Selasa, 9 Ogos 2011
Ujian Tanpa Izin dan Rela
Rabu, 26 Ogos 2009
Warkah Untuk Teman Di Sore Ramadhan
Tiga tahun dalam dunia blogger, lebih 200 artikel dipublishkan. Pasti banyak sekali semakan dan muhasabah yang perlu saya lakukan.
Hari ini saya terpanggil untuk menulis. Menulis tentang seorang mukhlis.
Seorang sahabat yang banyak membantu saya meluruskan laluan hidup, mendidik tanpa disedari. Membentuk dan mengetuk tanpa bunyi. Mengukir dan sentiasa memberi tanpa kikir.
Hari ini, kemuncak sedihnya dia pasti bukan kepalang. Penantian penuh debaran selama 8 hari beretemu dengan noktah yang pastinya pahit untuk ditelan.
Ayahanda kesayangan beliau kini dipanggil untuk mengadap tuhan. Akibat H1N1, wabak heboh mutakhir ini.
Masih segar, bagaimana saya bertemu buat kali pertama dengan almarhum tiga tahun lalu. Masih diingati pertembungan kami di tangga paling dekat dengan masjid di asrama A Darul Quran. masih hijau kenangan bertandang dan menyantap bubur lambuk Kuala Besut kegemaran Almarhum.
Teramat segar iingatan, jasad itu terbaring lesu di pejabat Koperasi Kowamas di Permatang Badak, Kuantan, 7 hari yang lalu.
Kini, dihadapan saya, jasad itu terbujur kaku dipembaringan. Dilitupi kain putih. Peluh dingin memercik di dahi.
Tangisan sanak saudara jelas kedengan.
Bani Adam menangisi pemergian saudaranya bertemu Tuhan.
JAM 3:14 petang.
HP saya berdering.
"Assalamu'alaikum, angah, ana nak maklum ni, aboh dah meninggal...". Mendatar suara Yusran ditalian. menyembunyikan sebak di hati.
"Tolong maklumkan kepada sahabat-sahabat yang lain ye...", pesannya sebelum memutuskan talian.
Innalillahi wa inna ilaihi raaj'uun.
Saya terus menaip mesej ringkas untuk diforwardkan kepada sahabat-sahabat seperjuangan.
Memandu kereta ke HUSM Kubang Kerian, terus ke Wad 4 Timur. Mendapatkan Yusran. Tubuh kurus itu segera saya peluk, dan tangisan mengiringi.
Ucapak takziah dan sabar meniti bibir, belakangnya saya usap.
Bingkai matanya digenangi air. Sedikit basah di pipi.`
Baru semalam saya menziarahi bersama Hayyi dan Syaukani.
Yusran adindaku, bersabarlah dalam menghadapi ujian ini. Sesungguhnya, proses kesempurnaan itu amat perit untuk dilalui...kekanda di sini sentiasa mendoakan kebahagiaan mu...Salam takziah dari Usrah GEGAR...
Inna Lillahi wa inna ilaihi Raaji'uun...
Moga Roh Almarhum tergolong dikalangan orang yang soleh, dan pemergiaanya dikira sebagai syahid kecil...ameen.
Komen Anda Adalah Buah Tangan Terbaik [hasanhusaini]
Jumaat, 21 Ogos 2009
Kenangan : Luruskan laluan ini...
Tepat jam 11.00 malam. Hari ini bukan seperti biasa. Malam ini sebenarnya bening, hening dan sunyi. Tak pernah saya rasakan sesunyi ini.
Darul Quran kosong tak berpenghuni lantaran serangan H1N1.
Memakir DBH 1141 di bawah garaj kenderaan pegawai di pinggir tasik. Terus ke masjid, tunaikan dulu dua rakaat tahayyatul masjid. Usai.
Saya memandang sekeliling. Ada sedikit perubahan.
Kipas-kipas hiasan sebelum ini diturnkan pangkat untuk berkhidmat ditiang-tiang seri besar masjid itu.
Masuk ke kamar kegemaran saya. Bilik noja a.k.a bilik bilal. Juga ada perubahan. Satu set pemain DVD kini terpasang rapi di rak pembesar suara. Sudah canggih. Tambahan pula, dua set lengkap Mikrofon tanpa wayar masih di dalam kotak.
Alhamdulillah. Makin lengkap. Teringat tiga tahun dahulu. Kenangan memanjat menara secara haram untuk membaik pulih horn speaker yang selalu terbakar diaphgramnya.
Dengan sebiji beg kosong sederhana besar, saya menapak ke asrama. Gelap gelita. Mungkin sama gelapnya 'masa depan' saya.
Suis diptik untuk menerangi sebahagiannya. Terus menapak ke kamar mantan, SMUTEM DQ. Hampir kosong, membawa erti bahawa hayat kami untuk berada di DQ makin tipis dan sampai ke penghujungnya. Sisa-sia yang tinggal hasil peluh keringat sahabat-sahabat yang bertungkus-lumus berkhidmat tanpa meminta balasan.
Kotak-kotak kemas berbalut.
Buku dan kitab siap terikat rapi.
Aduh, tidak enak benar suasana begini.
Saya merayap lagi. Manapak mengutip semula memori. Memulakan semula langkah pertama di DQ.
A88 menyambut mesra sejak hari pertama, Haluan Siswa dan Mafatihul Mahabbah.
Seterusnya ke B14 yang serba tidak kena.
Akhirnya ke B36 yang menjadi sarang inspirasi GEGAR. B36, pelbagai nama diberi. Bilik tayangan, bilik lepak, bilik usrah, bilik jamuan, bengkel basikal, kedai gunting bahkan Cyber cafe.
Ya, itulah hayat pertama nafas tarbiyyah ditiupkan.
Di situ saya merajuk dan memujuk. Di situ saya meminta dan memberi. Dikasih dan mengasih. Erti ukhuwah dibenih untuk menunggu buah. Lama saya termenung mengutip kenangan di situ.
Melangkah lagi ke B72. Kini saya bukan lagi amilin, bahkan qiyadi dalam proses tempaan. Di situ saya mengenal malam dan siang yang amat singkat. Dilantik menjawat Setiausaha HEWA, Timbalan pengerusi AQRAB dan akhirnya sebagai Yang Dipertua PERKEMAT DQ.
Kamar terakhir A53, bilik warisan MT PERKEMAT DQ. Di sinilah bakal saya hembuskan nafas terakhir kenangan di DQ.
Tiga tahun yang benar-benar mengajar erti kehidupan. Jatuh bangun dalam perjuangan. Pahit maung dalam persahabatan. Nikmat tarbiyyah islamiyyah dan usrah yang mendalam.
Akhirnya, untuk kalian yang banyak mengukir jasad ini untuk memberi erti dalam kehidupan insan dalam mencari jalan bertemu tuhan, saya hadiahkan bingkisan kenangan ini.
Untuk adik beradik Usrah GEGAR : Abg Idris Yussuff, Abg Izwan Najib, Syahrul Ramadhan, Hashrul, Yusran, Syaukani, Hayyi dan Azan. Kalianlah adik-beradik sejatiku. Pengorbanan dan jasa kalian tak akan terbalas sehingga akhir hayat. Kalianlah juga inspirasi hidupku.
Adik beradik Pimpinan PERKEMAT DQ 07/08 :
Firdaus, Syaukani, Asyraf, Azan, Muhammad, Tarmizi, Ridzuan, Fakhrurrazi, Rahim, Amir , Qutaibah dan Saff pimpinan Muslimat. Kenangan bersama kalian akan tetap menjadi pemangkin dalam mendepani mehnah dalam kehidupan. Pohon maaf atas segala salah dan silap.
Seterusnya kepada sahabat-sahabat yang banyak membantu :
Redzwan, Nasirin, Mursyid, Zulkifli, Mahmud, Khairi, Syafiq dan abang-abang senior. Jasa kalian amatlah dihargai.
Khusus untuk adik-adik Ghuraba' : Fakhri, Fauzan, Amirul, As'ad, Abu, Khairi dan Marwan, sesungguhnya kalian banyak membantu daku memaknakan kehidupan. Teruskan perjuangan di bumi DQ. Selamatkan sahabat kalian yang karam dengan khayalan. Berkorbanlah apa sahaja demi islam.
Untuk para murabbi yang disanjungi : Ya Allah, kurniakanlah kepada mereka ini kehidupan yang tenag, dunia dan akhirat.
Kepada seluruh sahabat, teman dan kawan yang pernah menghulurkan bantuan, jasa kalian adalah yang terbaik pernah saya terima. Allah jua sebaik pemberi ganjaran.
Maka dengan lafaz (tulisan ) ini, hembusan nafas kenangan di DQ tiba ke akhirnya. Saya menghela nafas panjang. Menelan dalam air liur. Sebatikan kenangan ini untuk pengalaman generasi mendatang.
