Khamis, 30 Julai 2009

Dia Lebih Sedih..CACATAN ISA

Saya pernah merasai kepedihan hidup tanpa ayah. 20 tahun lamanya diri tersepi dari belaian seorang ayah. Namun, setelah membaca warkah dari adik Suhaib, terasa bahawa pedih saya itu sekelumit cuma.

Baca dan hayati...

Nama saya Suhaib. Saya berusia 16 tahun. Ketika bapa saya, Mat Sah Satray ditahan di bawah ISA pada 18 April tahun 2002, saya berusia 8 tahun 5 bulan. Saya masih terlalu kecil dan tidak dapat mengingati semua peristiwa. Ketika itu saya sedang tidur, tetapi terjaga apabila beberapa orang polis masuk ke bilik tidur saya dan dengan kasar menyelak cadar, mengangkat hujung tilam, menarik rak baju, membuka serta menutup almari pakaian hingga mengeluarkan bunyi kuat yang membuatkan saya terjaga.

Umi, panggilan saya pada emak, mendukung saya dan diletakkan di sebelah abah yang ketika itu duduk di sofa di ruang tamu. Aku menoleh ke arah Abah dan nampak kedua-dua tangannya bergari. Aku menangis kerana terlalu takut melihat gari itu. Gambaran gari yang melengkar di kedua-dua belah tangan Abah amat sukar untuk hilang dari minda saya......

Agak lama juga polis menggeledah rumah kami. Seorang wanita sibuk menyoal Abah dan Umi bergilir-gilir dan kemudian menulis sesuatu di atas kertas. Manakala lima orang lelaki yang lain, sibuk membuka rak buku Abah, mengeluarkan Quran dan buku-buku agama serta menyelak-nyelak setiap muka surat dengan pantas. Saya tidak tahu, apa yang mereka cari. Tidak lama selepas itu, mereka membawa Abah masuk ke dalam van putih. Umi dukung saya dan kami berdua sempat melambai tangan kepada Abah. Sebaik sahaja van putih hilang dari pandangan, aku menangis lagi sambil memanggil-manggil Abah. Saya baring di riba Umi hingga tertidur...

Saya bagaikan melalui satu mimpi buruk di mana Abah dilarikan dari rumah oleh sekumpulan lelaki. Bila terjaga dari tidur, saya mencari Abah di semua bilik termasuk bilik air tetapi tidak ditemui. Saya mendapatkan Umi yang sedang membancuh minuman untuk bertanya tentang Abah, tetapi saya nampak Umi juga sedang menangis....

Saya asyik teringatkan Abah. Dari pagi saya tunggu Abah, tengah hari, hinggalah cuaca gelap dan masuk waktu maghrib, Abah masih juga belum pulang. Saya mula menangis kerana rindukan Abah... Ketika itu telefon rumah berdering, saya dan Umi berlari ke arah telefon tetapi apabila gagang diangkat, tiada siapa yang bercakap di hujung talian....

7 tahun telah berlalu Peristiwa buruk itu telah berlalu tujuh tahun yang lalu, namun ianya sukar untuk hilang semuanya dari fikiran saya. Tujuh tahun lalu Abah saya dibawa pergi, hingga kini beliau tidak pernah balik ke rumah kami.

Pada tahun 2009 ini, maknanya hampir separuh usia saya membesar tanpa belaian kasih sayang, bimbingan dan sentuhan Abah walaupun beliau masih hidup. Saya membesar bertemankan barang-barang peribadinya seperti jam tangan, dompet, baju, seluar, kain pelikat dan buku-buku beliau. Saya sekadar mengikuti nasihat dan kata-kata beliau melalui surat-surat kirimannya. Jika rasa terlalu rindu padanya, saya akan pakai baju, seluar dan kain pelikat beliau.

Saya letak gambar Abah di dompet duit bersebelahan dengan gambar saya.

Umi akan memastikan kami melawat Abah sekurang-kurangnya dua kali sebulan. Namun waktu lawatan selama 45 minit itu jauh dari mencukupi untuk Abah menghilangkan rindu, memberikan bimbingan, tunjuk ajar serta melepaskan kasih sayangnya kepada saya.

Satu peristiwa yang tidak dapat dilupakan ialah ketika lawatan pertama ke Kem pada 24 Jun 2002. Setelah hampir tiga minggu tidak melihat Abah sejak pertemuan terakhir di Bukit Aman, saya rasa terlalu rindu kepadanya. Kami berbual selama 45 minit dan di akhir pertemuan, Abah dibenarkan keluar dari bilik kurungan untuk bersalaman dengan saya dan Umi. Abah mengangkat, mendukung dan mencium saya berkali-kali. Saya terlalu rindukan Abah dan apabila warden bertugas menyuruh Abah masuk kembali ke bilik kurungan, saya menangis dan tidak mahu melepaskan pegangan pada lengan Abah...

Bagaikan binatang di zoo Sejak hari pertama penahanan Abah hinggalah di saat ini, saya tidak pernah berpeluang mengerjakan solat dan membaca quran bersama beliau. Saya tidak mengharapkan duit belanja atau keluar membeli belah kerana memahami semua itu tidak mungkin dapat dilakukan bersama. Namun, satu perkara yang lebih memedihkan bermula pada bulan April 2005, kami keluarga tahanan hanya dibenarkan bertemu menggunakan interkom di sebalik dinding kaca lutsinar. Bila sahaja melihat Abah di sebalik cermin kaca, hati saya terasa hancur... Ketika itu, saya teringat binatang di zoo yang diletakkan di dalam kotak kaca. Apakah dosa dan kesalahan Abah diperlakukan sedemikian rupa. Sejak tarikh itu, setiap kali melawat Abah, saya hanya berpeluang bercakap melalui interkom dan duduk di sebalik kaca. Saya hanya dapat melihat wajah Abah, tetapi tidak dapat menyentuhnya...hati ini memang pedih yang teramat sangat.

Tujuh tahun saya dipisahkan dari Abah, namun tiada sebarang tanda beliau akan dibebaskan. Walaupun pada tahun 2009 ini ada dua pembebasan beramai-ramai yang mendapat tempat di dada media, namun nama Abah saya tiada dalam kedua-dua senarai pembebasan tersebut....

Perpisahan dengan Abah benar-benar membuat saya rasa rendah diri dan terpinggir. Saya terlalu ingin menjalani kehidupan harian bersama Abah. Saya ingin makan, berbual, bergurau senda dan melakukan pelbagai aktiviti harian bersamanya. Saya juga punya keinginan mempunyai keluarga yang lengkap, sama seperti orang lain.

Hingga kini saya tidak faham kenapa Abah saya, seorang yang pendiam dan mudah tersenyum, masih juga belum dibebaskan. Saya tidak tahu apakah sebenarnya kesalahan beliau kerana tahanan ISA lain yang ditahan bersama Abah tujuh tahun dulu, hampir semuanya telah pun dibebaskan... namun Abah masih tetap dikurung di Kem. Saya setuju dengan pendapat Umi bahawa Abah sepatutnya dibicarakan di mahkamah. Kalau benar ada bukti menyatakan dia salah, sekurang-kurangnya hakim akan menetapkan, bilakah tarikh akhir dia menjalani kehidupan sebagai banduan. Saya amat sedih mengenangkan kehidupan Abah dalam ketidakpastian selama tujuh tahun dan terus berlarutan.

Saya akan terus berdoa pada Allah supaya Abah segera dibebaskan...

*Testimoni ini ditulis oleh Suhaib Mat Sah, anak kepada tahanan ISA Mat Sah Satray. Mat Sah Satray ditahan sejak tahun 2002, dituduh terlibat dalam aktiviti Jemaah Islamiah, namun tidak pernah dibuktikan di mahkamah. Dipetik daripada blog merdekareview.

Adikku..akan ku kesat air matamu di pagi 1 Ogos ini...

Komen Anda Adalah Buah Tangan Terbaik [hasanhusaini]

Rabu, 29 Julai 2009

Teori Evolusi : Satu Keyakinan



Meski rambut bertukar warna, wajah agak berbeza, Dasar mereka terhadap Yahudi tetap sama. Kezaliman mereka kepada Palestin tetap sama.

Komen Anda Adalah Buah Tangan Terbaik [hasanhusaini]

Selasa, 28 Julai 2009

Huffaz : Blueprint Untukmu

Saya membaca dan terus membaca. Dari buku, komputer, internet. Bahkan juga dari handphone. Membaca menambah maklumat, menajam minda, mengasah fikiran dan sebagainya. Boleh dikatakan, segala yang timbul dari proses membaca adalah kebaikan. Justeru, saya menanam minat untuk terus membaca.

Kini, ingin pula berkongsi manfaat dari usaha saya untuk generasi yang menjadi harapan ramai orang untuk mencetuskan revolusi dan tranformasi dalam masyarakat. Islah masyarakat. Itulah generasi huffaz.

Syed Qutb menantikan generasi ini.

Penantian ummat untuk merasai semula nikmat berada dibawah naungan pemerintahan islam semakin tidak berpenghujung. Hanya yang menjadi bekal untuk terus digenggam kepercayaan itu adalah sabda Rasul mulia, bahawa umat ini nantinya akan kembali ke bawah suluhan Minhaj Nubuwwah, seperti di zaman pemerintahan Khulafa’ Ar Rasyidin.

