Isnin, 16 Februari 2009

JIM : Dikaulah harapan..

Dua purnama lagi, genaplah tiga tahun saya bertapak di bumi DQ.

Dan kini, saya sedang mengahadapi peperiksaan akhir Diploma Tahfiz Wal Qiraat. Tiga tahun berlalu. Sungguh singkat dirasakan.

Waktu sebegini, topik perbualan rakan-rakan berubah haluan. Bagai tiada gelombang imtihan. Semuanya bercakap untuk merancang masa depan.

Dimanakah tujuan untuk meneruskan pengajian..?

Atau terjun saja ke dunia pekerjaan..?

Atau ke gerbang perkahwinan...?

Saya juga tak terkecuali, terpaksa memikirkan perkara yang sebelum ini selesai pada tanggapan saya. Namun kini, hambatan keadaan mewajibkan saya untuk membina jalan baru meneruskan pengajian.

Madinah.

Syria.

Jordan.

Mesir.

Mana satu akan menjadi pilihan...?

Sebelum ini, semua jalan bagaikan terbuka luas untuk saya. Namun kini, satu demi satu tertutup.

Syria dengan kerenahnya tersendiri.

Mesir bukan pilihan hati ( Qiraat Soubra )

Jordan, kos hidup membelenggui.

Madinah, hanya kau harapanku. Tapi saya masih lagi menunggu dan menanti, apakah sinarnya kan terbit nanti...?

Pada ibu, masih belum dimaklumkan, bagaimana saya merancang masa depan. Bimbang ibu nanti terbeban. Biarkan saya yang membina keputusan.

Jordan. Mungkin itulah pilihan kedua. Namun kosnya, RM 15000 untuk setahun. Ya Allah, datangkanlah rezeki-Mu padaku.

" Nta sambung je kat DQ...ambil Al-Quran Sunnah dan Multimedia...", cadang seorang teman.

Tujuh tahun di alam rendah SK Perol.

Tujuh tahun di alam menengah di MTDQ Repek.

Tujuh tahun juga di alam kolej di DQ...?

Jamiah Islam Madinah, hanya dikau harapan ku...

Khamis, 12 Februari 2009

Atuk, jom makan..

" Atuk, jom makan...", ajak seorang junior yang merupakan anak usrah kepada anak usrah saya.

Saya hanya tersenyum. " Makan dulu..."

Tengah hari tadi, Amirul dan Khairi bercadang untuk diadakan usrah bersama anak usrah mereka. Saya menyahut dalam kesibukan exam dan tesis serta tambahan satu masalah baru di kampus yang mengheret saya untuk terlibat sama.

Akur dengan cengkaman masa. Saya nipiskan waktu rehat. Demi dakwah. Demi Ukhuwah sebelum Quwwah.

Tepat jam 7.00, saya memulakan perkongsian.

Kisah Pemuda Kahfi ( Ashabul Kahfi) menjadi pilihan.

Pemuda yang beriman dan mendapat hidayat berkat dari ilmu yang diamal serta mempunyai ikatan hati menjadikan pemuda tersebut proaktif, haraki dan berani menempuh halangan demi sebuah kebenaran.

Pemuda di sekeliling Rasulullah juga dibawa bersama. Kisah Ali, Salman, Khalid, Zaid Radiallahu Anhum.

Moga menjadi manfaat bersama.

Teringat ketika mula-mula berusrah. Saya berimaginasi bahawa suatu hari nanti akan diadakan majlis yang menggabungkan anak-anak usrah kami. Iannya menjadi kenyataan. Gegar United mengumpulkan lebih 50 ahli.

Pada hari ini, kejayaan lebih mebanggakan. United bukan hanya mengumpulkan anak -anak usrah, bahkan cucu usrah.

Justeru, saya dipanggil atuk. Atuk pada usia 23 tahun!!

Tulang empat kerat Abg Idris dan Abang Izwan melatih kami dengan penat jerih. Kepayahan dan pengorbanan mereka membuahkan hampir seratus kader usrah.

