Memaparkan catatan dengan label TINTA SENI. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label TINTA SENI. Papar semua catatan

Jumaat, 12 Disember 2008

Kami Kenali Mu Tidak Seperti Kau dikenali

Salam sejahtera dari kami untuk mu Abang kesayangan,
Lurus perjuanganmu akan kami susuri,
Pahit langkah mu akan kami lalui,
Berbekalkan pengalaman yang kau cucuri..
Abangku,
Kami kenal erti lelah mu,
Melayan manusia yang bertuhan nafsu,
Sedang diri mu hanya seperti ku..
Punyai rasa, hati dan kalbu..
Bahumu tak akan kukuh tanpa sokongan,
Kami bersedia menyokongmu..
Perjuangan mu jauh, pasti tidak akan punyai titik noktah,
Tidak ada istilah untuk istirahah..
Abangku,
Manusia tersenyum mengenangkan lega mu,
Namun kami tidak begitu,
Ku tahu kalbu mu,
Kalbu suci yang mengajar kami…
Ikhlas senyum mu hanya dibuat-buat..
Sedangkan jiwa mu bergolak..
Kami tahu pedih hati mu,
Hati kecil tabah yang penuh dengan kasih sayang pada mad’u..
Hati itu menangis bila sunyi menerkam,
Bunuhlah sunyi mu dengan cinta kami,
Abang ku,
Langkah mu retorik kini,
Segalanya berbeza dari segalanya,
Seram kami kini lebih seram,
Bukan gerunkan serius mu,
Bukan takutkan tegas mu,
Namun kerana takutkan sedih mu,
Sedih yang mampu membunuh kasihmu,
Sedih yang kau sorokkan disebalik senyuman buatan mu..
Gusar yang kau timbuskan di sebalik tawa mu,
Bimbang yang kau pendamkan di dasar belaian kasih mu,
Abang ku,
Kami tahu deritamu,
Kami tahu sedihmu,
Kami tahu bimbang mu,
Kami tahu takut mu,
Kami tahu rindu mu,
Kami tahu sunyi dan sepi mu,

Lantas kami relakan bahu kami untuk kau bergantung,
Kami relakan peha kami untuk kau bermanja,
Kami relakan harta kami untau kau merasa,
Berdiri kami sebagai Abu Bakar mu,
Tegak kami bak Umar mu,
Langkah kami sebagai Uthman mu,
Teguh kami untuk menjadi Ali mu..
Tegakkanlah tekadmu dalam perjuangan,
Kami disini tetap mendoakan,
Kebahagian dan ketenangan serta kemenangan,
Untuk abang tersayang..

Dari adik-adik Usrahmu..

31 Nov 2008

Selasa, 4 November 2008

Kenangan Bersama Ayah..



"Abang bernazar, kalau kita dapat anak lelaki, abang nak hantarkan dia belajar tahfiz..biar dia hafal quran", kata ayah sewaktu makan malam bersama ibu yang sedang sarat mengandung. 

"Erm bagus tu bang, ayah pun bercadang begitu jugak..” balas ibu yang nasinya masih banyak berbaki. 

Jumaat, 19 September 2008

Anak Burung Sulung

Setahun lepas,

Seekor anak burung menciak nyaring,
Entah apa bala yang menimpa,
Aku cuba menyelidiki,
budak nakal kelihatan tawaf di situ,
Sambil di tanganya menggenggam lastik dari tanduk,
Persis remaja intifada,
Di dahinya terlilit satu lagi lastik kayu,
Anak burung itu masih nyaring,
Mengepak-ngepakkan sayap yang masih botak,
paruhnya menganga luas,
suaranya kian parau,
ternyata jeritan dan lagaknya
tidak menggerunkan budak nakal itu,
seekor demi seekor adik beradiknya dilastik mati,
seperti ibu dan bapanya di sore lepas,
aku tampil menyelamatkan burung sulung itu,
di dalam genggamanku dia mebisu,
budak nakal mendengus dendam,
tangisannya tehenti seketika,
di dalam ISA buluh itu,
nyawanya aku selamatkan dari ancaman budak nakal
makan minumnya siap terhidang saban waktu,
belum pernah ia kebuluran,

