Sabtu, 31 Oktober 2009

Ada Apa Pada Mu'tah

Kedatangan saya ke Mu'tah sememangnya mengundang pelbagai persepsi, tinggal lagi, untuk menukarkan negatif persepsi itu dan menerima positifnya sebagai tanda sayangnya mereka terhadap jasad ini. Saya cuba mengelak dari menjustifikasikan persepsi tersebut kepada baik dan buruk.

Abang-abang di Jordan terkedu, kenapa saya memilih Mu'tah sedangkan mendapat tawaran istimewa dari bandar Nabi, Madinah Al-Munawwarah.

Begitu juga abang-abang dan sahabat se'muqabalah' dari Madinah ditinggalkan dengan penuh persoalan, mengapa saya menolak tawaran berjiran dengan Rasulullah S.A.W?

Tak dilupakan sahabat-sahabat saya yang kebingungan dengan kenyataan-kenyataan saya yang 'pelik' di penghujung nafas di bumi semenanjung Melayu.

Sementelahan pula sanak saudara yang cukup (dibaca hanya) mengenali Madinah, amat pelik dan janggal bila diberitahu bahawa saya memilih Mu'tah yang sepi dari pengetahuan mereka.

Bukanlah tujuan saya 'mencipta' senario tersebut untuk mencari publisiti, tapi demi menjaga hati-hati banyak yang menyayangi diri ini. Saya berjauh diri dari melukai hati-hati mereka yang banyak membantu  diri ini meski sering kali bantuan itu tidak saya hargai.

Sehingga ke hari ini, jawapan kenapa ke Mu'tah masih digantung jauh di sudut hati saya. Saya masih belajar, mengkaji, merenung dan meneliti, bagaimana untuk memberi jawapan yang harmoni kepada semua yang sudi bertanya. Supaya kelak, yang menerima kehadiran saya tidak terlalu gembira dengan pilihan saya, dan yang terpaksa melepaskan pula tetap redha dan mendokong perjuangan saya.

Ada apa pada Mu'tah?

Tidak ada kurangnya Muta'h dan tidak ada lebihnya Madinah. Begitulah sebaliknya.

Faktor utama yang harus saya teliti adalah diri saya sendiri. Bukan tempat yang harus saya tuju. Dengan mengenali potensi diri, saya akan mengetahui, jalan mana yang sesuai untuk saya lalui demi mengukir diri ini agar menjadi bintang dalam masyarakat, andai tidak menyuluh, masih mampu memberi petunjuk meski dengan kerdipan halus di hujung penjuru bima sakti.

Seperti mana peperangan Mu'tah yang diatur penuh strategi, begitulah juga saya menyusun langkah dan strategi jihad ilmu saya. Memilih tapak pengajian tanpa mengenakan dengan sedikit kajian dan selidikan  untuk disesuaikan dengan diri sendiri pastilah ianya menjadi kebodohan yang mengundang sesalan.

Bukanlah Mu'tah kerana ramainya sahabat saya ke sini. Bahkan semasa memilih Mu'tah, saya hanya berseorangan memilihnya, barulah kemudiannya mendapat undian kedua tertinggi selepas bumi Kinanah, Mesir.

Bukanlah Mu'tah kerana diracuni Saifulislamisme. Saya hanya mengenalinya sebagai sifu dalam dakwah dan penulisan, bukan dunia pengajian. Meski gaya berfikir saya banyak berubah selepas mengenali susuk itu. Memilih untuk datang ke 'bumi' yang banyak 'menyeksa' susuk itu pasti bukan pilihan yang baik.

Saya juga tahu akan seksanya berada di sekeliling persekitaran yang kurang bersistem. Saya tahu akan sesaknya dada berhadapan dengan kerenah segelintir arab. Saya tahu akan betapa sengsaranya menggantung perut di sini dek kerana kewangan yang sempit. Saya juga sedar akan seksanya rakyat Malaysia dengan kurangnya air di dataran ini. Saya sedar, bahawa saya sedang meninggalkan ibu sendirian sepi.

