Isnin, 12 September 2011

Untuk Kalian Tetamu Syam


Saya tak banyak membantu untuk memudahkan musafir anak Syam sesi ini. Hanya sesekali menjenguk memberi laporan di YIK dan DQ. Beberapa sesi dialog yang diaturkan batal saat-saat akhir. Nota-nota yang perlu saya kongsikan bersama kalian masih saya simpan. Makanya, saat ini saya mencoret sedikit di laman ini sebagai pengganti sesi yang sudah basi.

Saya memilih Dataran Syam dengan bayaran duka, sedih, letih dan air mata. Meninggalkan tawaran untuk berjiran dengan Rasulullah di Jamiah Islam Madinah. Datang bertandang menjadi tetamu Jaafar Al-Tayyaar di Mu'tah dan berguru dengan Salahuddin Al-Ayyubi di Karak.


Sepuluh sudut menentang, namun saya hanya menggenggam keyakinan. Melangkah sendirian melalui Changi untuk ke QAIA, Amman. Saya belajar memilih sikap untuk tekad. Punya jatidiri dan nekad.

Sebelum bertamu, pastinya kalian menanam impian. Sebelum kebiasaan menyelimuti, ukirkan impian itu agar sentiasa terus segar memacu inspirasi.


Kalaulah Saidina Jaafar At-Tayyar yang menjadi inspirasi kalian ke Jordan, ingatlah juga bahawa di sana juga bersemadinya kaum Nabi Luth alayhissalam yang durjana. Kalau kalian berinspirasikan Palestin yang bertetangga, ingati juga Israel yang bermaharajalela di seberang Laut Mati.

Tidak ada kurangnya Malaysia, Mesir mahupun Syria. Tidak ada lebihnya Irbid dari Mu'tah. Tidak kurang Mafraq berbanding Amman. Kecuali TAQWA sang empunya diri. Renungkan kepentingan TAQWA di perantauan. Meskipun di ceruk kampung Badawi, tidak punyai laptop, apatah lagi talian internet, andai taqwa kalian tinggi, pastinya kualiti kalian lebih terserlah. Cabarlah minda dan diri, nescaya kalian akan lebih berkualiti.

Bagaimana mencabar minda dan diri? Temanku, ingatlah kita akan wahyu pertama. Amat tinggi keutamaanya, cukup besar signifikannya sehinga ternobat sebagai wahyu pertama. BACALAH. Di celahan bungkusan lengkuas dan kuih raya serta serunding daging, selitlah barang sebuah dua buku untuk menjamu mindamu. Horizon pembacaan pula harus diluaskan untuk kita akhirnya mampu melihat pelangi kehidupan yang indah di gigi ufuk. Mata kalian harus segar untuk melihat sejuta warna yang sedang menghiasi dunia. Akhirnya, apabila merasa manisnya bacaanmu, kongsikan ia dalam diskusi dan perdebatan.

Jalan yang terbentang di depan kalian adalah jalan laluan khusus untuk kalian. Kemudilah hidup dengan harapan hari esok, dengan perancangan hari ini dan dengan pengajaran hari semalam. 

Berkawanlah dengan sejarah meski ia pahit untuk ditelan, berdebatlah dengan perasaan meski tidak enak untuk dilayan, dan berkongsilah dengan teman-teman meski kita lebih suka sendirian.

Ikhlasnya saya melihat, hujung hidup kalian bercahaya terang. Tengah hidup kalian gemilang, kerana mula hidup kalian penuh ujian yang mematangkan.

Artikel SeptemberOktober dan November 2009 mungkin boleh diselak untuk episod musafir Dataran Syam saya.

HASANHUSAINI, 
Nilam Puri, Kelantan.

1 ulasan:

Komen Anda Adalah Buah Tangan Terbaik [hasanhusaini]