"Abang bernazar, kalau kita dapat anak lelaki, abang nak hantarkan dia belajar tahfiz..biar dia hafal quran", kata ayah sewaktu makan malam bersama ibu yang sedang sarat mengandung.
"Erm bagus tu bang, ayah pun bercadang begitu jugak..” balas ibu yang nasinya masih banyak berbaki.
"Tak comel la nama tu..." getus ibu sambil mulutnya dimuncungkan sedikit.
"Ni nak letak Ihsan Fadhli, lagi comel.'.
"Herm.. boleh jugak", balas ayah sambil menghabiskan sisa nasi di pinggannya.
Saya sebagai anak, cucu dan cicit sulung memang menjadi rebutan ramai. Diarak ke hulu dan ke hilir. Dari rumah tok ayah dan nenek, ke rumah Tok Che dan mak dan jarang sekali pulang ke rumah ayah dan ibu.
Masih di ingati bagaiman seronoknya membonceng bersama ayah. Saya yang berada di dalam bakul motor Honda C70 itu memerit-merit mata dek pukulan angin laju. Pernah sekali selipar saya terjatuh di kawasan ‘anjing garang’. Ayah ingin berhenti untuk mengambilnya tapi saya menghalang sekerasnya, lebih baik hilang selipar dari hilang ayah. Begitu kata saya, bimbang ayah ‘dibaham’ anjing.
Empat tahun hidup keseorangan sebagai anak tunggal dengan penuh kasih sayang. Saya dimanjakan seadanya.
Akhirnya, berita gembira datang. Saya bakal mendapat adik baru. Siang malam berdoa supaya dapat adik perempuan. Moga-moga dapat menolong untuk menggoreng lauk kegemaran saya, telur mata.
23 ogos menyaksikan adik perempuan lahir ke dunia. Saya melompat-lompat kegirangan di atas ribaan ayah. Tapi senyuman ayah tidak selebar biasa.
Sayang punya pasal, saya rela berjaga bersama ayah untuk mendodoikan adik, walau kekadang, saya yang terpaksa didodoikan. Jarang-jarang, bila ‘tuning’ betul, saya menolong ayah buatkan susu Dumex suam untuk adik.
Khamis, 6 September 1990, 3.30 petang. Ayah pulang bersama seekor kambing hitam jantan. Untuk Aqiqah katanya. Selepas asar, tok ayah dan ayah bersiap untuk mengorbankan kambing jantan tersebut. Segalanya berlaku pantas, sebelum maghrib, kambing sudah tersedia untuk di masak. Tulang-tulang kambing dibiarkan panjang tanpa dicincang halus seperti biasa.
Selepas maghrib, ayah mengepalai bacaan Yasin dan tahlil serta sedikit tazkirah ringkas kerana esoknya pula, ada kuliah pagi jumaat yang menjadi giliran untuk ayah.
Seusai solat isyak, dapur berasap kelam. Aksi masak-memasak bermula. Daging kambing gulai kawah dan ayam goreng berempah bersama dalca timun serta sambal jantan siap disediakan dua jam kemudian.
Selesai kerja di dapur, tok ayah, nenek, Tok Che, mak, moyang dan seluruh ahli keluarga termasuk anak-anak angkat tok ayah berborak panjang. Hilai tawa kadang kala berderai melambangkan keharmonian.
Masing-masing sudah kehabisan modal untuk meneruskan bicara. Ayah memulakan langkah masuk ke bilik peraduan. Katanya, nak berehat lebih sedikit kerana perjalanannya besok amat jauh.
Adik yang masih belum bernama itu merengek kadang-kadang. Ibu tersenyum meski keletihan. Ayah juga begitu. Sanak saudara yang lain sudah mula mengensot ke peraduan masing-masing. Menyimpan tenaga untuk majlis pagi esok. Jam kunci yang tidak menggunakan kuasa bateri itu menunjukkan pukul 1.30 pagi. Ayah dan ibu berehat di bilik peraduan. Saya yang dari tadi tertidur keletihan tidak menyedari apa yang berlaku. Kadang-kadang tangan menepis-bepis dan menggaru, kesan gigitan nyamuk barangkali.
Dalam pinggiran lena, ibu terdengar erangan menahan kesakitan. Nafas ayah singkat-singkat sahaja. Tangannya tiba-tiba terhentak kedinding. Ibu memanggil tok ayah, nenek..nama yang terlintas di fikirannya semuanya terkeluar. Suasana kelam seketika. Bilik kecil itu penuh selepas diterangi mentol tungsten kuning yang menyala itu.
