Khamis, 28 Ogos 2008

'Dengar'lah tulisan ini

Hari ini, pengundi di Permatang Pauh telah bersuara dengan lantang, menyalahi saranan, pujuk rayu dan ajakan dari kerajaan. Suara mereka lantang mewakili suara seluruh rakyat Malaysia. Menuntut perubahan pada landskap politik juga pentadbiran Negara.

Majoriti yang lebih tinggi meski dengan pertandingan tiga penjuru dan laporan media yang berat sebelah serta tohmahan dan fitnah menjadi bukti kukuh. Pun begitu, masih ada yang beranggapan bahawa, kemenangan DSAI adalah atas sentimen simpati. Biarkan sahaja. Setiap rakyat Malaysia ada hak untuk memberi pandangan.

Yang pasti, itulah suara rakyat.

Namun malangnya, kerajaan kita masih memekakkan telinga masing-masing dari mendengar suara nasihat dari rakyat mereka. Lidah kerajaan masih berat sebelah dalam menyebarkan maklumat kepada rakyat jelata. Sedangkan, sudah ramai yang maklum akan keadaan sebenar. Media cetak dan media elektronik masih lagi menjadi lidah kerajaan tanpa menyedari bahawa mereka telah hilang kepercayaan di hati rakyat.

Kerajaan masih ego untuk menerima hakikat bahawa keputusan PRU Mac 2008 adalah isyarat terbaik untuk kerajaan berubah kea rah pentadbiran yang lebih telus dan berjiwa rakyat.

Rakyat pada hari ini lebih suka untuk menelaah akhbar oposisi yang lebih telus dalam menyebarkan berita. Begitu juga dengan kebanjiran blog dan laman maya dalam menyebarkan maklumat. Tidak kurang juga sistem pesanan ringkas yang cekap dalam menyebarkan maklumat dengan pantas dan tepat.

Malah ada dikalangan pengulas berita di radio milik kerajaan juga terlebih dahulu menyemak blog-blog sebelum menelaah akhbar rasmi kerajaan.

Pasca PRU lepas menyaksikan beberapa akhbar terpaksa mengubah gaya penampilan untuk menarik kembali kepercayaan pembaca, malah ada juga yang telah berubah rupa kepada akhbar tabloid hiburan dan gosip, bukan lagi maklumat.

Itu soal akhbar dan media. Ini pula soal pemerintah.

Baru-baru ini, PM bersuara dalam sidang media memberi respon kepada blogger kickdefella yang menganjurkan supaya jalur gemilang dikibar terbalik. Reaksi PM mudah diramal. Cadangan kempen ini ditafsir sebagai perbuatan kurang ajar. Dan seperti biasa ugutan supaya polis ambil tindakan terhadap blogger berkenaan, malah blogger lain juga terkena tempiasnya yang kononya menghasut.

Tidak terlintaskah dalam hati Dato Seri Abdullah untuk bertanya dan mengambil tahu kenapa cadangan ganjil ini dibuat? Hanya kemarahan dan ugutan untuk bertindak terhadap mereka ini menjadi jawapan. Dangkal sungguh pemikiran begitu.

Sesungguhnya itu suara rakyat wahai pemimpinku. Suara yang belum pernah timbul 50 tahun kebelakangan ini. Mengapa pada hari ini, suara sebegitu berbunyi...? Pasti ada sesuatu yang tidak kena. Rakyat merasa tertipu dengan negara yang merdeka, padahal mereka tidak merdeka.

Umum mengetahui, walau Negara kita telah mencapai usia 51 tahun merdeka, kita sebagai rakyat belum benar-benar merdeka. Undang-undang dan akta rimba masih menjajahi kita. Bukan dari orang luar, bahkan gubahan pemimpin kita sendiri.

Kebebasan beragama hanya menjadi janji manis bila islam sendiri dikongkong dan dibelenggu dengan kekangang keluli bernama ‘hadhari’ oleh pemimpin yang tamak haloba.

Ribuan terluka kerana dijajah oleh ISA. Tuduhan adalah bukti kukuh bagi ISA. Mereka ibarat berdosa sebelum bersalah.

Ribuan mahasiswa tersekat idealisma kreatif dan inovatif mereka dengan AUKU. Malah, idealisma mereka dibunuh dengan akta tersebut.

Ribuan menangis kerana hak mereka dirampas di Terengganu. Namun, ada yang masih ingin bermewah denga kereta eksotik buatan Jerman.

Ini hanya sedikit sebagai contoh.

Fitnah menjadi mainan dalam pentadbiran Malaysia. Lebih-lebih lagi dalam politik. Saya lebih senang melihat pertempuran di A.S dalam kempen bakal presiden mereka. Mereka lebih matang dalam berpolitik. Agenda pembangunan Negara, sosio masyarakat dan ekonomi menjadi taruhan calon setiap parti. Dan akhirnya sesi muhasabah mengaku kesalahan lampau. Bukan fitnah memfitnah!! Jelas tampak kepada kita, jurang perbezaan nilai dan norma masyarakat. Tapi kita masih berbangga dengan nilai dan budi ketimuran, sedangkan kita tanpa sedar, telah melontar jauh nilai itu.

Bak kata Tun DR Mahathir :

“Sesuatu sudah hilang daripada makna kemerdekaan. Mulut sudah ditutup dan apa yang ada dalam hati tinggal tertambat, tidak boleh diluahkan. Kita takut berkata apa-apa kerana polis akan digesa bertindak. Kadang-kadang saya berasa yang kita berada dalam sebuah Police State.”

Dan ingatlah wahai pemimpin sekalian, sekinya hari ini suara rakyat tidak didengari, pasti suatu masa, kamu akan mendengar teriakan dan pekikan rakyat..... menuntut kamu turun dari takhta kesombongan mu...

Tiada ulasan:

Facebook Comments Box: Bloggerized by HASANHUSAINI.COM

Catat Ulasan

Komen Anda Adalah Buah Tangan Terbaik [hasanhusaini]