberapa kali.

Tidak kurang 500 orang arab datang bersukaria, berkelah, mandi-manda dan ada juga yang datang mencari 'berkat' Laut Mati.

Usahkan untuk merasakan bahawa inilah bumi yang telah Allah zahirkan azabnya terhadap kaum Nabi Luth 3900 tahun dahulu untuk diambil iktibar dan pengajaran, Yahudi di depan mata mereka diseberang laut (Tebing Barat) seakan dijadikan jiran yang baik untuk disantuni.

Saya termenung panjang. Pastinya hancur luluh hati saudara seaqidah di Palestin melihat rakan sebangsa dan seagama mereka hanya bersantai di pinggir Laut Mati yang hanya 18km dari Tebing Barat, tanah Palestin yang kini telah dijajah Israel yang dilaknat.

Sebelum meneruskan agenda lain, saya tampil atas rasa ingin berkongsi, menasihati sahabat-sahabat yang turut sama dalam ekspedisi kali ini agar meneliti dalam diri masing-masing, dibimbangi adanya sifat-sifat yang sama seperti sifat kaum sodomi yang diazab dan yahudi yang dilaknat.

Moga hati saya yang terlebih dahulu lunak untuk dimuhasabah.

Komen Anda Adalah Buah Tangan Terbaik [hasanhusaini]

Artikel sebelum : "Kita Pernah Berjanji"

Rabu, 23 September 2009

Kita Pernah Berjanji...

Hujung minggu, saya berkesempatan ke bandar untuk mencukupkan bekalan kehidupan harian. Pengubat bosan, saya bawa bersama seorang sepupu yang baru berusia 4 tahun.

Umur yang sedang mabuk mengeja. Segala-galanya ingin dieja. Sehinggakan model kereta dan no.plat pendaftarannya sekali.

Fitrah benda baru, segalanya enak.

Namun hakikat sebenar adalah untuk menunaikannya dengan niat untuk menyumbang manfaat nanti, apakah ianya masih segalak itu saat membaca menjadi kewajipan?

Saya pernah menjadikan tugas memandu sebagai ubat mengantuk paling efisien. Sebut sahaja mahu ke mana, pasti mampu menjadi jawapan saya, meski pukul 4 pagi yang siangnya belum sempat qailullah.

Namun kini?

Untuk mencukupkan jarak dua marhalah boleh membuatkan saya menguap puluhan kali. Stamina sudah hilang berkala dengan kegemaran yang bertukar menjadi rutin dan kewajipan yang membosankan.

Mydin Kota Bahru

Seperti biasa, hujung minggu menjanjikan lautan manusia turun ke Bandar. Rakyat Kelantan dengan kuasa belinya yang maha tinggi membanjiri pasaraya yang ada di sekitar Bandar. Khususnya Mydin.

Usai memilih barangan yang diperlukan, saya menolak troli ke kaunter bayaran. Dengan autopilot, saya mencari kaunter yang paling pendek barisannya.

Beratur.

Sepupu yang saya bawa bersama asyik mengeja apa saja tulisan yang terbayang dimatanya.

Tiba-tiba, baju saya ditarik-tarik. Saya menunduk dan bertanya, “ kenapa?”

Sambil memuncungkan mulutnya ke arah satu label dan mengeja.

W-A= Wa, N-I=ni, T-A=ta....

WANITA! Lorong Wanita!

“ Ni lorong wanita la abe long…nun lorong lelaki…” suara nyaringnya mudah menghinggapi cuping telinga mereka yang berada sekeliling.

Saya berbasa-basi, menarik troli ke kaunter sebelah yang agak panjang.

Kebiasaan saya di tengah ibu negara Malaysia melupakan terma dan undang-undang yang diamalkan di negeri sendiri. Kelantan tidak sama dengan Kuala Lumpur!

FITRAH

Fitrah kanak-kanak sekecil itu pasti akan tertarik ke arah yang baik. Mengikuti undang-undang fitriyah. Cuma, seandainya fitrah itu tidak dijaga dan dididik dengan baik, ia akan hangus ditelan kebiasaan yang dipaksa-paksa lantas merosakkan.

