Isnin, 18 Februari 2008

“Ayah aku hebat”..."ayah aku lagi hebat"



“Ayah aku hebat”
“Ayah aku lagi hebat”
“Mana ada, ayah aku lagi hebat”

Begitulah gelagat dua anak kecil yang baru berusia 5 tahun. Bertelagah mengatakan ayah masing-masing adalah terhebat tanpa mempedulikan apakah sebab dan punca kehebatan ayah mereka berdua. Adakah ayah mereka benar-benar hebat atau sebaliknya.

Ayah budak pertama, Hisham, seorang hartawan di kampong. Rumahnya banglo mewah tiga tingkat. Sama besarnya dengan bangunan Jabatan Pendaftaran Negara di sebuah pekan. Garaj keretanya berkipas. Tandas rumahnya sama bilangannya dengan bilik tidur rumah rakannya tadi, Solah. Adik-beradiknya seramai 6 orang berpelajaran tinggi. Bergaji besar.

Kereta ayahnya 3 buah. Semuanya import. Platnya dibida dengan harga puluhan ribu ringgit. Harga lampu pintu pagar utama rumah Hisham sama harganya dengan pintu pagar rumah Solah. Hisham ke sekolah menaiki BENZ S320 Avantgrade. Solah hanya berbasikal usang.

Baju sekolah Hisham yang berjenama mahal itu bergosok setiap hari. Solah hanya memakai baju warisan dari abangnya yang terdahulu. Hisham berjalan berlagak di kalangan rakan-rakan kayanya.

Ayah Solah, seorang petani menanam padi. Ibunya menoreh getah. Rumah Soleh diubahsuai kepada rumah batu selepas ayahnya mendapat pampasan tanah yang dibayar oleh kerajaan untuk projek meluaskan jalanraya. Biaya anak-anaknya untuk belajar hanya melalui duit tani dan duit getah sahaja. Bantuan tak pernah datang bersinggah menziarahi keluarga Soleh. Hidup mereka hanya berdikari sendiri.

Duit sekolah Solah hanya sekadar RM 1.00 sehari, berbanding Hisham yang dibekalkan oleh ayahnya dengan not merah setiap hari.

Pun begitu, keluarga Solah bahagia. Abangya yang kini di menara gading sedang belajar dengan duit getah ibunya. Langsung tidak menggunakan duit PTPTN. Kakak dan abang Hisham yang belajar oversea mendapat tajaan syarikat besar atau kerajaan. Yang kaya tetap kaya, yang miskin terus merana.

Di kampung, Soleh adalah keluarga yang ber‘pendidikan’. Walaupun pada zahirnya keluarga Hisham lebih ber‘pelajaran’.

Saban petang, tika Hisham leka dengan PS3 barunya, Solah mengadap muqaddam. Malamnya, tika Hisham leka menonton movie dari saluran HBO, Solah hanya mampu mendengar radio.

Tika cuti, keluarga Hisham sibuk berbekal untuk berkelah di pusat peranginan. Solah berbekal untuk turun bersama ayahnya di pusat peranginan, sawah padi yang luas terbentang. Tika Hisham seronok menyelam di swimming pool, baju Solah basah terpalit lumpur, memikul anak semaian padi muda, menggalas baja dan sebagainya.

18 tahun berlalu.

Hisham kini berada di Syarikat besar di sebuah Bandar. Pejabat indahnya itu diwarisi dari ayahnya setalah ayahnya kembali ke Rahmatullah. Ibunya kini berada di sebuah pusat jagaan warga emas lantaran tiada siapa yang sanggup menjaganya.

Solah kini sebagai Pengusaha Daging halal. Kerja sembilannya sebagai penceramah dan pendakwah. Di samping itu dia mempunyai sebuah pusat asuhan kanak-kanak dan tadika serta sebuah kedai runcit. Kehidupannya sederhana di desa. Ibubapanya bergilir dijaga oleh adik-beradiknya.

Nilailah wahai teman ku sekalian. Siapakah yang hebat sebenarnya. Material tidak mampu mendidik manusia. Hanya iman yang kental dalam jiwa yang mampu mengtur kehidupan seorang hamba.

Solah mampu hidup berdikari mencapai kesenangan dalam hidupnya. Tanpa mengabaikan tuntutan agama.
Hisham hanya pandai menghabiskan harta keluarga. Menerima kesenangan melalui warisan sahaja. Tanpa mampu meningkatkan taraf hidupnya, masakan untuk membinanya sendiri.

Tiada ulasan:

Facebook Comments Box: Bloggerized by HASANHUSAINI.COM

Catat Ulasan

Komen Anda Adalah Buah Tangan Terbaik [hasanhusaini]