Tepat jam 11.00 malam. Hari ini bukan seperti biasa. Malam ini sebenarnya bening, hening dan sunyi. Tak pernah saya rasakan sesunyi ini.
Darul Quran kosong tak berpenghuni lantaran serangan H1N1.
Memakir DBH 1141 di bawah garaj kenderaan pegawai di pinggir tasik. Terus ke masjid, tunaikan dulu dua rakaat tahayyatul masjid. Usai.
Saya memandang sekeliling. Ada sedikit perubahan.
Kipas-kipas hiasan sebelum ini diturnkan pangkat untuk berkhidmat ditiang-tiang seri besar masjid itu.
Masuk ke kamar kegemaran saya. Bilik noja a.k.a bilik bilal. Juga ada perubahan. Satu set pemain DVD kini terpasang rapi di rak pembesar suara. Sudah canggih. Tambahan pula, dua set lengkap Mikrofon tanpa wayar masih di dalam kotak.
Alhamdulillah. Makin lengkap. Teringat tiga tahun dahulu. Kenangan memanjat menara secara haram untuk membaik pulih horn speaker yang selalu terbakar diaphgramnya.
Dengan sebiji beg kosong sederhana besar, saya menapak ke asrama. Gelap gelita. Mungkin sama gelapnya 'masa depan' saya.
Suis diptik untuk menerangi sebahagiannya. Terus menapak ke kamar mantan, SMUTEM DQ. Hampir kosong, membawa erti bahawa hayat kami untuk berada di DQ makin tipis dan sampai ke penghujungnya. Sisa-sia yang tinggal hasil peluh keringat sahabat-sahabat yang bertungkus-lumus berkhidmat tanpa meminta balasan.
Kotak-kotak kemas berbalut.
Buku dan kitab siap terikat rapi.
Aduh, tidak enak benar suasana begini.
Saya merayap lagi. Manapak mengutip semula memori. Memulakan semula langkah pertama di DQ.
A88 menyambut mesra sejak hari pertama, Haluan Siswa dan Mafatihul Mahabbah.
Seterusnya ke B14 yang serba tidak kena.
Akhirnya ke B36 yang menjadi sarang inspirasi GEGAR. B36, pelbagai nama diberi. Bilik tayangan, bilik lepak, bilik usrah, bilik jamuan, bengkel basikal, kedai gunting bahkan Cyber cafe.
Ya, itulah hayat pertama nafas tarbiyyah ditiupkan.
Di situ saya merajuk dan memujuk. Di situ saya meminta dan memberi. Dikasih dan mengasih. Erti ukhuwah dibenih untuk menunggu buah. Lama saya termenung mengutip kenangan di situ.
Melangkah lagi ke B72. Kini saya bukan lagi amilin, bahkan qiyadi dalam proses tempaan. Di situ saya mengenal malam dan siang yang amat singkat. Dilantik menjawat Setiausaha HEWA, Timbalan pengerusi AQRAB dan akhirnya sebagai Yang Dipertua PERKEMAT DQ.
Kamar terakhir A53, bilik warisan MT PERKEMAT DQ. Di sinilah bakal saya hembuskan nafas terakhir kenangan di DQ.
Tiga tahun yang benar-benar mengajar erti kehidupan. Jatuh bangun dalam perjuangan. Pahit maung dalam persahabatan. Nikmat tarbiyyah islamiyyah dan usrah yang mendalam.
Akhirnya, untuk kalian yang banyak mengukir jasad ini untuk memberi erti dalam kehidupan insan dalam mencari jalan bertemu tuhan, saya hadiahkan bingkisan kenangan ini.
Untuk adik beradik Usrah GEGAR : Abg Idris Yussuff, Abg Izwan Najib, Syahrul Ramadhan, Hashrul, Yusran, Syaukani, Hayyi dan Azan. Kalianlah adik-beradik sejatiku. Pengorbanan dan jasa kalian tak akan terbalas sehingga akhir hayat. Kalianlah juga inspirasi hidupku.