Pahala yang akan sentiasa mengalir. Insyallah.

Satu perniagaan yang menguntungkan.

"Hai orang-orang yang beriman, sukakah kamu aku tunjukkan suatu perniagaan yang dapat menyelamatkanmu dari azab yang pedih?"

"(yaitu) kamu beriman kepada Allah dan RasulNya dan berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwamu. Itulah yang lebih baik bagimu, jika kamu mengetahui." Surah Al Saff 10-11.


Rabu, 11 Februari 2009

Tiket ke KKB tiga...

Ahad
Berpagi saya bangun bersiap.

Pagi ini saya akan melawat Sifu yang bakal bertolak ke Jordan. Sifu yang mengajar saya melangkah di alam kepimpinan. Menjadi Setiausaha kepada beliau yang memegang Jawatan Exco Lajnah Hal Ehwal Siswa selama setahun.

Rezeki Allah.

Antara kerusi Exco yang dipertandingkan, Kerusi Lajnah Hal Ehwal Siswa paling panas. Dan yang penting, saya akan bekerja dengan orang yang saya tidak undi !!

Pukul 11.30 Saya bertolak ke Segambut dengan Redzwan. Menaiki motosikal Yusran yang ber-rim sport baru dan tayar baru.

Tiba di Segambut. Makan dan berborak tentang masa depan. Mengimbau kembali saat bekerja bersama sebelum saya ditaklifkan memegang kerusi di puncak persatuan.

Berpelukan dengan agak lama sebegai tanda perpisahan dan meneruskan perjalanan ke Lowyat.

2.30 petang : Lowyat

Berpusing-pusing di Lowyat untuk survey laptop yang paling ngam nisbah harga dan prestasinya. Bulan ini dah tiga biji laptop yang saya beli.

Semunya saya runding.

Kepercayaan sahabat-sahabat tidak saya hampakan.

Awalnya BENQ S33, S41 atau R45 menjadi pilihan, namun kesemuanya kehabisan stok. Akhirnya Compaq Presario menjadi taruhan terakhir. RM 2099 untuk AMD Turion, 4gb RAM, 250HD, dan ATI Graphic.

Settel.

5.30 Petang : KL SENTRAL

Bertolak Balik.

Bertolak balik. Singgah di KL Sentral untuk makan. Baki dalam dompet hanya tinggal RM 20.

Selesai makan saya berseloroh, " jom naik shuttle .."

" jom" kedua anak usrah saya bersetuju.

Pada awalnya plan tidak menjadi kerana yang tinggal hanya kerusi kelas dua. Agak mahal RM 9 untuk ke KKB.

Tapi, Amirul bertekad. Tiga tempat duduk terdaftar untuk ke KKB. Berlari ke Platform 1, gerabak X3, tempat duduk 13 B, C dan D.

Selamat.

Tiba-tiba datang sahabat dari Persijilan GEN 8. Hamidi, Shahir dan Izzat. Mereka ke Ipoh. Berjuang.

Saya memandang ke arah Amirul dan Marwan.

" Jom". Serentak kami bersetuju. Wehdatul fikr diterjemah kepada Wehdatul Amal. Tiket kami hanya setakat KKB. Macamana mahu ke Ipoh...?

Seorang konduktor, kalau boleh diistilahkan begitu memeriksa tiket.

Saya jujur. " abang, kami beli tiket ke KKB, tapi bertukar fikiran nak ke Ipoh pulak, camne ek...?"

"awak tunggu kat sini.."


TUNGGU dan TUNGGU

Tiba di stesen Batu Gajah. satu stesen lagi akan tiba di Ipoh. Abang 'tiket' datang dengan senyuman.

" sepatutnya awak kene saman RM 30 dan tambah tiket RM 27...nak kena saman tak..?"

" pastinya tak nak bang.." saya menjawab dengan senyuman tak bersalah.

Saya diajak berbual dan berborak.

Ditanyanya beberapa hukum hakam agama dan pendapat tentang isu-isu semasa setelah mengenali saya dari DQ. Dan akhirnya saya hanya disaman RM 15.