setahun tangisannya terhenti,
tapi kini, teriakannya kembali,
dari pagi hingga ke pagi,
makanan dan minuman tak pernah betangguh,
mengapa dia menangis lagi..?
kawan-kawannya juga sentiasa menjenguk,
kekadang menumpang makanan lazat itu,
rakannya sentiasa memuji,
beruntung makan bersuap minum terhidang,
mendengar pujian itu,
kicauan riangnya makin menyaring,
aku menafsirkan, ia gembira,
sentiasa diziarahi, sentiasa dipuji…

tafsiran aku jauh lari, telahan aku menyimpang pergi..
burung yang aku lihat riang itu bersedih,
ibubapanya, adik beradiknya,
ditembak batu budak nakal,
rakan-rakannya hanya mengambil kesempatan,
sahabat baiknya datang berteman,
sedang dia kesunyian,
sepi dalam sangkar kehidupan yang aku anugerahkan...

aku lantas melepaskan ia pergi,
harapan menggunung, agar ia bahagia..

terbang tanpa sempat menoleh selamat tinggal,
deras di awanan mengejar kehidupan,
kibasan sayapnya sedikit senget,
hayunan kepaknya tidak gah seperti yang lain,
hinggap di dahan,
dia berkicau nyaring memanggil teman,
tak seorang menyahut,
sayapnya cuba dijongketkan untuk menarik perhatian,
tak siapa berpaling,
tabung perutnya kian kosong,
dia cuba berburu,
hampa tanpa pulangan,
lalu dia cuba menyingkap kenangan,
kembali ke kampung halaman,
mahligai tempat bereduhnya semasa kecil masih utuh,
namun kini dihuni orang…

dia mendongak kepala ke langit biru,
kicauan yang paling nyaring dilaungkan..
hatiku berkata, gembiranya dia..
sedang dia sedang bericara dengan tuhan,
mengapa malang senantiasa menimpa…

lalu dia cuba kembali ke rumahku,
hinggap di jendela kamar, berkicau lagi,
ingin merujuk, kembali kembali ke sangkar buluh..

itulah kisah seekor anak burung sulung..

nukilan :
burung abang tua,
kuala kubu bharu

Maaf, mungkin post ini tidak sesuai untuk semua orang.

Khamis, 28 Ogos 2008

'Dengar'lah tulisan ini

Hari ini, pengundi di Permatang Pauh telah bersuara dengan lantang, menyalahi saranan, pujuk rayu dan ajakan dari kerajaan. Suara mereka lantang mewakili suara seluruh rakyat Malaysia. Menuntut perubahan pada landskap politik juga pentadbiran Negara.

Majoriti yang lebih tinggi meski dengan pertandingan tiga penjuru dan laporan media yang berat sebelah serta tohmahan dan fitnah menjadi bukti kukuh. Pun begitu, masih ada yang beranggapan bahawa, kemenangan DSAI adalah atas sentimen simpati. Biarkan sahaja. Setiap rakyat Malaysia ada hak untuk memberi pandangan.

Yang pasti, itulah suara rakyat.

Namun malangnya, kerajaan kita masih memekakkan telinga masing-masing dari mendengar suara nasihat dari rakyat mereka. Lidah kerajaan masih berat sebelah dalam menyebarkan maklumat kepada rakyat jelata. Sedangkan, sudah ramai yang maklum akan keadaan sebenar. Media cetak dan media elektronik masih lagi menjadi lidah kerajaan tanpa menyedari bahawa mereka telah hilang kepercayaan di hati rakyat.

Kerajaan masih ego untuk menerima hakikat bahawa keputusan PRU Mac 2008 adalah isyarat terbaik untuk kerajaan berubah kea rah pentadbiran yang lebih telus dan berjiwa rakyat.