Pada tahun 60an, penantian itu seolah bakal berakhir dengan berlakunya pemisahan secara besar-besaran sama ada secara pengenalan ( identiti ) kepada entiti di antara islam dan kuffar. Mereka yang menyokong dan mendokong kelihatan jelas, di pisahkan oleh dua jurang yang luas. Sehingga, Almarhum Dr. Fathi Yakan menulis tentang masa depan milik islam hanya dengan syarahan idea yang tidak lebih dua helai dalam Kitabnya : Apa Erti saya Menganut Islam.

Saban tahun, penantian seakan makin jauh dari titik akhir. Sehinggalah ke zaman kita pada hari ini. Keyakinan itu semakin terhakis. Islam seolah akan sentiasa berada di posisi bertahan. Kalau menyerang pun, hanyalah kerana kelemahan musuh, bukan dengan kekuatan kita.

Lalu, saya semakin rindukan Muhammad S.A.W kembali menyelamatkan ummat ini. Namun pastinya ia adalah mustahil. Saya rindukan juga Abu Bakar yang penyayang... Umar yang perkasa... Uthman yang akhlaqnya menawan..Ali yang bijaksana... Namun hampa, kerana mereka telah tiada.

Lalu, saya mengubati duka ini dengan sabda Nabi :

Aku tinggalkan untuk ummat ini dua perkara : yang seandainya mereka berpegang dengan kedua aset tersebut, mereka tidak akan sesat selamanya : Kitab Allah dan Sunnah Rasulullah.

Ya. Al-Quran masih di sisi saya. Hadith masih terjilid dalam dua sahih utama, tujuh sunan dan ribuan jilid lain.

Namun, sedih saya masih memuncak. Teks-teks itu tak mampu menerangi kegelapan jahiliyyah yang semakin pekat menyelubungi tanpa pelaksana kepada kod-kod yang terkandung dalam teks tersebut.

Seperti yang dilakukan oleh generasi yang menjadi kerinduan saya. Nabi Muhammad s.a.w dan para sahabat baginda pantas dalam merealisasikan teks itu.

Jelas, dunia ini memerlukan rijal yang mampu menginterpretasikan isi-isi teks itu dalam hidup mereka untuk menerangi dunia ini.

Saban tahun, ribuan Huffaz dilahirkan. Sama ada dari rahim Maahad Tahfiz Swasta, Separa kerajaan, kerajaan negeri bahkan kerajaan pusat. Namun, badai dan taufan dari generasi ini masih belum melanda untuk melakukan perubahan dalam masyarakat tempang hari ini. Sistem tempang yang menggelapkan jalan menuju tuhan.

Politik tempang dengan demokrasi.

Ekonomi tempang dengan kapitalisme dan sosialisme.

Pendidikan tempang dengan sekularisme dan dualisme.

Sejarah tempang dengan penipuan dan manipulasi.

Pemerintahan negara tempang dengan korupsi, nepotisme dan kroni.

Mana huffaz yang bangkit dicelah ketempangan itu membekalkan cahaya dari Al-Quran? Tiada.

Tiada pada pandangan saya. Atau, pandangan saya rabun. Mungkin juga pandangan saya tempang. Namun itulah yang mampu saya simpulkan dengan dua mata anugerah Allah ini.

Tenaga 'nuklear' huffaz terbazir begitu sahaja.

Maka, atas dasar rasa bertanggungjawab, saya cuba dengan keringat saya yang kerdil untuk membentangkan sedikit pandangan untuk menyelesaikan masalah ini.

Ketiadaan autoriti membataskan saya untuk mengulas secara mendalam dalam sudut yang spesifik. Justeru, saya mengharapkan juga buah fikiran bernas dari sahabat para pembaca untuk memperinci, menambah serta memperelokkan idea ringkas saya ini.

Dalam hal ini, mungkin saya banyak terpengaruh dengan idea Prof Dr.Sidek Baba, semenjak saya meneliti draf pelaksanaan Program Persijilan DQ-UIAM dua tahun yang lalu.

Idea membekalkan tenaga Huffaz yang mahir dalam bidang teras pengurusan sebuah negara. Dalam kata lain, memahirkan Huffaz dengan ilmu untuk mengurus UMMAT.

Seperti yang kita maklum bahawa, untuk memerintah dan mengurus urusan dunia supaya betul dengan kehendak Allah memerlukan tenaga pakar dalam bidang-bidang tertentu. Bukan sekadar pakar dalam menyediakan dalil-dalil yang mewajibkan terlaksananya syariat Allah di muka bumi. Tetapi, pakar yang mempu -sekali lagi- menginterpretasikan teks Al-Quran dan Sunnah itu di lantai peradaban ini.

Teks sahaja belum mampu untuk menyuluh ummat. Perlu ada rijal yang arif untuk menulisnya di lantai peradaban ini.

Untuk mengurus siasah dan sistem politik, kita bukan hanya memerlukan ahli Quran yang mahir mencedok dalil-dali sahih dari Al-Quran dan hadis, namun dalam masa yang sama memerlukan mereka yang pakar dalam falsafah politik dunia. Pakar dalam kod politik Kapitalis, sosialis dan komunis, agar nanti, tidaklah berlaku usaha meruntuhkan jahiliyyah dan menubuhkan jahiliyyah moden.

Begitu juga dalam bidang ekonomi, pendidikan dan sistem teras pemerintahan lain yang perlu menerima sentuhan dari generasi Al- Quran.

Kenapa Generasi Al-Quran?

Pasti ada yang bertanya, kenapa perlu obses sangat dengan generasi Al-Quran?

Saya tiada jawapan yang konkrit, kenapa generasi Al-Quran yang saya pertaruhkan untuk mengubati kedahagaan ummat. Cukuplah keyakinan saya terhadap hujjah yang telah tersedia oleh Syed Qutb dalam kitabnya : Petunjuk Sepanjang Zaman.

Namun, sedikit hujjah yang mungkin boleh dijadikan sandaran. Bahwa generasi al Quran yang diharapkan adalah generasi yang tidak memandang islam pada cebisan tertententu lantaran Manual Operating itu sudah berada di dada mereka.

Moga tidak ada lagi orang yang hanya memandang jalan keluar dari kegelapan jahiliyyah ini hanya pada sistem tempang yang disyahadahkan dengan kalimah arab.

Bukanlah jalan keluar itu pada Syariah semata. Bukan juga pada Akhlaq dan kejiwaan. sahaja Bukan juga pada falsafah dan pendidikan. Tidak pada kod undang-undang dan sistem pemerintahan. Bukan hanya pada politik dan pemerintahan. Bukan hanya pada ekonomi dan kewangan.

Hanya sanya, jalan itu adalah ISLAM yang sumbernya Al-Quran.

Komen Anda Adalah Buah Tangan Terbaik [hasanhusaini]

Huffaz : Perbetulkan Posisi Kita

“Assalamu'alaikum abang, ana ada hajat yang tak tertunai lagi…nak minta tolong sikit boleh? Itupun kalau free..?” Tanya seorang junior yang merupakan pengerusi IQRAC 2009, Hanif.

“Insyaallah..ada apa yang boleh ana bantu?”

“Ana dah lama bercadang untuk menemukan abang dengan pimpinan-pimpinan Iqrac…”

Usrah rupanya.

“Insyaallah, pukul berapa..?” Saya cuba untuk meluangkan masa bila usrah yang ingin dihidangkan kepada saya.

“5.30 petang, di bilik gerakan Iqrac”

Selesai beberapa urusan di pekan Kuala Kubu Baru yang masyhur di kalangan sahabat-sahabat Darul Quran dengan jolokan Pekan Koboi, saya bergegas kembali ke asrama untuk memenuhi jemputan tersebut.

“Alhamdulillah, hari ini kita bakal disajikan dengan sedikit pengisian berharga dari abang kita…” begitulah lebih kurangnya isi ucapan aluan dari pengerusi majlis.

Ya Allah, pengisian rupanya.

Tanggapan saya, hanyalah perjumpaan untuk bertaaruf lantaran itulah perjumpaan pertama kami. Meskipun mereka sudah memikul amanah kepimpinan IQrac selama lebih sebulan yang lalu.

Secepat kilat, saya merangka isi yang bakal saya kongsikan bersama adik-adik baru saya ini.

Seperti biasa, persoalan yang tidak akan lari dari menjadi tema saya apabila berkesempatan bersama penghafal Al-Quran ialah, Kenapa Nak Hafal Quran?

Namun, sentuhan permulaan diringankan sedikit untuk memikat hati-hati yang belum pernah berdamping dengan saya secara peribadi. Pelbagai pengalaman saya kongsikan bersama mereka.

Pengalaman saya yang pernah hidup ‘dua alam’ itu saya ulas sebaik mungkin supaya dekat di hati mereka. Lebih senang untuk di ambil manfaatnya.

Alam belajar dan perjuangan mahasiswa dalam proses dakwah dan tarbiah kampus. Begitu juga alam pekerjaan serta perjuangan realiti dalam dakwah dan tarbiah serta siasah dalam masyarakat.

Meski saya hanya bekerja selama kurang dua bulan, namun ianya amat meninggalkan kesan yang amat besar kepada perubahan yang sedang saya alami sekarang.

Bermula bagaimana saya cba untu memahami betapa sekularnya pendidikan yang sedang dihadapi oleh lebih 1 juta pelajar di Malaysia sehingga mendalami bagaimana rosaknya dua sistem yang mempengaruhi kehidupan para pemuda, institusi rumah tangga dan institusi pendidikan.