Moga langkahku selepas ini adalah langkah yang lebih jelas di jalan yang lebih lurus....Moga sedikitlah persoalan untukku di hadapan TUHAN..Moga kita ketemu di taman syurga, wahai temanku sekalian...
Puisi : Aku, kau dan Kita
Aku kau dan kita,
Satu ikatan agung,
Terjalinnya dengan tulus hati,
Tiada kepentingan mencelahi,
Diikat dengan akidah Ilahi,
Memorinya, tentangnya..
Lena dan jagaku dilawati,
Saat itu,
Aku, kau dan kita,
Dibawah lembayung sayap tetamu Ibrahim..
Kita mencalar kitab kuning,
Menghadap naskhah ulung,
Menutur kalimah agung.
Detik yang maha indah..
Saat aku, kau dan kita masih bersama,
Hilai ketawa, tangis, suka dan hiba..
Segalanya bersama..
Namun ku takuti satu hakikat,
Yang pastinya kan bertandang jua menziarahi kita..
Aku, kau dan kita pasti terpisah jua,
Walau sehebat mana akrabnya,
Walau sekukuh mana eratnya,
Waktu, matlamat dan cita-cita,
Pastinya memisahkan kita,
Melontar jauh kehujung dunia....
Tapi,
Ingatlah duhai sahabatku,
Kita masih teman yang setia, rakan yang tulus,
Bak Muhammad dan Abu Bakar..
Itulah harapku..
Kita punyai talian kukuh,
Melangkaui hubungan darah..
Terpatrinya kita dengan akidah,
Kita syabab jundullah,
Walau terpisah, aku kau dan kita tetap di hati,
Jangan di hapuskan pertalian ini,
Indahnya mengasyikkan,
Tawa riangnya penawar, lukanya semangat..
Itulah,
Memori Aku, Kau dan Kita.
Nukilan khusus untuk sahabat sepejuangan.
-Massa- Ibnuabi- Ketayap Merah-Hasanhusaini
14 MAC 2006 14 SAFAR 1427
Komen Anda Adalah Buah Tangan Terbaik [hasanhusaini]
Selasa, 28 Julai 2009
Huffaz : Blueprint Untukmu
Kini, ingin pula berkongsi manfaat dari usaha saya untuk generasi yang menjadi harapan ramai orang untuk mencetuskan revolusi dan tranformasi dalam masyarakat. Islah masyarakat. Itulah generasi huffaz.
Syed Qutb menantikan generasi ini.
Penantian ummat untuk merasai semula nikmat berada dibawah naungan pemerintahan islam semakin tidak berpenghujung. Hanya yang menjadi bekal untuk terus digenggam kepercayaan itu adalah sabda Rasul mulia, bahawa umat ini nantinya akan kembali ke bawah suluhan Minhaj Nubuwwah, seperti di zaman pemerintahan Khulafa’ Ar Rasyidin.
Pada tahun 60an, penantian itu seolah bakal berakhir dengan berlakunya pemisahan secara besar-besaran sama ada secara pengenalan ( identiti ) kepada entiti di antara islam dan kuffar. Mereka yang menyokong dan mendokong kelihatan jelas, di pisahkan oleh dua jurang yang luas. Sehingga, Almarhum Dr. Fathi Yakan menulis tentang masa depan milik islam hanya dengan syarahan idea yang tidak lebih dua helai dalam Kitabnya : Apa Erti saya Menganut Islam.
Saban tahun, penantian seakan makin jauh dari titik akhir. Sehinggalah ke zaman kita pada hari ini. Keyakinan itu semakin terhakis. Islam seolah akan sentiasa berada di posisi bertahan. Kalau menyerang pun, hanyalah kerana kelemahan musuh, bukan dengan kekuatan kita.
Lalu, saya semakin rindukan Muhammad S.A.W kembali menyelamatkan ummat ini. Namun pastinya ia adalah mustahil. Saya rindukan juga Abu Bakar yang penyayang... Umar yang perkasa... Uthman yang akhlaqnya menawan..Ali yang bijaksana... Namun hampa, kerana mereka telah tiada.
Lalu, saya mengubati duka ini dengan sabda Nabi :
Aku tinggalkan untuk ummat ini dua perkara : yang seandainya mereka berpegang dengan kedua aset tersebut, mereka tidak akan sesat selamanya : Kitab Allah dan Sunnah Rasulullah.
Ya. Al-Quran masih di sisi saya. Hadith masih terjilid dalam dua sahih utama, tujuh sunan dan ribuan jilid lain.
Namun, sedih saya masih memuncak. Teks-teks itu tak mampu menerangi kegelapan jahiliyyah yang semakin pekat menyelubungi tanpa pelaksana kepada kod-kod yang terkandung dalam teks tersebut.
Seperti yang dilakukan oleh generasi yang menjadi kerinduan saya. Nabi Muhammad s.a.w dan para sahabat baginda pantas dalam merealisasikan teks itu.
Jelas, dunia ini memerlukan rijal yang mampu menginterpretasikan isi-isi teks itu dalam hidup mereka untuk menerangi dunia ini.
Saban tahun, ribuan Huffaz dilahirkan. Sama ada dari rahim Maahad Tahfiz Swasta, Separa kerajaan, kerajaan negeri bahkan kerajaan pusat. Namun, badai dan taufan dari generasi ini masih belum melanda untuk melakukan perubahan dalam masyarakat tempang hari ini. Sistem tempang yang menggelapkan jalan menuju tuhan.
Politik tempang dengan demokrasi.
Ekonomi tempang dengan kapitalisme dan sosialisme.
Pendidikan tempang dengan sekularisme dan dualisme.
Sejarah tempang dengan penipuan dan manipulasi.
Pemerintahan negara tempang dengan korupsi, nepotisme dan kroni.
Mana huffaz yang bangkit dicelah ketempangan itu membekalkan cahaya dari Al-Quran? Tiada.
Tiada pada pandangan saya. Atau, pandangan saya rabun. Mungkin juga pandangan saya tempang. Namun itulah yang mampu saya simpulkan dengan dua mata anugerah Allah ini.
Tenaga 'nuklear' huffaz terbazir begitu sahaja.
Maka, atas dasar rasa bertanggungjawab, saya cuba dengan keringat saya yang kerdil untuk membentangkan sedikit pandangan untuk menyelesaikan masalah ini.
Ketiadaan autoriti membataskan saya untuk mengulas secara mendalam dalam sudut yang spesifik. Justeru, saya mengharapkan juga buah fikiran bernas dari sahabat para pembaca untuk memperinci, menambah serta memperelokkan idea ringkas saya ini.
Dalam hal ini, mungkin saya banyak terpengaruh dengan idea Prof Dr.Sidek Baba, semenjak saya meneliti draf pelaksanaan Program Persijilan DQ-UIAM dua tahun yang lalu.
Idea membekalkan tenaga Huffaz yang mahir dalam bidang teras pengurusan sebuah negara. Dalam kata lain, memahirkan Huffaz dengan ilmu untuk mengurus UMMAT.
Seperti yang kita maklum bahawa, untuk memerintah dan mengurus urusan dunia supaya betul dengan kehendak Allah memerlukan tenaga pakar dalam bidang-bidang tertentu. Bukan sekadar pakar dalam menyediakan dalil-dalil yang mewajibkan terlaksananya syariat Allah di muka bumi. Tetapi, pakar yang mempu -sekali lagi- menginterpretasikan teks Al-Quran dan Sunnah itu di lantai peradaban ini.
Teks sahaja belum mampu untuk menyuluh ummat. Perlu ada rijal yang arif untuk menulisnya di lantai peradaban ini.
Untuk mengurus siasah dan sistem politik, kita bukan hanya memerlukan ahli Quran yang mahir mencedok dalil-dali sahih dari Al-Quran dan hadis, namun dalam masa yang sama memerlukan mereka yang pakar dalam falsafah politik dunia. Pakar dalam kod politik Kapitalis, sosialis dan komunis, agar nanti, tidaklah berlaku usaha meruntuhkan jahiliyyah dan menubuhkan jahiliyyah moden.
Begitu juga dalam bidang ekonomi, pendidikan dan sistem teras pemerintahan lain yang perlu menerima sentuhan dari generasi Al- Quran.
Kenapa Generasi Al-Quran?
Pasti ada yang bertanya, kenapa perlu obses sangat dengan generasi Al-Quran?
Saya tiada jawapan yang konkrit, kenapa generasi Al-Quran yang saya pertaruhkan untuk mengubati kedahagaan ummat. Cukuplah keyakinan saya terhadap hujjah yang telah tersedia oleh Syed Qutb dalam kitabnya : Petunjuk Sepanjang Zaman.
Namun, sedikit hujjah yang mungkin boleh dijadikan sandaran. Bahwa generasi al Quran yang diharapkan adalah generasi yang tidak memandang islam pada cebisan tertententu lantaran Manual Operating itu sudah berada di dada mereka.
Moga tidak ada lagi orang yang hanya memandang jalan keluar dari kegelapan jahiliyyah ini hanya pada sistem tempang yang disyahadahkan dengan kalimah arab.