Rakyat pada hari ini lebih suka untuk menelaah akhbar oposisi yang lebih telus dalam menyebarkan berita. Begitu juga dengan kebanjiran blog dan laman maya dalam menyebarkan maklumat. Tidak kurang juga sistem pesanan ringkas yang cekap dalam menyebarkan maklumat dengan pantas dan tepat.

Malah ada dikalangan pengulas berita di radio milik kerajaan juga terlebih dahulu menyemak blog-blog sebelum menelaah akhbar rasmi kerajaan.

Pasca PRU lepas menyaksikan beberapa akhbar terpaksa mengubah gaya penampilan untuk menarik kembali kepercayaan pembaca, malah ada juga yang telah berubah rupa kepada akhbar tabloid hiburan dan gosip, bukan lagi maklumat.

Itu soal akhbar dan media. Ini pula soal pemerintah.

Baru-baru ini, PM bersuara dalam sidang media memberi respon kepada blogger kickdefella yang menganjurkan supaya jalur gemilang dikibar terbalik. Reaksi PM mudah diramal. Cadangan kempen ini ditafsir sebagai perbuatan kurang ajar. Dan seperti biasa ugutan supaya polis ambil tindakan terhadap blogger berkenaan, malah blogger lain juga terkena tempiasnya yang kononya menghasut.

Tidak terlintaskah dalam hati Dato Seri Abdullah untuk bertanya dan mengambil tahu kenapa cadangan ganjil ini dibuat? Hanya kemarahan dan ugutan untuk bertindak terhadap mereka ini menjadi jawapan. Dangkal sungguh pemikiran begitu.

Sesungguhnya itu suara rakyat wahai pemimpinku. Suara yang belum pernah timbul 50 tahun kebelakangan ini. Mengapa pada hari ini, suara sebegitu berbunyi...? Pasti ada sesuatu yang tidak kena. Rakyat merasa tertipu dengan negara yang merdeka, padahal mereka tidak merdeka.

Umum mengetahui, walau Negara kita telah mencapai usia 51 tahun merdeka, kita sebagai rakyat belum benar-benar merdeka. Undang-undang dan akta rimba masih menjajahi kita. Bukan dari orang luar, bahkan gubahan pemimpin kita sendiri.

Kebebasan beragama hanya menjadi janji manis bila islam sendiri dikongkong dan dibelenggu dengan kekangang keluli bernama ‘hadhari’ oleh pemimpin yang tamak haloba.

Ribuan terluka kerana dijajah oleh ISA. Tuduhan adalah bukti kukuh bagi ISA. Mereka ibarat berdosa sebelum bersalah.

Ribuan mahasiswa tersekat idealisma kreatif dan inovatif mereka dengan AUKU. Malah, idealisma mereka dibunuh dengan akta tersebut.

Ribuan menangis kerana hak mereka dirampas di Terengganu. Namun, ada yang masih ingin bermewah denga kereta eksotik buatan Jerman.

Ini hanya sedikit sebagai contoh.

Fitnah menjadi mainan dalam pentadbiran Malaysia. Lebih-lebih lagi dalam politik. Saya lebih senang melihat pertempuran di A.S dalam kempen bakal presiden mereka. Mereka lebih matang dalam berpolitik. Agenda pembangunan Negara, sosio masyarakat dan ekonomi menjadi taruhan calon setiap parti. Dan akhirnya sesi muhasabah mengaku kesalahan lampau. Bukan fitnah memfitnah!! Jelas tampak kepada kita, jurang perbezaan nilai dan norma masyarakat. Tapi kita masih berbangga dengan nilai dan budi ketimuran, sedangkan kita tanpa sedar, telah melontar jauh nilai itu.

Bak kata Tun DR Mahathir :

“Sesuatu sudah hilang daripada makna kemerdekaan. Mulut sudah ditutup dan apa yang ada dalam hati tinggal tertambat, tidak boleh diluahkan. Kita takut berkata apa-apa kerana polis akan digesa bertindak. Kadang-kadang saya berasa yang kita berada dalam sebuah Police State.”