Tidak dinafikan, jauh di sudut hati, ingin sekali menjadi jiran jasad mulia dan suci itu.

Namun, saya masih ke sini. Saya sedar akan mahalnya mahar yang saya bayar untuk menyambut sapaan mesra Saidina Ja'far At-Tayyar yang sungguh mengugat hati.

Inilah jalan yang akan saya lalui.

Di Medan Mu'tah, Dataran Syam yang pernah didoakan Nabi.

Doakan saya teguh di sini meski kita berbeza 'bumi. Moga saya terus disayangi meski memilih jalan sendiri.

p/s : Artikel ini ditulis sebulan yang lepas, diulang tayang semula atas sebab yang munasabah.

Komen Anda Adalah Buah Tangan Terbaik [hasanhusaini]

Jumaat, 30 Oktober 2009

Dari Mereka Saya Belajar

Saya punyai ramai teman, kawan, sahabat, junior dan senior melata di seluruh pelusuk dunia. Mereka yang pernah saya kenali dalam diari hidup saya di bumi Allah ini. Ada yang masih rapat sehingga hari ini. Ada yang sudah terputus hubungan. Ada juga yang sudah mendirikan rumahtangga dan mendapat cahaya mata. Malah ada yang telah kembali ke sisi yang Esa.

Teman, sahabat dan kawan. Mereka banyak mengajar erti kehidupan kepada saya. Mereka yang saya kenal sepanjang saya bergelumang dalam dunia Al-Quran.

Sebulan saya di Jordan, semakin saya merindui kelibat mereka. Namun, apakan daya, mereka kini melata di muka bumi Allah, dan sedang sibuk menguruskan manusia, kerana mereka adalah Khalifah Allah.

Di Malaysia, Us Idris Yussuff kini tergalas dengan beberapa jawatan besar, menandakan betapa besarnya tanggungjawab beliau. Juga menjadi penanda aras bahawa besar jugalah ganjaran yang menanti beliau di sisi Allah.

Menjawat Presiden Ikatan Studi Islam UKM, Presiden Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia dan di samping beberapa jawatan lain dalam MPPUKM bukanlah satu tugas yang ringan.

Us Dzulkhairi sebelumnya juga merupakan generasi Al-Quran dan merupakan Al-Hafiz lulusan MTAQ Pulai Chondong.

Us Abd Khalil, teman paling lama saya semenjak di MTDQ Repek kini menggalas tugas menjaga kebajikan 'agama' di UKM melalui Ikatan Studi Islam UKM, ISIUKM juga.

Saudara Iqbal pula kini di UIA, menjawat jawatan tertinggi di situ dan jawatan penting dalam organisasi GAMIS. Meski tidak terlalu rapat sewaktu di Darul Quran, saya cukup menyanjungi kesungguhan beliau. Adik saya Hamidi dan Muntaqim kini masing-masing mengepalai mahasiswa di UIA Nilai dan UIA PJ. Abd Malik juga sedang berkembang baik di UIA Nilai apabila berpeluang mengepalai IRK.

Dalam tak sedar, seorang senior juga dari Darul Quran yang banyak memprovok kami sewaktu Haluan Siswa di DQ juga kini menjadi orang kedua GAMIS. Ustazah Fasihah Fauzi cukup terkenal di Malaysia saat ini. Dulu menjawat Naib Yang Dipertua PERKEMAT DQ. Kini orang besar di GAMIS juga Universiti Malaya.

Kembali sebentar ke DQ, adik saya, Qutaibah kini gah bersama temannya yang lain memimpin Perkemat DQ dengan jayanya. Pelbagai pembaharuan dan pembaikan telah dibawa oleh generasi kepimpinan beliau. Perkemat DQ kini gah di Malaysia. Pembekal dan kilang modal kepemimpinan yang baik kepada ummat. Ameen.