Bukanlah jalan keluar itu pada Syariah semata. Bukan juga pada Akhlaq dan kejiwaan. sahaja Bukan juga pada falsafah dan pendidikan. Tidak pada kod undang-undang dan sistem pemerintahan. Bukan hanya pada politik dan pemerintahan. Bukan hanya pada ekonomi dan kewangan.
Hanya sanya, jalan itu adalah ISLAM yang sumbernya Al-Quran.
Komen Anda Adalah Buah Tangan Terbaik [hasanhusaini]
Huffaz : Perbetulkan Posisi Kita
“Insyaallah..ada apa yang boleh ana bantu?”
“Ana dah lama bercadang untuk menemukan abang dengan pimpinan-pimpinan Iqrac…”
Usrah rupanya.
“Insyaallah, pukul berapa..?” Saya cuba untuk meluangkan masa bila usrah yang ingin dihidangkan kepada saya.
“5.30 petang, di bilik gerakan Iqrac”
Selesai beberapa urusan di pekan Kuala Kubu Baru yang masyhur di kalangan sahabat-sahabat Darul Quran dengan jolokan Pekan Koboi, saya bergegas kembali ke asrama untuk memenuhi jemputan tersebut.
“Alhamdulillah, hari ini kita bakal disajikan dengan sedikit pengisian berharga dari abang kita…” begitulah lebih kurangnya isi ucapan aluan dari pengerusi majlis.
Ya Allah, pengisian rupanya.
Tanggapan saya, hanyalah perjumpaan untuk bertaaruf lantaran itulah perjumpaan pertama kami. Meskipun mereka sudah memikul amanah kepimpinan IQrac selama lebih sebulan yang lalu.
Secepat kilat, saya merangka isi yang bakal saya kongsikan bersama adik-adik baru saya ini.
Seperti biasa, persoalan yang tidak akan lari dari menjadi tema saya apabila berkesempatan bersama penghafal Al-Quran ialah, Kenapa Nak Hafal Quran?
Namun, sentuhan permulaan diringankan sedikit untuk memikat hati-hati yang belum pernah berdamping dengan saya secara peribadi. Pelbagai pengalaman saya kongsikan bersama mereka.
Pengalaman saya yang pernah hidup ‘dua alam’ itu saya ulas sebaik mungkin supaya dekat di hati mereka. Lebih senang untuk di ambil manfaatnya.
Alam belajar dan perjuangan mahasiswa dalam proses dakwah dan tarbiah kampus. Begitu juga alam pekerjaan serta perjuangan realiti dalam dakwah dan tarbiah serta siasah dalam masyarakat.
Meski saya hanya bekerja selama kurang dua bulan, namun ianya amat meninggalkan kesan yang amat besar kepada perubahan yang sedang saya alami sekarang.
Bermula bagaimana saya cba untu memahami betapa sekularnya pendidikan yang sedang dihadapi oleh lebih 1 juta pelajar di Malaysia sehingga mendalami bagaimana rosaknya dua sistem yang mempengaruhi kehidupan para pemuda, institusi rumah tangga dan institusi pendidikan.
Rosaknya institusi rumahtangga berpunca dari hilangnya sifat amanah dikalangan ibubapa dalam MENDIDIK anak-anak. Sehingga kebanyakan mereka hanya pandai ‘mengajar’ apabila anak-anak melakukan kesalahan.
Rosaknya institusi pendidikan apabila guru-guru hilang amanah juga dalam MENDIDIK para pelajar, malah lebih teruk, hanya mengajar dengan berorientasikan A semata-mata.
Dan, saya serta sahabat baik, Syaukani didatangkan untuk menjadi ubat kepada dua sakit parah ini.
Kesan langsung dari dua penyakit ini, anak-anak muda ( saya anak-anak ‘tua’) menjadi kebingungan dalam mencari contoh untuk mereka hidup. Apa yang lebih teruk ialah, mereka kehilangan tempat untuk meluahkan perasaan seandai ada krisis yang berlaku sepanjang tempoh masa mereka mencari identiti untuk di'pakai' seumur hidup.
Hakikat kesedihan yang berlaku ialah, kebanyakan dari mereka tersilap pilih teman komunikasi lantaran rosaknya dua intitusi terdekat dengan mereka, Keluarga dan Warga pendidik.
Maka, pesan pertama saya kepada mereka untuk mengambil tugas menyelamatkan generasi muda sebaya mereka dengan menjadi saluran alternatif untuk generasi tersebut meluahkan perasaan . Menyerap frekuensi gelombang tekanan yang tinggi (beta) dengan mendengar rintihan batin mereka.
Itulah yang saya lakukan dalam usaha kecil saya untuk mengubati barah hasil virus dua intitusi penting sepanjang bekerja di Kuantan.
Sesi kedua, persoalan ditimbulkan sebelum sempat saya meneruskan point berikutnya.
“ Macam mana generasi huffaz nak selamatkan orang lain, sedang mereka berada di posisi untuk diselamatkan. dengan akhlaq yang tak bagus malah perangai yang buruk dan cacat di mata masyarakat..?” tanya seorang junior yang sedari tadi menjarangkan kadar kerdipan matanya, tanda tekun mendengar.
HUFFAZ TERSILAP POSISI
Itulah kesimpulan baru yang saya dapat timbulkan setelah merenung sejenak sebelum memberi respon terhadap persoalan yang dilontarkan sekejap tadi.
Kebanyakan (malah hampir seluruh) huffaz yang lahir ke dalam masyarakat hari ini berada di posisi yang perlu diselamatkan.
Berbeza dengan figur-figur yang lahir dalam generasi terdahulu. Mereka gah menyumbang di dada masyarakat.
Generasi baru perlu diselamatkan dalam medan pelajaran sehingga perlu diberi tempat untuk belajar, bukan bersaing dengan pelajar-pelajar lain di medan tersebut.
Perlu diselamatkan dalam bidang pekerjaan sehingga perlu disediakan peluang pekejaan, lantaran ketempangan mereka dalam memenuhi kompetensi sebagai seorang pekerja yang baik.
Perlu ditunjuk ajar berpanjangn, sedangkan dalam dada mereka adalah kitab petunjuk yang tidak diragui lagi.
Perlu disuap, dibelai dan diusap. Pasif dan tidak reaktif, apatah lagi proaktif. Berada di posisi yang perlu diselamatkan, bukan penyelamat.
DI MANA SILAPNYA?
Saya yakin, para pemikir yang telah memerah otak membentangkan draf untuk menubuhkan institusi tahfiz sejak berzaman mengimpikan graduasi Huffaz bakal terjun dalam masyarakat sebagai penyelamat.
Bukan yang sebaliknya, yang diselamat.
Kenyataan dari Dr.Sidek Baba tempoh hari membenarkan hepotesis saya ini. Temu ramah saya secara tidak langsung ketika sedang menyiapkan draf cadang tajuk pertama tesis saya dengan beberapa orang pengetua dan ahli lembaga dari beberapa buah institusi tahfiz juga sebegitu.
Ibu bapa yang menginfaqkan anak mereka untuk memikul tugas sebagai Huffaz juga mempunyai harapan sebegitu.
Namun, kenapa begini hasilnya huffaz generasi millenium yang serba canggih?
KRISIS NILAI DAN WORLDVIEW
Saya pernah berbual dengan seorang ustaz yang bertugas sebagai pensyarah di sebuah institusi pengajian masyhur. Beliau lulusan Universiti Al-Azhar. Kiblat ilmu.
“Nta nak sambung degree di jami’ah mana?”
“Insyallah, Jamiah Mu’tah ustaz..” saya cuba yakin dengan harapan saya itu.
“Ana tak nak kata bagus, juga tak bagus…tapi terpulang kepada yang menjadi faktor KENAPA nta nak ke sana, pastikan bukan kerana terikut-ikut dan juga kerana tengok ramai yang cemerlang dan berkualiti dari sana, ana Azhari, namun ana sudah tidak mampu berbangga dengan Azhari sekarang yang hilang TUJUAN mereka dalam persoalan KENAPA mereka memilih Azhar sebagai medan jihad ilmu mereka” jelas ustaz secara panjang lebar.
Persoalan KENAPA mudah untuk diselesaikan oleh generasi salaf dalam dunia tahfiz.
30 tahun lepas, industri tahfiz bukanlah bidang yang menjadi tumpuan. Justeru, yang memilih untuk terjun ke sini merupakan mereka yang sebetulnya jelas dengan TUJUAN dan persoalan KENAPA mereka memilih jalan ini.
Tidak pada generasi khalaf. Generasi yang sudah kabur akan TUJUAN dan jawapan kepada persoalan KENAPA lantaran banyak insentif dan ganjaran yang disediakan. Tambahan pula, institusi tahfiz kini telah menjadi kegilaan ramai lantaran ianya sudah menjadi satu sistem pengajian alternatif dari sistem sekular.