Dan ingatlah wahai pemimpin sekalian, sekinya hari ini suara rakyat tidak didengari, pasti suatu masa, kamu akan mendengar teriakan dan pekikan rakyat..... menuntut kamu turun dari takhta kesombongan mu...

Khamis, 19 Jun 2008

Catatan Kuarantin- Hospital Pakar Perdana

Epilog Sebuah Ukhuwwah..

Dalam dunia ini kita tidak punya sesiapa,
Hanya diri sendiri…
Tetapi…
Dalam kita bersendirian, kita masih bertuah,
Mempunyai sahabat yang memahami...

Sebagaimana kita mengharapakan keikhlasan dan kejujuran Seorang sahabat,
Begitulah juga dia.
Tetapi kita sering terlupa.

Kita berkira tentang harapan dan perasaan kita…
Kita rasa dikhianati bila dia tidak menepati janjinya.
Kita tidak memberi dia peluang,
Untuk menerangkan keadaannya.
Bagi kita,
itu hanya alasannya untuk menutup kesilapan..
Kita juga pernah membiarkan dia ternanti-nanti
Kerana kita juga ada janji yg tidak ditepati.
Kita beri beribu alasan memaksa dia terima alasan kita.
Waktu itu, terfikirkah kita perasaannya…..?
Seperti kita,
Dia juga tahu rasa kecewa…..
Tetapi kita sering terlupa.

Untungnya mempunyai seorang sahabat yang sentiasa memahami
Yang selalu berada di sisi tika kita membutuhkan teman,
Dia mendengar luahan perasaan kita,
Segala rasa kecewa dan ketakutan...
Harapan dan impian...
Tika kita buntu, Dia memberi jalan..

Selalunya kita hanya bercerita,
Sehingga kita terlupa,
Sahabat kita juga ada berita yg ingin dikongsi bersama..
Pernahkah dia diberi peluang,
Mengkhabarkan bimbang dan takutnya?
Pernahkah kita menenangkan dia sebagaimana dia pernah menyabarkan kita...
Ikhlaskah kita mendengar tentang kejayaan dan berita gembiranya?
Mampukah kita menjadi sumber kekuatannya...
Sepertimana dia meniup semangat setiap kali kita rasa kecewa dan menyerah kalah?
Dapatkah kita yakinkan dia yang kita boleh dipercayai,
Kita boleh dijadikan tempat untuk bersandar tika lemah,
agar dia tidak lagi rebah….?
Bolehkah kita menjadi bahu untuk dia bersandar harapan?

Sesekali jadilah sahabat yg mendengar dari yg hanya bercerita…..
Curilah masa untuk memahami hati dan perasaannya,
Kerana dia juga manusia,
Dia juga ada rasa takut, bimbang, sedih dan kecewa..
Dia juga punyai kelemahan dan membutuhkan seorang sahabat…



Dimana kita saat dia bersedih,
Sombongnya kita untuk sama bergembira tika dia ingin berkongsi keriangan,
Sehingga kita sering melarikan bahu kita tika dia ingin bersandar,
Melarikan peha kita saat dia ingin bermanja..

Jadilah kita sahabatnya itu….
Kita selalu melihat dia ketawa,
Tetapi mungkin dia tidak setabah yg kita sangka...
Di sebalik senyumannya tersorok cerita duka....
Di sebalik kesenangannya, tersimpan seribu kekalutan…
Kita tidak tahu…

Siapakah yang akan menjadi Abu Bakar,
Sentiasa membenarkan kata-katanya ?
Siapakah yang akan menjadi Umar untuknya,
Sebagai benteng kukuh mempertahankannya ?
Siapakah yang akan menjadi Uthman,
Mencurahkan harta kepadanya ?
Siapakah yang akan menjadi Ali,
Menjadi penggantinya untuk dibunuh ?

Ingatkan ?
Bukan kita tak pernah menangis untuknya..

Wahai sahabat yang amat ku sayangi dan ku cintai kerana Allah, Cintailah sahabatmu ketika dirimu masih mempunyainya..
Ikhlaskanlah kasihmu sebelum kehilangannya...