Adik beradik Pimpinan PERKEMAT DQ 07/08 :
Firdaus, Syaukani, Asyraf, Azan, Muhammad, Tarmizi, Ridzuan, Fakhrurrazi, Rahim, Amir , Qutaibah dan Saff pimpinan Muslimat. Kenangan bersama kalian akan tetap menjadi pemangkin dalam mendepani mehnah dalam kehidupan. Pohon maaf atas segala salah dan silap.
Seterusnya kepada sahabat-sahabat yang banyak membantu :
Redzwan, Nasirin, Mursyid, Zulkifli, Mahmud, Khairi, Syafiq dan abang-abang senior. Jasa kalian amatlah dihargai.
Khusus untuk adik-adik Ghuraba' : Fakhri, Fauzan, Amirul, As'ad, Abu, Khairi dan Marwan, sesungguhnya kalian banyak membantu daku memaknakan kehidupan. Teruskan perjuangan di bumi DQ. Selamatkan sahabat kalian yang karam dengan khayalan. Berkorbanlah apa sahaja demi islam.
Untuk para murabbi yang disanjungi : Ya Allah, kurniakanlah kepada mereka ini kehidupan yang tenag, dunia dan akhirat.
Kepada seluruh sahabat, teman dan kawan yang pernah menghulurkan bantuan, jasa kalian adalah yang terbaik pernah saya terima. Allah jua sebaik pemberi ganjaran.
Maka dengan lafaz (tulisan ) ini, hembusan nafas kenangan di DQ tiba ke akhirnya. Saya menghela nafas panjang. Menelan dalam air liur. Sebatikan kenangan ini untuk pengalaman generasi mendatang.
Moga langkahku selepas ini adalah langkah yang lebih jelas di jalan yang lebih lurus....Moga sedikitlah persoalan untukku di hadapan TUHAN..Moga kita ketemu di taman syurga, wahai temanku sekalian...
Puisi : Aku, kau dan Kita
Aku kau dan kita,
Satu ikatan agung,
Terjalinnya dengan tulus hati,
Tiada kepentingan mencelahi,
Diikat dengan akidah Ilahi,
Memorinya, tentangnya..
Lena dan jagaku dilawati,
Saat itu,
Aku, kau dan kita,
Dibawah lembayung sayap tetamu Ibrahim..
Kita mencalar kitab kuning,
Menghadap naskhah ulung,
Menutur kalimah agung.
Detik yang maha indah..
Saat aku, kau dan kita masih bersama,
Hilai ketawa, tangis, suka dan hiba..
Segalanya bersama..
Namun ku takuti satu hakikat,
Yang pastinya kan bertandang jua menziarahi kita..
Aku, kau dan kita pasti terpisah jua,
Walau sehebat mana akrabnya,
Walau sekukuh mana eratnya,
Waktu, matlamat dan cita-cita,
Pastinya memisahkan kita,
Melontar jauh kehujung dunia....
Tapi,
Ingatlah duhai sahabatku,
Kita masih teman yang setia, rakan yang tulus,
Bak Muhammad dan Abu Bakar..
Itulah harapku..
Kita punyai talian kukuh,
Melangkaui hubungan darah..
Terpatrinya kita dengan akidah,
Kita syabab jundullah,
Walau terpisah, aku kau dan kita tetap di hati,
Jangan di hapuskan pertalian ini,
Indahnya mengasyikkan,
Tawa riangnya penawar, lukanya semangat..
Itulah,
Memori Aku, Kau dan Kita.
Nukilan khusus untuk sahabat sepejuangan.
-Massa- Ibnuabi- Ketayap Merah-Hasanhusaini
14 MAC 2006 14 SAFAR 1427
Komen Anda Adalah Buah Tangan Terbaik [hasanhusaini]
Slm.
BalasPadamAna dok DQ dlm 9 bulan pun terasa sangat dalam kesan memorinya, susah senang, ukhuwah, tarbiyyah, segalanya di situ masih terngiang-ngiang di fikiran ini. bagaikan baru semalam...
Ana tak dapat bayangkan kalau dah 3 tahun berada di sana. mungkin tak terucap dgn kata-kata...
apa2 pun ana sgt rindu kt bumi barokah itu...
:)