Belum sempat saya menjelajah seluruh Malaysia, teringat pula pimpinan saya di Jordan. Us Syahrul Adnan, Presiden MPPM Jordan juga merupakan ahli Al-Quran, begitu juga Timbalan Presiden, Ustazah Nurul Ain dan Us Azraie yang merupakan Setiusaha Agung MPPM Jordan.

Minggu lepas saya ke Mafraq. Bertemu dengan Us Arif Azfar, mantan Presiden KMKJ, proksi anak Kelantan di Jordan. Pertemuan setelah terpisah hampir lima tahun pastinya satu kenangan yang cukup manis.

Kembara lagi menerobos hudud  Jordan ke Syria. Presiden PPMS, Us Hairul Faizal merupakan senior saya di Darul Quran. Begitu juga Setiausahanya Us Farid Faizul, Us Khalidi dan beberapa teman lain seperti Us Nasir dan beberapa lagi yang saya terlupa nama mereka, namun mereka adalah ahli Quran.

Sebelum meneruskan kembara, saya singgah sebentar di Bumi Kinanah, Mesir. Kiblat Ilmu dan pencari Ilmu. Di situ, saya dikhabarkan, ada beberapa orang senior dari Darul Quran yang menjawat beberapa jawatan penting di PMRAM, Mantiqah dan Persatuan Anak Negeri. Teringat adik saya, Us Nik Abdul Hayyi yang kini menjawat jawatan Bendahari Anak Kelantan, KPKM. Begitu juga jiran asrama saya di MTDQ Repek, Us Firdaus Mohd Muzi. Syabas, tahniah dan takziah.

Mengembara lagi ke Saudi, Presiden pelajar Malaysia Universiti Madinah, Us Azhar Abd Rahman juga dari kalangan Huffaz. Beliau pernah menjawat jawatan Yang Dipertua Perkemat DQ suatu ketika dahulu. Teringat juga senda seorang teman, Us Fitri pula menjawat Presiden Pelajar Malaysia di Jamiah Riyadh. Tersenyum.

Apakah ini tandanya Generasi Al-Quran Yang Unik impian Syed Qutb kian hampir memimpin ummat..? Moga itulah natijahnya, dan inilah petanda baiknya.

Merekalah yang sentiasa tawaf di sekeliling saya dan saya malu terhadap mereka. Jasa, jerih payah dan titik peluh mereka telah tumpah di muka bumi ini. Pastinya akan menjadi saksi di hadapan Allah kelak untuk membela mereka. Maka semestinya saya perlu banyak belajar dari mereka yang hebat dan telah berjaya . 
 
Teringat satu kata-kata : "Menyerupai orang yang berjaya itu adalah satu kejayaan."

Menulis tentang teman-teman di kala terasa sendirian dalam pemikiran. Moga-moga ianya mampu menjadi pencetus kebangkitan semangat dan daya juang.

Selasa, 27 Oktober 2009

Nilai Taqwa Di Perantauan

Mereka yang mengikuti perkembangan saya, samada di Facebook, blog, Twitter mahupun YM, pasti akan pernah melihat tagline TAQWA yang terpapar. Obses saya kepada taqwa dengan menyebutnya pada setiap peluan dan ruang. Moga-moga ianya benar-benar meresap kedalam jiwa. Meresapi dan sebati. Menyucikan hati. Menjadikan hati saya sesuci dan semulia hati milik Ibrahim a.s. Begitulah yang diharapkan. Ameen.

Sehingga usaha terbaru saya ialah menamakan rumah kami di Mu'tah dengan Darul Muttaqin - tempat tinggal untuk mereka yang mempunyai sifat Taqwa. Moga doa dalam bentuk nama ini dikabulkan Allah.

Lantas respon yang saya dapat pelbagai dari pembaca dan sahabat-sahabat disekelinling yang pastinya pelbagai fikrah, ragam dan latarbelakang.

Ada yang responnya bagus. Ada juga yang kurang bagus. Tidak kurang juga yang menyakitkan hati dan mengerikan bila dibandingkan dengan title pemberi respon tersebut.

