Sabtu, 29 Ogos 2009

Mehnah Zaman Fitnah

Zaman ini tak bersempadan lagi. Segalanya telus, terus menerus. tanpa hijab. Andai dulu, untuk berhubung dengan rakan yang berada riban kilometer, kita hanya mampu mengirim surat, yang akan berbalas sebulan kemudia. Kini kita sudah mampu melihat dan bercakap dengannya melalui YM dan sidang video.

Alhamdulillah.

Segalanya mudah kepada kita.

Begitulah ibu saya diyakinkan tentang dekatnya anak lelakinya untuk disantuni, meski jasad saya bakal berada ribuan kilometer di tanah arab. ( Madinah @ Syam...?) Pedulikan.

Khamis, 27 Ogos 2009

Arak : Sedikit catatan

Dalam sehari, saya menerima lebih sepuluh panggilan dan sms, semuanya menanyakan komen saya tentang kes arak di Pahang.

Namun, imbalan dari pertanyaan itu, tak sempat saya tunaikan lantaran 'kesedihan' saya akibat dari kesedihan adinda saya Yusran yang kehilangan ayahandanya.

Rabu, 26 Ogos 2009

Warkah Untuk Teman Di Sore Ramadhan

Sejak Ramadhan, saya langsung tidak menulis. Bukan enggan, bukan juga sibuk. Tapi, cuba menyemak kembali tulisan saya sebelum ini, apakah sudah semua saranan dan amar makruf seta nahi mungkar yang telah saya nukilkan itu, telah saya tunaikan.

Tiga tahun dalam dunia blogger, lebih 200 artikel dipublishkan. Pasti banyak sekali semakan dan muhasabah yang perlu saya lakukan.

Hari ini saya terpanggil untuk menulis. Menulis tentang seorang mukhlis.

Seorang sahabat yang banyak membantu saya meluruskan laluan hidup, mendidik tanpa disedari. Membentuk dan mengetuk tanpa bunyi. Mengukir dan sentiasa memberi tanpa kikir.

Hari ini, kemuncak sedihnya dia pasti bukan kepalang. Penantian penuh debaran selama 8 hari beretemu dengan noktah yang pastinya pahit untuk ditelan.

Ayahanda kesayangan beliau kini dipanggil untuk mengadap tuhan. Akibat H1N1, wabak heboh mutakhir ini.

Masih segar, bagaimana saya bertemu buat kali pertama dengan almarhum tiga tahun lalu. Masih diingati pertembungan kami di tangga paling dekat dengan masjid di asrama A Darul Quran. masih hijau kenangan bertandang dan menyantap bubur lambuk Kuala Besut kegemaran Almarhum.

Teramat segar iingatan, jasad itu terbaring lesu di pejabat Koperasi Kowamas di Permatang Badak, Kuantan, 7 hari yang lalu.

Kini, dihadapan saya, jasad itu terbujur kaku dipembaringan. Dilitupi kain putih. Peluh dingin memercik di dahi.

Tangisan sanak saudara jelas kedengan.

Bani Adam menangisi pemergian saudaranya bertemu Tuhan.

JAM 3:14 petang.

HP saya berdering.

"Assalamu'alaikum, angah, ana nak maklum ni, aboh dah meninggal...". Mendatar suara Yusran ditalian. menyembunyikan sebak di hati.

"Tolong maklumkan kepada sahabat-sahabat yang lain ye...", pesannya sebelum memutuskan talian.

Innalillahi wa inna ilaihi raaj'uun.

Saya terus menaip mesej ringkas untuk diforwardkan kepada sahabat-sahabat seperjuangan.

Memandu kereta ke HUSM Kubang Kerian, terus ke Wad 4 Timur. Mendapatkan Yusran. Tubuh kurus itu segera saya peluk, dan tangisan mengiringi.

Ucapak takziah dan sabar meniti bibir, belakangnya saya usap.

Bingkai matanya digenangi air. Sedikit basah di pipi.`

Baru semalam saya menziarahi bersama Hayyi dan Syaukani.