Rosaknya institusi rumahtangga berpunca dari hilangnya sifat amanah dikalangan ibubapa dalam MENDIDIK anak-anak. Sehingga kebanyakan mereka hanya pandai ‘mengajar’ apabila anak-anak melakukan kesalahan.

Rosaknya institusi pendidikan apabila guru-guru hilang amanah juga dalam MENDIDIK para pelajar, malah lebih teruk, hanya mengajar dengan berorientasikan A semata-mata.

Dan, saya serta sahabat baik, Syaukani didatangkan untuk menjadi ubat kepada dua sakit parah ini.

Kesan langsung dari dua penyakit ini, anak-anak muda ( saya anak-anak ‘tua’) menjadi kebingungan dalam mencari contoh untuk mereka hidup. Apa yang lebih teruk ialah, mereka kehilangan tempat untuk meluahkan perasaan seandai ada krisis yang berlaku sepanjang tempoh masa mereka mencari identiti untuk di'pakai' seumur hidup.

Hakikat kesedihan yang berlaku ialah, kebanyakan dari mereka tersilap pilih teman komunikasi lantaran rosaknya dua intitusi terdekat dengan mereka, Keluarga dan Warga pendidik.

Maka, pesan pertama saya kepada mereka untuk mengambil tugas menyelamatkan generasi muda sebaya mereka dengan menjadi saluran alternatif untuk generasi tersebut meluahkan perasaan . Menyerap frekuensi gelombang tekanan yang tinggi (beta) dengan mendengar rintihan batin mereka.

Itulah yang saya lakukan dalam usaha kecil saya untuk mengubati barah hasil virus dua intitusi penting sepanjang bekerja di Kuantan.

Sesi kedua, persoalan ditimbulkan sebelum sempat saya meneruskan point berikutnya.

“ Macam mana generasi huffaz nak selamatkan orang lain, sedang mereka berada di posisi untuk diselamatkan. dengan akhlaq yang tak bagus malah perangai yang buruk dan cacat di mata masyarakat..?” tanya seorang junior yang sedari tadi menjarangkan kadar kerdipan matanya, tanda tekun mendengar.

HUFFAZ TERSILAP POSISI

Itulah kesimpulan baru yang saya dapat timbulkan setelah merenung sejenak sebelum memberi respon terhadap persoalan yang dilontarkan sekejap tadi.

Kebanyakan (malah hampir seluruh) huffaz yang lahir ke dalam masyarakat hari ini berada di posisi yang perlu diselamatkan.

Berbeza dengan figur-figur yang lahir dalam generasi terdahulu. Mereka gah menyumbang di dada masyarakat.

Generasi baru perlu diselamatkan dalam medan pelajaran sehingga perlu diberi tempat untuk belajar, bukan bersaing dengan pelajar-pelajar lain di medan tersebut.

Perlu diselamatkan dalam bidang pekerjaan sehingga perlu disediakan peluang pekejaan, lantaran ketempangan mereka dalam memenuhi kompetensi sebagai seorang pekerja yang baik.

Perlu ditunjuk ajar berpanjangn, sedangkan dalam dada mereka adalah kitab petunjuk yang tidak diragui lagi.

Perlu disuap, dibelai dan diusap. Pasif dan tidak reaktif, apatah lagi proaktif. Berada di posisi yang perlu diselamatkan, bukan penyelamat.

DI MANA SILAPNYA?

Saya yakin, para pemikir yang telah memerah otak membentangkan draf untuk menubuhkan institusi tahfiz sejak berzaman mengimpikan graduasi Huffaz bakal terjun dalam masyarakat sebagai penyelamat.

Bukan yang sebaliknya, yang diselamat.

Kenyataan dari Dr.Sidek Baba tempoh hari membenarkan hepotesis saya ini. Temu ramah saya secara tidak langsung ketika sedang menyiapkan draf cadang tajuk pertama tesis saya dengan beberapa orang pengetua dan ahli lembaga dari beberapa buah institusi tahfiz juga sebegitu.

Ibu bapa yang menginfaqkan anak mereka untuk memikul tugas sebagai Huffaz juga mempunyai harapan sebegitu.

Namun, kenapa begini hasilnya huffaz generasi millenium yang serba canggih?

KRISIS NILAI DAN WORLDVIEW

Saya pernah berbual dengan seorang ustaz yang bertugas sebagai pensyarah di sebuah institusi pengajian masyhur. Beliau lulusan Universiti Al-Azhar. Kiblat ilmu.

“Nta nak sambung degree di jami’ah mana?”

“Insyallah, Jamiah Mu’tah ustaz..” saya cuba yakin dengan harapan saya itu.

“Ana tak nak kata bagus, juga tak bagus…tapi terpulang kepada yang menjadi faktor KENAPA nta nak ke sana, pastikan bukan kerana terikut-ikut dan juga kerana tengok ramai yang cemerlang dan berkualiti dari sana, ana Azhari, namun ana sudah tidak mampu berbangga dengan Azhari sekarang yang hilang TUJUAN mereka dalam persoalan KENAPA mereka memilih Azhar sebagai medan jihad ilmu mereka” jelas ustaz secara panjang lebar.

Persoalan KENAPA mudah untuk diselesaikan oleh generasi salaf dalam dunia tahfiz.

30 tahun lepas, industri tahfiz bukanlah bidang yang menjadi tumpuan. Justeru, yang memilih untuk terjun ke sini merupakan mereka yang sebetulnya jelas dengan TUJUAN dan persoalan KENAPA mereka memilih jalan ini.

Tidak pada generasi khalaf. Generasi yang sudah kabur akan TUJUAN dan jawapan kepada persoalan KENAPA lantaran banyak insentif dan ganjaran yang disediakan. Tambahan pula, institusi tahfiz kini telah menjadi kegilaan ramai lantaran ianya sudah menjadi satu sistem pengajian alternatif dari sistem sekular.

Maka, ramai dikalangan 'ahli baru' dalam dunai huffaz tersilap memilih bidang kerana tersilap dalam menilai peranan sebenar huffaz dan tersilap dalam menajwab persoalan kenapa nak hafal Al-Quran.

Memilih dunia Huffaz dengan melihat faktor kecil akan menjadikan huffaz yang lahir itu cacat dan tidak sempurna. Malah, mereka bukan menjadi generasi penyelamat, bahkan membebankan kerana terpaksa diselamatkan.

Maka, point kedua dan terakhir saya ialah, KENAPA NAK HAFAL QURAN- dan saya cuba membantu mereka mencari jawapan itu sebaik-baiknya.

Saya tak mahu digelarkan sebagai penentang sunnah. Juga peruntuh institusi huffaz yang mulia. Juga tak ingin digelarkan sebagai penulis jahat yang tak mampu menghafal Al-Quran lantas dengkikan mereka yang berjaya meraih gelaran Al-Hafiz.

Moga generasi yang bakal mendaftarkan diri sebagai HAMALATUL QURAN jelas tentang TUJUAN dan jelas juga dengan jawapan KENAPA NAK HAFAL QURAN…?

Moga usaha sekecil ini mampu menjadi sebutir pasir dalam binaan idea generasi Al-Quran Unik yang digagaskan Syed Qutub.

Komen Anda Adalah Buah Tangan Terbaik [hasanhusaini]

Ahad, 26 Julai 2009

Belajar Menjadi Hebat

Pulang dari berkongsi pendapat tentang masa depan perjuangan bersama sahabat-sahabat yang telah berjaya mendaftar sebagai MAHASISWA di Darul Quran, saya bertandanga ke bilik adik usrah saya, MarBu.

Lewat petang tadi, beliau mengajak saya untuk sama-sama menyertai diskusi tentang isme-isme baru di dunia hari ini.

Cukup bagus untuk berdakwah, dengan mengenali musuh dan pakaiannya. Supaya kelak, kita tak tersilap menembak. Dan tak tersilap ditembak kerana tersilap memilih identiti.

Timbul rasa malu, bila berada dalam perbincangan mereka.

Mencelah dalam sanubari ini, rasa kerdil. Meski dulu, mereka adik-adik saya yang kecil-kecil. Marwan, As'ad , Amirul dan Khairi dari Ghuraba', Fakhrur, Hamdi dan rakan-rakan lain. Mereka membanggakan saya.

Pembentang membentang dengan baik. Disambut dengan perhatian yang juga baik. Isi-isi yang bernas dipakejkan dengan hujah yang tuntas.

Generasi adik-adik saya kini telah jauh berubah. Malah telah diubah. Gaya pemikiran, gaya intelktual, segala gaya yang bagus untuk ulama masa hadapan.

Namun bukan saya agen pengubahnya. Berlepas diri dari mengaku, sayalah puncanya.

Moga dengan adanya generasi mereka di DQ, huffaz akan kembali mencelik matanya dari lena yang panjang.

Moga itulah yang akan terjadi...hanya sebuah harapan...

Adik-adikku...bersama kalian, aku memaknakan kehidupan...


Komen Anda Adalah bauh Tangan Terbaik [hasanhusaini]

Jumaat, 24 Julai 2009

Nikmat Sebiji Telur


Goreng telur-Goreng telur


Sedap....(nikmat air tangan sendiri)

Kini, giliran saya menyelia kanak-kanak di rumah. 5 orang sepupu berumur 2-8 tahun bukan kepalang untuk diurus.

Makan, minum, mandi, menangis.

Main, bergurau, jatuh, nangis lagi.

Lapar, nangis juga.

Segalanya nak diuruskan. Aduh, pening kepala.