Sabtu, 9 Februari 2008

Rindu Itu tiba-tiba...




Sedang asyik membelek-belek laptop jenama Compaq keluaran tahun 2004 yang kehilangan nyawa, “NTLDR IS MISSING”, saya mendapat mesej dari akh seperjuangan, “petang ni akan bermula kelas tafaqquh, talaqqi dengan Us Wan, pakai kitab Waraqat, Imam Al-Haramain Al-Juwaini, Syarah oleh Imam Jalaluddin Al-Mahalli. Sebuah kitab yang dianggap terbaik untuk mereka yang baru memulakan pengajian Usul Fiqh.

Yang menarik perhatian saya adalah perkataan yang sudah agak lama tidak saya dengari, tafaqquh dan talaqqi. Hampir 3 tahun perkataan itu tidak singgah di telinga saya, sejak masuk ke alam kolej, yang pengajiannya berteraskan diploma melalui sistem pembelajaran secara muqarrar, sukatan.

Teringat suasana semasa berada di ‘pondok’ Repek. Sistem pembelajaran talaqqi dan tafaqquh fulltime. Bayangkan kami belajar untuk sukatan pelajaran Sijil Peperiksaan Malaysia, SPM dengan cara tersebut. Setiap mukasurat diteliti habis-habisan. Kalau subjek Pendidikan Al-Quran dan As-Sunnah atau Pendidikan Syariah Islamiah tak kisah la. Tapi subjek sains dan sejarah serta perdagangan pun turut sama kena tempias Tafaqquh dan Talaqqi. Itu belum diceritakan pengajian dalam bab kitab-kitab kuning yang kekadang untuk menghabiskan satu muka surat mengambil masa sebulan seperti kitab Hikam , Ibn ‘Atha’illah.

Namun cara begitu mampu memberikan kejayaan kepada kami yang belajar untuk SPM hanya selama 10 bulan setelah meninggalakan matapelajaran akademik (Sains, Mate, Sejarah, B.Melayu dan B.Inggeris) sejak dari Tingkatan Satu.

Kebetulan semasa cuti hari tahun baru cina, saya sempat bersinggah melepaskan rindu di MTDQ Repek. Berjumpa dengan Ustaz-ustaz dan adik-adik, beramah mesra dan bertanyakan khabar, sedikit sebanyak menghilangkan kekusutan fikiran berada di luar. Melihat pelajar berjubah putih berarak dari asrama ke bangunan pengajian dengan membimbit kitab masing-masing. Hati teringat ketika dulu.
........................................
“kitab yang mana satu kita belajar hari ini? Hijau ke kuning?”
Itulah soalan yang selalu keluar dari mulut saya dan kawan-kawan bila bertanya tentang kitab yang bakal dipelajari pada hari tersebut. Jarang yang menggunakan nama kitab. Lucu betul.

‘Menadah’ di hadapan tok guru memerlukan adab dan sopan yang tinggi. Tak boleh nak lentang lentok, garu sana, garu sini. Nanti tak pasal-pasal pen atau rotan dan sebagainya melayang tinggi. Semua diam membisu, samada fokus kepada pengajian atau tengelam dihanyut mimpi.
Bersila adalah kedudukan wajib. Tak boleh nak duduk cara lain. Apatah lagi nak main-main atau nak menggeliat. Kalau ada yang nak keluar ke tandas, mesti semua mata tertumpu kepada orang tersebut. Mana tidak, kebiasaannya, sebelum masuk kelas pengajian, kami akan persiap diri sepenuhnya. Pastikan tidak ada gangguan lain. Masuk tandas kalau perlu.

Pernah sekali semasa Syeikh Muhammad Nuruddin Al-Marbu Al-Banjari Al-Makki bersinggah mengadakan sedikit sesi pengajian, ada seorang hamba Allah yang agak degil tidak men’silent’kan telefon bimbitnya setelah diberi taklimat oleh anak murid Syeikh, Ust Zaki Zam-Zam tentang adab-adab pengajian bersama Syeikh. Akibatnya sesi pengajian pada pagi itu dibatalkan. Semua hadirin tercengang.

Begitulah disiplin pengajian kitab turath yang berorientasikan talaqqi. Kesannya terbukti sehingga kini. Anak murid kelahiran sistem talaqqi adalah anak murid yang berkualiti. Ilmu di dada mereka tahan lama. Tidak seperti lulusan universiti yang 100% bersistemkan semester dengan pembelajaran secara sukatan atau muqarrar. Saya tidak menghukum semua graduan universiti sedemikian, masih ada dari mereka gundal-gundal yang hebat, namun yang sedemikian tadi terlalu ramai. Mungkin sistem pengajian kita perlu dikaji.
.....................................

Duduk dikerusi hadapan Us Wan, bulu roma tegak. Masakan kenangan bertalaqqi begitu manis, tersemat jauh di lubuk hati. Hari pertama pengajian hanya sempat disentuh tentang ta’rif dan faedah belajar usul Fiqh. Sebelumnya, diceritakan bagaimana indahnya dunia belajar di Syria. Suasana ilmu betul-betul hidup mekar. Syuyukh melata bersedia untuk mencurahkan ilmu kepada sesiapa yang mahu. Tidak memerlukan apa-apa ganjaran.
Masa sejam setengah bagaikan 10 minit. Segala lontaran kata-kata yang hinggap di teling adalah ilmu. Betullah, talaqqi itu adalah konduktor terbaik bagi ilmu pengetahuan.
Moga-moga usaha kami untuk mengembangkan pengajian talaqqi di bumi barakah ini berjaya dan mendapat ganjaran setimpal dari ALLAH S.W.T. Ameen.

Isnin, 10 Disember 2007

Khalil dalam lipatan kenangan Gegar.


Khalil dalam usrah Gegar bersama Abg Idris...

Entah kenapa, tiba-tiba jari ini riang melompat untuk menulis kisah seoang ahli Gegar yang kini telah meninggalkan kami. Mungkin ia menzahirkan kerinduan yang telah lama terpendam. Setahun tidak bertentang mata. Rakan seperjuangan, teman tika susah dan senang.

Menatap gambar kenangan usrah, hati ini sayu tiba-tiba. Rindu menerpa mendadak. Kini hampir setahun Khalil pergi. Kehilangan yang begitu memberi kesan. Kehilangan yang pasti tak berganti. Bersama adik-beradik gegar yang lain, bercerita bergembira, gelak ketawa. Namun jauh di hatiku, alangkah baik kalau Khalil masih bersama.


Banyak kenangan suka-duka bersama. Jatuh bangun sejak dari MTDQ Repek sehingga ke arena perjuangan di Darul Quran. Fuh, mungkin kenangan sebegini takkan menjengah kali kedua. Terfikir beban yang terpikul, terasa berat. Mungkin berat lagi hati ini melepaskan beliau pergi. Renungan terakhir yang syahdu meningalkan sejarah hitam kepada GEGAR. Kenangan memujuk beliau kembali masih terngiang di depan mata. tTekadnya, kami hormati.



Tiada lagi dendangan nasyid ‘on stage’ versi percuma. Ikhwan kehilangan ahli, Gegar hilang adik-beradik.

Malam 3 Ogos 2007, modul menyambut birthday Abg. Idris, Naqib Gegar. Ketika bersama-sama nak potong kek, tiba-tiba Abg Idris mencelah, "Mana Khalil...? tak ajak dia ke..? panggil Kahlil, kalau tak, jangan potong kek tu.." gurauan itu mencuit hati kami. Suasana suram tiba-tiba. Betul-betul terasa kehilangan 'adik-beradik'. Masing-masing menahan sebak.



Teman ku yang di kasihi,
Walau jauh di sana, semangatmu masih bersama kami,


Bersama dalam perjuangan ini..