Namun saya lebih suka untuk memekakkan telinga dari respon sebegitu. Lebih selamat dan tenang. Untuk memuaskan hati manusia pastinya mustahil, maka redha Allah itulah yang paling utama.

KENAPA TAQWA

Ramai juga yang bertanya, kenapa mesti Taqwa yang harus saya war-warkan. Tidak ada kalimah lainkah untuk diletak dan dikongsikan...? Juga, kenapa perlu ditulis dalam blog, YM, Twitter dan sebagainya, bukankah ianya riya', sumah dan takabbur...?

Saya ada satu kisah yang menyentuh hati sebagai jawapan.

Abu Ayyub Al-Ansari adalah seorang sahabat yang rapat dengan bagindaNabi Muhammad. Beliau terkenal dengan obsesnya beliau terhadap janji nabi tentang kemenangan tentera muslimin ke atas Rom Byzantine dengan robohnya benteng Kostantinopel. Sehingga setiap masa, pasti ayat 41 : Surah At-Taubah pasti akan meniti di bibir beliau di mana sahaja berada.

Sehingga akhirnya beliau syahid dan dikebumikan berhampiran dengan tembok Kostantinopel demi hasratnya ingin mendengar derapan kaki mereka yang akan membuka kota itu kelak.

Cukuplah satu misal kepada mereka yang berakal dan mahu menggunakan akal. Bukannya emosi dan dengki lantas mengeraskan hati meski yang baik itu datang dengan bukti.

Nilai Taqwa di Perantauan

وَتَزَوَّدُوا فَإِنَّ خَيْرَ الزَّادِ التَّقْوَىٰ
"Berbekallah, dan sesungguhnya sebaik-baik bekalan adalah takwa" (Al Baqarah : 197)
Untuk mencari bekalan taqwa itu, saya cuba mencari punca dan sumbernya. Sehingga beg saya yang sepatutnya dipenuhi dengan bekalan makanan, pakaian, kelengkapan 'kebiasaan' untuk mereka yang bakal bermusafir menjadi terbalik apabila dipenuhi dengan buku dan kitab. Dengan harapan, buku-buku itu mampu menjadi inspirasi taqwa kepada saya.

Taqwa : Sensitiviti...?

Saya teringat sebuah dialog yang cukup penting antara Saidina Umar al-Khattab ketika menanya Ubay bin Ka'ab tentang taqwa.

" Pernahkah kamu lalui jalan yang berduri? "  Tanya Ubay r.a. 

Lalu jawab Umar, "pernah...".

"Bagaimanakah kamu laluinya?".  Tanya Ubay r.a


" Aku akan sentiasa peka, bersedia dan berhati-hati dengan penuh usaha agar tidak terpijak duri tersebut'',  jawab Umar.

Maka jawab Ubay,  " itulah juga sifat taqwa ".

Maka, kesimpulan yang saya mampu buat untuk memetakan kefahaman sendiri demi memahami isi penting dialog di atas ialah dengan meringkaskan isi-isi tersebut kedalam satu kalimah. Sensitiviti.

Sentiasa sensitif dan peka untuk mencari jalan paling selamat dan jalan yang paling baik. Al-Mulk : 2, mungkin boleh menjadi pedoman yang baik.

Sentiasa sensitif dan peka dengan keadaan sekitar, sensitif dan peka dengan keadaan sekitar, sensitif mencari ruang kebaikan, sensitif menjauhi ruang dan jalan yang memungkinkan keburukan. Sensitif.

Sensitif dalam percakapan, berjaga-jaga dengan lidah, dibimbangi tertuturnya kalimah yang kurang elok yang memungkinkan murkaan Allah. Kerana tutur itu tak akan terlepas dari catatan Malaikat Allah. [ Qaaf : 16-18 ]

Berjaga-jaga dan sensitif dengan Mata dan sifat Khianatnya kerana ada Zat yang maha mengetahui.  [ Ghafir :19 ]

Sensitif dengan anggota kaki dan tangan yang bakal menjadi saksi terhadap perbuatan kita. Sensitif dengan segalanya. [ Yaasin : 65 ]

Maka, dengan sifat begitu kita akan lebih merasa diri bertaqwa. Terasa meresapnya kualiti hamba yang memakai pakaian IHSAN dalam harakat hidup.