Maka, ramai dikalangan 'ahli baru' dalam dunai huffaz tersilap memilih bidang kerana tersilap dalam menilai peranan sebenar huffaz dan tersilap dalam menajwab persoalan kenapa nak hafal Al-Quran.
Memilih dunia Huffaz dengan melihat faktor kecil akan menjadikan huffaz yang lahir itu cacat dan tidak sempurna. Malah, mereka bukan menjadi generasi penyelamat, bahkan membebankan kerana terpaksa diselamatkan.
Maka, point kedua dan terakhir saya ialah, KENAPA NAK HAFAL QURAN- dan saya cuba membantu mereka mencari jawapan itu sebaik-baiknya.
Saya tak mahu digelarkan sebagai penentang sunnah. Juga peruntuh institusi huffaz yang mulia. Juga tak ingin digelarkan sebagai penulis jahat yang tak mampu menghafal Al-Quran lantas dengkikan mereka yang berjaya meraih gelaran Al-Hafiz.
Moga generasi yang bakal mendaftarkan diri sebagai HAMALATUL QURAN jelas tentang TUJUAN dan jelas juga dengan jawapan KENAPA NAK HAFAL QURAN…?
Moga usaha sekecil ini mampu menjadi sebutir pasir dalam binaan idea generasi Al-Quran Unik yang digagaskan Syed Qutub.
Komen Anda Adalah Buah Tangan Terbaik [hasanhusaini]
Sabtu, 11 Julai 2009
Ujian Versatiliti III
" Nta ada kamera DSLR? B.up Fotografi sekali ye..." Pinta seorang lagi Ajk.
Maka, saya pun cuba memenuhi amanah tersebut.
Mundar-mandir merakamkan gambar-gambar bersama wartawan yang profesional.
Bersama MB dan AJK kanan Ko-Spins untuk sidang media.
Dan paling menyedihkan, penyelia Auditorium ghaib tanpa mampu dihubungi saat dewan hangat kerana aicond kurang berfungsi.
Dato' Dr Siddiq Fadzil dah mengipas-ngipas buku ke muka dan badannya. Tambah hangat dengan sinaran lampu di atas kepala beliau. Maaf Dr. Siddiq.
DARUL QURAN TAK HOLISTIK
Ya. Itu penyataan dari Dr Sidek Baba melalui komen beliau tentang dualisme pendidikan negara.
Beliau juga menyatakan bahawa telah berkali-kali mendesak pihak Lembaga Darul Quran supaya mengubah pendekata proses pembelajaran di Darul Quran, tapi masih belum mendapat reaksi yang sepatutnya.
Teringat saat saya diperli apabila mengajak kawan-kawan untuk lebih 'memehami' Al Quran dalam konteks yang lebih luas.
" hari ni nta gi amal quran tak...ana nak ikut sekali..."
" patut la jarang nampak sekarang ni, dok amal quran ghupenye"
Kata-kata yang menyakitkan telinga. Namun kini terbukti pandangan saya ada benarnya.
Seorang sahabat pernah berkata : "sesungguhnya, makan caci itu lebih seda dari makan nasi".
Saya tidak sanggup melihat anak-anak muda sebaya dengan saya di sekularkan dengan sekular orde baru. Padahal asasnya untuk mendidik supaya lebih syumul dan holistik.
Saya tak sanggup melihat mereka hanya terpejara dari melihat world view kerana halangan Al Quran.
Teruskanlah dengan sekular nescaya umat islam hanya akan mampu berbangga dengan generasi silam.
Anda bersetuju?
Tak bersetuju?
Ruang intelektualisma tak bersempadan. Ruang perbincangan dan wacana tak bertepi. Ayuh tajamkan minda terjun ke gelanggang membela umat, wahai Huffaz Al Quran..!!
Saya sudah merancang dan merencana untuk meninggalkan generasi yang akan meneruskan agenda. Tinggal lagi, adakah anda sanggup menyahut cabaran?
Komen Anda Adalah Buah Tangan Terbaik [ hasanhusaini ]
Jumaat, 10 Julai 2009
Ujian Versatiliti II
" Ihsan, ana memerlukan khidmat nta untuk jemput Dr. Irwan, pukul 5 kita akan bertolak.." kata 'mantan' naqib, Abg Idris.
" Ok...", saya menyahut ringkas.
Bermulalh perjalanan dengan SAGA BLM buruk saya untuk menjemput Dr. Irwan di LCCT. Satu-satunya lapangan terbang yang belum pernah dijejaki.
Dari UKM ke arah Nilai, exit di Nilai Utara mengarah ke KLIA.
Exit lagi ke LCCT.
Maka bertemulah dengan Dr. Irawan yang telah menunggu di Oldtown Cafe.
Dari LCCT, saya mengambil exit jam 9 di roundabout ke MAJU Express.
Ikut ijtihad, jalan paling dekat ke Shah Alam.
Lebih menjimatkan Tol dan masa.
Alhamdulillah, segalanya berjalan lancar kecuali satu, tersilap masuk lorong. Aduh, malu.
Malu yang keduanya, kami menjemput seorang Prof dan DR yang merupakan ahli parlimen PKS di Indonesia.
" Baju ni siapa yang punya? Macam dalam rumah ya..." satu kesimpulan ringkas yang Dr. berikan setelah lebih kurang 10 minit perjalanan.
Memang baju yang digosok digantung untuk kegunaan Ko-Spins. Kami yang di dalam kereta, keras perut menahan ketawa.
Namun, alhamdulillah, Dr. tidak seperti orang berpangkat yang lain. Masih boleh menerima SAGA meskipun bakal bergelar Menteri Pendidikan Indonesia tidak lama lagi.
Kalau rekod telah dibuat atas prestasi pemanduan saya, maka pemanduan pada hari ini adalah yang paling sopan dan berhemah.
Versatiliti ini sungguh menguji.
Maaf dipohon dari Dr. atas segala kekurangan.
Komen Anda Adalah Buah Tangan Terbaik [hasanhusaini]
Rabu, 8 Julai 2009
Ujian Versatiliti : Mempersiap Diri
"Salam, nak minta tolong abang bagi kuliah tentang Ashabul Ukhdud, untuk pelajar IKBN Peretak."
"Salam, maaf, minta ganti Us Fauzan..ceramah selepas ni, tajuk, Ashabul Ukhdud."
"Salam Ihsan, minta datang ke SBPI Rawang, ustazah nak minta tolong nta sambung diskusi kitab Maza ya'ni, bab menguasai diri " Mesej dari Ustazah Hafsah.
"Tajuk ceramah malam ni ditukar...Who am i?, ( kenapa saya muslim ? )" jelas Amirul selepas seisi penyelarasan Tamrin Pengurusan untuk Badan Kepimpinan Pelajar, Maahad Tahfiz Darul Ulum Al Basriyyah di Gunung Senyum.
Mendarat di bumi
Bercerita tentang 'manusia asing' bergelar Ashabul Ukhdud kepada pelajar IKBN. Bagaimana untuk saya tarik perhatian mereka?
Di mana pemusatan idea dan point yang harus saya tekankan? Apakah pada konsep kerahsiaan Ghulam dari keluarga dan guru sihirnya?
Puas saya memikirkan, akhirnya terjawab dengan persoalan Di Mana Rahib?
Bercerita pula tentang kisah yang sama kepada mahasiswa islam selepas perkongsian hebat dari Us Syaari.
Kemudian diajak untuk menyambung diskusi Kitab Maza Ya'ni pada tajuk hujung bahagian pertama. Tanpa saya tahu bagaimana konsep pembawaan awal diskusi tersebut.
Penyusunan semula kekotak pemahaman dan world view kitab tersebut yang berusia lebih 40 tahun lalu untuk ditafsirkan kepada realiti. Seterusnya menyalurkan pemahaman itu kepada minda pelajar SPM yang segar dengan sistem pendidikan yang agak baik.
Berdikusi dengan mereka tanpa sebarang persediaan yang baik mengundang hina dan bakal menjadi bahan ditertawa sebelum lena.
Di Gunung Senyum, saya merendahkan semula semua istilah dan gaya bahasa yang senang dan ringan untuk menyediakan medan komunikasi yang baik bagi menerangkan siapa saya ?, kepada para huffaz.
Konsep pengadunan islam yang syumul dalam kehidupan Huffaz tak sempat dihabiskan dalam ceramah 1 jam tersebut. Peringkasan yang padat itu diharapkan bakal membuka minda mereka suatu hari nanti.
Moga kelak, generasi huffaz lahir sebagai panglima yang mencorak dunia, bukan lagi pencacai dan kuli di sebalik tabir.
Namun, satu kelemahan yang cukup ketara, saya kehilangan bahasa dan istilah yang tepat dan jelas untuk memberi kefahaman kepada huffaz tersebut tentang perkongsian, dunia yang pernah saya lalui dan duia mereka.
