Ustaz, istilah yang digunakan untuk memanggil seorang yang mempunyai ilmu pengetahuan. Panggilan yang semahal ini menjadi murah pada hari ini bila ianya digunakan untuk memanggil mereka yang masih belum layak digelar ustaz.
Al-maklum, bila disebut ustaz, seolahnya semua perkara hukum dalam dadanya. Walhal si ustaz ini baru sahaja tamat sijil menengah, belum lagi mengenal kitab hakiki. Apa yang dipelajarinya selama ini hanyalah ‘kitab’ yang diceduk oleh penyusun melalui silibus yang dirangka.
Maka, apabila digelar ustaz, maka mancunglah hidung kawan itu. Segala soalan yang diaju cuba dijawabnya walau belum pernah mendengar tentang perkara berikut, apatah lagi nak mendalaminya. Justeru jawapan itu sudah tentu jauh dari ketetapan hukum asal. Berpeganglah si penanya tadi.
Itu satu hal yang berlaku.
Satu perkara lagi. Ustaz yang sememangnya mahir dalam bidang hukum, namun tak pernah sekalipun menjerumuskan diri dalam bermasyarakat dan berpersatuan. Lalu bila pulang ke kampung halaman, diangkat menjadi ketua. Maka mengetuailah oleh ustaz itu akan satu organisasi dalam masyarakat. Oleh kerana tugasnya sebagai ketua, maka ustaz pun mengatur strategi untuk menggerakkan persatuannya itu. Pelbagai pembaharuan yang di bawanya. Teguran dan nasihat dari orang bawah yang agak berpengalaman tidak diendahnya, maklumla anak buahnya itu agak jahil dalam beragama.
Maka akhirnya pertubuhan itu semakin tidak disukai ramai. Perpecahan berlaku dan akhirnya, punahlah segala yang terbina sekian lama. Hanya kerana ustaz yang memimpin.
Bukan niat saya untuk merendahkan martabat ustaz, bahkan untuk mengembalikan ustaz ke tahapnya yang sebenar. Panggilan semahal ustaz tidak semudah itu untuk digelarkan pada yang bukan ahlinya. Perhatikan kes pertama, lantaran gelaran ustaz diberikan pada yang bukan ustaz, padah jawabnya.
Moral yang kedua. Meski kita seorang ustaz yang agak alim dalam hukum beragama, belum tentu kita mahir dalam bermasyarakat. Rasulullah pernah menyerahkan urusan ‘mengahwinkan’ debunga tamar kepada para sahabatnya yang ternyata lebih arif dalam hal itu. Justeru, pesanan saya kepada rakan-rakan ‘ustaz’ yang berada di luar sana, fahamilah mad’u kalian sebelum kalian menjalankan gerak kerja dakwah. Sememangnya sifat islam itu, waqi’iyyah. Kena dengan realiti setempat.
Mungkin tulisan ini telah memanaskan telinga dan hati para ustaz dan ustazah kalian. Namun itulah hakikat yang berlaku. Dan hakikat itulah yang terpaksa kami hadapi untuk terjun dalam masyarakat kelak.
Itu masih belum disentuh tentang 'ustaz' yang merogol merompak dan sebagainya. Memang kita boleh katakan, "itu bukan ustaz". Tapi nilaian mata masyakat, itu adalah ustaz. Maka bagaimanakah tugas kita untuk mengembalikan maruah ustaz.
Zaman ini secara priority tidak lagi memerlukan ustaz yang hanya mahir dalam bidang agama semata-mata, bahkan mahir dalam bidang sosial, politik, ekonomi, teknologi dan pelbagai ilmu profesional yang lain. Semuanya berpunca dari mad’u mereka yang bersifat sedemikian. Pada awal tahun lepas, saya terbaca artikel tulisan seorang penulis muda yang amat kritis dan membuka minda bertajuk “ayam dai’e, itik mad’u”. Satu ulasan yang amat menarik perhatian saya.
“berprinsip jangan jumud, terbuka jangan hanyut”
Fikir-fikrkanlah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komen Anda Adalah Buah Tangan Terbaik [hasanhusaini]