Masing-masing cuba membantu. Rata-rata menganggap asma ayah yang menyerang. Ibu mencapai ‘ubat sedut’ yang sinonim dengan pesakit asma. Dihulurkan kepada ayah. Namun ayah memberi isyarat tak mahu. Semua terhenti dari mengurut dan memicit. Tok ayah cepat menyedari keadaan itu, lalu bisikan kalimah tauhid diucapkan di tepi telinga ayah. Suara ikutan itu jauh kedengaran di dalam dada ayah. Sejurus matanya memandang ke atas. Bilik kecil yang tadinya sedikit bingit kini hening tanpa bahasa. Mata ayah kini terkatup rapat.
Ayah kini diseru ke sisi Penciptanya. Meninggalkan ibu sendirian dengan gelaran janda pada umur 25 tahun.
Perasaan ibu lerai. Tangisannya mendahului diikuti mereka yang lain. Tok Che dan mak (tok ayah dan nenek sebelah ayah) terduduk. Tok ayah yang dari tadi berada dihujung kepala, tunduk mencium dahi menantu kesayangannya itu.
"Sekian lama aku sakit, Nuh juga yang pergi dulu". Begitu rungutnya tok ayah.
"Ambo pun tak sangka ustaz, anak ambo yang paling ambo sayang, pergi lebih dulu dari ambo".Tok Che cuba menenangkan besannya.
"Kesian ihsan, kesian adik dia", sambung Tok Che lagi. "Ambo nak tolong jaga pun tak mampu".
Jasad dingin ayah ditutup dengan kain batik panjang. Malam jumaat itu menyaksikan dua beradik kini telah menjadi yatim.
Pagi keesokannya, selepas subuh, dua biji bas tiba dari Pengkalan Tok Chepa. Murid ayah dari Sek Men A T.M dan Pondok Tok ayah Kedah datang meziarahi. Pak Nik Lah (Haji Nik Abdullah Haj Arsyad) juga turut melawat. Rumah saya penuh dengan orang ramai yang datang menziarahi. Ketokohan ayah terserlah dengan ramainya kenalan beliau. Kebun getah di tepi rumah didirikan sebuah khemah untuk orang ramai.
Saya terpinga-pinga kebingungan bila terjaga di tengah-tengah lautan manusia. Menangis memanggil ibu. Seorang kakak membawa saya kepada ibu. Saya bertambah bingung, kenapa ibu menangis.
Tok ayah cepat-cepat melarikan saya ke luar rumah. Tok Nik (Haji Nik Abdullah Haji Arsyad) mendukung saya.
"Ramainya orang nak dengar ayah mengajar", ungkap saya. Tok Nik yang tadi ceria kini menumpahkan air mata bila terdengar kata-kata saya itu. Mungkin sayu mengingatkan saya yang masih belum tahu, apakah itu kematian.
Ayah kebiasaanya menyampaikan kuliah jumaat, bergilir dengan mentuanya, tok ayah.
“Mana ayah? Kenapa tak mula mengajar lagi? Orang dah ramai ni…” , tambah saya lagi.
Pelukan Tok Nik makin erat. Kucupannya melekat didahi saya.
Saya mengelus turun dari dukungan Tok Nik. Berlari masuk ke rumah. "Nak pergi panggil ayah!" begitu jeritan saya bila di tanya mahu kemana..?
Mereka yang sedang memandikan jenazah ayah terkejut bila saya menerpa masuk. "Kenapa ada orang mandikan ayah..? kenapa ayah tak mandi sendiri…? Kenapa ayah tak bangun lagi ? ", pertanyaan saya betubi-tubi.
“ Tok Nik, nak mandi sekali dengan ayah” , pinta saya. Orang tua itu sudah tak mampu menahan jujuran air matanya. “Mari kesini nak” serunya dengan depaan tangannya. “Mari Tok Nik mandikan..”
“Ayah, lepas mandi, buat susu untuk adik ye!” jeritan saya kuat dari atas dukungan. Mata yang memandang semuanya hiba, ada yang menangis melihat saya yang masih jahil dengan apa itu kematian.
Jenazah ayah siap dikafankan. Seorang demi seorang bergilir mengucup dahi dingin ayah. Ku lihat ibu yang paling lama menatap wajah suaminya, beriringan dengan air matanya yang tumpah. Tok ayah juga begitu. