Ahad, 2 Ogos 2009

Catatan 1 Ogos 2009

Saya cuba untuk menulis post ini dengan gaya dan cara terbaik supaya semua pihak terselamat dari fitnah yang mungkin timbul dari isinya.

Dua kali saya mencuba. Namun tak mampu untuk menjadikan menghasilkan post yang benar-benar selamat.

Justeru, kali ini, saya hanya menulis dengan kata hati.

Saya minta maaf andai ada yang terasa.

Secara umum yang sememangnya diketahui ramai, bahawa rakyat Malaysia kelas kedua dan ketiga yang turun di beberapa tempat di sekitar ibu kota bukanlah dengan tujuan untuk menderhaka, bahkan untuk menegur.

Kelayakan untuk menduduki kelas kedua dan ketiga hanyalah kerana mereka tidak menjulang bendera biru tua berlambang dacing.

Sudah puas mereka menegur. Entah sudah berapa jenis hikmah yang diguna. Parlimen, Memorandum, Tandatangan, kenyataan akhbar dan sebagainya. Namun, segalanya tidak diendahkan oleh sang pencinta ISA.

Seoalah-olah bantahan itu adalah amukan dari anak kecil yang 'sedih' tidak dibenarkan menaiki basikal di taman bersama kawan-kawannya yang lain. Ya. Semacam rungutan budak kecil cuma.

Lalu, setelah letih dalam suluhan dekad memperjuangkan keadilan dengan cara baik, lembut, dan selamat, hari ini mereka mencari hikmah yang baru.

Tunjuk perasaan secara AMAN di jalan raya.

Mereka merancang untuk aman, kami merancang untuk aman, dan kita merancang untuk aman. Betulkan?

Namun, ada pihak yang menganggap kami adalah budak kecil, menghantar tenteranya untuk mengAMANkan kami.

Sekoyong-koyong, datanglah jentera merah dengan kelengkapan meriam (water cannon), raifal (pemedih mata) untuk 'menjaga' kami. Tentera topi merah yang akan hilang kemanusiaanya apabila loceng yang tergantung di kepala kereta perisai mereka berbunyi.

Lalu, mereka akan membantai pakcik tua, menerjang anak muda, menumbuk ibu-ibu tak berdaya dan memijak sebahagiannya. Diperlakukan 'budak-budak merajuk' ini seperti haiwan.

Gas pemedih mata dibedil untuk memeriahkan keadaan. Water cannon untuk menenangkan yang mengamuk. Bak pesta air di Spain.

Terasa ingin dicadangkan kepada mereka yang bertanggungjawab, supaya menyediakan juga tentera tahan lasak untuk mendepani tentera zalim itu. Kita ada pemuda tahan lasak yang mampu menyambut bom asap. Membelah air asid. Cuma, kita kekurangan kelengkapan kerana kita turun bukan untuk berperang.

Himpunan ini telah berhadapan dengan strategi yang lengkap dari pihak kerajaan. Pengalaman pihak keselamatan setelah dua kali tunjuk peasaan besaran diadakan telah memahirkan mereka merancang serangan balas.

Pintu-pintu utama ke Istana Negara ditutup seawal jam 6 pagi. Tentera dikerahkan sebanyak mungkin.
"Wahai tentera biru tua berjentera merah, kami bukan datang untuk menyusahkan kalian. Bahkan, tanpa disedari, kalianlah yang diperkudakan untuk menyusahkan kami. Sedarlah sahabatku."
Dalam kebencian membuak saya kepada tentera berjentera merah, ada sekelumit kasihan belas lantaran mereka telah terperangkap dan dipergunakan.

Perhatikan kata-kata ini :
"Minta maaf pak cik, kami bukan nak menyusahkan pak cik...kami hanya menerima arahan, maafkan saya pakcik.."
Seorang anak muda yang bergenang air matanya berkali-kali melaungkan maaf apabila terpaksa menyeret seorang pak cik untuk dihumban ke dalam trak.

Semacam pernah didengari di perkarangan rumah Allahyarham Al-Syahid Ibrahim Libya 23 tahun yang lalu.

Ya, masih ada cahaya kesedaran dalam segelintir mereka.

Namun, saya tetap tak mampu melupakan potret seorang anggota unit Amal yang dibelasah sekumpulan anggota keselamatan.

Seorang ibu tua yang lemah terjelepuk di jalan raya selepas peluru gas pemedih mata singgah di tepinya.

Seorang pakcik yang berjalan dengan tongkat, hanya membelakangkan badan bongkoknya sebagai perisai meriam air yang pedih.

Seorang pakcik berserban yang berdarah pelipis dan bingkai matanya.

Dan, rakaman potret tentera zalim yang bersenda gurau dengan berapa jumlah bilangan peluru yang telah dimuntahkan kepada orang awam yang tidak bersalah.

Namun, segalanya tinggal kenangan apabila kad memori SD 4GB dirampas bersama kamera Canon 1000D dan HP Nokia N95 8GB.

Hanya tulisan ini yang menjadi lukisan pengganti potret yang saya rakamkan dicelah-celah lautan polis dan orang awam. Kelibat pemuda bertopi kelabu, berbaju hitam, seluar peech dan berkaca mata sudah tentu menjadi perhatian SB, lantarn itu saya menjadi sasaran.

Apapun, pengalaman ini pastinya menjadi pelengkap kepada sunnah orang berjuang.

Ya, Allah, aku rindukan syahid di jalan-mu...

Komen Anda Adalah Buah Tangan Terbaik [hasanhusaini]

1 ulasan:

  1. fassabrul jamil
    ana nak g gak...TG Nik Aziz cakap walau apa jua cara lawanlah.selagi ia bertentangan dengan syariat,lawanlah.

    BalasPadam

Komen Anda Adalah Buah Tangan Terbaik [hasanhusaini]