Yusran adindaku, bersabarlah dalam menghadapi ujian ini. Sesungguhnya, proses kesempurnaan itu amat perit untuk dilalui...kekanda di sini sentiasa mendoakan kebahagiaan mu...Salam takziah dari Usrah GEGAR...

Inna Lillahi wa inna ilaihi Raaji'uun...

Moga Roh Almarhum tergolong dikalangan orang yang soleh, dan pemergiaanya dikira sebagai syahid kecil...ameen.

Komen Anda Adalah Buah Tangan Terbaik [hasanhusaini]

Jumaat, 21 Ogos 2009

Kenangan : Luruskan laluan ini...

Entah berapa kali saya ungkapkan yang inilah untuk kesekiankalinya saya datang ke Darul Quran. Namun, 'taubat' itu mungkin belum mencapai tahap nasuha, maka malam ini, saya sekali lagi menapak ke bumi barakah ini.

Tepat jam 11.00 malam. Hari ini bukan seperti biasa. Malam ini sebenarnya bening, hening dan sunyi. Tak pernah saya rasakan sesunyi ini.

Darul Quran kosong tak berpenghuni lantaran serangan H1N1.

Memakir DBH 1141 di bawah garaj kenderaan pegawai di pinggir tasik. Terus ke masjid, tunaikan dulu dua rakaat tahayyatul masjid. Usai.

Saya memandang sekeliling. Ada sedikit perubahan.

Kipas-kipas hiasan sebelum ini diturnkan pangkat untuk berkhidmat ditiang-tiang seri besar masjid itu.

Masuk ke kamar kegemaran saya. Bilik noja a.k.a bilik bilal. Juga ada perubahan. Satu set pemain DVD kini terpasang rapi di rak pembesar suara. Sudah canggih. Tambahan pula, dua set lengkap Mikrofon tanpa wayar masih di dalam kotak.

Alhamdulillah. Makin lengkap. Teringat tiga tahun dahulu. Kenangan memanjat menara secara haram untuk membaik pulih horn speaker yang selalu terbakar diaphgramnya.

Dengan sebiji beg kosong sederhana besar, saya menapak ke asrama. Gelap gelita. Mungkin sama gelapnya 'masa depan' saya.

Suis diptik untuk menerangi sebahagiannya. Terus menapak ke kamar mantan, SMUTEM DQ. Hampir kosong, membawa erti bahawa hayat kami untuk berada di DQ makin tipis dan sampai ke penghujungnya. Sisa-sia yang tinggal hasil peluh keringat sahabat-sahabat yang bertungkus-lumus berkhidmat tanpa meminta balasan.

Kotak-kotak kemas berbalut.

Buku dan kitab siap terikat rapi.

Aduh, tidak enak benar suasana begini.

Saya merayap lagi. Manapak mengutip semula memori. Memulakan semula langkah pertama di DQ.

A88 menyambut mesra sejak hari pertama, Haluan Siswa dan Mafatihul Mahabbah.

Seterusnya ke B14 yang serba tidak kena.

Akhirnya ke B36 yang menjadi sarang inspirasi GEGAR. B36, pelbagai nama diberi. Bilik tayangan, bilik lepak, bilik usrah, bilik jamuan, bengkel basikal, kedai gunting bahkan Cyber cafe.

Ya, itulah hayat pertama nafas tarbiyyah ditiupkan.

Di situ saya merajuk dan memujuk. Di situ saya meminta dan memberi. Dikasih dan mengasih. Erti ukhuwah dibenih untuk menunggu buah. Lama saya termenung mengutip kenangan di situ.

Melangkah lagi ke B72. Kini saya bukan lagi amilin, bahkan qiyadi dalam proses tempaan. Di situ saya mengenal malam dan siang yang amat singkat. Dilantik menjawat Setiausaha HEWA, Timbalan pengerusi AQRAB dan akhirnya sebagai Yang Dipertua PERKEMAT DQ.

Kamar terakhir A53, bilik warisan MT PERKEMAT DQ. Di sinilah bakal saya hembuskan nafas terakhir kenangan di DQ.