Dunia Al-Hafiz. Dunia pondok.
Sedih sungguh, baru tiga tahun saya meninggalkan dunia tersebut. Untuk menerangkan proses dan kronologi Iman, Islam dan Ihsan kepada mereka cukup memeritkan saya.
Kembali ke kampung halaman. Menjadi imam, bilal dan siak.
Bersama rakan sekerja sebagai teman perjuangan.
Dalam masyarakat sebagai tempat pergantungan.
FELDA PERASU
Dalam perjalanan ke Kuala Lumpur, terasa terpanggil untuk bertandang ke kampung Perasu. Felda yang terpilih untuk dijadikan tempat Bakti Huffaz pada tahun 2007, ketika saudara Zool memimpin PERKEMAT DQ.
Singgah di rumah keluarga angkat yang menimpan banyak kenangan bersama ma ( ibu angkat yang bernama Kak Mah ).
Singgah di surau untuk Jama' dan Qasr sebagai hadiah kepada sang musafir.
Usai, saya dihulurkan tasbih untuk mengepalai tahlil. Untuk arwah yang telah meninggal, kata pak imam.
Saya sempat berbisik ringkas, "jangan untuk yang mati sahaja, yang hidup pun kena banyak bekal untuk ke sana..." Moga ada manfaatnya.
Dan kini, saya menyahut cabaran IT, berkongsi pengalaman hidup di akaun Blogger. Juga mencari maklumat baru secara maya. Membaca hasil mahsul para pengkaji dan para filasuf. Pemikiran, pendidikan, siasah dan pemerintahan.
Semoga respon saya tepat dan sesuai dengan cabaran yang saya hadapi.
Verasatiliti yang cukup menguji para dai'e. Andai ketinggalan, hinalah insan.
Versatiliti dalam mencari, memiliki dan berkongsi dan memberi...Untuk hanya yang terbaik.
Ahad, 24 Mei 2009
Tribute Untuk Adik
Senyuman terakhir ibu hari ini...
Sepanjang perjalanan, ibu menghabiskan sisa waktu yang berbaki sebelum berpisah dengan adik sebaiknya. Kasihan ibu, sendirian pasti di rumah selepas ini. Hanya berteman ayah. Saya mungkin tidak banyak waktu yang boleh diluangkan bersama ibu.
Adikku, sungguh besar harapan ibu ingin melihat anak-anaknya berjaya.
Bukan berduit ibumu untuk menyara sepenuhnya pengajianmu. Namun bukan kepalang usahanya untuk memudahkan urusanmu. Ayah juga begitu. Kesepuluh anaknya tidak terhantar, namun anak tirinya kini diusahakan untuk menghantar sama.
Adikku, sesungguhnya, banyak mata sedang tertumpu kepada keluarga kita. Keluarga Wahab Maryam. Keluarga yang pernah menjadi tunjang pergantungan di kampung. Keluarga orang alim.
Banyak juga mata-mata yang tertumpu kepada kita. Yang baik, alhamdulillah, cuma dibimbangi, mata yang mengintai keburukan untuk disebar luaskan. Lantaran hasad mereka kepada keluarga kita.
Adikku yang disayangi..
Tinggi juga harapan ayah dalam diarinya yang kini masih ku simpan.. harapannya kita menjadi insan yang bertaqwa, biar apa gelaran yang diraih.
Harapnya agar kita menjadi insan yang bermanfaat, menyumbang jasa.
Adikku..
Sesungguhnya ketika ini, ibu kesedihan lantaran kesepian dan kesempitan.
Berjanjilah duhai adikku, betkadlah bersama ku, bahawa kita akan tukarkan duka wajah ibu suatu hari nanti dengan langkah kita pada hari ini.
Adikku, berjanjilah untuk mengubat luka hati ibu di hari esok. Berjanjilah bersamaku untuk mengukir senyum diwajah kusam itu bila dengan senyuman yang bercahaya di wajah yang kian dimamah usia itu.
Adikku, kesunyianmu di sana bakal hilang dengan kehadiran rakan-rakan dan kesibukan pelajaran. Namun, kesunyian ibu dirumah hanya diubati ayah yang kian uzur dan cicipan unggas yang berzikir.
Adikku, tersuskan usaha menggapai kejayaan, kerana restu ibu bersamamu. Tekadkan kakimu di perantauan untuk pulang membawa senyuman di hati ibu.
Ikhlas dari kekandamu.
Rabu, 13 Mei 2009
Engkaulah ratu hatiku..
Saya menghubungi ibu dari Kuala Lumpur. Sehari sebelum hari ibu, saya terbang bersama Saga baru kesayangan ibu dari tangga rumah ke Kuantan, seterusnya ke KL.
Sebelum mula perjalanan, ibu berpesan..
" Bawa kereta baik-baik...bukan sayangkan kereta, tapi sayangkan anak lelaki tunggal..kereta, kalau rosak boleh dibaiki, kalau tak ada duit, boleh berhutang..anak, kalau rosak, tak ada spare part.." pesan ibu sambil matanya merenung tepat ke arah mata saya.
Tangan ibu saya kucupi, kemudian ke pipi dan dahi.
Masuk ke kereta dengan kaki kiri, bertolak. Dalam perjalanan, mutiara jernih mengalir lagi. entah kenapa, sejak kebelakangan ini, air mata lelaki saya begitu murah untuk mengalir.
Dua minggu lepas, dua saman laju bertandang ke rumah. Sedikit leteran ibu singgah menjadi tazkirah yang paling baik di dunia. Tapi, sewaktu saya jejakkan kaki ke rumah, ibu tidak pernah mengungkit akan hal itu.
Itulah kasih ibu. Kasih yang tak berbayar dan tidak akan terbayar.
Kasih Ibu, Kasih sejati.
Minggu depan, 23 hb, adik bakal mendaftar sebagai pelajar Tamhidi Syariah dan Undang-undang di USIM.
Tahun ini juga, insyaAllah, saya akan terbang ke seberang laut.
Mengenang itu, ibu tiba-tiba bersuara tika makan malam bersama.
"mungkin ni makan malam empat orang, lepas ni tinggal empat mata je la, saya tengok kat awak, awak tengok kat saya.." ibu memandang pinggan nasi selepas mengalihkan pandangannya dari ayah.
" malam ni, lauk telor goreng tawar masih manis lagi, lepas ni, lauk ayam pun jadi tawar la..." kelam suara ibu dari dadanya.
"lepas ni, telor kat kedai Azhar tak laku la, sebab pelanggan tetap dia dah ke Jordan..." adik perempuan saya cuba menyinarkan suasana.
"ehem", saya membetulkan kedudukan kerongkong yang sempit. Ketawa tak mampu dilepaskan. Ibu sedang menyampaikan isi hatinya.
Usai makan, saya menghulurkan buku "Bidadari Dari Timur" kepada ibu.
Sambil itu, saya mendampingi ibu.
" Ma tak bagi abang belajar jauh ke?" saya cuba mencari kepastian.
" Bukan begitu maksud ma..bukan tak bagi belajar jauh..cuma..." Suara ibu tersekat.
" Eherm...cuma, ibu mana yang tak sayang kat anak dia..kalau boleh, dia nak tengok anak-anak dia setiap hari, setiap jam, setiap saat.." Perasaan ibu lerai.
Air matanya merembes sama laju dengan untaian manik di pipi saya.
Teringat suatu ketika dahulu.
"Di Nilam Puri (KIAS) tu, tak ada ijazah ke..". Ibu pernah bertanya begitu ketika saya menyampaikan hasrat untuk ke Mesir bila mendaftarkan diri sebagai calon STAM.
Terkenang kesunyian ibu selama 16 tahun sepeninggalan ayah. Ibu sendirian mendidik anak nakal seperti saya.
Pantang lewat sampai ke rumah, ibu pasti menyusur dengan motor pusaka peninggalan ayah, menjejaki anak lelaki nakalnya. Kadang-kadang saya mandi sungai, kadang-kadang saya terjun sawah mencari lampam, keli dan haruan.
Jarang-jarang saya mencuba teknik baru menunggang motor dengan motor kawan.
Semuanya itu membimbangkan ibu.
Ibu bimbangkan anaknya rosak, punah menjadi sampah masyarakat. Ubat ibu waktu itu bervariasi. Kadang-kadang berakhir dengan libasan rotan yang hinggap.
Tidak seperti anak zaman sekarang. Ibu pernah berkongsi bersama teman sejawatannya, ibu tunggal.
" anak aku, nakal juga.. tapi kalau rosak pun, bukan rosak akidah..mandi sungai, naik pokok..anak zaman sekarang, tengok vcd lucah, gambar lucah, internet, tu semua rosak pemikiran..susah nak diubati.."
Namun, setiap kali selepas merotan saya, ibu pasti menangis dan menyebut nama ayah. Rotan yang ditinggalkan ayah itu hanya diguna bila kenakalan saya memuncak.
Betapa susah ibu memikul tugas lembut seorang ibu dan tugas tegas seorang ayah.
Malamnya, bila saya nyenyak tidur, pasti ibu datang mngusap ubun-ubun dan membacakan doa :
Ya, Allah, kau kurniakan kepada ku dari pasangan ku dan anak-anakku sebagai penyejuk mata, dan jadikan kami imam (ketua) kepada orang muttaqin.
Pernah saya tersedar saat ibu menyapu ubat ke tempat luka hasil libasab rotannya ke tempat tak berbaju saya. Ibu menangis saat itu.
Dan hari ini..
" San, maafkan ma ye...dulu ma rotan, cubit..." Ibu menangis lagi.
Saya semakin sebak.
Tanpa kalimah di lisan, hati saya berbicara:
Ibu, rotanmu membentukku, Leteranmu pemanis hatiku, Cubitanmu mengukir peribadiku.. Semuanya kerana hasrat ibu yang tinggi, menginginkan daku menjadi insan soleh..berperibadi tinggi..muslim sejati..
Tiga tahun lalu, saya memperkenankan pinangan untuk ibu, saya menjangkakan bahawa ibu pada suatu hari nanti akan memerlukan teman pengubat kesunyian saat kami berdua melangkah luas menyambung pelajaran.
Dan hari ini, dalam kesayuan, saya menaruh harapan kegembiraan. Ibu sudah berteman. Ayah pasti akan menjadi ayah sejati menemani kesunyian ibu.
Ibu..engkaulah ratu hatiku...
Rabu, 22 April 2009
Falsafah Kelambu
Saya selaku orang baru cukup menggeletar bila dikhabarkan dengn berita-berita sedemikian.
“ Orang rumah saya ni memang malas dalam bab masak memasak, sebab tu bila you datang, saya ajak makan kat kedai je, senang..tak perlu tengok muka prootes bila minta masakkan makanan”.
“ aku dah tak tau nak cakap macam mana lagi dengan bini aku tu..tak larat lagi dah..bila ditegur, membebel” seorang suami berkongsi masalah kelambunya kepada mantan teman sekelambunya ketika di asrama sekolah menengah.
Falsafah Kelambu
Dalam hadis di atas, Rasulullah mengatakan bahawa, orang mendedahkan cerita aib pasangan masing-masing akan berada pada martabat yang paling bawah, paling hina.
Mungkin dialog yang saya paparkan di atas tidak satu pun sampai ke tahap yang telah disebut dalam hadith ini, namun falsafahnya adalah sama.
Kerahsian sebuah perkongsian dalam organisasi tidak perlu didedahkan kepada orang yang tidak sepatutnya.
Saya yang baru seminggu di dunia baru pendidik, cukup gerun dan tidak selesa bila didedahkan dengan masalah dalam kelambu yang berlaku dalam organisasi pengurusan dan pentadbiran sekolah.
Begitu juga yang berlaku dalam institusi rumah tangga, bila si suami menasihati isterinya di kedai-kedai kopi ketika lunch bersama rakan sekerjanya. Tidak ketinggalan si isteri yang cuba berkongsi teknik menawan suami di majlis gotong-royong kanduri. Dapur tersebut bakal menjadi medan talk yang mempunyai seribu channel untuk didengari. ( dibaca, loya untuk didengari)
Untuk lebih dekat di hati, saya ingin membawa situasi dan iktibar yang baik ini dalam dunia yang sebaya dengan saya, dunia oraganisasi dan dunia persatuan. Meski masih banyak contoh dalam organisasi lain yang lebih besar.
“ Ana kalau di kolej sendiri, malas la nak terlibat,serabut dengan muslimat, asyik bising dengan benda-benda yang remeh”, seorang penggerak tarbiah kampus berkongsi pengalaman dengan rakan tarbiahnya dari kampus lain.
“Rais ana tu teruk la, semua benda yang ana buat tak kena. Asyik kena marah je kalau dalam meeting. Tension jadinya, pandangan kami ni, hanya tak dijelingnya walau sebelah mata..”, seorang lagi berkongsi dengan kawan rapatnya.
Budaya tembak curi dan jerangkap samar sangat biasa didengari dalam dunia organisasi sama ada di kolej, mahupun universiti.
Saya mempunyai ramai kenalan di beberapa universiti utama, dan dialog seumpama ini senantiasa didengari dan cukup menyakitkan telinga. Tidak ada lagi semangat tafahum. Apatah lagi semangat takaful dan ithar yang begitu agung.
Jangan bangga menjadi produk tarbiah andai jiwa murabbi masih kontang dalam jiwa.
Bila ditanya kepada yang terlibat, adakah si fulan ini pernah bersemuka atau menegur secara telus dan terus, seolah-olah pasti akan dijawab TIDAK.
“ Nta pernah tegur secara langsung dengan muslimat tu..? Itu persoalan biasa yang akan saya ajukan bila diluahkan tentang ‘masalah’ tersebut. Sinonimnya, gelengan kepala menjadi jawapan pada perseoalan begitu.
Sikap berlapang dada dan nilai profesional tandus dalam jiwa mereka.
Salah ibu mengandung atau salah sendiri yang keras hati.
Al Imam Al Syahid Hasan Al Banna pernah menyebut tentang martabat ukhuwah, dan yang paling bawahnya adalah, salaamatu sadri. Berlapang dada.
Tidak menegur secara terus disamping ‘menegur’ secara ‘ikhlas’ disebalik tabir menjadi bukti kukuh, suu’ zhon telah bersarang dan salaamatu sadri telah hilang disorok di sebalik permaidani egoistik yang luas terbentang. Lalu buah yang timbul dari benih suu’zhon adalah hidangan daging mayat mentah yang cukup enak dimakan beramai-ramai atau berpasang-pasangan.
12. Hai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan purba-sangka (kecurigaan), karena sebagian dari purba-sangka itu dosa. Dan janganlah mencari-cari keburukan orang dan janganlah menggunjingkan satu sama lain. Adakah seorang diantara kamu yang suka memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang.
Sesungguhnya amaran Allah itu cukup menakutkan hati yang senantiasa menukarkan gantinama ayat ayat Al Quran menjadi ‘kamu’.
Setelah 23 tahun hidup di dunia, barulah saya mempu untuk menulis sebegini. Menulis selepas tadabbur yang menjemput linangan air mata. Namun masih tidak sehebat Umar yang pipinya beralur hitam. Dek kerana air mata.
Rabu, 17 Disember 2008
Salsilah Keturun Ke-2. Ulama'.
Nik Abdul Wahab merupakan Perdana Menteri kepada Sultan Muhammad Mulut Merah (Sultan Muhammad ke-IV). Nama beliau masih ada tertulis di Tugu Istana Batu, Kota Bharu. Beliau juga merupakan hulubalang kanan kepada baginda dan ditugaskan untuk menghantar Ufti ( Bunga emas ) kepada Raja Siam.
Untuk menghantar ufti, Nik Abdul Wahab terpaksa berjalan sejauh 3 batu di atas bara api. Oleh kerana itu, sebelum meninggal, beliau berwasiat supaya anak keturunannya selepas ini tidak lagi diletakkan gelaran, samada Nik @ Wan, cukup sekadar Muhammad @ Ahmad.
Anak beliau, Nik Idris merupakan Ulama’ tersohor semenanjung Tanah Melayu. Beliau merupakan penulis al-quran yang tersohor. Sepanjang hayatnya, beliau berjaya menulis sebanyak tujuh buah Al-Quran dengan tulisan tangan beliau sendiri.
Nik Idris lahir di Pengkalan Setol, Bachok, Kelantan Darul Naim. Nama beliau juga tersenarai dalam buku Ulama Semenanjung Melayu. Beliau pernah menuntut dengan Tok Kenali dan belajar di Tanah Suci Makkah selama beberapa tahun.
Cucu Nik Abdul Wahab, Nik Wook merupakan anak perempuan tunggal kepada Nik Idris. Nik Wook dikahwinkan dengan Che Man dari Kuala Terengganu. Che Man merupakan anak keturunan Mandiling yang berasal dari Sumatera. Keturunan Mandiling sekarang ini biasanya dikenali sebagai Nasution.
Abdul Wahab, anak sulung kepada pasangan Muhamad dan Halimah ini juga diasuh dengan didikan agam sejak kecil. Abdul Wahab dihantar untuk belajar di beberapa pondok dan kemudiannya ke Jamek Merbau Al-Ismaili. Beliau berulang alik dari Kota Bharu ke Besut sebulan sekali dengan bekal sara hidup sebanyak 25 sen.
Di Jamek Merbau, Abdul Wahab sempat berguru dengan beberapa ulama' masyhur seperti Tuan Guru Ahmad Maher dan Tuan Guru Haji Mohd Noor Ibrahim.