Lalu saya cuba mencari formula. Bagaimana saya kecil dulu tak banyak yang diuruskan. Darjah satu sudah masak telur sendiri. Darjah dua, basuh baju sendiri. Ke sekolah hanya berjalan kaki. Darjah tiga, boncengkan adik dengan basikal tua.

Balik ke rumah, makan nasi dengan telur itik masak separuh dan kicap cap gajah. Masak sendiri. Lepas solat, riadahkan itik-itik ke sawah, nanti besoknya, sebelum ke sekolah, ada banyak telur yang boleh dikutip.

Semuanya sendiri. Berdikari.

" mana boleh kamu nak didik mereka sebegitu..mereka anak millenium, kamu anak pasca merdeka, makan ubi!!" seorang pak cik memberi pandangan.

" Betul juga.." getus hati saya. Tambah pula, teringat pesanan Saidina Ali R.A dalam mendidik anak.

"Didiklah anak-anak kalian dengan zaman mereka"

Tapi, bukan kepalang lagi, takkanlah setiap hari saya harus begini. Mengulangi perkara sama, menyusahkan diri pada masa yang sepatutnya boleh diisi dengan sesuatu yang lebih bererti.

5 0rang makan, telur mata lebih 10 biji. Nasi hanya dua sudu.

Saya dahulu, nasi hampir dua pinggan, telurnya hanya satu biji.

Lalu, saya terjumpa puncanya. Mereka gagal menghargai nikmat yang ada.

NIKMAT YANG DIKUFURI

Nikmat pembantu rumah yang ada dikufurkan dengan sengaja mensepahkan rumah. Sedangkan, rumah pandai dikemas sendiri sebelum tibanya pembantu rumah. Akhirnya disiplin diri menjadi lebih teruk dari haiwan.

Nikmat internet dikufuri dengan melayari laman sosial yang merosakkan. Bukan mencari sumber ilmu yang kaya disitu. Sedang dahulu, ada insan yang membelek buku sepanjang hari demi mencari punca nota kaki.

Nikmat berduit dikufuri dengan melaram, melobi dan judi. Sedang dulu, hanya hidup makan ubi.

BUKAN MELARANG

Namun, harus difahami bahawa, saya tidak melarang untuk meraih nikmat yang banyak. Namun, nikmat yang kaya itu harus juga desrtai dengan syukur yang raksasa. Kerana mensyukuri nikmat itu lebih aula dari bersabar dengan musibah.

Sepupu-sepupu saya kenal dunia dalam dengan memakai pampers, bukan lampin. Telur sangkar yang siap terhidang. Bukan telur itik bendang.

Berbeza dengan saya yang lebih menghargai nikmat sebiji telur yang keluar hasil keringat saya. Ternak itik, bela itik, kasi makan itik, lalu itik bertelur. Satu fasa.

Untuk makan, basuh telur itik tak semudah membersihkan telur ayam sangkar. Tanah dan najis itik telah mengeras di situ. Guna abu sebagai pemangkin untuk membersihkan telur.

Nak goreng telur itik tak semudah menggoreng telur ayam. Meletup-letup. Tambah pula, kuningnya lambat mengeras.

Bukan senang untuk saya merasai nikmat sebiji telur goreng. Maka saya menghargai nikmat itu. Berjimat dan berhemah.

Menghargai Nikmat

" Ok, hari ni kita belajar memasak...nak tak..?" saya cuba mempromosi 'manhaj tarbiyah' saya.

"Naak..."

Semuannya menyahut, termasuk yang berumur dua tahun. Semuanya melompat kegembiraan.

Ok, saya membahagikan tugas kepada semua tentera. Ada yang tugasnya membasuh telur, ada yang hanya menadah pinggan untuk diisi telur yang masak. Ada yang ke kedai membeli telur, meski telur masih berbaki di dapur. Sengaja untuk mengajar erti kesusahan, supaya nikmat kesenangan dapat dioptimumkan syukurnya.

Sambil mereka bertungkus-lumus menyiapkan tugas masing-masing, saya cuba berjenaka meningkatkan motivasi. Trademark wonder pets menjadi pilihan.

"Apa yang penting?", saya bertanya.

"Kerjasama" mereka menyahut. Memadamkan semangat dengki dan cemburu.

Bermula dengan cara membeli dan membawa telur, supaya tidak pecah dipertengahan jalan, sehingga cara makan telur, saya ajarkan mereka satu persatu. Semuanya secara verbatim. Bukan dengan gaya bebas.

Sesuai dengan minda mereka.

Verbatim lebih selamat untuk mereka ikuti. Mereka tidak akan memandai-mandai mencuba cara lain yang boleh mendatangkan bahaya dan petaka.

Dan natijahnya, untuk lima orang, hanya lima biji telur sahaja terhidang.

Dan saya dapat membaca dan menulis pada hari ini, sedang mereka sedang 'berkerjasama' untuk mengisi perut di dapur. Tidak ada lagi tangisan. Cuma kekadang diselangi dengan tempikan dakwah, bila ada yang tak mahu berkerja.

Namun apa yang penting, saya mungkin telah berjaya mengajar mereka mensyukuri nikmat. Mengajar mereka bersatu menuju matlamat. Mengajar mereka erti kerjasama dalam mencari bahagia.

"Give a Man a Fish, Feed Him For a Day. Teach a Man to Fish, Feed Him For a Lifetime"
Ya Allah, aku ingin memaknakan kehidupan ini dengan memberi dan menerima...kerana itulah maknanya seorang hamba...

Komen Anda Adalah Buah Tangan Terbaik [hasanhusaini]

Selasa, 21 Julai 2009

Tiba-Tiba Terasa Jemu

Sekembali dari Ko-Spins 09, saya banyak memikirkan tentang perkembangan diri sendiri, apakah membanggakan atau sebaliknya?

Tambahan pula bila kenyataan dari para pembentang mengiyakan lagi tanggapan sekularnya sistem yang telah saya lalui.

Aku zuriat sekular!!

Berada beberapa hari bersama Naqib, sambil menolong menyempurnakan permintaan adik usrah saya untuk membeli beberapa buku terbaik, saya banyak merenung.

Merenung masa depan, apakah benar jalan yang sedang saya lalui sekarang?

Kini saya berada di rumah. Meninjau-ninjau dari jauh, pergolakan politik yang berlaku di persada politik antarabangsa, nasional dan juga peringkat mahasiswa melalui jendela broadband Celcom saya.

Akhirnya pada hari ini, tidak kurang dari sepuluh orang sahabat menanyakan, mana posting saya yang terbaru?

Ya. Tanpa sedar, saya tidak mengisi laman ini dengan isian yang berkualiti semenjak domain baru ditukar. Posting hanya sekadar makluman dan isian perasaan semata-mata.

Sambil menemani datuk yang semakin uzur di katil pesakit HRPZ II, Kota Bharu, saya membelek semula buku-buku yang telah lama dibeli, namun dibeli semula selepas peminjam tidak memulangkan buku-buku tersebut.

Belek buku Dr. Ugi Suharto. Belek Buku Us Riduan Mohamad Nor, belek juga Majalah Solusi. Tidak dilupakan karya-karya semasa dari laman-laman blog.

Saya lebih tenang membaca dari melayan penziarah yang datang membawa mulut ditepi pesakit, bukan untuk bercakap benda yang baik-baik, tapi meratah daging mayat mentah.

Maka saya menyendiri di balkoni yang diterangi lampu kalimantan sederhana besar, sambil membaca, terlintas akan slot kegemaran saya di IKIM.fm, Duniaku Buku.

Pasang headphone dan terus ke udara bersama panel.

Tak tersangka, bagai tahu akan gelojak hati saya, Us Zamri sedang mendiskusikan buku yang pernah menjadi rujukan saya untuk menyiapkan tesis tentang Usrah di Darul Quran, Kebangkitan Generasi Salahuddin dan Kembalinya Al-Aqsa Ke Pangkuan Islam.

Us Yusri dan Dr. Farid yang menjadi panelnya. Sesuai dengan kedudukan buku tersebut yang merupakan buku terbitan ABIM dengan kerjasama Thinkers Library.

Saya berusaha menenangkan minda untuk menerima dan memproses maklumat dengan adil. membunuh prejudis yang ingin bertamu pasti menjadi kewajipan kepada mereka yang ingin mengkaji.

Banyak sisi baru yang didedahkan. Terlalu banyak. Sehingga saya tiba-tiba terasa jemu. Terasa jemu untuk berpencak dengan gaya yang sama.

PENCAK RITUAL

Saya antara pengemar seni mempertahankan diri. Silat Gayong, Silat Sendeng, Silat Pulut, Silat Abjad malah Artide dan Tang Soo Do.

Namun akhirnya saya jemu. Jemu bila gaya yang sama di ulang-ulang.

Ritual.

Lalu guru saya berpesan, pencak yang terbaik adalah bila anda mampu 'berijtihad' dalam melakukan gerak. Malah mungkin gerak itu adalah gerak 'luar kotak' manhaj pencak terbabit.

Untuk ber'ijtihad', kita perlu mengkaji gerak lawan. Mengkaji gaya lawan. Mengkaji langkah dan kuda lawan. Menguasai kelemahan dan kekuatan mereka, barulah boleh ber'ijtihad'.

SHARPEN THE SAW

Mungkin sesuai untuk saya samakan proses mengkaji dan menyelidik tersebut dengan habit terakhir Covey, Sharpen The Saw.

Di pentas mahasiswa, perlu ada golongan yang sentiasa mengkaji secara akademik mahupun secara syariatik. Bagaimana peluang yang ada untuk kembali menumbangkan kejahilan dan kezaliman.

Dalam pentas nasional, tak semua perlu turun ke pentas berpolitik, malah wajib untuk ada satu kelompok yang mengkaji dan menyelidik. Moga hasil penyelidikan mereka bakal disampaikan kepada mereka yang kembali dari medan juang.

Maka, kesimpulan yang harus kita terima adalah, kita kekurangan mereka yang mengkaji dan menyelidik lantaran terlalu ramai yang ingin berpencak di medan siyasi, kita lupa medan intelktual yang lebih memberi kesan.

Sedangkan itulah saranan Allah :

122. Tidak sepatutnya bagi mukminin itu pergi semuanya (ke medan perang). Mengapa tidak pergi dari tiap-tiap golongan di antara mereka beberapa orang untuk memperdalam pengetahuan mereka tentang agama dan untuk memberi peringatan kepada kaumnya apabila mereka telah kembali kepadanya, supaya mereka itu dapat menjaga dirinya [Al-Taubah : 122]

Maka, dengan metod inilah, 'Naqib' kepada Salahuddin Al Ayyubi juga Sultan Muhammad Al-Fateh merangka satu manhaj syumul dalam memastikan generasi yang soleh akan lahir, seterusnya melayakkan mereka untuk menjadi wira ( khalifah ) di muka bumi ini.

Firman Allah :

105. Dan sungguh telah Kami tulis didalam Zabur sesudah (Kami tulis dalam) Lauh Mahfuz, bahawasanya bumi ini dipusakai hamba-hambaKu yang soleh [Anbiya' : 105]


Saya tahu akan ramainya jumlah mereka yang mendokong idealisme DSAI, mendokong fikrah TGNA dan TGHH, tapi seberapa ramaikan yang benar-benar jelas akan matlamat dalam pemikiran figur tersebut?

Atau kita hanya masih lagi terperangkap dalam 'semangat', bukan faham. Atau kita hanya terperangkap dalam perasaan 'faham' yang sebenarnya perasan faham.


MENENTANG MUSUH
: SIAPA?

Musuh yang berkeliaran di sekeliling kita teramat ramai sekali. Tidak terbilang. Tapi, siapa mereka? Bagaimana ingin menewaskan mereka?

Untuk menewaskan musuh, pasti kita perlu mengenali mereka serta mengetahui seleok-belok pemikiran mereka, seterusnya mengkaji dan mencari kelemahan. Maka, secara logiknya, dengan terlaksananya prinsip ini, musuh pasti tumbang. Al-Fateh telah mengajar sebegitu.

Maka siapa musuh kita?

Kapitalis? Liberalis? Komunis? Sekularis? Feminis? Emansipasi?

Maka, Sejarah Pemikiran dan Ideologi dunia perlu saya kuasai.

Maka, tiba-tiba saya jemu untuk berpencak.

Jemu berpencak dengan gaya yang ritual.

Saya ingin bersiap untuk ber'ijtihad' dengan gaya baru.

Terasa ingin menyahut saranan Us Khalid Al-Yamani, berpencak di medan fuqaha' dengan bimbingan Dr Zulkifli Muhammad Al-Bakri.

Ya Allah, bantulah aku memilih jalan hidup untuk memaknakan penghambaan diri pada Mu...


Komen AndaAdalah Buah Tangan Terbaik [hasanhusaini]

Sabtu, 18 Julai 2009

Nak Buat Baik

Balik Kampung sekejap. Jumpa ayah dan ibu. Perkumpulan keluarga. Moga makan kini 8 mata. Mengubat rindu ibu untuk bersama dua anaknya.

Maaf kepada teman-teman yang terpaksa saya hampakan harapan kalian.

Ibu..nantikan kami tiba...

Rabu, 15 Julai 2009

Tunduk Tanda Penghormatan

Penghormatan kepada PAS dan Abe Uji :

PAS menang dengan majoriti 65 undi. Ini adalah angka rasmi yang dikeluarkan oleh SPR sekejap tadi.

Calon PAS, Mohd Fauzi Abdullah mendapat 5348 undi manakala calon BN, Tuan Abdul Aziz Tuan Mat mendapat 5283 undi.

Sebanyak 115 kertas undi yang ditolak. Manakala peratus keluar mengundi ialah 87% kira-kira 10,746.Keputusan ini menunjukkan undi PAS merosot sebanyak 398 undi manakala undi BN meningkat sebanyak 889 undi

laporan dari Siasah

Penghormatan kepad GAMIS :

Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) akan berusaha untuk mengintegrasikan pendidikan Islam kepada bukan Islam dan memperjuangkan Islam dalam sistem pendidikan supaya tidak dilihat sebagai subjek semata-mata.

Perkara tersebut adalah antara cadangan gerak kerja sekretariat bertindak rejuvenasi sistem pendidikan Islam di Malaysia yang bakal dibentuk.


Penghormatan kepada sahabat, Hafizan Abdul Hamid

Motor Hafizan hilang petang tadi di perkarangn Pusanika. Motor tu baru dibeli selepas motor lamanya hancur remuk dalam kemalangan. Lebih menyedihkan, beliau baru seminggu mendaftar sebagai Mahasiswa di UKM. Semoga Allah memberikan yang terbaik kepada nta, sahabat ku.

Penghormatan kepada sahabat :

Muhammad Isa dan Zulkifli Makhtar telah selamat mendaftar sebagai mahasiswa USIM dan bakal melanjutkan perjuangan mereka di Darul Quran.

Tidak lupa kepada teman-teman yang sudah mendaftarkan diri ke Taman-taman Ilmu, moga Allah memberkati kalian.

Penghormatan untuk datuk :

Satu-satunya datuk yang tinggal, bapa kepada ayah saya, Ya'kub Bin Mat Amin, kini di rawat di CCU Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu. Moga Allah mempermudahkan laluannya sebagai hamba-Nya.

Penghormatan kepada Us Farid Faizul :

Us Farid Faizul telah dikonspirasikan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab sehingga terpaksa meringkuk dalam tahanan bawah tanah selama 4 hari dan dihantar balik ke Malaysia. Moga Allah menjahanamkan mereka yang ingin memusuhi pejuang Allah.

Untuk Usrah Ghuraba' :

Teruskan momentum penggerak di Darul Quran. Perkasakan pemikiran, perbaikkan kepimpinan. Berusaha bukan untuk dingati dan dikenangi, tapi demi menyelamatkan generasi. Ana pohon maaf andai banyak menyusahkan ntum selama bersama. Namun, kesusahan itu bakal berakhir bila kita sudah tidak lagi bertentang mata. Namun ana minta ruang untuk terus menyusahkan ntum bila-bila masa.

Malangnya ntum bernaqibkan ana.

Untuk Usrah GEGAR :

Tiada kemanisan yang lebih diingati melainkan kenangan bersama kalian. Tiada kenangan yang lebih menyentuh hati selain kenangan kita dalam memaknakan kehidupan. Manisnya melayan rajuk, duka, hiba, suka, riangn dan gembira kita. Moga ianya berpanjangan hingga ke syurga.

Segala penghormatan ini saya catatkan sebagai catatan pencemar duli domain baru, HASANHUSAINI.COM.


Dari kalian, ku minta pengajaran...
Bersama kalian ku memaknakan kehidupan...

Hasanhusaini
Batang Kali, Selangor

Komen Anda Adalah Buah Tangan Terbaik [hasanhusaini]

Ahad, 12 Julai 2009

Maaf Dr... Saya Tak Setuju

Kongres Pertama Rejuvenasi Pendidikan Islam Negara berjalan dengan lancar. Para panel membentang dengan penuh semangat.

Mata yang pada awal pagi tadi liat untuk bekerja, kini bersinar.

Dr. Siddiq Fadzil memulakan sesi, dimoderatorkan oleh Presiden ISIUKM, Us. Idris.

Masih seperti dahulu. Pekat bahasa baku hampir jawa Dr. Siddiq memang dikenali ramai. Teringat saat bertugas sebagai imam terawih di Surau Al Mujahidin, Taman Desa Surada.

Dr. pasti akan banyak berkongsi pengalaman hidup beliau sambil bermoreh.

Kalau dahulu, saya hanya tertarik dengan 'gagasan pemikiran' KULTUM-nya. Kuliah Tujuh Minit, selang antara 8 rakaat terawih, kini saya tertarik dengan pemikiran jauh akademiknya.

Tegas, tuntas dan bernas. Lantang mengkritik dan menegur 'industri pendidikan' Malaysia.

Prof. Dr. Sidek Baba juga tampil dengan idea yang sangat menarik. Pendidikan Integratif.

Begitu juga dengan penumpang SAGA saya, Prof. Dr. Irwan, datang dengan kajian Indonesia.

Nak tahu apa isinya? Siapa suruh tak datang.

Sebelah petang.

Dua Dr. dan seorang DSP polis dari Bukit Aman membentang hasil kerja masing-masing. Sedikit mengantuk mencelah, mata agak berat selepas perut diisi roti da air sejuk.

Sesi soal jawab, satu persoalan menarik dikemukan oleh MarBu yang akhirnya mengundang komentar yang agak panas dari kedua-dua Dr.

Hanya jauhari yang kenal manikam. Bersabarlah MarBu.

Namun, saya dengan pendirian saya untuk tidak bersetuju dengan Dr. Maaf.

Bukan atas dasar kurang ajar, namun kerana masih mahu diajar dan dididik.

Dan ketidaksetujuan saya berasas.

Sila rujuk :

1. Kenapa nak hafal Al Quran ( Aulawiyyat )
2. Kenapa nak hafal Al Quran ( Forum )
3. Kenapa nak hafal Al Quran
4. Penjelasan MarBu tentang 'Kakak Tua'.

Dan matlamat saya bukan untuk menghina huffaz, mencela sunnah, mengutuk masyi.

Bukan juga untuk menjauhkan insan dari kalam tuhan. Namun, tulisan saya ini dikhususkan untuk mereka yang sudah menghafal Al Quran agar berusaha untuk mengkaji Formula Agung itu.

Manakala untuk mereka yang masih belum menghafal dan ada niat untuk mencuba, sertakan niat anda untik menyelidiki kalam suci itu.

Malu dan hinalah kita yang hanya menghafal dan tidak mengkaji, sedangkan musuh kita tidak menghafal tapi gagah perkasa kerana mengkajinya.

Dan ketahuilah bahawa niat suci saya untuk menyedarkan tentang peri penting umat ini memahami Al-Quran. Bukan hanya sekadar menghafalnya sahaja.

Manakala disiplin pelajaran yang ada sekarang masih belum tuntas ke arah itu. Betul tak Dr. Sidek Baba?

Saya (kami) yang lahir dari sistem 'sekular tahfiz' ( menolak ilmu selain 'syariat' ) amat memahami akan kepedihan hakikat yang terpaksa kami tanggung.

Malu melihat akan kualiti para huffaz. Seperti malunya Azhari 70-an melihat Azhari abad-21. Seperti peritnya Urduni 90-an melihat generasi 10 tahun selepas mereka.

Saya bergelar Al-Hafiz hampir enam tahun yang lalu. Namun saya tak tahu apakah maknanya Al Hafiz. Apakah gerangan manfaatnya. Di mana kelebihannya.

Dan saya hanya mampu memanfaatkan Al Quran itu apabila saya DISEDARKAN oleh murabbi-murabbi supaya turut mengkaji dan meneliti ayat-ayat Al-Maqruuah untuk dikaitkan dengan ayat-ayat Al-Manzuurah.

Maaf Dr. saya harus untuk tidak bersetuju.

Dan tahniah Dr. (lain bab) saya amat bersetuju. Kenapa? [Klik]

Komen Anda Adalah Buah Tangan Terbaik [hasanhusaini]

Sabtu, 11 Julai 2009

Ujian Versatiliti III

" Nta tak ada kerja lagi ke? B.up teknikal la ye...jaga P.A System..." Tanya seorang Ajk Ko-Spins 09 sambil memberi jalan keluar atas kekosangan jawatan saya.

" Nta ada kamera DSLR? B.up Fotografi sekali ye..." Pinta seorang lagi Ajk.

Maka, saya pun cuba memenuhi amanah tersebut.

Mundar-mandir merakamkan gambar-gambar bersama wartawan yang profesional.

Bersama MB dan AJK kanan Ko-Spins untuk sidang media.

Dan paling menyedihkan, penyelia Auditorium ghaib tanpa mampu dihubungi saat dewan hangat kerana aicond kurang berfungsi.

Dato' Dr Siddiq Fadzil dah mengipas-ngipas buku ke muka dan badannya. Tambah hangat dengan sinaran lampu di atas kepala beliau. Maaf Dr. Siddiq.


DARUL QURAN TAK HOLISTIK

Ya. Itu penyataan dari Dr Sidek Baba melalui komen beliau tentang dualisme pendidikan negara.

Beliau juga menyatakan bahawa telah berkali-kali mendesak pihak Lembaga Darul Quran supaya mengubah pendekata proses pembelajaran di Darul Quran, tapi masih belum mendapat reaksi yang sepatutnya.

Teringat saat saya diperli apabila mengajak kawan-kawan untuk lebih 'memehami' Al Quran dalam konteks yang lebih luas.

" hari ni nta gi amal quran tak...ana nak ikut sekali..."

" patut la jarang nampak sekarang ni, dok amal quran ghupenye"

Kata-kata yang menyakitkan telinga. Namun kini terbukti pandangan saya ada benarnya.

Seorang sahabat pernah berkata : "sesungguhnya, makan caci itu lebih seda dari makan nasi".

Saya tidak sanggup melihat anak-anak muda sebaya dengan saya di sekularkan dengan sekular orde baru. Padahal asasnya untuk mendidik supaya lebih syumul dan holistik.

Saya tak sanggup melihat mereka hanya terpejara dari melihat world view kerana halangan Al Quran.

Teruskanlah dengan sekular nescaya umat islam hanya akan mampu berbangga dengan generasi silam.

Anda bersetuju?

Tak bersetuju?

Ruang intelektualisma tak bersempadan. Ruang perbincangan dan wacana tak bertepi. Ayuh tajamkan minda terjun ke gelanggang membela umat, wahai Huffaz Al Quran..!!

Saya sudah merancang dan merencana untuk meninggalkan generasi yang akan meneruskan agenda. Tinggal lagi, adakah anda sanggup menyahut cabaran?


Komen Anda Adalah Buah Tangan Terbaik [ hasanhusaini ]

Jumaat, 10 Julai 2009

Ujian Versatiliti II

" Ana ada kerja lain la Idris, tak dapat nak jemput Dr. Irwan" Kata seorang sahabat yang merupakan aktivis tegar Ko-Spins 09.

" Ihsan, ana memerlukan khidmat nta untuk jemput Dr. Irwan, pukul 5 kita akan bertolak.." kata 'mantan' naqib, Abg Idris.

" Ok...", saya menyahut ringkas.

Bermulalh perjalanan dengan SAGA BLM buruk saya untuk menjemput Dr. Irwan di LCCT. Satu-satunya lapangan terbang yang belum pernah dijejaki.

Dari UKM ke arah Nilai, exit di Nilai Utara mengarah ke KLIA.

Exit lagi ke LCCT.

Maka bertemulah dengan Dr. Irawan yang telah menunggu di Oldtown Cafe.

Dari LCCT, saya mengambil exit jam 9 di roundabout ke MAJU Express.

Ikut ijtihad, jalan paling dekat ke Shah Alam.

Lebih menjimatkan Tol dan masa.

Alhamdulillah, segalanya berjalan lancar kecuali satu, tersilap masuk lorong. Aduh, malu.

Malu yang keduanya, kami menjemput seorang Prof dan DR yang merupakan ahli parlimen PKS di Indonesia.

" Baju ni siapa yang punya? Macam dalam rumah ya..." satu kesimpulan ringkas yang Dr. berikan setelah lebih kurang 10 minit perjalanan.

Memang baju yang digosok digantung untuk kegunaan Ko-Spins. Kami yang di dalam kereta, keras perut menahan ketawa.

Namun, alhamdulillah, Dr. tidak seperti orang berpangkat yang lain. Masih boleh menerima SAGA meskipun bakal bergelar Menteri Pendidikan Indonesia tidak lama lagi.

Kalau rekod telah dibuat atas prestasi pemanduan saya, maka pemanduan pada hari ini adalah yang paling sopan dan berhemah.

Versatiliti ini sungguh menguji.

Maaf dipohon dari Dr. atas segala kekurangan.

Komen Anda Adalah Buah Tangan Terbaik [hasanhusaini]

Rabu, 8 Julai 2009

Ujian Versatiliti : Mempersiap Diri



Siapa Saya?



Diskusi Maza Ya'ni di SBPI Rawang



Diskusi di SBPI Rawang


Ghuraba' United : Bersama cucu-cucu usrah

"Salam, nak minta tolong abang bagi kuliah tentang Ashabul Ukhdud, untuk pelajar IKBN Peretak.
"

"Salam, maaf, minta ganti Us Fauzan..ceramah selepas ni, tajuk, Ashabul Ukhdud."


"Salam Ihsan, minta datang ke SBPI Rawang, ustazah nak minta tolong nta sambung diskusi kitab Maza ya'ni, bab menguasai diri
" Mesej dari Ustazah Hafsah.

"Tajuk ceramah malam ni ditukar...Who am i?, ( kenapa saya muslim ? )" jelas Amirul selepas seisi penyelarasan Tamrin Pengurusan untuk Badan Kepimpinan Pelajar, Maahad Tahfiz Darul Ulum Al Basriyyah di Gunung Senyum.

Mendarat di bumi

Bercerita tentang 'manusia asing' bergelar Ashabul Ukhdud kepada pelajar IKBN. Bagaimana untuk saya tarik perhatian mereka?

Di mana pemusatan idea dan point yang harus saya tekankan? Apakah pada konsep kerahsiaan Ghulam dari keluarga dan guru sihirnya?

Puas saya memikirkan, akhirnya terjawab dengan persoalan Di Mana Rahib?

Bercerita pula tentang kisah yang sama kepada mahasiswa islam selepas perkongsian hebat dari Us Syaari.

Kemudian diajak untuk menyambung diskusi Kitab Maza Ya'ni pada tajuk hujung bahagian pertama. Tanpa saya tahu bagaimana konsep pembawaan awal diskusi tersebut.

Penyusunan semula kekotak pemahaman dan world view kitab tersebut yang berusia lebih 40 tahun lalu untuk ditafsirkan kepada realiti. Seterusnya menyalurkan pemahaman itu kepada minda pelajar SPM yang segar dengan sistem pendidikan yang agak baik.

