Jumaat, 10 Mei 2013

Menolak Kekuasaan Mutlak



Saya menolak konsep Absolute Power kerana ia akan menyumbang kepada Absolute Corrupt dan menghampiri kediktatoran. Beberapa Sarjana Islam, seperti Ibn Taimiah (726H) menegaskan terma seperti di atas. Prof. Abd Rahman Al-Bar juga mengulangi prasa berikut dan menegaskannya. Begitu juga dengan beberapa sarjana barat. 

Konsep Absolute Power diguna dalam kerajaan BN. Pengerusi UMNO akan menduduki kerusi Pengerusi BN dan seterusnya kerusi Perdana Menteri.

Siapa yang boleh menyemak DS Najib? Ahli UMNO? Ahli BN? Atau Kabinet? Maka, kebarangkalian untuk DS Najib bertindak tanpa kawalan adalah sangat besar dan ia telah berlaku. Lihatlah hutang negara dan perbelanjaan boros di kabinet dan rumah PM. Lihatlah juga projek mega yang diluluskan tanpa perbahasan yang mendalam, kemudiannya dikurniakan kepada kroni dan kerabat.

Selangor menjadi contoh yang baik. Kerusi MB Selangor tidak diperuntukkan kepada Pengerusi PKR Selangor.

Perak juga begitu. Kerusi MB Perak tidak diperuntukkan kepada Pesuruhjaya PAS Perak.

Ia juga berlaku di Pulau Pinang. Kerusi Ketua Menteri Pulau Pinang tidak diperuntukkan kepada Pengerusi DAP Pulau Pinang.

SEMAK IMBANG : PENTINGKAH?

Perdana Menteri, Menteri Besar dan Ketua Menteri adalah ketua kerajaan dan ketua kepada semua rakyat . Maka, apabila PM, KM dan MB tidak memegang jawatan eksekutif di dalam organisasi parti negeri atau nasional, mereka boleh mengurus dengan lebih baik tanpa dikuasai oleh sentimen parti yang diwakili. Hari ini, kita mendengar komen Timbalan Pengerusi PKR Selangor yang saya kira sedikit terpesong. Puan Zuraidah seakan menganggap kerusi MB Selangor adalah milik PKR Selangor. Sedangkan Selangor adalah milik bersama PR yang dianggotai PAS dan DAP. MB Selangor adalah ketua kepada semua wakil rakyat Selangor, bukannya ketua kepada ahli parti tertentu.

Selain itu, MB dan KM tersebut juga boleh disemak oleh badan parti di peringkat negeri. 

Tan Sri Khalid boleh disemak oleh Pengerusi dan AJK PKR Selangor.

Lim Guang Eng disemak oleh Pengerusi dan AJK DAP Penang.

DS Nizar boleh disemak oleh Pesuruhjaya dan AJK PAS Perak.

Di peringkat antarabangsa, Dr.Morsi meletakkan jawatan Presiden FJP tatkala menjadi calon pilihanraya Presiden Mesir. Syeikh Rached Ghanouchi selaku Ketua Parti Pemerintah Tunisia (EnNahda) tidak menduduki kerusi Perdana Menteri Tunisia.

Dalam sejarah, tatkala Saidina Abu Bakar radhiallahu 'anhu dilantik menggantikan Rasulullah sollallahu 'alayhi wasallam, beliau telah melantik majlis penasihat dan membenarkan rakyat jelata bertugas sebagai penyemak kepada tindak-tanduknya dalam hal ehwal pemerintahan. 
 فإن أحسنت فأعينوني ؛ وإن أسأت فقوموني 
Jika aku berlaku adil, bantulah aku. Dan jika aku berkelakuan buruk, perbetulkan aku. 

Begitulah juga perihalnya para khalifah selepas itu. Badan penasihat dilantik untuk menyemak tindakan mereka agar tidak terpesong dari peranan sebenar selaku ketua ummah. Bahkan, Rasulullah sollallahu 'alayhi wasallam  sendiri sentiasa disemak keputusan dan tindakannya oleh para sahabat. Khubbab Ibn Munzir, Umar Al-Khattab dan beberapa sahabat lain adalah tokoh penyemak Rasulullah sollallahu 'alayhi wasallam.

Maka, saya berhasrat untuk melihat pembaharuan di Kelantan agar MB Kelantan yang baharu tidak dilantik ke kerusi Pesuruhjaya PAS Kelantan. Semoga negeri kesayangan itu lebih maju dan bermutu. Cadangan ini  saya kira cukup menepati semangat PAS sendiri apabila menubuhkan Majlis Syura Ulama' sebagai badan penyemak kepada Dewan Harian dan AJK PAS Pusat seperti yang terkandung dalam perlembagaan PAS, fasal 8, ceraian 1 (B). Kesibukan Majlis Syura PAS di peringkat nasional mutakhir ini pastinya akan memberi kesan langsung kepada pengurusan peringkat negeri. Maka, tiba masanya urusan pentadbiran negeri disemak oleh Badan Perhubungan Negeri bersama rakan PR yang lain.

Inilah warna yang saya pilih. Warna anda, mungkin berbeza.

HASANHUSAINI,
Darul Muttaqin, Mu'tah, Jordan.

Tiada ulasan:

Facebook Comments Box: Bloggerized by HASANHUSAINI.COM

Catat Ulasan

Komen Anda Adalah Buah Tangan Terbaik [hasanhusaini]