Selepas tamat pengajian, Abdul Wahab dikahwinkan dengan seorang perempuan pilihan keluarga. Namun perkahwinan itu tidak dapat bertahan lama. Akhirnya Abdul Wahab diemukan jodoh dengan seorang wanita dari kelantan, Meriam Binti Hamat. Pasangan ini dikurniakan dua anak perempuan, Noraini dan Norhayati Ruhi.
Noraini berkahwin dengan seorang pemuda dari Kubang Kerian bernama Yunus @ Che Min yang merupakan seorang guru di Madrasah Tarbiyyah Mardziah, Panchor. Noraini dan Che Min dikurniakan juga dengan sepasang anak lelaki dan perempuan. Mohd Ihsan Fadhli Bin Che Min.
Salsilah keturunan kedua.
Sabtu, 13 Disember 2008
Cerita Sebuah Hikayat
Khamis, 19 Jun 2008
Catatan Kuarantin- Hospital Pakar Perdana
Dalam dunia ini kita tidak punya sesiapa,
Hanya diri sendiri…
Tetapi…
Dalam kita bersendirian, kita masih bertuah,
Mempunyai sahabat yang memahami...
Sebagaimana kita mengharapakan keikhlasan dan kejujuran Seorang sahabat,
Begitulah juga dia.
Tetapi kita sering terlupa.
Kita berkira tentang harapan dan perasaan kita…
Kita rasa dikhianati bila dia tidak menepati janjinya.
Kita tidak memberi dia peluang,
Untuk menerangkan keadaannya.
Bagi kita,
itu hanya alasannya untuk menutup kesilapan..
Kita juga pernah membiarkan dia ternanti-nanti
Kerana kita juga ada janji yg tidak ditepati.
Kita beri beribu alasan memaksa dia terima alasan kita.
Waktu itu, terfikirkah kita perasaannya…..?
Seperti kita,
Dia juga tahu rasa kecewa…..
Tetapi kita sering terlupa.
Untungnya mempunyai seorang sahabat yang sentiasa memahami
Yang selalu berada di sisi tika kita membutuhkan teman,
Dia mendengar luahan perasaan kita,
Segala rasa kecewa dan ketakutan...
Harapan dan impian...
Tika kita buntu, Dia memberi jalan..
Selalunya kita hanya bercerita,
Sehingga kita terlupa,
Sahabat kita juga ada berita yg ingin dikongsi bersama..
Pernahkah dia diberi peluang,
Mengkhabarkan bimbang dan takutnya?
Pernahkah kita menenangkan dia sebagaimana dia pernah menyabarkan kita...
Ikhlaskah kita mendengar tentang kejayaan dan berita gembiranya?
Mampukah kita menjadi sumber kekuatannya...
Sepertimana dia meniup semangat setiap kali kita rasa kecewa dan menyerah kalah?
Dapatkah kita yakinkan dia yang kita boleh dipercayai,
Kita boleh dijadikan tempat untuk bersandar tika lemah,
agar dia tidak lagi rebah….?
Bolehkah kita menjadi bahu untuk dia bersandar harapan?
Sesekali jadilah sahabat yg mendengar dari yg hanya bercerita…..
Curilah masa untuk memahami hati dan perasaannya,
Kerana dia juga manusia,
Dia juga ada rasa takut, bimbang, sedih dan kecewa..
Dia juga punyai kelemahan dan membutuhkan seorang sahabat…
Dimana kita saat dia bersedih,
Sombongnya kita untuk sama bergembira tika dia ingin berkongsi keriangan,
Sehingga kita sering melarikan bahu kita tika dia ingin bersandar,
Melarikan peha kita saat dia ingin bermanja..
Jadilah kita sahabatnya itu….
Kita selalu melihat dia ketawa,
Tetapi mungkin dia tidak setabah yg kita sangka...
Di sebalik senyumannya tersorok cerita duka....
Di sebalik kesenangannya, tersimpan seribu kekalutan…
Kita tidak tahu…
Siapakah yang akan menjadi Abu Bakar,
Sentiasa membenarkan kata-katanya ?
Siapakah yang akan menjadi Umar untuknya,
Sebagai benteng kukuh mempertahankannya ?
Siapakah yang akan menjadi Uthman,
Mencurahkan harta kepadanya ?
Siapakah yang akan menjadi Ali,
Menjadi penggantinya untuk dibunuh ?
Ingatkan ?
Bukan kita tak pernah menangis untuknya..
Wahai sahabat yang amat ku sayangi dan ku cintai kerana Allah, Cintailah sahabatmu ketika dirimu masih mempunyainya..
Ikhlaskanlah kasihmu sebelum kehilangannya...
Rabu, 4 Jun 2008
Seni Bina Bait Muslim
Seolah memahami kematangan usia saya, keadaan sekeliling berubah. Segalanya seolah berkisar tentang ‘kehidupan baru’. Bermula dengan pernikahan mengejut sahabat baik di Tanah Haram. Diikuti juga secara mengejut seorang sahabat yang mengahwini dua wanita sekaligus. Menjadi saksi pernikahan dua abang tiri. Pertunangan sepupu dengan sepupu. Kelahiran ahli baru dalam keluarga Wahab Maryam. Semuanya seolah meraikan hari lahir saya yang ke-22.
Mengingatkan sedemikian, tertarik minat saya untuk menulis sedikit tentang senibina Bait Muslim. Bukan untuk meruntun jiwa ke arah itu, tetapi untuk menambah sedikit ilmu melalui pembacaa dan perkongsian ini. Semoga ia boleh dijadikan bekal bila tiba masa dan waktunya.
Dalam bait muslim, Rasulullah SAW adalah uswah hasanah sebagai seorang suami kepada isteri-isterinya, sebagai bapa kepada anak-anaknya dan sebagai pemimpin. Di dalamnya tergambar identiti dan ciri-ciri tersendiri bait muslim untuk dicontohi senibinanya.
“Apabila seseorang hamba itu telah berkahwin maka dia telah melengkapi separuh dari agamanya, bertaqwalah ia kepada Allah dalam hal yang separuh lagi. (Baihaqi)
Yang bermaksud: “Dan di antara tanda-tanda kekuasaanNya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikanNya di antaramu kasih sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir.” (Ar Rum:21)
Berkata, ada tiga unsur yang harus dicapai oleh rumahtangga muslim:
1) Lahir ketenteraman jiwa suami isteri – perasaan rindu, kasih dalam pergaulan mereka
2) Lahir perasaan cinta melalui pergaulan dan tolong-menolong.
3) Lahir naluri keibuan dan kebapaan yang memberikan kasih sayang kepada anak-anak.
Pemilihan suami atau isteri dalam rumahtangga mestilah berdasarkan Syariat. Orang berilmu dan beragama adalah kufu’ untuk orang-orang seumpamanya juga, supaya tidak terjadi kepincangan antara suami isteri. Di dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda:
تخيروا لنطفكم وأنكحوا الأكفاء
Maksudnya: “Dirilah olehmu benih-benih dari keturunan yang baik-baik sesungguhnya sistem baka (sesuatu yang diwarisi) itu suatu warisan”.
تنكح المرأة لأربع : لمالها، ولجمالها ، ولحسبها ، ونسبها ، ولدينها فاظفر بذات الدين تربت يداك
Maksudnya: “Lelaki-lelaki yang berzina, tidak berkahwin melainkan dengan perempuan penzina atau perempuan kafir, manakala penzina perempuan tidaklah berkahwin melainkan dengan penzina lelaki atau seorang musyrik dan diharamkan mereka itu ke atas orang mukmin.”
اذا خطب اليكم من ترضون دينه وخلقه فزوجوه انكم لال تفعلوا تكن فتنة فى الأرض وفساد عريض
Maksudnya: “Apabila datanglah kepada kamu pinangan orang yang kamu redhai agamanya dan akhlaknya, maka kahwinlah olehmu akalnya, sesungguhnya kamu sekiranya tidak berbuat demikian akan menyebabkan fitnah dan kerosakan di muka bumi.”
Rumahtangga yang bercirikan Islam impian setiap orang Islam. Ia merupakan rumahtangga yang mengenal dan mengasihi Allah dan RasulNya. Kedua-duanya menjadi sebutan setiap ahli rumahtangga itu. Suatu kelaziman yang dikasihi akan disebut selalu dan diceritakan tentangnya melalui sebutan dan amalan, semata-mata kerana Allah SWT dan RasulNya. Umpamanya membaca Al Quran, mengkaji sunnah dan sirah serta sejarah gerakkan Islam. Oleh itu semestinya sebuah perpustakaan wujud di sebuah rumahtangga muslim.
“Rendahkanlah suaramu kerana sesungguhnya seburuk suara itu ialah suara keldai” (Luqman :9)
“Hendaklah kamu temui saudaramu dengan wajah manis itu adalah suatu sedekah”
Senyuman dapat membantu menenangkan fikiran.