Tiga tahun yang benar-benar mengajar erti kehidupan. Jatuh bangun dalam perjuangan. Pahit maung dalam persahabatan. Nikmat tarbiyyah islamiyyah dan usrah yang mendalam.

Akhirnya, untuk kalian yang banyak mengukir jasad ini untuk memberi erti dalam kehidupan insan dalam mencari jalan bertemu tuhan, saya hadiahkan bingkisan kenangan ini.

Untuk adik beradik Usrah GEGAR : Abg Idris Yussuff, Abg Izwan Najib, Syahrul Ramadhan, Hashrul, Yusran, Syaukani, Hayyi dan Azan. Kalianlah adik-beradik sejatiku. Pengorbanan dan jasa kalian tak akan terbalas sehingga akhir hayat. Kalianlah juga inspirasi hidupku.

Adik beradik Pimpinan PERKEMAT DQ 07/08 :

Firdaus, Syaukani, Asyraf, Azan, Muhammad, Tarmizi, Ridzuan, Fakhrurrazi, Rahim, Amir , Qutaibah dan Saff pimpinan Muslimat. Kenangan bersama kalian akan tetap menjadi pemangkin dalam mendepani mehnah dalam kehidupan. Pohon maaf atas segala salah dan silap.

Seterusnya kepada sahabat-sahabat yang banyak membantu :

Redzwan, Nasirin, Mursyid, Zulkifli, Mahmud, Khairi, Syafiq dan abang-abang senior. Jasa kalian amatlah dihargai.

Khusus untuk adik-adik Ghuraba' : Fakhri, Fauzan, Amirul, As'ad, Abu, Khairi dan Marwan, sesungguhnya kalian banyak membantu daku memaknakan kehidupan. Teruskan perjuangan di bumi DQ. Selamatkan sahabat kalian yang karam dengan khayalan. Berkorbanlah apa sahaja demi islam.

Untuk para murabbi yang disanjungi : Ya Allah, kurniakanlah kepada mereka ini kehidupan yang tenag, dunia dan akhirat.

Kepada seluruh sahabat, teman dan kawan yang pernah menghulurkan bantuan, jasa kalian adalah yang terbaik pernah saya terima. Allah jua sebaik pemberi ganjaran.

Maka dengan lafaz (tulisan ) ini, hembusan nafas kenangan di DQ tiba ke akhirnya. Saya menghela nafas panjang. Menelan dalam air liur. Sebatikan kenangan ini untuk pengalaman generasi mendatang.

Moga langkahku selepas ini adalah langkah yang lebih jelas di jalan yang lebih lurus....Moga sedikitlah persoalan untukku di hadapan TUHAN..Moga kita ketemu di taman syurga, wahai temanku sekalian...


Puisi : Aku, kau dan Kita

Aku kau dan kita,
Satu ikatan agung,
Terjalinnya dengan tulus hati,
Tiada kepentingan mencelahi,
Diikat dengan akidah Ilahi,
Memorinya, tentangnya..
Lena dan jagaku dilawati,


Saat itu,
Aku, kau dan kita,
Dibawah lembayung sayap tetamu Ibrahim..
Kita mencalar kitab kuning,
Menghadap naskhah ulung,
Menutur kalimah agung.
Detik yang maha indah..
Saat aku, kau dan kita masih bersama,
Hilai ketawa, tangis, suka dan hiba..
Segalanya bersama..


Namun ku takuti satu hakikat,
Yang pastinya kan bertandang jua menziarahi kita..
Aku, kau dan kita pasti terpisah jua,
Walau sehebat mana akrabnya,
Walau sekukuh mana eratnya,
Waktu, matlamat dan cita-cita,
Pastinya memisahkan kita,
Melontar jauh kehujung dunia....

Tapi,
Ingatlah duhai sahabatku,
Kita masih teman yang setia, rakan yang tulus,
Bak Muhammad dan Abu Bakar..
Itulah harapku..
Kita punyai talian kukuh,
Melangkaui hubungan darah..
Terpatrinya kita dengan akidah,
Kita syabab jundullah,
Walau terpisah, aku kau dan kita tetap di hati,
Jangan di hapuskan pertalian ini,
Indahnya mengasyikkan,
Tawa riangnya penawar, lukanya semangat..
Itulah,
Memori Aku, Kau dan Kita.