Sensitiviti : Jumud vs Taqwa

" Ayah tak benarkan kamu pakai tali leher ni...bukan pakaian orang islam....", Tegas seorang ayah kepada anaknya.

" Siapa yang tanam pokok Kristian ni kat sini..?" Marah seorang Ibu melihat ada pasu di halamannya berisi pokok pain.

"Kalau kamu nak keluar rumah, pastikan kepala kamu ada kopiah...kalau tak, jangan keluar rumah..." Pesan seorang bapa lain kepada anak remaja lelakinya.

Terpulang kepada para pembaca sekalian, apakah penafsiran kepada dialog di atas, samada ianya positif dengan sensitifnya orang dahulu dalam menjaga agama dan identitinya ataupun jumudnya mereka dalam menafsirkan dunia dan massa.

Saya teringat pula dengan fatwa klasik zaman Khilafah Uthmaniyyah yang pernah mengharamkan beberapa perkara yang pada zaman sekarang ini telah menjadi kebiasaan yang meluas. Sensitif ataupun jumud? Terpulang kepada anda.

Namun harus diingat, pada zaman itu, (jumud @sensitif ) majoriti ibu ayah amat peka dangan perkembangan anak-anak. Tidak ada ibu ayah yang 'sudi' membenarkan anak lelakinya membawa pulang teman perempuannya ke rumah, begitu juga sebaliknya. Berbeza dengan zaman 'terbuka dan maju' sekarang ini. Tidak ada istilah family saya opened and sporting. Open dan Sporting yang membawa ke neraka.

Maka, saya dengan pemahaman yang saya bina dan saya usaha, mengajak untuk kita lebih sensitif dalam hidup sebagai ahli agama. Sensitifnya kita sebagai dalam memikat hati tuan Yang Maha Esa. Sensitiflah dalam beragama. Sensitiflah, atau hidupmu bakal binasa.


Taqwa, tabiat dan Sumbernya

Antara tabiat taqwa seperi yang tercatat dalam Al Quran dilampirkan secara tersusun oleh Ustaz Said Hawwa dalam kitab Jundullah :Thaqafatan wa Akhlaqan. Kitab dan buku rujukan yang cukup baik untuk dibaca oleh mereka yang sudah, bakal dan telah lama mengaku sebagai JUNDULLAH.

Apakah sikap, moral, akhlaq, attitude, intelektual kita telah cukup menepati ciri-ciri wajib seorang jundullah...? Andai tak cukup, rasailah lekuan dan sekehan dari Ustaz Said Hawwa apabila kita menatap bait nasihat dan tunjuk ajar dari beliau.

Sekadar perkongsian ringkas dari insan dhaif yang ingin mendaftar sebagai Jundullah, namun malu dengan diri yang lemah.

Sabtu, 24 Oktober 2009

Kembali

Lama benar tidak menulis. Lama benar tidak berkongsi. Bukan malas, bukan sibuk, bukan dah kecundang, namun hanya diri ini yang tahu, kenapa khabar minda ini semakin takut untuk terbit menjengah massa.

Mungkin alasan yang paling kukuh ialah, saya baru berpindah rumah. Darul Muttaqin yang baru sebulan diduduki ini masih belum berbekal dengan khidmat internet. Kukuh. (padahal, rumah saya di Kelantan juga tak berinternet.)

Khabar Dari Syam

Sudah hampir sebulan saya mengikuti sitem pengajian di Jordan, khususnya di Universiti Mu'tah. Sistem yang saya suka dan saya pilih. Suka kerana bagus dan pilih kerana perlu. Berkesan atau tidak, terpulang kepada bagaimana saya memanfaatkan kebaikan yang ada ini.