"Yang selebihnya abang belanja.." .

Terima kasih .

8.00 malam : IPOH

Tiba di Ipoh dengan baki syiling dalam kocek berjumlah RM 3.40.

Selamat berjuang di Ipoh.

Lusa berjuang di DQ.

Peperiksaan akhir semester 6. Peperiksaan DIPLOMA TAHFIZ AL-QURAN WAL- QIRAAT.

Jumaat, 6 Februari 2009

Musuh Allah Berdiploma TAHFIZ

Tengah hari. Air cond terasa suam.

Hari ini hari terakhir kuliah. Selepas ini kami akan ‘berehat’ melalui study week. Jangan dibaca study weak.

Subjek Sejarah Mashaf ( Tarikh Mushaf ) diajar oleh Us Ibrahim Bin Abdullah. Terkenal dikalangan kami sebagai ayahanda kerana sifat lemah lembut dan peramah yang menyenangkan.

Beliau juga antara pensyarah senior di Darul Quran. Dan diantara pensyarah yang JELAS pendirian terhadap sesuatu pegangan dan pendapat mahupun isu.

Sepanjang perbentangan, sememangnya saya cukup tidak selesa. Gambaran tidak seindah khabar. Lagak abang-abang yang sudah khatam tidak seperti sepatutnya.

Bergelak ketawa yang berlebihan meski semasa perbentangan sedang berlangsung.

Ejekan dan perlian kepada mereka yang bersungguh-sungguh dan serius.

Sampukan yang tidak sepatutnya ketika majlis ilmu.

Mempersendakan ( kalau boleh diistilahkan sebegitu ) hukum-hukum Allah dan ayat-ayat-Nya.

Mengejek dan mempersendakan nilai wara’ pada sesetengah sahabat yang lain.

Semuanya merimaskan saya. Saya betul-betul tidak betah dengan perangai sebegini pada ahli ilmu yang mengaku ingin menjunjung kalimah Allah dan beramal dengannya.

SEDIH

Seorang sahabat keluar membentang hasil kerjanya. Saya bukanlah rapat sangat dengan beliau.

Tiba gilirannya, hampir semua rakan-rakan saya tergelak ( sengaja gelak ).

Gelak besar.

Kawan yang berada di depan untuk membentang hasil kerjanya merah padam.

Cuba memulakan perbentangan.

“ ni…”
“ ni …” Tersangkut.

“ Haa…gagap lagi, gagap lagi..” seragah seorang sahabat di belakang saya. Disambut dengan deraian ketawa.

Ya Allah. Kenapa harus ada perkara sebegini yang berlaku dalam negeri Al Quran.

Simpati saya memuncak. Terasa untuk bangun menegur.

Mujur ayahanda Us cepat membetulkan keadaan.

“ Teruskan sahaja…” kata Us Ibrahim.

Sepanjang perbentangan itu, pasti ada gelakan kedengaran.

Saya cukup rimas dengan keadaan begitu.

Sebelum selesai kuliah pada petang itu, Us Ibrahim bangun memberi nasihat.

“ Semuanya saya akan nilai untuk memberi markah…keseriusan kamu, akhlaq kamu, semuanya termasuk dalam nilaian saya.” Kata Us.

Semuanya terdiam. Yang terlibat tertunduk. Reti malu rupanya.

“ Saya nak pesan kepada kamu, perkara yang dah selesai jangan diungkit lagi…tambahan pula itu adalah salah satu dari hukum Allah, jangan kita nak menjadikannya sebagai bahan gurauan. Ikhtilat itu hukum Allah. Jangan main-main.” Nada Us Ibrahim bertukar serius.

“ Kamu kena ingat siapa kamu, dimana kamu berada, apa sebenarnya akhlaq kamu.. saya ingat, kamu semua telah khatam kitab Adab Hamalatul Quran karangan Imam Nawawi, bagaimana dengan praktikalnya..? Bagaimana dengan akhlaq kamu yang menghuni bumi Darul Quran, bagaimana dengan sikap pelajar Al Quran..tolong serius, jangan main-main .”