Nukilan khusus untuk sahabat sepejuangan.

-Massa- Ibnuabi- Ketayap Merah-Hasanhusaini
14 MAC 2006 14 SAFAR 1427


Komen Anda Adalah Buah Tangan Terbaik [hasanhusaini]

Sabtu, 15 Ogos 2009

Kem Mahsiswa

Kali ini saya bukan mengulas isu, bukan berkongsi pendapat dan pengalaman. Hanya untuk memaklumkan cuma.

Khusus untuk peserta kursus mahasiswa tajaan ke luar negara, potret kenangan anda di sini.

Klik Link dibawah untuk muat turun.

BTN.rar

Moga jasa yang kecil ini mampu dinikmati ramai insan.

Komen Anda Adalah Buah Tangan Terbaik [hasanhusaini]

Ahad, 9 Ogos 2009

Dimensi Konvokesyen DQ


Ibu ayah pejuang bersama Produk mereka...Terima Kasih Ibu...





Konvokesyen di DQ, menudang seribu satu perasaan. Berbaur antara suka dan duka. Namun, dek ramainya teman seperjuangan yang datang, saya melangkah semangat, cuba mendaki masa depan.

Majlis gilang gemilang itu sebenarnya sudah cukup untuk mengukir senyuman agung dibibir-bibir mereka yang hadir pada 8 Ogos di DQ. Namun, senyuman saya tidak segagah mana.

Bukan kerana tidak gembira, tapi mengenangkan bahawa, inilah mungkinnya saat terakhir kami berada dalam satu saff perjuangan yang sama.

Pastinya, kenangan silam pertemuan akan datang menayangkan kisah-kisah pahit manis bersama.

Terasa Haluan Siswa baru semalam.

Terasa Mafatihul Mahabbah baru melabuhkan tirai.

Terasa Interfame hanya beberapa suku masa yang lepas cuma.

Konvensyen usrah yang menjadi anak tangga kedua pencerahan saya.

Sehinggalah kepada tertaklifnya dibahu saya taklifat yang amat besar, bersama teman-teman, menjalankan amanah menguruskan persatuan, PERKEMAT DQ.

Terasa AGM dan Muktmar itu baru seminit yang lalu. Masih tersimpan, sms-sms penguat semangat dan azimat dari teman-teman.

Kenangan Setahun, Naqib, Raya Qurban, Khalil, AGM, Kemalangan MRRII, Muktamar GEGAR.

Namun, masih ada kenangan yang hanya ditulis untuk kenang-kenangan, tak dipostkan untuk umum. Hanya untuk kami.

Mujahid Muda Bermata Hazel, Kenangan Gau, Tanah Tinggi Janda Baik, Genting Highland dan baaaanyak lagi..cukuplah untuk simpanan kenangan kami sahaja.

Ya Allah, aku masih belum puas bersama mereka....Aku masih inginkan diri ini ditegur, dinasihati, diuli-uli, dimanja dan memanja, diadu dan mengadu, dikasih dan mengasih, menerima dan memberi, masih tegar dalam saff itu..

Namun hakikatnya, masa pasti berlalu. Takdir akan bertukar, seiring Qadar dan Qadr.

Azan kini di Syria bersama Khairi Awang Jaafar dan Arif Arifin. Salam kerinduan untuk kalian. Andai kalian merasa kedukaan kerana jauh di sana, maka aku disini kekurangan kalian untuk meraikan kejayaan ini.

Amir Hafizi bakal dah terbang membelah awan saat saya mengukir catatan ini.

Redzwan Aziz bakal terbang ke Indonesia.

Sahabat-sahabat yang lain juga bakal berterbangan ke serata dunia.

Namun,tidak dilupakan, ada yang terpaksa merendam seketika azam untuk menyambung pelajaran, lantaran cengkaman kewangan, keluarga dan sebagainya. Sahabatku, sesungguhnya aku kehilangan kantung untuk membantu. Namun pastinya, untaian doa akan sentiasa menziarahi kalian...