KEBIASAAN

Sejak awal menjejakkan kaki ke Darul Quran, saya memasang tekad untuk menjadi best student.

Maka, saya ke kelas seawal 7 pagi, sedangkan kelas akan bermula pada pukul 8 pagi.

Saya istiqamah dengan jadual yang saya bawa dari MTDQ Repek yang padat. Meng'haram’kan waktu selepas Maghrib selain dari diperuntukkan untuk menghafal ( dibaca mengulang ).

Saya beristiqamah untuk datang ke Masjid 1jam sebelum subuh. Jadual ketat saya sebelum ini (MTDQ Repek) dapat saya praktikkan dengan baik.

Namun itu hanya untuk beberapa bulan cuma. Selepas beberapa ketika, pergaulan dengan teman-teman, kekangan tugas dan sebagainya, saya terlencong dari ‘kebiasaan fitrah’ kepada kebiasaan yang buruk.

Kalau ingin disyarahkan dari sudut pandangan ‘Us Stephen Covey’ maka ia pastinya berpunca dari diri saya yang tidak Proaktif.

Hingga akhirnya, bagaikan nasi yang sudah menjadi bubur, saya menyesal dengan apa yang berlaku. Ingin saja dikalaukan apa yang telah dirancang dahulu berjalan lancar.

BAHARUKAN NIAT

Kini, saya bakal melangkah ke dunia baru. Ke Dataran Syam Insya-Allah. Ameen.

Saya sudah mula memasang-masang tekad lagi. Untuk menjadi yang terbaik sekali lagi.

Sesuai dengan akta imtihan Allah dalam surah Al Mulk. Mati dan hidup diciptakan untuk menguji, siapa yang TERBAIK amalnya.

Berbagai niat di'pasangkan' di kepala.

Pengajian musim panas.

Talaqqi.

Ziarah Syria untuk ‘mencuri’ sanad dan sebagainya yang terlintas di kepala…

“ Ana nak buat degree 3 tahun je kat Mu’tah” seorang sahabat memahat niat di Kuala Kubu Bharu.

“ Musim panas, ana nak ke Syria, talqqi kitab dan cari sanad Al-Quran dengan Syeikh Qurraa’..” azam seorang sahabat yang lain.

" Ingat ye janji kita, nak menadah kitab dan muzakarah antara kita..." janji diingatkan oleh seorang sahabat.

“ Kat Jordan nanti, ana nak tinggal dengan arab, senang dapat bahasa..” seorang lagi sahabat berazam luar kotak.

" ana kalau ditakdirkan ke Jordan, ana nak mujahadah betul-betul..ana kesian pada ibu dan ayah ana, bukannya berduit sangat mereka tu...", seorang lagi merancang kehidupan.

"moga-moga hijrah ana ke Jordan, betul-betul menghijrahkan ana ke arah yang lebih baik..doakan ana dapat kekuatan untuk tinggal perangai-perangai lama yang buruk..." keluh seorang sahabat lagi.

" Insyaalah, selagi ada rezeki untuk ana, kita akan berkongsi..kita akan saling kuat-menguat dan tak akan berpecah haluan..." lafaz ala bai'ah yang pernah dituturkan di tulang belakang semenanjung.

“ Ana nak sambung master terus kat Jordan..” Getus seorang lagi.

Dan saya yakin, mereka semua berniat untuk menjadi yang terbaik demi Islam.

KEBIMBANGAN SAYA

Saya cuma mampu menawarkan kebimbangan untuk diambil perhatian andai ianya baik. Bimbangkan beberapa hepotesis saya menjadi kenyataan.

Bimbang kita bermudah-mudah dengan alasan uruf.

Bimbang kita mudah hilang identiti dan jati diri dalam kegelapan tanpa penyuluh melainkan diri sendiri. Andai diri berTAQWA, maka jalan yang baik itu senang dijumpai. Namun andai diri kontang TAQWA kerana maksiat dan nista, maka pastinya jalan itu sulit untuk dijejaki.

Bimbang kita melencong dari niat dan qasad awal. Bimbang juga teralih keutamaan dalam amalan.

Bimbang kita lupa akan janji-jaji yang pernah terlafaz.