Us mengakhiri ucapan nasihatnya pada petang itu dengan meminta maaf. Toleransi dan lemah lembutnya mendorong beliau mengungkapkan perkataan yang tak perlu beliau ucap, “ana minta maaf kalau ada sesiapa yang terasa”.

Saya yang duduk tidak jauh dari beliau mengalirkan air mata. Entah mengapa. Terima kasih ayahanda. Jasamu tetap akan ku kenang.

PELIKKAH SAYA?

Tak normalkah saya andai tak mampu untuk ketawa saat mereka sednag tertwakan sahabat yang sedang tergagap-gagap membentang hasil kerjanya ?

Tak normalkah saya andai tak mampu untuk turut menghilai sama saat ‘lawak’ hukum Allah sedang ditayangkan?

Pelikkah andai saya bermasam muka kepada orang yang mepermainkan hukum Allah ?

Pelikkah saya anda terasa jelek dengan budaya huffaz zaman sekarang yang tandus akhlaqnya ?

Salahkah saya untuk mengajak rakan-rakan untuk turut sama bersifat warak, sesuai dengan akhlaq Huffaz?

Pelikkah orang yang menegur untuk kebaikkan ?

Teringat pesan seorang Us ( Dr ) yang dianggap sebagai pendidik ( Murabbi) kepada anak-anak muda di Kelantan sewaktu program untuk pelajar tahun akhir dan prasiswazah yang akan melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.

“ Saya nak tekankan, bila kamu dah graduasi nanti, jangan pula kamu semua berpaling menjadi musuh Allah. Janganlah yang balik dari Al-Azhar menjadi musuh Allah yang memegang ijzah Syariah. Jangan pula yang balik dari Ain Sham atau Alexanderia memegang title Pakar Bedah Hospital Iblis, jangan pula yang keluar dari Darul Quran macam nta, menjadi musuh Allah berdiploma Tahfiz ! .” Jelas beliau semasa berucap dalam majlis penutup sambil matanya memandang tepat kepada saya.

“ akulah satu-satunya wakil dari DQ...” Gumamku sendirian.

194 orang yang akan Graduasi pada Julai 2009, berapa orangkah yang akan menjadi pembela Agama Allah, dan berapa pula yang akan menjadi musuh Allah berdiploma Tahfiz ?

Na’uzubillah...

Rabu, 4 Februari 2009

Nota sebuah muhasabah

Hari Ahad. Pukul 1.30 pagi. Saya mendapat panggilan dari seorang junior, meminta supaya saya memberi sedikit pengisian sempena Rehlah Nuqaba’anjuran Jabatan Nuqaba’.

Pengisian itu dijadualkan pada pukul 9.30 pagi esok. Masya Allah. Saya hanya ada beberapa jam untuk bersedia dan menyediakan bahan ceramah.

Tajuknya : Naqib cemerlang, usrah terbilang.

" nta telah silap pilih penceramah, ana sendiri bukan naqib cemerlang, usrah ana pulak bukan usrah yang terbilang..." saya cuba menguzurkan diri.

Namun akhirnya saya terpaksa akur.

Hanya tingal beberapa jam lagi.

Saya masih perlu berehat selepas dua hari suntuk memandu.

Pagi tadi saya berada dalam Majlis Khatam di Darul Quran, Kuala Kubu Bharu. Kini sedang bermuzakarah di Seksyen 19 Shah Alam. Esoknya saya akan bertolak ke Kelantan.

Sedikit sebanyak, saya perlu berehat.

Cuba gagahkan mata dengan secawan kopi Radix.

Mengumpul bahan dari kita-kitab haraki secara elektonik. Menyediakan slide sedikit sebanyak sebagai bantuan. Dan akhirnya saya terlelap hingga ke subuh.

Selesai solat subuh. Bersarapan bersama abang ipar saya dan keluarganya. Nasi Berlauk dan roti canai.

Pukul 8.30 saya bertolak dari rumah abang Hazami. Pesannya supaya saya kirimkan salam kepada Us Nazri Chik. Salam dari Manager kepada Manager.