Berdikusi dengan mereka tanpa sebarang persediaan yang baik mengundang hina dan bakal menjadi bahan ditertawa sebelum lena.

Di Gunung Senyum, saya merendahkan semula semua istilah dan gaya bahasa yang senang dan ringan untuk menyediakan medan komunikasi yang baik bagi menerangkan siapa saya ?, kepada para huffaz.


Kenapa saya Raup muka selepas solat?

Konsep pengadunan islam yang syumul dalam kehidupan Huffaz tak sempat dihabiskan dalam ceramah 1 jam tersebut. Peringkasan yang padat itu diharapkan bakal membuka minda mereka suatu hari nanti.

Moga kelak, generasi huffaz lahir sebagai panglima yang mencorak dunia, bukan lagi pencacai dan kuli di sebalik tabir.

Namun, satu kelemahan yang cukup ketara, saya kehilangan bahasa dan istilah yang tepat dan jelas untuk memberi kefahaman kepada huffaz tersebut tentang perkongsian, dunia yang pernah saya lalui dan duia mereka.

Dunia Al-Hafiz. Dunia pondok.

Sedih sungguh, baru tiga tahun saya meninggalkan dunia tersebut. Untuk menerangkan proses dan kronologi Iman, Islam dan Ihsan kepada mereka cukup memeritkan saya.

Kembali ke kampung halaman. Menjadi imam, bilal dan siak.

Bersama rakan sekerja sebagai teman perjuangan.

Dalam masyarakat sebagai tempat pergantungan.
FELDA PERASU

Dalam perjalanan ke Kuala Lumpur, terasa terpanggil untuk bertandang ke kampung Perasu. Felda yang terpilih untuk dijadikan tempat Bakti Huffaz pada tahun 2007, ketika saudara Zool memimpin PERKEMAT DQ.

Singgah di rumah keluarga angkat yang menimpan banyak kenangan bersama ma ( ibu angkat yang bernama Kak Mah ).

Singgah di surau untuk Jama' dan Qasr sebagai hadiah kepada sang musafir.

Usai, saya dihulurkan tasbih untuk mengepalai tahlil. Untuk arwah yang telah meninggal, kata pak imam.

Saya sempat berbisik ringkas, "jangan untuk yang mati sahaja, yang hidup pun kena banyak bekal untuk ke sana..." Moga ada manfaatnya.

Dan kini, saya menyahut cabaran IT, berkongsi pengalaman hidup di akaun Blogger. Juga mencari maklumat baru secara maya. Membaca hasil mahsul para pengkaji dan para filasuf. Pemikiran, pendidikan, siasah dan pemerintahan.

Semoga respon saya tepat dan sesuai dengan cabaran yang saya hadapi.

Verasatiliti yang cukup menguji para dai'e. Andai ketinggalan, hinalah insan.

Versatiliti dalam mencari, memiliki dan berkongsi dan memberi...Untuk hanya yang terbaik.

Jumaat, 3 Julai 2009

Nabil Marwan Dalam Kenangan


Nabil Yang sentiasa tersenyum, Moga senyumanmu ke Syurga

Sekembali dari SBPI Rawang, memenuhi undangan adik Muadz untuk berkongsi tentang sebuah tajuk - menguasai diri - dari Kitab Maza Ya'ni, saya menerima satu mesej.

" sahabat yang kita sayangi kerana Allah, Nabil Marwan kini telah kembali ke rahmatullah..innalillah...sedekahkan beliau Al Fatihah dan Al Ikhlas, sekurang-kurangnya..."

Terasa bagai direntap tangkai jantung. Baru sahaja terlintas dibenak perancangan saya untuk menziarahi beliau.

Baru saja terlintas untuk meringankan sedikit beban keluarga beliau.

Kini dia telah kembali di sisi Rabbi..Moga sebagai jundi yang pernah memperjuangkan Deen Ilahi di muka bumi ini.

Tak banyak yang saya kenal tentang beliau. Hanya perkenalan beberapa bulan. Namun akhlaq dan tingkah lakunya menyejukakn hati saya.

Sebagai Rais Dakwah dan Tarbiyyah IQRAC, bersama bacth kepimpinan Luqman.

Tanpa sedari dua figur penting Iqrac mengadap Ilahi.

Amar dan Nabil.

Sahabatku, pergi mu dalam nafas perjuangan..akan kami teruskan sisa yang dikau tinggalkan...

Artikel Sebelum : CITA-CITAKU CINTA

Khamis, 2 Julai 2009

CITA-CITAKU CINTA


Bersama Ibu dan Ayah Di Majlis Khatam DQ


Masa berlalu lagi. Malam ini saya tak mengadun roti. Mata saya masih liat untuk diajak beradu.

Di cuping telinga seolah masih kedengaran sedu ibu di hujung talian petang tadi.

Ibu menangis lagi.

Bukan kerana gembira, bukan juga kecewa mahupun duka.

Tapi tangisan itu kerana cintanya.

" Kesian anak teruna ma.." Itu ayat terakhir yang saya dengar di hujung talian sebelum ianya terputus. ( diputuskan )

Perbualan yang pada awalnya rancak berkisar dengan perancangan saya untuk meneruskan pengajian ke Dataran Syam berubah menjadi kelam tiba-tiba.

Kesilapan saya bercerita tentang view pengalaman menguli roti pada awal pagi ( 3.00 a.m ) kerana terlalu letih pada awal malam dan 'keletihan' dan 'kesunyian' saya yang berseorangan di teratak jundi ini mengundang sedih ibu.

Akhirnya talian diputuskan selepas berlalu beberapa ketika tanpa bicara.

Tebalnya cinta ibu, pastinya tidak ingin melihat anak-anaknya ditimpa duka.

1996

Pukul 3 pagi, ibu masih berjaga dan terus berjaga. Mengukur kelapa, mengisar tepung dan menguli gandum. Semua bahan itu akan digunakan untuk membuat kuih jualan di kantin sekolah. Kuih-kuih itu akan saya bawa dalam bakul basikal tua sambil memboncengkan adik perempuan saya di pangkir belakang.

Kaki adik saya sentiasa dipesan supaya disilakan ke atas, bimbang kejadian hitam, kaki tersepit di celah lidi basikal berulang.

Bertahun-tahun ibu mengulangi rutin itu tanpa pernah bercerita tentang keletihannya.

Belum pernah terluah tentang kesedihannya.

Tidak pernah diungkit titik peluhnya yang tumpah saat berhadapan dengan unggun api panasa dari bara sabut saat memasak bingka dan akok.

Ibu tak pernah bercerita tentang sunyinya selepas pemergian ayah pada tahu 1990. 12 hari selepas melahirkan anak keduanya, adik bongsu saya.

Hanya selepas keuzuran datuk, ibu yang hanya sebagai pengganti yang akan mengajar kelas kafa, dilantik sebagai tenaga pengajar tetap, meringankan tulang empat keratnya meski hanya berelaun sebanyak RM 250 sebulan.

Dan kebiasaannya akan bertangguh beberapa bulan.

NIAT KU TULUS

Niat saya sudah dijelaskan sejak awal saya menapak keluar rumah sebulan yang lalu. Ingin mencari pengalaman susah demi medepani hari yang payah bila berjauhan kelak.

Di samping mencari tajaan dan sumbangan, saya tidak mahu membebani ibu tua itu selepas bergolok-gadai untuk menampung kos saraan pengajian adik di USIM.

Namun, kesilapan saya berkongsi menjemput air mata ibu tumpah lagi.

Ibu pasti tak tahan mendengar 'aduan' keletihan saya yang hanya berusia cuma sebulan. Apakan sangat jika ingin dibandingkan dengan keringat ibu sejak puluhan tahun, menatang kami bagaikan minyak penuh dengan dua tanggungjawab, sebagai ibu dan ayah sekaligus.

Maafkan anakmu ibu.

Dingin embun di muka pintu rumah tak berberanda ini memanggil saya untuk merenungi, apakah senjata yang menjadikan ibu tabah mendepani hari-hari lampaunya?



CINTANYA MULIA

Hanya cinta. Itulah senjatanya.

Cintanya terhadap anak-anaknya menjadikan ibu saya kuat. Labih gagah dari Muhammad Ali. Lebih tabah dari Mohandran.

Kerana cintanya, kami hidup meski tidak berada. Kami hidup dalam adat dan agama. Kami hidup dalam Syariat dan tatsusila.

Saya pernah melihat sinar mata ibu yang marah, namun di sebaliknya, disembunyikan kasih, demi cinta. Saya di rotan kerana cintanya bimbangkan saya menjadi anak yang tak berguna.

Dengan cinta, ibu memberi tanpa pernah berkira apatah lagi untuk meminta balasan.

CITA-CITAKU CINTA



Andai mereka mencari cinta, maka saya juga pemburu cinta. Memburu cinta untuk memberinya apabila tiba saat dan ketikanya.

" Tidak sempurna iman di antara kamu sehinggalah dia mencintai sesuatu untuk saudaranya sepertimana dia mencintai sesuatu untuk dirinya sendiri " [Al Hadith.]

"Kasihilah mereka yang ada di bumi, nescaya kamu akan dikasihi oleh mereka yang berada di langit" [Al Hadith]

" Perbandingan kaum mukmin pada berkasih sayang, berperasaan dan berbelas ihsan sesama mereka, adalah seperti satu batang tubuh. Apabila mengadu (sakit) mana-mana bahagian, nescaya akan terkesanlah ia kepada seluruh tubuh dengan berjaga malam tiada upaya tidur lagi ditimpa demam" [Hadith riwayat al-Bukhari dan Muslim]

CINTA UNTUK MEMBERI

Sedang termenung, saya teringat satu peristiwa.