Moga Allah mempermudahkan laluan saya untuk menjadi yang TERBAIK dalam konteks manusia dengan mampu memberi MANFAAT kepada Ummat…ameen.

P/S : Artikel ini ditulis pada 1 Julai 2009 dengan tajuk "Sebelum Kebiasaan Menyelimuti" dan diterbitkan semula atas asbab dan faktor yang munasabah. Moga saya tidak terlepas peluang untuk kali kedua....
Komen Anda Adalah Buah Tangan Terbaik [hasanhusaini]

Isnin, 21 September 2009

Raya Di Perantauan

Assalamualaikum wbt..minal aidin wal faaizin,kullu am wa antum bikhoir diucapkn kepada seluruh ummat Islam,semoga raya kali ini merupakan hari kemenangan yang amat bermakna bagi kita.Mudah-mudahan kita memperoleh taqwa hasil tarbiyyah selama sebulan dalam bulan Ramadhan yang lalu.Taqwa inilah juga yang akan menjadi bekal untuk kita mendepani bulan-bulan yang akan datang,Insya Allah.



Inilah kali pertama saya beraya di perantauan nun jauh di bumi anbiya',tempat syahidnya 3 panglima ghuzwah Mu'tah.Terasa juga sayu tatkala beraya tanpa umi ayah dan keluarga di sisi,namun demi matlamat ilmu saya gagahkan hati ini.Terkenang akan semangat dan pengorbanan para ulamak terdahulu dalam menuntut ilmu.Hebat!Mereka memang hebat,hemah mereka tinggi,hasilnya lahirlah Imam-imam mazhab yang empat,Imam Nawawi dan ramai lagi.



Berbalik pada cerita idulfitri,pelbagai persiapan dibuat untuk hari kemenangan ini.Inilah cara untuk mengubat kerinduan pada tanah air yang baru ditinggalkan kira-kira dua minggu.Kerinduan pasti terubat dengan nasi kapit Perol,satay Bandar,rendang Ket dan lontong DBH.Pengalaman baru sebagai anak rantau kerana kesemuanya dihasilkan bersama adik beradik seperjuangan,,marveleous!





Allahumma taqabbal minna! Ya Allah,terimalah ibadah puasa kami sepanjang Ramadhan yang lalu,berilah kekuatan kepada kami untuk terus istiqamah beribadah padaMu,jadikan kami hambaMu bukan hamba Ramadhan.Kurniakn kami taqwa hasil didikan Ramadhan.





Kredit untuk Us Fakhrul Hayyi selaku penulis.

Komen Anda Adalah Buah Tangan Terbaik [hasanhusaini]

Sabtu, 12 September 2009

Tetamu Syam

Tiba di Changi di pinggir tengah malam. Saya melangkah keluar dari pesawat A320 milik Airasia dengan seribu satu perasaan. Melangkah menuju ke pintu keluar. Menelusuri jalan hampir 600 meter berselangkan 'tangga bergerak' sebagai pembantu yang baik.

Selepas ke tandas, saya terus ke kaunter Imegresen untuk pemeriksaan sebelum ke kaunter tuntutan bagasi.

UJIAN PERTAMA

Lama beratur, tiba giliran saya.

"Mana borang imegresen..?", tanya pegawai tersebut, seorang makcik yang agak manis mukanya.

"Ada borang ke..?" soal saya kehairanan.

"Allah, adik pergi isi borang kat sana, pastu terus datang jumpa akak, tak perlu Q lagi..." jelasnya berbelas.

Saya bergegas ke belakang mengisi borang dan kembali, seterusnya melepasi imegresen itu dengan lafaz salam kepada 'ibu' yang baik hati itu.

Bergegas ke Terminal 3 dengan khidmat Skytrain yang bertugas setiap selang tiga minit. Di Terminal tiga, saya terus check in untuk memudahkan urusan.

Sambil meronda, saya terlihat sebuah arca cantik, lantas terlintas kepada tengkuk saya yang terasa ringan.

"Allah, mana kamera aku..?"

Kamera 1000D saya hilang di Airport Changi.

Ringkasnya, Allah ketemukan semula dengan gajet itu 10 min sebelum gate penerbangan QR649 ditutup.