Saya menggunakan Federal Higway ke Subang Jaya dan seterusnya ke Plus. Jalan tiga lorong yang lengang dihujung minggu membenarkan saya ‘terbang’.

Penunjuk aras petrol yang berkelip sejak dari seksyen 19 yang lalu memaksa saya untuk singgah di SHELL. Isi untuk hidup sahaja.

Boikot.

Saya akan memenuhkan tangki SAGA baru itu di PETRONAS. Siapa kata saya tidak patriotik?

Exit di Rawang dan tiba di Kalumpang Resort tepat pukul 11.00 Pagi. Sejam setengah lewat dari jadual asal.

Berbincang dengan penganjur. Saya bersetuju untuk membahagikan masa sejam yang diberi untuk menyelesaikan dua sesi, pengisian dan soal jawab.

Permasalahan dan kebekuan saya bincangkan dari awal. Mencungkil isu yang berlaku (kebiasaaannya). Memberi tip-tip peting sebagai seorang Naqib.

Dan akhirnya saya membuat kesimpulan bahawa komunikasi dalam usrah haruslah bersifat MANUSIAWI.

Anak usrah yang berbagai latarbelakang harus diraikan perbezaan mereka. Disentuh HATInya untuk dibentuk sikapnya. Kemuncaknya, mereka diletakkan pada posisi yang betul untuk menjadikan mereka insan yang bermanfaat kepada agama dan seluruh makhluq.

“khairunnaas, anfauhum linnaas”

Naqib yang kurang hebat tak pernah dimustahilkan dari melahirkan anak usrah yang hebat.

Seterusnya sesi soal jawab.

Banyak persoalan yang dilontarkan kepada saya, dan saya lontarkan balik kepada audiens (NUQABA’) untuk dijawab melalui apa yang saya bincangkan tadi.

Malah ada juga yang dijawab oleh peserta sendiri.

Saya cukup berbangga, pengisian pada paagi itu bukan hanya bersifat dua hala, bahkan tiga dan empat hala.

Selepas menjamah sedikit hidangan saya bergegas untuk bertolak balik ke Kelantan.

Sedang memandu saya terfikir...

Telah banyak pengisian yang aku beri.

Telah banyak post yang aku tulis.

Telah acap ceramah yang aku lontarkan.

Telah banyak program yang aku tangani.

Berapa banyakkah yang berjaya aku aplikasi..?

"Wahai Orang yang beriman, kenapakah kamu mengatakan sesuatu yang kamu sendiri tidak melakukannya. Amat besar kemurkaan Allah pada meraka yang mengatakan sesuatu yang dia tidak melakukannya."

Semaian Air Mata

Bumi ini dulu menghijau subur akhlaq mulia,
Tanihnya gembur dengan wara’ dan zuhud yang membaja,
Tasiknya biru menyejukkan mata..
Sesejuk hati menatap penghuninya,
Santunan mesra bagaikan di syurga..
Not merah yang tertampal di softboard lusuh ditelan masa.
Gemaan azan bagaikan seruan jihad..
Berbondon menuju saff pertama...
Sepertiga malam menyaksikan abid syahdu,
Bermunajat melepas rindu..
Rindu pada tuhan satu..

Kini bumi hijau itu kian gersang,
Akhlaq ahlinya kian tandus...
Panggilan jihad menjadi ulikan pembius..
Membius jasad dan roh huffaz...
Hiburan menjadi raja..
Racun hedonisma meresap tanpa disedari siapa..
Materialisma mula berbuah,
Emansipasi menjad duri,
Sehingga yang Hak sentiasa diasak..
Bagai Erdogan dikutuk selepas menegur Peres...
Munajat malam bertukar mengayat malam...
Munajat maksiat, khalwat dalam ‘ibadat’...

Maka di atas tanah tandus ini,
Daie itu terus menjirus,
Menjirus dengan air matanya...
Di atas bumi gersang ini,
Dia menyemai benih terpilih...
Dia membajai dengan titisan keringatnya...

