Khamis, 9 Mei 2013

Kesatuan Kaum, Musuh Utama Petualang Bangsa


Migrasi Palestin ke Jordan berlaku selepas Perang Arab Israel meletus dan memuncak selepas Palestin dijajah Israel. Masyarakat Bumiputra Jordan merasa status quo terancam dengan kehadiran warga Palestin yang berhijrah dan diberi kerakyatan Jordan. Walhal, mereka seakidah Islam dan sebangsa Arab dan serumpun Syam.

Kata mereka, warga Palestin telah merampas hak kekayaan Jordan yang sepatutnya dimiliki mereka.

Dengan pelbagai keistimewaan dikurniakan selaku bumiputra, mereka menjadi rakyat yang pemalas, pasif dan sombong. Kuota yang besar dan mudah untuk mereka mendapat kerusi di universiti tidak digunakan dengan baik. Subsidi dan bantuan perniagaan juga tidak digunakan secara optimum. Bagai melepaskan batok di tangga.

Akhirnya, warga Palestin yang sebelum ini miskin dan melarat menguasai ekonomi Jordan. Puluhan syarikat multinasional telah mereka kuasai. Kuasa politik juga hampir mereka dominasi samada melalui Ikhwan Muslimin atau pengaruh yang lain.

Meskipun diberi pelbagai keistimewaan berbentuk bantuan dan dorongan serta sokongan, MALAS dan PASIF bumiputra Jordan telah menjadikan mereka tercorot di negeri sendiri.

Meski tidak ada keistimewaan dan kelebihan, sikap proaktif, rajin dan kesungguhan warga Palestin telah mengangkat mereka ke tahap yang lebih baik.

Bumiputra Jordan tenggelam dengan skeptik dan hasad pada warga Palestin yang telah menjadi sebahagian dari Jordan sejak lebih 50 tahun yang lalu. Pada mereka, warga Palestin ini semuanya kaya raya, menguasai semua pasaran di Jordan. Warga Palestin-lah yang menjadi punca mereka selaku Bumiputra miskin dan melarat di bumi sendiri.

Adakah benar? Realitinya, tidak. Masih ramai warga Palestin yang melarat. Ada juga yang masih tidak sedar diri dan bersikap manja dan kepuakan. Kem Baq'ah di pinggir Amman adalah contoh terbaik dalam membuktikan hal ini. Setinggan terbesar di Jordan itu masih dengan rupa yang sama sejak puluhan tahun. Bumiputra Jordan sebenarnya masih belum sedar bahawa mereka miskin dek dirompak oleh pemimpin sendiri. Rasuah dan politik wang berleluasa. Tangan bantuan yang dihulurkan oleh Ikhwan Muslimin untuk membantu mereka telah digigit dan dicederakan sejak 1970.

Politikus Jordan mengambil peluang ini pergeseran kaum Palestin - Jordan ini untuk mengaut keuntungan politik mereka. Golongan ultra Bumiputra terus menerus mencanang api perkauman supaya masyarakat bumiputra Jordan terus menyokong mereka. Dengan itu, musuh politik mereka (Ikhwan Muslimin) terus kalah. Peristiwa Hitam Jordan (Black Sept 1970) -lebih kurang 13 Mei Malaysia- dijadikan alasan untuk terus menerus meniup api perkauman.

Ikhwan Muslimin adalah pembangkan terkuat di Jordan. Sikap Ikhwan Muslimin yang lebih terbuka terhadap warga Palestin dan lebih telus dan ikhlas dalam membela rakyat Jordan secara keseluruhannya dari ditindas oleh pemimpin sendiri atas nama mengelakkan perpecahan. Usaha Ikhwan Muslimin ini dilihat semakin diterima masyarakat. Parti Pemerintah Jordan sedar, kalaulah plan penyatuan dan integrasi nasional yang diusahakan oleh Ikhwan Muslimin berjaya, maka karier politik perkauman mereka akan berakhir.  Maka fitnah dan makar direka agar IM dilihat sebagai pengkhianat kepada negara. Penipuan demi penipuan serta fitnah dijaja untuk memburukkan Ikhwan Muslimin. Media arus perdana menjadi lidah rasmi untuk menyebarkan fitnah ke atas IM. Puluhan pemimpin IM ditangkap dan dipenjara. Konspirasi antarabangsa dirancang. Kemuncaknya adalah penipuan besar-besaran dalam pilihanraya. Ikhwan Muslimin akhirnya mengambil pendirian untuk memboikot proses pilihanraya yang lalu. 

Saya bermastautin di Jordan selaku pelajar sejak 4 tahun yang lalu. Sejak itu, lebih 5 kali pertukaran Perdana Menteri dilakukan. Sejak itu juga, penipuan demi penipuan dilakukan. Sejak itu juga, harga barang dan keperluan harian terus meningkat. Petrol mencecah RM 4 seliter. Telur RM 15 sesangkar. Ayam RM 8 sekilo dan daging RM 38 sekilo. Setong gas dapur berharga RM 50. Sepingga nasi biasa berlauk ayam berharga RM 15. Rakyat Jordan terus melarat di'jajah' bangsa sendiri. Pengangkutan awam berada di tahap yang paling buruk. Pendapatan isi rumah juga tercorot. Bil eketrik dan air antara yang termahal. Peluang pekerjaan kurang ditambah dengan kehadiran pekerja asing dari Mesir yang semakin meningkat.

Parti Pemerintah terus disokong.. atas nama Rasulullah S.A.W dan ahlulbait, mereka merompak dan menipu rakyat. 

Bak kata Prof Dr Syuesh Mahamid, "Mereka adalah 'ahlulbait' yang berkulitkan Abu Lahab dan berdarah Abu Jahal."

Kesimpulannya... Terpulang kepada anda. Saya hanya tukang cerita.

HASANHUSAINI,
Darul Muttaqin, Mu'tah, Jordan.

Tiada ulasan:

Facebook Comments Box: Bloggerized by HASANHUSAINI.COM

Catat Ulasan

Komen Anda Adalah Buah Tangan Terbaik [hasanhusaini]