Rabu, 26 Ogos 2009

Warkah Untuk Teman Di Sore Ramadhan

Sejak Ramadhan, saya langsung tidak menulis. Bukan enggan, bukan juga sibuk. Tapi, cuba menyemak kembali tulisan saya sebelum ini, apakah sudah semua saranan dan amar makruf seta nahi mungkar yang telah saya nukilkan itu, telah saya tunaikan.

Tiga tahun dalam dunia blogger, lebih 200 artikel dipublishkan. Pasti banyak sekali semakan dan muhasabah yang perlu saya lakukan.

Hari ini saya terpanggil untuk menulis. Menulis tentang seorang mukhlis.

Seorang sahabat yang banyak membantu saya meluruskan laluan hidup, mendidik tanpa disedari. Membentuk dan mengetuk tanpa bunyi. Mengukir dan sentiasa memberi tanpa kikir.

Hari ini, kemuncak sedihnya dia pasti bukan kepalang. Penantian penuh debaran selama 8 hari beretemu dengan noktah yang pastinya pahit untuk ditelan.

Ayahanda kesayangan beliau kini dipanggil untuk mengadap tuhan. Akibat H1N1, wabak heboh mutakhir ini.

Masih segar, bagaimana saya bertemu buat kali pertama dengan almarhum tiga tahun lalu. Masih diingati pertembungan kami di tangga paling dekat dengan masjid di asrama A Darul Quran. masih hijau kenangan bertandang dan menyantap bubur lambuk Kuala Besut kegemaran Almarhum.

Teramat segar iingatan, jasad itu terbaring lesu di pejabat Koperasi Kowamas di Permatang Badak, Kuantan, 7 hari yang lalu.

Kini, dihadapan saya, jasad itu terbujur kaku dipembaringan. Dilitupi kain putih. Peluh dingin memercik di dahi.

Tangisan sanak saudara jelas kedengan.

Bani Adam menangisi pemergian saudaranya bertemu Tuhan.

JAM 3:14 petang.

HP saya berdering.

"Assalamu'alaikum, angah, ana nak maklum ni, aboh dah meninggal...". Mendatar suara Yusran ditalian. menyembunyikan sebak di hati.

"Tolong maklumkan kepada sahabat-sahabat yang lain ye...", pesannya sebelum memutuskan talian.

Innalillahi wa inna ilaihi raaj'uun.

Saya terus menaip mesej ringkas untuk diforwardkan kepada sahabat-sahabat seperjuangan.

Memandu kereta ke HUSM Kubang Kerian, terus ke Wad 4 Timur. Mendapatkan Yusran. Tubuh kurus itu segera saya peluk, dan tangisan mengiringi.

Ucapak takziah dan sabar meniti bibir, belakangnya saya usap.

Bingkai matanya digenangi air. Sedikit basah di pipi.`

Baru semalam saya menziarahi bersama Hayyi dan Syaukani.

Yusran adindaku, bersabarlah dalam menghadapi ujian ini. Sesungguhnya, proses kesempurnaan itu amat perit untuk dilalui...kekanda di sini sentiasa mendoakan kebahagiaan mu...Salam takziah dari Usrah GEGAR...

Inna Lillahi wa inna ilaihi Raaji'uun...

Moga Roh Almarhum tergolong dikalangan orang yang soleh, dan pemergiaanya dikira sebagai syahid kecil...ameen.

Komen Anda Adalah Buah Tangan Terbaik [hasanhusaini]

1 ulasan:

  1. sesungguhnya dari Allah kita dtg dan kpd Allah kita kembali.....semoga Akh Yusran dan family tabah dgn pemergian tunggak keluarga tersayang..semoga arwah di tempatkan bersama golongan orang2 yg soleh..InsyaAllah...

    BalasPadam

Komen Anda Adalah Buah Tangan Terbaik [hasanhusaini]