Moga kelak, barakah bakal bercambah.. menghancurkan fitnah...menjawab tohmah.

Isnin, 2 Februari 2009

Cerita Orang Kahwin

Cukup payah untuk saya menulis post ini. Tahun lepas, saya telah mencerna satu post yang lebih kurang sama isunya, Penangan Tahun Akhir.

Bukan semestinya orang agama itu ustaz atau ustazah. Tetapi sesiapa sahaja yang menganggap perkahwinan mereka bakal dan sedang terbina di atas dasar “fadzfar bi dzaatid-deen, taribat yadaak”.

Misalnya dalam isu yang baru timbul di Kolej saya baru-baru ini.

Perihal menjaga batas pergaulan lelaki dan perempuan sebelum berkahwin, saya tidak betah melihat ia dilaksanakan dalam bentuk yang menjadikan agama sebagai bahan senda dan ejekan.

Melihat lelaki dan perempuan berjalan tunduk hingga menyendeng tepi dinding.

Menyaksikan sepasang ahli dakwah ber’sms’ pada jam 4 pagi dengan alasan mengajak Qiamullail (konon).

Hinggalah kepada terjebaknya anak muda yang hafiz dan hafizah di dalam kancah zina…

Semuanya menggerunkan, dan ia banyak berlaku apabila nilai agama cuba diamalkan dalam bentuk yang tidak kena dengan ke-manusiaan seorang manusia.

Akhirnya saya mencuba sekali lagi untuk memahami keadaan dengan menstrukturkan pemahaman saya di atas bebutang keyboard ini. Puzzle-puzzle ini saya cuba fahamkan dan menyusunkannya menjadi satu formula yang mudah difahami.

Semuanya bermula dari satu peristiwa.

“ Bolehkah ana nak kahwin dalam masa terdekat…? ” tanya seorang sahabat memulakan bicara pada suatu petang.

Saya yang sedang tekun menaip tesis tersentak tiba-tiba.

Saya merenung tepat ke arah mata sahabat baik itu. Ternyata tidak ada tanda gurauan atau seloroh. Matanya bulat memandang tepat ke arah saya.

“ betul ke..? dah ada calon?” saya mencari kepastian.

“ Erm..Gadis idaman hati sejak sekian lama..” jawabnya dengan penuh keyakinan.

GADIS IDAMAN HATI

Gadis idaman hatiku. Itulah ayat kebiasaan yang lelaki ucapkan bila bertemu dengan gadis memikat.

Benarkah ianya sudah dinilai oleh hati? Atau masalah hati?

Atau hanya tertipu oleh pandangan mata yang belum pernah berpengalaman menilik seorang gadis..?

Tilikannya hanya pada kosmetik luaran.

Tilikannya hanya pada nasab yang senang diselidiki.

Tilikannya hanya pada wajah yang bujur telur dan mata redup yang ayu itu. Kecantikan zahiri yang selalu menipu.

Tilikannya hanya pada nilaian aset dan harta yang senang dihitung.

Soalan OBJEKTIF itu cukup SENANG dijawab.

Yang penting itu subjektif. Yang berkat itu subjektif. Rahmat itu subjektif.

Maka yang mempunyai agama itu yang sukar dikira. Sukar dicari. Sukar dinilai. Nilaiannya sesubjektif nilaian hati.

SIAPA YANG PUNYAI AGAMA

“Ana dah pilih seperti yang nabi ajar..yang punyai agama…” beliau menjelaskan lagi bila saya sedikit menyindir hati yang dimaksudkan.

“ budak tu hafizah..belajar agama lagi..” hujah itu di anggap kukuh baginya yang sudah angau.

Zaat ad deen

Zat. Bukan sifat. Sifat itu mungkin akan berubah kerana kebiasaan sifat itu hanya pada luaran.

Yang gemuk akan menjadi kurus. Yang kaya akan menjadi miskin.

Maka bidalan zat yang dipakai dalam hadit di atas melambangkan pegangan agama yang betul betul kukuh dalam diri gadis tersebut.