Rabu, 14 November 2007

Puisi: Aku,Kau dan Kita

Aku kau dan kita,
Satu ikatan agung,
Terjalinnya dengan tulus hati,
Tiada kepentingan mencelahi,
Diikat dengan akidah Ilahi,
Memorinya, tentangnya..
Lena dan jagaku dilawati,
Saat itu,
Aku, kau dan kita,
Dibawah lembayung sayap tetamu Ibrahim..
Kita mencalar kitab kuning,
Menghadap naskhah ulung,
Menutur kalimah agung.
Detik yang maha indah..
Saati aku, kau dan kita masih bersama,
Hilai ketawa, tangis, suka dan hiba..
Segalanya bersama..
Namun ku takuti satu hakikat,
Yang pastinya kan bertandang jua menziarahi kita..
Aku, kau dan kita pasti terpisah jua,
Walau sehebat mana akrabnya,
Walau sekukuh mana eratnya,
Waktu, matlamat dan cita-cita,
Pastinya memisahkan kita,
Melontar jauh kehujung dunia,
Tapi,
Ingatlah duhai sahabatku,
Kita masih teman yang setia, rakan yang tulus,
Bak Muhammad dan Abu Bakar..
Itulah harapku..
Kita punyai talian kukuh,
Melangkaui hubungan darah..
Terpatrinya kita dengan akidah,
Kita syabab jundullah,
Walau terpisah, aku kau dan kita tetap di hati,
Jangan di hapuskan pertalian ini,
Indahnya mengasyikkan,
Tawa riangnya penawar, lukanya semangat..
Itulah,
Memori Aku, Kau dan Kita.

Nukilan khusus untuk sahabat sepejuangan.

-Massa- Ibnuabi- Ketayap Merah-
14 MAC 2006 14 SAFAR 1427

Khamis, 25 Oktober 2007

PUISI : Keramat Ukhuwwah

Keramatnya ukhuwwah,
melangkaui hubungan darah,
kasih sayang hanya kerana ALLAH,
tonggak kekuatan dalam jamaah,
digubah dengan acuan aqidah,
tak seorang dibiar gundah,
Namun,
andai ditakdir rebah,
seribu membahu gagah,
sahabat dan sahabiah,
berbanggalah.. kitalah jundi-jundi ALLAH.

-massa- 21 julai 2007

Rabu, 24 Oktober 2007

Puisi : Hakikat Seorang Pejuang

Syabab Jundullah,
langkahnya bervisi,
maranya berani,
undurnya strategi,
sendanya ukhuwwah,
bicaranya dakwah,
fokusnya tarbiyyah,
mindanya bebas belenggu logika,
dadanya melaut ilmu,
jiwanya terpatri kukuh aqidah,
jasadnya tepu dan ampuh dugaan,
beratapkan tarbiyyah,
berlapikkan ukhuwah,
berlandaskan syariah,
melangkah megah kemedan dakwah,
hidup matinya hanya kerana ALLAH,
andai ditakdir rebah..
syahidlah menjadi penyudah..

-MASSA- 1 okt 2007

Puisi : Jundi Insaf

Berdepan denganmu, bicaraku retorika,
bertopeng hipokrit,
berbalut selendang dusta,
berpayungkan helah,
beralas tipudaya..
Ku melangkah kepura-puraan,
ku taburkan segala kemewahan,
ku pamerkan kemegahan,
seolah ku mampu sendirian,
tanpa insan bernama TEMAN.

KINI..
Ku menzahirkan kebathilan,
membedah kedustaan,
menelanjangkan kepalsuan,
melontar jauh keegoan,
mengakhiri pasca kejahilan,
ku kutip puing-puing keikhlasan,
meng'itiraf kekerdilan insan,
tunduk pasa hakikat,
aku bukan insan hebat,
tak mampu sendirian,
menempuh perjuangan,
tanpa bantuanmu, TEMAN.
ku nyatakan kebenaran,
menutup kepalsuan,

ku menyayangimu TEMAN
ku mencintaimu TEMAN.

-MASSA-19 okt 2007