3) Rumahtangga yang sentiasa suci,bersih dan selesa
ان الله طيب نظيف يحب النظافة، كريم يحب الكريم جواد يحب الجواد
فنظفوا افتيكم ولا تشبهوا با ليهودز
Maksudnya: “Di antara seutama-utama ciri seorang muslim pada diri, rumahtangga dan kawasan sekitar rumahtangganya adalah kebersihan serta kesucian zahir batin.”
لا تتشبهوا باليهود كانوا يضعون الأكب ( القامة) فى افنية بيتهم
Maksudnya: “Jangan kamu menyerupai orang Yahudi; mereka itu meletakkan longgokan sampah sarap di halaman rumah mereka.”
Maksudnya: “Kebersihan itu sebahagian daripada iman”
مرو أولادكم باالصلاة وهم ابنا سيع سنين وأضربوهم عليها وهم أبنا عشر، وفوقوا فى المضاجع
Maksudnya: “Suruhlah anak kamu mendirikan sembahyang ketika berumur 7 tahun dan pukullah dia ketika berumur 10 tahun dan pisahkan mereka di tempat tidur.” (Riwayat Abu Daud)
Maksudnya: “Perintahlah olehmu akan keluargamu dengan sembahyang”
قالت فاطمة لأبيها محمد (ص) حين سألها أحب الى المرأة؟ فقالت : (ألاتري رجل ولايراها رجل)
Maksudnya: “Apakah sesuatu yang paling baik untuk wanita?” Jawab Saidatina Fatimah: “Supaya tidaklah wanita itu melihat lelaki dan tidak pula lelaki melihatnya”. Mendengar jawapan itu, Rasulullah mendakap Fatimah dengan gembira dan membaca ayat di dalam surah al Imran; di mana maksudnya: “satu keturunan yang sebahagiannya (keturunan) dari yang lain dan Allah Maha Mendengar dan Mengetahui. (al Imran:34)
النظرة سهم مسموم من سهام ابليس اللعين
Maksudnya: “Pandangan itu adalah panahan beracun dari panahan syaitan dan iblis yang terkutuk.”
Rumahtangga muslim adalah rumahtangga yang menyinarkan cahaya ibadah dengan melaksanakan hukum-hakam Allah SWT. Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Dan ingatlah apa yang dibaca dirumahmu dan hikmah sunnah nabimu, sesungguhnya Allah adalah Maha Lembut dan Maha Mengetahui.” (al Ahzab:34)
“Dan dirikanlah olehmu rumah kamu sebagai kiblat dan dirikanlah olehmu akan sembahyang dan berilah berita gembira kepada orang-orang mukmin”.
Nas di atas menjelaskan bahawa kita mesti menjadikan rumah sebagai kiblat yang sentiasa terbuka untuk semua amalan soleh.
Para da’ie harus mengekalkan bi’ah solehah dalam seluruh kehidupan kekeluargaan seseorang da’ie. Harakah Islamiah mestilah mengatur agar ahli-ahlinya berumahtangga dengan muslimat yang juga terlibat dalam dakwah. Ini penting kerana tidak mungkin seseorang da’ie itu menghayati tugasnya sekiranya suasana perjuangan itu sendiri tidak dihidupkan di dalam rumahtangga bersama-sama anak dan isterinya.
Selasa, 27 Mei 2008
Idris Yusuf, Aku ingin Sepertinya...
Khamis, 22 Mei 2008
Minggu2 yang betul2 Menyibuk..
Selasa, 13 Mei 2008
Catatan Haramain : Madinah
Sesampai di madinah pada waktu subuh yang agak suam itu, saya terus bergegas mandi sunat, bersiap untuk pergi sembahyang subuh berjemaah dengan melupakan keltihan akibat 'jetleg'. Berlari anak ke masjid, namun solat subuh yang hanya 2 rakaat itu telah selesai. Maka saya dengan automatiknya menjadi imam solat subuh di masjid nabawi !! Makmumnya hanya dua orang. Tak bangga ke?
Seusai solat subuh, saya menyusur ke bahagian hadapan masjid, menuruti naluri mencari taman syurga yang bernama Raudhah. Berpandukan kepada tiang-tiang berjalur emas yang sedikit berbeza dari tiang-tiang lain, saya yakin, itulah raudhah. Kata Nabi, “Raudhah itu diantara rumah dan minbarku”. Kesesakan manusia di situ seolah memustahilkan saya mencelah untuk bersolat. Namun gelora hati membuak untuk sujud di situ. Hati berdoa dengan sedikit kumat-kamit yang dizahirkan pada bibir agar diberi peluang bersujud di situ. Tidak sampai 2 minit, tiba-tiba pakcik arab bangkit dari zikirnya memanggil saya untuk menggantikan tempatnya. Alhamdulillah. Spontan air mata mengalir. Terharu, memang betul Allah maha pendengar.
Solat dua rakaat itu agak panjang meski sudah diringkaskan. Segala hajat yang terkandung dalam bungkusan kecil hati dipamerkan di situ. Terasa diri betul-betul berada di hadapanNya.

Mihrab nabi, salah satu tempat di Raudhah
Bersalam dengan Rasulullah
Petangnya, pada waktu yang agak tenang, saya pergi menjenguk Rasulullah. Melalui Bab As Salam, melangkah lurus ke hadapan melepasi minbar dan mihrab, terus menuju ke hadapan baginda. Manusia yang agak lengang memberi, tidak sesibuk pagi tadi, memberi ruang yang agak lama dan selesa untuk saya bertegur sapa dengan baginda. Sesampai di pintu tembaga kuning itu, dada saya sebak mendadak. Air mata mengalir laju. Selawat yang ingin dibaca hanya tersekat di kerongkong.
Memang betul, bukan mimpi, bukan khayalan, di hadapan aku ketika ini adalah Muhammad Bin Abdullah. Rasul penutup segala Rasul. Subhanallah. Setelah agak lama, akhirnya ucapan salam terkeluar, “Assalamualaika ya Rasulullah, aku datang untuk berjumpa dengan mu…” Air mata semakin melebat. Hati betul-betul lunak. Serasakan pada waktu itu aku betul-betul sedang berhadapan dengan jasad mulia itu. Sedang menerima watikah sebagai salah seorang yang akan berjuang meneruskan risalah yang dibawanya. Terimalah aku sebagai ummat mu. Syafaatkanlah aku pada hari mahsyar. Ya Rasulullah. Setelah menyampaikan kiriman salam dari sahabat di Malaysia untuk baginda, saya meluahkan isi hati terhadap kekasih agung itu.
Makan Nabi Muhammad s.a.w
Terasa kasih sayang terhadap baginda tidak berbelah bagi lagi. Teringat kisah baginda ketika hampir wafat, nama saya terpancul dari bibir baginda, berpesan supaya menjaga solat, “ ummati, solah..” Aku adalah ummat baginda.
Melangkah sedikit kedepan. “Assalamualaika wahai sahabat nabi di dalam gua, wahai As Siddiq”. Terkenang peristiwa selepas Isra’ dan Mi’raj. “ Benarlah engkau wahai Rasulullah”. Bersahabat dengan Muhammad dari hidup sehingga mati. Mem'backup’ baginda setiap masa. Mengiyakan apa yang dituturkan sepanjang waktu. Alangkah baiknya jika saya juga begitu. Mentasdikkan baginda, tanpa terpengaruh dengan sebarang provokasi.
Tiga langkah lagi saya maju, kini Umar berada di hadapan ku. Terasa aura ketegasan itu. Air mata yang mengalir sedari tadi tiba-tiba berhenti. Aura semangat tiba-tiba memabakar. Mungkin terkena tempiasnya aura Umar. Umar Al Khattab akhirnya di pilih, sedangkan Umar bin Hisyam terus dicerca dan dilaknat. Melupakan zaman gelapnya ketika jahiliyyah, bangkit dengan kesedaran berbekalkan keimanan yang begitu utuh membela Rasulullah dan memartabatkan islam. Teringat kata-katanya yang amat memberi makna kepada saya. Lafaz yang beliau ucapkan ketika dalam perjalan untuk berhijrah itu berbunyi, " Barangsiapa yang ingin isterinya bergelar janda, anaknya menjadi yatim, tunggulah Umar di pintu keluar Makkah"... Begitulah lebih kurang bunyinya. Hebat dan bergaya.
Tiang Malaysia
Tiang Malaysia
Malam kedua di Madinah, kami di bawa untuk bertamu di salah satu tiang di dalam Masjid Nabawi yang dinamakan tiang Malaysia oleh rakyat Malaysia disini. Ia menjadi tempat pertemuan dan mesyuarat bagi rakyat Malaysia yang merantau di Madinah. Bertaaruf dengan 2 orang Professor yang bertugas di salah sebuah universiti di Madinah, pelajar MTQN Pahang yang mendahului kami bermuqabalah di Jami'ah Islam.
Seterusnya, Masjid Quba.. dan air mata di Uhud.
Jumaat, 9 Mei 2008
Cerita itu menarik bagi saya..Cuba Baca..
Baca lagi...? Klik link di bawah.
http://saifulislam.com/?p=75


