Sedang asyik membelek-belek laptop jenama Compaq keluaran tahun 2004 yang kehilangan nyawa, “NTLDR IS MISSING”, saya mendapat mesej dari akh seperjuangan, “petang ni akan bermula kelas tafaqquh, talaqqi dengan Us Wan, pakai kitab Waraqat, Imam Al-Haramain Al-Juwaini, Syarah oleh Imam Jalaluddin Al-Mahalli. Sebuah kitab yang dianggap terbaik untuk mereka yang baru memulakan pengajian Usul Fiqh.
Yang menarik perhatian saya adalah perkataan yang sudah agak lama tidak saya dengari, tafaqquh dan talaqqi. Hampir 3 tahun perkataan itu tidak singgah di telinga saya, sejak masuk ke alam kolej, yang pengajiannya berteraskan diploma melalui sistem pembelajaran secara muqarrar, sukatan.
Teringat suasana semasa berada di ‘pondok’ Repek. Sistem pembelajaran talaqqi dan tafaqquh fulltime. Bayangkan kami belajar untuk sukatan pelajaran Sijil Peperiksaan Malaysia, SPM dengan cara tersebut. Setiap mukasurat diteliti habis-habisan. Kalau subjek Pendidikan Al-Quran dan As-Sunnah atau Pendidikan Syariah Islamiah tak kisah la. Tapi subjek sains dan sejarah serta perdagangan pun turut sama kena tempias Tafaqquh dan Talaqqi. Itu belum diceritakan pengajian dalam bab kitab-kitab kuning yang kekadang untuk menghabiskan satu muka surat mengambil masa sebulan seperti kitab Hikam , Ibn ‘Atha’illah.
Namun cara begitu mampu memberikan kejayaan kepada kami yang belajar untuk SPM hanya selama 10 bulan setelah meninggalakan matapelajaran akademik (Sains, Mate, Sejarah, B.Melayu dan B.Inggeris) sejak dari Tingkatan Satu.
Kebetulan semasa cuti hari tahun baru cina, saya sempat bersinggah melepaskan rindu di MTDQ Repek. Berjumpa dengan Ustaz-ustaz dan adik-adik, beramah mesra dan bertanyakan khabar, sedikit sebanyak menghilangkan kekusutan fikiran berada di luar. Melihat pelajar berjubah putih berarak dari asrama ke bangunan pengajian dengan membimbit kitab masing-masing. Hati teringat ketika dulu.
........................................
“kitab yang mana satu kita belajar hari ini? Hijau ke kuning?”
Itulah soalan yang selalu keluar dari mulut saya dan kawan-kawan bila bertanya tentang kitab yang bakal dipelajari pada hari tersebut. Jarang yang menggunakan nama kitab. Lucu betul.
‘Menadah’ di hadapan tok guru memerlukan adab dan sopan yang tinggi. Tak boleh nak lentang lentok, garu sana, garu sini. Nanti tak pasal-pasal pen atau rotan dan sebagainya melayang tinggi. Semua diam membisu, samada fokus kepada pengajian atau tengelam dihanyut mimpi.
Bersila adalah kedudukan wajib. Tak boleh nak duduk cara lain. Apatah lagi nak main-main atau nak menggeliat. Kalau ada yang nak keluar ke tandas, mesti semua mata tertumpu kepada orang tersebut. Mana tidak, kebiasaannya, sebelum masuk kelas pengajian, kami akan persiap diri sepenuhnya. Pastikan tidak ada gangguan lain. Masuk tandas kalau perlu.
Pernah sekali semasa Syeikh Muhammad Nuruddin Al-Marbu Al-Banjari Al-Makki bersinggah mengadakan sedikit sesi pengajian, ada seorang hamba Allah yang agak degil tidak men’silent’kan telefon bimbitnya setelah diberi taklimat oleh anak murid Syeikh, Ust Zaki Zam-Zam tentang adab-adab pengajian bersama Syeikh. Akibatnya sesi pengajian pada pagi itu dibatalkan. Semua hadirin tercengang.
Begitulah disiplin pengajian kitab turath yang berorientasikan talaqqi. Kesannya terbukti sehingga kini. Anak murid kelahiran sistem talaqqi adalah anak murid yang berkualiti. Ilmu di dada mereka tahan lama. Tidak seperti lulusan universiti yang 100% bersistemkan semester dengan pembelajaran secara sukatan atau muqarrar. Saya tidak menghukum semua graduan universiti sedemikian, masih ada dari mereka gundal-gundal yang hebat, namun yang sedemikian tadi terlalu ramai. Mungkin sistem pengajian kita perlu dikaji.
.....................................
Duduk dikerusi hadapan Us Wan, bulu roma tegak. Masakan kenangan bertalaqqi begitu manis, tersemat jauh di lubuk hati. Hari pertama pengajian hanya sempat disentuh tentang ta’rif dan faedah belajar usul Fiqh. Sebelumnya, diceritakan bagaimana indahnya dunia belajar di Syria. Suasana ilmu betul-betul hidup mekar. Syuyukh melata bersedia untuk mencurahkan ilmu kepada sesiapa yang mahu. Tidak memerlukan apa-apa ganjaran.
Masa sejam setengah bagaikan 10 minit. Segala lontaran kata-kata yang hinggap di teling adalah ilmu. Betullah, talaqqi itu adalah konduktor terbaik bagi ilmu pengetahuan.
Moga-moga usaha kami untuk mengembangkan pengajian talaqqi di bumi barakah ini berjaya dan mendapat ganjaran setimpal dari ALLAH S.W.T. Ameen.
Moga-moga usaha kami untuk mengembangkan pengajian talaqqi di bumi barakah ini berjaya dan mendapat ganjaran setimpal dari ALLAH S.W.T. Ameen.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komen Anda Adalah Buah Tangan Terbaik [hasanhusaini]