Banyak cerita yang terpaksa saya skip demi aulawiyyat yang lebih besar. Kisah Minggu Haluan Siswa, kisah kembara mencari rumah, kisah air, kisah coaster, kelas dan kembara ke Abdali, Mafraq dan sebagainya. Semuanya adalah kisah sampingan.

Pencerahan

Mengikuti pengajian aka muhadharah di sini cukup menenangkan. Kecuali perangai segelinti arab yang tandus adab dan akhlaq. Ruang perbincangan dibuka seluasnya. Lebih selesa kepada orang seperti saya yang amat tidak suka untuk dicucuk hidung.

Para pensyarah yang cukup alim dan pakar yang berkongsi pendapat dengan bakal alim ulama'. Begitu mungkin gambaran yang saya boleh bawakan untuk anda.

Identiti

Seperti yang selalu berlaku dan sentiasa saya lakukan ialah berhepotesis. Maka, sebelum datang ke Jordan, saya berkira-kira, apakah masalah yang akan timbul? Apakah yang bakal menjadi penghalang utama kepada bakal penuntut seperti saya di luar negara...?

Antara yang sempat saya senaraikan ialah berkaitan dengan identiti. Sejarah Turki atau lebih tepat, Khilafah Uthmaniyyah pernah dilanda krisis yang amat teruka lantaran dari masalah identiti yang timbul dari kalangan anak muda Utmaniyyah yang menuntut di Eropah. Anak muda Uthmaniyyah yang dihantar untuk mencuri teknologi eropah akhirnya menjadi peluru jarak jauh yang kembali memakan tuan apabila mereka balik membawa angin revolusi dari Eropah.

Maka, sedikit sebanyak, masalah itu akhirnya menjadi salah satu punca tumbangnya Uthmaniyyah dari peradaban agung Islam.

Dan Hepotesis itu seakan hampir terbukti apabila saya melihat gelagat segelintir teman-teman se-syariah saya di sini. Kecelaruan identiti yang berlaku memerlukan ubat segera sebelum ia menjadi barah apabila doktor-doktor ini balik untuk merawat ummat kelak.

Perbualan saya dengan seorang murabbi sebelum meninggalkan tanah nusantara memberi kesan yang amat berat dan berharga.

"Kalau nta nak ke Eropah, mungkin pesanan ana ringkas, dan mungkin ana tak perlu banyak berpesan, sebab nta dah ma'aruf dengan fasadnya Eropah dari sudut akidah, dan nta semestinya akan berhati-hati...namun bila nta menuju ke Tanah arab, pesanan ana menjadi sedikit panjang...", begitu mukaddimah perbualan kami di suatu malam.

Konklusi penting yang saya ingin kongsikan ialah, falsafah budaya kuning tafsiran beliau :

"Kalau dulu, kita bimbangkan pelajar yang ke Eopah, namun sekarang tidak, kita lebih bimbangkan pelajar yang ke Tanah Arab...mereka kebanyakkannya tersilap identiti...hilang jati diri, terkeliru dan akhirnya haru biru..Apa yang ada pada arab bukan semuanya baik, juga bukan semunya buruk. Bahkan ada yang pada arab itu lebih teruk dari apa yang ada pada barat. Itu yang payah untuk dihadapi dan dinilai oleh para pelajar di tanah arab. Akhirnya mereka tersilap cedok 'ramuan' dan balik ke Malaysia untuk 'memasak ramuan arab' di tanah melayu...hancur..."

Saya termenung lama untuk menyusun pemahaman secara optimum dari kata-kata guru tersebut. Dan kesimpulan yang saya mampu buat ialah, ramai di kalangan kita yang tersilap posisi..Penyelamat bertukar menjadi mereka yang perlu diselamatkan...Sedih dan sayu mengenangkan hakikat pedih ini.....

Baca Juga :

Huffaz : Perbetulkan Posisi Kita