Bukan hanya beragama bila bergelar hafizah.

Bukan hanya beragama bila bertitle pelajar agama.

Masakan kita boleh menyifatkannya zaat ad deen andai tidak mampu menahan gelojak nafsu untuk mencari teman sebelum halal.

Mana mungkin muslimah yang zaat ad deen berikhtilat dalam keadaan yang tidak terkawal.

Mana mungkin muslimah yang zaat ad deen berhubung dengan lelaki ajnabi sedang dia seorang ‘pembaca kitab’.

Masakan seorang hamba yang ada ciri zaat ad deen membelakangi walinya dan WALINYA.

“apakah patut kamu menyuruh manusia ke arah kebaikan dalam masa yang sama kamu melupakan diri kamu sendiri sedangkan kamu adalah golongan pembaca kitab”


MENCARI GADIS


Mencari gadis. Ya. Itu bagus.

Tapi nilaian bagus itu bukan hanya pada muslimah yang bersifat gadis.

Gadis kebiasaannya ditafsirkan sebagai muslimah yang ‘bikir’.

Gadis itu hanya mungkin seketika. Sedangkan matlamat hidup kita bersama dengan ‘gadis’ itu adalah selepas kegadisannya. Itulah kebiasaannya yang menjadi penyebab utama borang cerai begitu laku di pejabat agama seluruh negeri. Mencari gadis menjadi agenda. Selepas gadis menjadi petaka.

Bagaimana bila yang ‘gadis’ itu sudah tidak lagi gadis?

Bagaimana jika yang jeilta itu sudah berkerutdan berkedut?

Bagaimana jika yang kaya itu sudah jatuh papa?

Yang panjang masanya itu pada waktu gadis itu bukan lagi gadis. Bila gadis itu bergelar wanita. Bila gadis itu sudah bergelar ibu. Bila gadis itu bergelar tua. Bagaimana ‘hati’ kita saat itu? Masih lagi bekenan di hati? Masih lagi menjadi pujaan hati?

Maka, carilah yang beragama. Bukan sekadar pelajar agama. Bukan sekadar yang bergelar hafizah (banat). Tapi yang bergelar muslimah, yang dipanggil mu’minah. Yang bersifat solehah.

“ kalau inginkan yang solehah, maka jangan di cari solehahnya. Tapi berusahalah untuk menjadi soleh.”

BILA MAMPU, KAHWINLAH

Umur muda? Bukan penghalangnya.

Mampu bukan usia sahaja ukurannya. Mampu juga subjektif.

Umum sahaja Al Ba ah yang digariskan WALI kita.

Bersedia pada spiritual. Bersedia pada ilmu di dada dan pengalaman dalam kotak jiwa. Bersedia menunaikan kewajipan dan tanggungjawab sebelum mewajibkan isteri untuk taat.

Bersedia untuk berfikir tentang peranan bukan menuntuk hak yang tak tertunai. Bersedia untuk taat pada DUA AYAH dan DUA IBU.

Bersediakah anda…?

Nikmat berkahwin bukan hak yang wajib kita dapat, tetapi tanggungjawab sebelum dan selepas berkahwin yang wajib kita tunaikan.

Berkahwin kerana perasaan tanpa mempedulikan tanggungjawab dan bebanan, adalah kebudak-budakan yang mengundang kehinaan.

Kematangan usia tidak semestinya mematangkan pertimbangan.

Kepetahan bercakap tidak menjaminkan anggungjawab tertunai.

Jangan pula kita tertipu dengan ‘kebahagian’ yang di ‘rasa’ sedangkan kita belum dibebankan dengan peranan dan tanggungjawab.

Kepada sang suami, bakal suami, isteri atau bakal isteri, pulanglah kepada Allah sebagai hamba-hamba-Nya. Hamba yang tidak pantas bercakap tentang HAK, kerana kehambaan itu hanyalah pada TANGGUNGJAWAB, TUGAS DAN PERANAN.

Fikir-fikirkanlah.. posting ini amat sarat dengan mesej tersirat dan tersurat.