Teringatkan sedemikian, tiba-tiba dada terasa sempit. Hati terasa seperuh purnama. Antara duka dan suka. Sesi bergambar pastinya menjadi kewajipan. [gambar dalam proses untuk di Flickr kan]

Salam kerinduan..Setakat ini sahaja dulu. Musafir masih panjang, berbaki 900Km untuk ke Tamrin UMNO....[BTN]

Untuk akhirnya terimalah

Nukilan Nurani : Puisi : Aku Kau dan Kita

Lagu kenangan:

Kenangan Bersama : Amar

Maafkan Teman : Far East



Komen Anda Adalah Buah Tangan Terbaik [hasanhusaini]

Selasa, 4 Ogos 2009

Teori Kebangkitan

Terima kasih kepada Pro ISA yang mencadangkan beberapa cadangan yang bernas untuk dipraktikkan oleh kerajaan Malaysia. Cadangan tersebut antaranya supaya menangkap DSAI, LKS dan Tuan Guru Presiden!!

Saya bukan Prof, atau Dr untuk membentangkan teori-teori kompleks dan memerlukan pengkajian yang terperinci. Namun tak salah untuk saya berkongsi pandangan selaku rakyat 1 Malaysia.

Berikut adalah senarai mudah beberapa punca kebangkitan :
  • Tangkap mahasiswa beramai-ramai, terutamanya pimpinan mereka
  • Tangkap Presiden-presiden MPP dan PMI di IPTA dan IPTS
  • Tangkap Ikon Mahasiswa
  • Tangkap Dato' Seri Anwar Ibrahim
  • Tangkap Tuan Guru Presiden Pas
  • Tangkap YB Salahuddin dan MP kesayangan rakyat
Insya Allah, rakyat akan bangkit.

Meski saya bukan Prof dan Dr yang betauliah serta berautoriti, ianya tidak bermakna saya hanya merapu dan meraban tanpa asas dan hujjah serta fakta. Namun, tidak dinafikan, saya mengenepikan beberapa ciri-ciri penting kebangkitan yang baik seperti kebangkitan intelektual, kebangkitan akademik dan kebangkitan pemikiran dan gagasan idealisme.

Namun, setidak-tidaknya, ia menambahkan isipadu kepedulian masyarakat Malaysia yang sedang tenggelam dalam gelombang barah aku tidak pedulisme.

Beleklah sejarah Malaysia dan sejarah dunia.

Secara ringkas, lihatlah beberapa fenomena kebangkita pasca merdeka. Lihat juga kebangkitan rakyat sekitar 60-70-an. Begitu juga kebangkitan pada 80-an dan akhir 90-an, 1998.

Dan pemangkin kepada kebangkitan segera rakyat adalah kenyataan bongkak serta ancaman dan gertakan tidak rasional dari para pimpinan negara.

Perhatikan ancaman dari Dato' Seri Dr Zahid Hamidi.

Perhatikan pula kenyataan Dr Rais Yatim.

Kenyataan Dato' Seri Nazri Aziz.

Begitu juga kenyataan PM dan TPM, kesemuanya bakal menjadi pemangkin semangat kebangkitan yang lebih marak.

Gelombang kebangkitan jangan dibutakan dari memerhatikannya, nescaya cepat ia menelan kita.

Suara rayuan rakyat jangan dipekakkan dari mendengarnya, kelak nanti tempikan mereka yang akan meminta kalian turun dari takhta.

Salam hormat : hasanhusaini : Rakyat Marahaen di bumi merdeka.

Komen Anda Adalah Buah Tangan Terbaik [hasanhusaini]

Isnin, 3 Ogos 2009

Politik Tali Gantung

Ramai yang menyokong dan mendokong perjuangan Tuan Guru Nik Aziz dan Tuan Guru Abdul Hadi.

Ramai juga yang mendokong dan menyokong perjuangan Dato' Seri Anwar Ibrahim.

Tidak dinafikan juga yang menyokong Idealisme parti-parti lain, DAP, MIC, MCA malah UMNO dan BN keseluruhannya.