Seorang sahabat, Syauqi, (bukan nama sebenar) bermusafir ratusan kilometer dalam keadaan kewangan yang tidak stabil untuk memenuhi hajat sahabat secintanya sebelum dilontar jauh ke hujung benua mengejar cita-cita. Setelah menyelesaikan tugas 'menjaga' dengan sesempurna rupa.

Pastinya cinta si pemberi itu cukup mulia. Ia memberi tanpa berkira.

Menjengah pula cerita kedua.

Munif sedari tadi menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Senarai hutang yang bertimbun. Saman pula yang bertandang.

Hafiz yang mulia datang menghulurkan bantuan. Ratusan ringgit dilaburkan tanpa timbul di dahinya sedikit kerutan tanda 'beratnya' untuk melepaskan 'nyawa' dunia yang cukup bernilai itu.

Pasti cintanya tebal pada Munif, sahabat jihadnya.

Di sekeliling saya, berbagai ragam manusia yang ada.

Yang bakhil pastinya tiada cinta.

Yang kedekut juga sama.

Saya akhirnya menyelak sirah.

Junjungan mulia, Rasulullah pada saat hampir menghembuskan nafas terakhirnya pernah meminta untuk memikul beban sakarat seluruh ummatnya...kerana cinta yang begitu tebal, sayangkan ummatnya.

Baginda tak serik dihina dan dicaci, lantaran cintanya.

Kisah Abu Bakar di Gua Thur mengimbau kisah cinta pada jasad Agung junjungan.

Cinta Ansra pada teman Muhajirinnya, sanggup mengurniakan isteri yang disayangi pada teman seakidah yang diCINTAi.

Dan orang-orang yang telah menempati kota Madinah dan telah beriman (Ansar) sebelum (kedatangan) mereka (Muhajirin), mereka (Ansar) 'mencintai' orang yang berhijrah kepada mereka (Muhajirin). Dan mereka (Ansar) tiada menaruh keinginan dalam hati mereka terhadap apa-apa yang diberikan kepada mereka (Muhajirin); dan mereka mengutamakan (orang-orang Muhajirin), atas diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam kesusahan. Dan siapa yang dipelihara dari kekikiran dirinya, mereka itulah orang orang yang beruntung. [ Al Hasr : 9]

Mahkota Ithar yang belum pernah saya kecapi. Memberi saat diri memerlukan, malah kesuntukan.

CINTA DA'IE

Imam Hasan Al-Banna pernah berpesan bahawa senjata ampuh bagi para promoter Islam adalah CINTA.

Perasaan cinta kepada mad'u akan menjadikan da'ie itu berkerja keras tanpa mengira penat lelah, menyumbang manfaat kepada ummat.

Naqib harus mencintai anak usrahnya.

Guru harus mencintai anak muridnya, dan sebaliknya.

Sahabat harus saling mencintai.

Penghuni bumi ini harus saling mencintai sesama makhluq. Nescaya sinergi terbaik akan membentuk keharmonian sejagat.

Namun cinta itu wajib dikaitkan secara langsung dengan pencipta cinta.

"Tidak akan sempuna iman kamu sehinggalah aku menjadi orang yang paling dicintainya melebih cintanya kepada ibubapanya, anak pinaknya dan manusia keseluruhannya" [Al Hadith]

Dan hakikat yang harus saya kongsikan bahawa memberi tanpa cinta adalah amal sia-sia yang mengundang dosa.

Teringat lagi bait puitis yang saya tulis seketika dahulu. Kini tersebar luas dalam sms.

Inginku menjadi Ansar,
Namunku mungkin Muhajirin,
Inginku ulangi sirah Ukhuwah,
Namunku tidak setabah kekasih Allah,
Di dada penuh keinginan membara,
Namun aku masih miskin cinta,
Sehingga nafsu menjadi raja.

[Ibnuabi* : Disember 2006, Darul Quran ]

Ya Allah, aku ingin memburu cinta-Mu melalu cintaku pada makhluq-mu, selitkanlah cinta-Mu dicelah cintaku pada makhluq-Mu...


*Ibnuabi adalah nama pena saya sebelum Hasanhusaini.

Komen Anda Adalah Buah Tangan Terbaik [hasanhusaini]

Rabu, 1 Julai 2009

Sebelum Kebiasaan Menyelimuti

Hujung minggu, saya berkesempatan ke bandar untuk mencukupkan bekalan kehidupan harian. Pengubat bosan, saya bawa bersama seorang sepupu yang baru berusia 4 tahun.

Umur yang sedang mabuk mengeja. Segala-galanya ingin dieja. Sehinggakan model kereta dan no.platnya sekali.

Fitrah benda baru, segalanya enak.

Namun hakikat sebenar adalah untuk menunaikannya dengan niata untuk menyumbang manfaat nanti, apakah ianya masih segalak itu saat membaca menjadi kewajipan?

Saya pernah menjadikan tugas memandu sebagai ubat mengantuk paling efisien. Sebut sahaja mahu ke mana, pasti mampu menjadi jawapan saya, meski pukul 4 pagi yang siangnya belum sempat qailullah.

Namun kini?

Untuk mencukupkan jarak dua marhalah boleh membuatkan saya menguap puluhan kali. Stamina sudah hilang bekala dengan kegemaran yang bertukar menjadi rutin yang membosankan.

Mydin Kota Bahru

Seperti biasa, hujung minggu menjanjikan lautan manusia turun ke Bandar. Rakyat Kelantan dengan kuasa belinya yang maha tinggi membanjiri pasaraya yang ada di sekitar Bandar. Khususnya Mydin.

Usai memilih barangan yang diperlukan, saya menolak troli ke kaunter bayaran. Dengan autopilot, saya mencari kaunter yang paling pendek barisannya.

Beratur.

Sepupu yang saya bawa bersama asyik mengeja apa saja tulisan yang terbayang dimatanya.

Tiba-tiba, baju saya ditarik-tarik. Saya menunduk dan bertanya, “ kenapa?”

Sambil memuncungkan mulutnya ke arah satu label dan mengeja.

p-e=pe
r-e-m=rem
p-u=pu
a-n=an

PEREMPUAN! Lorong Perempuan!

“ Ni lorong perempuan la abe long…nun lorong lelaki…” suara nyaringnya mudah menghiggapi cuping telinga mereka yang berada sekeliling.

Saya berbasa-basi, menarik troli ke kaunter sebelah yang agak panjang.

Kebiasaan saya di tengah Malaysia melupakan terma dan undang-undang yang diamalkan di negeri sendiri.

FITRAH

Fitrah kanak-kanak sekecil itu pasti akan tertarik ke arah yang baik. Mengikuti undang-undang fitriyah. Cuma, seandainya fitrah itu tidak dijaga dan dididik dengan baik, ia akan hangus ditelan kebiasaan yang merosakkan.

KEBIASAAN

Sejak awal menjejakkan kaki ke Darul Quran, saya memasang tekad untuk menjadi the best student.
Maka, saya ke kelas seawal 7 pagi, sedangkan kelas akan bermula pada pukul 8 pagi.

Saya istiqamah dengan jadual yang saya bawa dari MTDQ Repek dengan meng’haram’kan waktu selepas Maghrib selain dari diperuntukkan untuk menghafal ( dibaca mengulang ).

Saya beristiqamah untuk dating ke Masjid 1jam sebelum subuh.

Namun itu hanya untuk beberapa bulan cuma. Selepas beberapa ketika, pergaulan dengan teman-teman, kekangan dan sebagainya, saya terlari dari ‘kebiasaan fitrah’ kepada kebiasaan yang buruk.

Kalau ingin di syarahkan dari sudut pandangan ‘us Stephen Covey’ maka ianya berpunca dari diri yang tidak Proaktif.

BAHARUKAN NIAT

Kini, saya bakal melangkah ke dunia baru. Ke Dataran Syam Insya-Allah. Ameen.

Saya sudah mula memasang-masang tekad lagi. Untuk menjadi yang terbaik sekali lagi.

Sesuai dengan akta imtihan Allah dalam surah Al Mulk. Mati dan hidup diciptakan untuk menguji, siapa yang TERBAIK.

Berbagai niat di’pasangkan’ di kepala.

Pengajian musim panas.

Talaqqi.

Ziarah Syam untuk ‘mencuri’ sanad dan sebagainya yang terlintas di kepala…

“ Ana nak buat degree 3 tahun je kat Mu’tah” seorang sahabat memahat niat di Kuala Kubu Bharu.

“ Musim panas, ana nak ke Syria, talqqi kitab dan cari sanad Al Quran dengan Syeikh Qurraa’..” azam seorang sahabat yang lain.

“ Kat Jordan nanti, ana nak tinggal dengan arab, senang dapat bahasa..” seorang lagi sahabat berazam luar kotak.

“ Ana nak sambung master terus kat Jordan..” Getus seoang lagi.

Dan saya yakin, mereka semua berniat untuk menjadi yang terbaik demi Islam.


Moga Allah mempermudahkan laluan saya untuk menjadi yang TERBAIK dalam konteks manusia dengan mampu memberi MANFAAT kepada Ummat…ameen.

Komen Anda Adalah Buah Tangan Terbaik [hasanhusaini]