UJIAN KEDUA

Penerbangan selama hampir 8jam membelah samudera ingin dijadikan medan istirahah selepas hampir seminggu saya bertungkus-lumus menyiapkan persediaan untuk nafar kali ini.

Pukul 3.55 am waktu Doha, saya tiba dengan selamat. Keluar dan menghirup udara segar padang pasir Doha yang kian berubah wajah menjadi lebih moden.

Akibat keletihan, saya terus menyelesaikan kewajipan, subuh berjemaah dan terus mencari kaunter pertanyaan untuk bertanyakan khabar tentang penginapan saya.

Akhirnya dimaklumkan bahawa, saya tidak disediakan dengan hotel. Bermakna saya transit selama 9 jam dengan i'tikaf di Musalla.

Rahmat mendatang. Udara Jordan akhirnya saya hirup di penghujung waktu Zuhur. Queen Alian International Airport masih dalam proses naik taraf. Sedikit kekalutan di hudud untuk pengesahan visa, namun akhirnya ungkapan syukur tidak terhingga apabila mata saya bertentangan denga empat mata dari Syria.

Azan dan Arif bermusafir dari Syria untuk menyambut ketibaan saya sebagai tetamu dataran Syam ini.

Air mata bergenangan. Ya Allah, manis sungguh ukhuwah ini....

Berpelukan dan bersalaman.

Ya Allah, mereka datang kerana aku ini adalah saudaranya, bukan kerana nikmat dunia yang fana, kurniakan kepada keduanya Syurga mu di sana...ameen.

Komen Anda Adalah Buah Tangan Terbaik [hasanhusaini]

Rabu, 9 September 2009

Saya Dan Mu'tah


Lima Keluarga yang mengiringi Musafir Saya
Setahun yang lalu, saya mula merindui bumi ini. Bumi yang tersemadinya wira saya, Saidina Jaafar At-Tayyar R.A. Bumi yang menyaksikan syahidnya tiga sahabat agung di medan ini, medan Mu'tah.

Dan hari ini, saya di sini. Udara Mu'tah yang terselit bau Khubuz kini memenuhi paru-paru saya pada setiap helaan nafas. Alhamdulillah.

Namun di luar sana, mungkin ada yang mengucapkan kalimah lain, lantaran saya ke sini membiarkan surat dari Jamiah Madinah terbiar tanpa jawapan.

4 September 2009

Persiapan ringkas dibuat. Semalamnya, sedikit solat hajat dilakukan selepas Tarawih. Sanak saudara menziarahi. Saya mengemas dan menyusun barang-barang yang perlu dibawa.

Usai berbuka dan solat Maghrib, dua buah kereta bersiap sedia untuk bertolak ke Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra. Belum sempat bertolak, datang lagi dua buah, ingin menyertai rombongan kami untuk menghantar saya ke Jordan.

Jam 1130 malam, terbang ke awan biru membelah semenanjung ke LCCT Kuala Lumpur.

Singgah di Bangi untuk sehari. Menziarahi Surau Al Mujahidin, Desa Surada, Naqib- Us Idris di UKM, sahabat usrah-Khalil, Hafizan, Fadhlan, juga Sahril.

Selepas Asar, adik-adik Darul Quran tiba untuk mengiringi saya ke LCCT sekali lagi untuk ke Singapura.

Berbuka puasa di LCCT bersama adinda saya dari USIM yang datang bersama kawan-kawannya.


Mereka Yang mengetahui 'Rahsia' saya.....

Dan sebelum berlepas, memberi dan menerima sedikit wasiat dari sahabat-sahabat seperjuangan.

Terima kasih atas cenderamata kenangan kalian.

8.35 malam, sekali lagi saya membelah semenanjung untuk ke Changi International Airport. Transit di sana sebelum menukarkan penerbangan ke Qatar Airways ke Amman, Jordan melalui Doha, Qatar.

Cabaran bermula dalam kembara sendirian saya mencari bekalan TAQWA. Bersambung lagi.