Namun, apa erti sokongan itu? Sokong individu dan landasan perjuangannya? Atau hanya sekadar menyokong lantaran tertarik dengan budi pekerti atau pidato batang tubuh yang di sokong?

Semasa awal pembabitan saya dalam harakah siasah, satu pesanan yang selalu hinggap di telinga saya :
"sokong dan dokonglah perjuangan islam dengan ilmu dan hujjah, jangan sokong dan dokong dengan semangat semata-mata"
Satu pesanan yang cukup baik. Cukup kena dengan realiti dan berpijak di bumi yang nyata. Senario beginilah yang sedang berlaku dalam masyarakat sekarang.

Pengikut tidak punyai idealisme dan kefahaman yang sama seperti ketuanya. Sokongan yang datang bukanlah pada fahamnya mereka terhadap asas perjuangan, namun hanya bersandarkan kepada individu semata-mata.

BERHALA BARU

Senario sebegini, andai tidak dibendung, akan melahirkan generasi pelapis harakah yang lemah dan tidak mampu menguasai idealisme perjuangan yang jelas, lantas tidak mampu memahami dan menguasai massa. Ia juga dalam jangka masa panjang, akan melahirkan berhala baru yang berbentuk figur perjuangan yang akan disembah dalam akaun perjuangan islam. Na'uzubillah.

Sejarah telah mencatatkan sebegitu.

Awal pemerintahan Khalifah Umar Al-Khattab, beliau telah memecat Panglima Khalid Al-Walid dari medan Yarmouk, sedangkan Khalid sememangnya diktahui umum telah mempunyai rekod cemerlang tanpa kalah dalam setiap peperangan yang dipimpinnya. Namun, Khalifah Umar tetap memecatnya.

Kenapa?

Ada yang memberi jawapan : "Kerana Umar bimbang akan aqidah tentera Islam."

Ia. Tepat sekali, namun tidak jelas untuk diambil iktibar kerana ianya jawapan yang berbentuk makro.

Saya ingin menjurus ke arah yang lebih mikro dalam hal ini. Pandangan Khalifah Umar adalah pandangan brilliant seorang pemimpin yang melihat dan memandang kesan jangka masa panjang.

MIKRO

Kebergantungan yang berlebihan pada individu yang telah mempunyai track recod yang baik, pastinya akan menjadikan tentera islam malas berusaha. Malah mungkin bergantung hanya pada strategisnya Panglima Khalid. Sedangkan prinsip kemenangan bukannya bergantung kepada kehebatan seorang, tetapi penyertaan semua dalam usaha mengukir kemenangan. Islam tak akan menang di pentas 'one man show'.

Salahuddin Al-Ayyubi tidak menang berseorangan dalam membuka Palestin.

Sultan Muhammad Al-Fateh juga tidak menang dengan kehebatan baginda sendirian.

Sikap malas berusaha kerana bergantung kepada pemimpin yang hebat inilah yang akhirnya bakal membuahkan syirik. Syirik kerana menggantungkan kemenangan hanya kerana adanya 'Khalid'.

Inilah senario yang sedang melanda pemikiran ahli gerakan Islam Malaysia. Buktinya adalah apa yang berlaku di Manik Urai. Buktinya juga ada pada Himpunan Mansuh ISA dua hari lepas.

Apabila di kubu, kita lemah (akidah), lantas keluarlah kenyataan yang tidak sepatutnya, daya kerja jentera yang merosot dan pelbagai kelemahan yang ketara. Namun di samping musuh kita gagah pula. Apabila ramai pimpinan turun, makin sedikit jumlah pendokong. Itulah hipotesis yang terbuki benarnya dalam realiti.

MEMBANTU MUSUH

Dalam tak sedar, andai 'manhaj perjuangan' kita hanya sekadar menyokong individu, kita sebenarnya sedang membuat satu pengumuman yang jelas kepada musuh tentang kelemahan kita. Musuh cukup suka dengan pengikut yang obses 'wala'nya' pada pemimpina yang menjadi candu untuk membantutkan minda para pengikut.

Kerja musuh makin senang, hanya dengan mencantas pemimpin atau individu yang disokong, kita akan terkapai-kapai. Huyung-hayang tanpa tali pergantungan yang kukuh. Mungkin timbul selepas itu tunjuk perasaan, namun itu bukanlah tindakan yang mampu menggugat musuh. Berbading satu gagasan idealime jelas yang lebih menakutkan musuh.

Lihatlah apa yang berlaku di Perak yang mengalami fenomena 'Nizar' yang langsung tidak memberi keuntungan kepada Islam. Fenomena Nizar yang akhirnya menjadi kunci kepada musuh untuk memusnahkan Perak. Musnahkan Nizar=musnah mentaliti penyokong=musnah kerajaan pakatan negeri Perak.

Dan itulah juga yang menjadi kebimbangan saya bahawa ianya akan menjalar ke Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Kelantan andai kita hanya bergantung kekuatan pada figur di atas semata-mata.

FAHAMLAH KUNCINYA

Faham. Rukun yang telah digariskan oleh Imam Hasan Al-Banna pada prioriti yang paling utama dalam rukun bai'ah.

Faham dengan agenda perjuangan menjadi rukun paling penting sebelum melangkah kaki mendokong perjuangan. Dalam erti kata lain yang lebih JELAS : anda perlu menguasai perlembagaan PAS sebelum anda mengisi borang PAS!

Kenyataan ini bukanlah untuk menutup pintu kepada penyokong biasa, namun untuk menunjukkan peri pentingnya memahami 'hujjah' perjuangan dalam meneruskan agenda perjuangan. Jelas.

Kelak nanti, kita tidak akan tergila-gila mempertahankan 'orang kita' andai ada percanggahan pendapat dan idea, sedangkan tindakan itu bakal merugikan organisasi malah Islam itu sendiri. Sedangkan apa yang lebih penting ialah, kita mempertahankan manhaj, asas dan agenda organisasi melebihi agenda perjuangan peribadi.

GAMIS

Saya juga menyambut baik pengumuman Us Dzulkhairi bahawa akan berlaku pertukaran tampuk pimpinan dalam GAMIS dalam masa yang terdekat.

Ya, GAMIS bangkit bukan kerana Dzulkhairi. Itu minda yang harus ditanam pada setiap ahli GAMIS. Jangan pula ada yang lemah akidah perjuangan kerana Dzulkhairi meletak jawatan.

Akhir kata, ingatlah janji bersyarat dari Allah :

Dan sungguh telah Kami tulis didalam Zabur sesudah (Kami tulis dalam) Lauh Mahfuzh, bahwasanya bumi ini dipusakai hamba-hambaKu yang saleh [Anbiya' : 105]
.

Komen Anda Adalah Buah Tangan Terbaik [hasanhusaini]

Ahad, 2 Ogos 2009

Catatan 1 Ogos 2009

Saya cuba untuk menulis post ini dengan gaya dan cara terbaik supaya semua pihak terselamat dari fitnah yang mungkin timbul dari isinya.

Dua kali saya mencuba. Namun tak mampu untuk menjadikan menghasilkan post yang benar-benar selamat.

Justeru, kali ini, saya hanya menulis dengan kata hati.

Saya minta maaf andai ada yang terasa.

Secara umum yang sememangnya diketahui ramai, bahawa rakyat Malaysia kelas kedua dan ketiga yang turun di beberapa tempat di sekitar ibu kota bukanlah dengan tujuan untuk menderhaka, bahkan untuk menegur.

Kelayakan untuk menduduki kelas kedua dan ketiga hanyalah kerana mereka tidak menjulang bendera biru tua berlambang dacing.

Sudah puas mereka menegur. Entah sudah berapa jenis hikmah yang diguna. Parlimen, Memorandum, Tandatangan, kenyataan akhbar dan sebagainya. Namun, segalanya tidak diendahkan oleh sang pencinta ISA.

Seoalah-olah bantahan itu adalah amukan dari anak kecil yang 'sedih' tidak dibenarkan menaiki basikal di taman bersama kawan-kawannya yang lain. Ya. Semacam rungutan budak kecil cuma.

Lalu, setelah letih dalam suluhan dekad memperjuangkan keadilan dengan cara baik, lembut, dan selamat, hari ini mereka mencari hikmah yang baru.