Komen Anda Adalah Buah Tangan Terbaik [hasanhusaini]

Sabtu, 29 Ogos 2009

Mehnah Zaman Fitnah

Zaman ini tak bersempadan lagi. Segalanya telus, terus menerus. tanpa hijab. Andai dulu, untuk berhubung dengan rakan yang berada riban kilometer, kita hanya mampu mengirim surat, yang akan berbalas sebulan kemudia. Kini kita sudah mampu melihat dan bercakap dengannya melalui YM dan sidang video.

Alhamdulillah.

Segalanya mudah kepada kita.

Begitulah ibu saya diyakinkan tentang dekatnya anak lelakinya untuk disantuni, meski jasad saya bakal berada ribuan kilometer di tanah arab. ( Madinah @ Syam...?) Pedulikan.

Khamis, 27 Ogos 2009

Arak : Sedikit catatan

Dalam sehari, saya menerima lebih sepuluh panggilan dan sms, semuanya menanyakan komen saya tentang kes arak di Pahang.

Namun, imbalan dari pertanyaan itu, tak sempat saya tunaikan lantaran 'kesedihan' saya akibat dari kesedihan adinda saya Yusran yang kehilangan ayahandanya.

Rabu, 26 Ogos 2009

Warkah Untuk Teman Di Sore Ramadhan

Sejak Ramadhan, saya langsung tidak menulis. Bukan enggan, bukan juga sibuk. Tapi, cuba menyemak kembali tulisan saya sebelum ini, apakah sudah semua saranan dan amar makruf seta nahi mungkar yang telah saya nukilkan itu, telah saya tunaikan.

Tiga tahun dalam dunia blogger, lebih 200 artikel dipublishkan. Pasti banyak sekali semakan dan muhasabah yang perlu saya lakukan.

Hari ini saya terpanggil untuk menulis. Menulis tentang seorang mukhlis.

Seorang sahabat yang banyak membantu saya meluruskan laluan hidup, mendidik tanpa disedari. Membentuk dan mengetuk tanpa bunyi. Mengukir dan sentiasa memberi tanpa kikir.

Hari ini, kemuncak sedihnya dia pasti bukan kepalang. Penantian penuh debaran selama 8 hari beretemu dengan noktah yang pastinya pahit untuk ditelan.

Ayahanda kesayangan beliau kini dipanggil untuk mengadap tuhan. Akibat H1N1, wabak heboh mutakhir ini.

Masih segar, bagaimana saya bertemu buat kali pertama dengan almarhum tiga tahun lalu. Masih diingati pertembungan kami di tangga paling dekat dengan masjid di asrama A Darul Quran. masih hijau kenangan bertandang dan menyantap bubur lambuk Kuala Besut kegemaran Almarhum.

Teramat segar iingatan, jasad itu terbaring lesu di pejabat Koperasi Kowamas di Permatang Badak, Kuantan, 7 hari yang lalu.

Kini, dihadapan saya, jasad itu terbujur kaku dipembaringan. Dilitupi kain putih. Peluh dingin memercik di dahi.

Tangisan sanak saudara jelas kedengan.

Bani Adam menangisi pemergian saudaranya bertemu Tuhan.

JAM 3:14 petang.

HP saya berdering.

"Assalamu'alaikum, angah, ana nak maklum ni, aboh dah meninggal...". Mendatar suara Yusran ditalian. menyembunyikan sebak di hati.

"Tolong maklumkan kepada sahabat-sahabat yang lain ye...", pesannya sebelum memutuskan talian.

Innalillahi wa inna ilaihi raaj'uun.

Saya terus menaip mesej ringkas untuk diforwardkan kepada sahabat-sahabat seperjuangan.

Memandu kereta ke HUSM Kubang Kerian, terus ke Wad 4 Timur. Mendapatkan Yusran. Tubuh kurus itu segera saya peluk, dan tangisan mengiringi.

Ucapak takziah dan sabar meniti bibir, belakangnya saya usap.

Bingkai matanya digenangi air. Sedikit basah di pipi.`

Baru semalam saya menziarahi bersama Hayyi dan Syaukani.

Yusran adindaku, bersabarlah dalam menghadapi ujian ini. Sesungguhnya, proses kesempurnaan itu amat perit untuk dilalui...kekanda di sini sentiasa mendoakan kebahagiaan mu...Salam takziah dari Usrah GEGAR...

Inna Lillahi wa inna ilaihi Raaji'uun...

Moga Roh Almarhum tergolong dikalangan orang yang soleh, dan pemergiaanya dikira sebagai syahid kecil...ameen.

Komen Anda Adalah Buah Tangan Terbaik [hasanhusaini]

Jumaat, 21 Ogos 2009

Kenangan : Luruskan laluan ini...

Entah berapa kali saya ungkapkan yang inilah untuk kesekiankalinya saya datang ke Darul Quran. Namun, 'taubat' itu mungkin belum mencapai tahap nasuha, maka malam ini, saya sekali lagi menapak ke bumi barakah ini.

Tepat jam 11.00 malam. Hari ini bukan seperti biasa. Malam ini sebenarnya bening, hening dan sunyi. Tak pernah saya rasakan sesunyi ini.

Darul Quran kosong tak berpenghuni lantaran serangan H1N1.

Memakir DBH 1141 di bawah garaj kenderaan pegawai di pinggir tasik. Terus ke masjid, tunaikan dulu dua rakaat tahayyatul masjid. Usai.

Saya memandang sekeliling. Ada sedikit perubahan.

Kipas-kipas hiasan sebelum ini diturnkan pangkat untuk berkhidmat ditiang-tiang seri besar masjid itu.

Masuk ke kamar kegemaran saya. Bilik noja a.k.a bilik bilal. Juga ada perubahan. Satu set pemain DVD kini terpasang rapi di rak pembesar suara. Sudah canggih. Tambahan pula, dua set lengkap Mikrofon tanpa wayar masih di dalam kotak.

Alhamdulillah. Makin lengkap. Teringat tiga tahun dahulu. Kenangan memanjat menara secara haram untuk membaik pulih horn speaker yang selalu terbakar diaphgramnya.

Dengan sebiji beg kosong sederhana besar, saya menapak ke asrama. Gelap gelita. Mungkin sama gelapnya 'masa depan' saya.

Suis diptik untuk menerangi sebahagiannya. Terus menapak ke kamar mantan, SMUTEM DQ. Hampir kosong, membawa erti bahawa hayat kami untuk berada di DQ makin tipis dan sampai ke penghujungnya. Sisa-sia yang tinggal hasil peluh keringat sahabat-sahabat yang bertungkus-lumus berkhidmat tanpa meminta balasan.

Kotak-kotak kemas berbalut.

Buku dan kitab siap terikat rapi.

Aduh, tidak enak benar suasana begini.

Saya merayap lagi. Manapak mengutip semula memori. Memulakan semula langkah pertama di DQ.

A88 menyambut mesra sejak hari pertama, Haluan Siswa dan Mafatihul Mahabbah.

Seterusnya ke B14 yang serba tidak kena.

Akhirnya ke B36 yang menjadi sarang inspirasi GEGAR. B36, pelbagai nama diberi. Bilik tayangan, bilik lepak, bilik usrah, bilik jamuan, bengkel basikal, kedai gunting bahkan Cyber cafe.

Ya, itulah hayat pertama nafas tarbiyyah ditiupkan.

Di situ saya merajuk dan memujuk. Di situ saya meminta dan memberi. Dikasih dan mengasih. Erti ukhuwah dibenih untuk menunggu buah. Lama saya termenung mengutip kenangan di situ.

Melangkah lagi ke B72. Kini saya bukan lagi amilin, bahkan qiyadi dalam proses tempaan. Di situ saya mengenal malam dan siang yang amat singkat. Dilantik menjawat Setiausaha HEWA, Timbalan pengerusi AQRAB dan akhirnya sebagai Yang Dipertua PERKEMAT DQ.

Kamar terakhir A53, bilik warisan MT PERKEMAT DQ. Di sinilah bakal saya hembuskan nafas terakhir kenangan di DQ.

Tiga tahun yang benar-benar mengajar erti kehidupan. Jatuh bangun dalam perjuangan. Pahit maung dalam persahabatan. Nikmat tarbiyyah islamiyyah dan usrah yang mendalam.

Akhirnya, untuk kalian yang banyak mengukir jasad ini untuk memberi erti dalam kehidupan insan dalam mencari jalan bertemu tuhan, saya hadiahkan bingkisan kenangan ini.