Tunjuk perasaan secara AMAN di jalan raya.

Mereka merancang untuk aman, kami merancang untuk aman, dan kita merancang untuk aman. Betulkan?

Namun, ada pihak yang menganggap kami adalah budak kecil, menghantar tenteranya untuk mengAMANkan kami.

Sekoyong-koyong, datanglah jentera merah dengan kelengkapan meriam (water cannon), raifal (pemedih mata) untuk 'menjaga' kami. Tentera topi merah yang akan hilang kemanusiaanya apabila loceng yang tergantung di kepala kereta perisai mereka berbunyi.

Lalu, mereka akan membantai pakcik tua, menerjang anak muda, menumbuk ibu-ibu tak berdaya dan memijak sebahagiannya. Diperlakukan 'budak-budak merajuk' ini seperti haiwan.

Gas pemedih mata dibedil untuk memeriahkan keadaan. Water cannon untuk menenangkan yang mengamuk. Bak pesta air di Spain.

Terasa ingin dicadangkan kepada mereka yang bertanggungjawab, supaya menyediakan juga tentera tahan lasak untuk mendepani tentera zalim itu. Kita ada pemuda tahan lasak yang mampu menyambut bom asap. Membelah air asid. Cuma, kita kekurangan kelengkapan kerana kita turun bukan untuk berperang.

Himpunan ini telah berhadapan dengan strategi yang lengkap dari pihak kerajaan. Pengalaman pihak keselamatan setelah dua kali tunjuk peasaan besaran diadakan telah memahirkan mereka merancang serangan balas.

Pintu-pintu utama ke Istana Negara ditutup seawal jam 6 pagi. Tentera dikerahkan sebanyak mungkin.
"Wahai tentera biru tua berjentera merah, kami bukan datang untuk menyusahkan kalian. Bahkan, tanpa disedari, kalianlah yang diperkudakan untuk menyusahkan kami. Sedarlah sahabatku."
Dalam kebencian membuak saya kepada tentera berjentera merah, ada sekelumit kasihan belas lantaran mereka telah terperangkap dan dipergunakan.

Perhatikan kata-kata ini :
"Minta maaf pak cik, kami bukan nak menyusahkan pak cik...kami hanya menerima arahan, maafkan saya pakcik.."
Seorang anak muda yang bergenang air matanya berkali-kali melaungkan maaf apabila terpaksa menyeret seorang pak cik untuk dihumban ke dalam trak.

Semacam pernah didengari di perkarangan rumah Allahyarham Al-Syahid Ibrahim Libya 23 tahun yang lalu.

Ya, masih ada cahaya kesedaran dalam segelintir mereka.

Namun, saya tetap tak mampu melupakan potret seorang anggota unit Amal yang dibelasah sekumpulan anggota keselamatan.

Seorang ibu tua yang lemah terjelepuk di jalan raya selepas peluru gas pemedih mata singgah di tepinya.

Seorang pakcik yang berjalan dengan tongkat, hanya membelakangkan badan bongkoknya sebagai perisai meriam air yang pedih.

Seorang pakcik berserban yang berdarah pelipis dan bingkai matanya.

Dan, rakaman potret tentera zalim yang bersenda gurau dengan berapa jumlah bilangan peluru yang telah dimuntahkan kepada orang awam yang tidak bersalah.

Namun, segalanya tinggal kenangan apabila kad memori SD 4GB dirampas bersama kamera Canon 1000D dan HP Nokia N95 8GB.

Hanya tulisan ini yang menjadi lukisan pengganti potret yang saya rakamkan dicelah-celah lautan polis dan orang awam. Kelibat pemuda bertopi kelabu, berbaju hitam, seluar peech dan berkaca mata sudah tentu menjadi perhatian SB, lantarn itu saya menjadi sasaran.

Apapun, pengalaman ini pastinya menjadi pelengkap kepada sunnah orang berjuang.

Ya, Allah, aku rindukan syahid di jalan-mu...

Komen Anda Adalah Buah Tangan Terbaik [hasanhusaini]