Untuk adik beradik Usrah GEGAR : Abg Idris Yussuff, Abg Izwan Najib, Syahrul Ramadhan, Hashrul, Yusran, Syaukani, Hayyi dan Azan. Kalianlah adik-beradik sejatiku. Pengorbanan dan jasa kalian tak akan terbalas sehingga akhir hayat. Kalianlah juga inspirasi hidupku.

Adik beradik Pimpinan PERKEMAT DQ 07/08 :

Firdaus, Syaukani, Asyraf, Azan, Muhammad, Tarmizi, Ridzuan, Fakhrurrazi, Rahim, Amir , Qutaibah dan Saff pimpinan Muslimat. Kenangan bersama kalian akan tetap menjadi pemangkin dalam mendepani mehnah dalam kehidupan. Pohon maaf atas segala salah dan silap.

Seterusnya kepada sahabat-sahabat yang banyak membantu :

Redzwan, Nasirin, Mursyid, Zulkifli, Mahmud, Khairi, Syafiq dan abang-abang senior. Jasa kalian amatlah dihargai.

Khusus untuk adik-adik Ghuraba' : Fakhri, Fauzan, Amirul, As'ad, Abu, Khairi dan Marwan, sesungguhnya kalian banyak membantu daku memaknakan kehidupan. Teruskan perjuangan di bumi DQ. Selamatkan sahabat kalian yang karam dengan khayalan. Berkorbanlah apa sahaja demi islam.

Untuk para murabbi yang disanjungi : Ya Allah, kurniakanlah kepada mereka ini kehidupan yang tenag, dunia dan akhirat.

Kepada seluruh sahabat, teman dan kawan yang pernah menghulurkan bantuan, jasa kalian adalah yang terbaik pernah saya terima. Allah jua sebaik pemberi ganjaran.

Maka dengan lafaz (tulisan ) ini, hembusan nafas kenangan di DQ tiba ke akhirnya. Saya menghela nafas panjang. Menelan dalam air liur. Sebatikan kenangan ini untuk pengalaman generasi mendatang.

Moga langkahku selepas ini adalah langkah yang lebih jelas di jalan yang lebih lurus....Moga sedikitlah persoalan untukku di hadapan TUHAN..Moga kita ketemu di taman syurga, wahai temanku sekalian...


Puisi : Aku, kau dan Kita

Aku kau dan kita,
Satu ikatan agung,
Terjalinnya dengan tulus hati,
Tiada kepentingan mencelahi,
Diikat dengan akidah Ilahi,
Memorinya, tentangnya..
Lena dan jagaku dilawati,


Saat itu,
Aku, kau dan kita,
Dibawah lembayung sayap tetamu Ibrahim..
Kita mencalar kitab kuning,
Menghadap naskhah ulung,
Menutur kalimah agung.
Detik yang maha indah..
Saat aku, kau dan kita masih bersama,
Hilai ketawa, tangis, suka dan hiba..
Segalanya bersama..


Namun ku takuti satu hakikat,
Yang pastinya kan bertandang jua menziarahi kita..
Aku, kau dan kita pasti terpisah jua,
Walau sehebat mana akrabnya,
Walau sekukuh mana eratnya,
Waktu, matlamat dan cita-cita,
Pastinya memisahkan kita,
Melontar jauh kehujung dunia....

Tapi,
Ingatlah duhai sahabatku,
Kita masih teman yang setia, rakan yang tulus,
Bak Muhammad dan Abu Bakar..
Itulah harapku..
Kita punyai talian kukuh,
Melangkaui hubungan darah..
Terpatrinya kita dengan akidah,
Kita syabab jundullah,
Walau terpisah, aku kau dan kita tetap di hati,
Jangan di hapuskan pertalian ini,
Indahnya mengasyikkan,
Tawa riangnya penawar, lukanya semangat..
Itulah,
Memori Aku, Kau dan Kita.

Nukilan khusus untuk sahabat sepejuangan.

-Massa- Ibnuabi- Ketayap Merah-Hasanhusaini
14 MAC 2006 14 SAFAR 1427


Komen Anda Adalah Buah Tangan Terbaik [hasanhusaini]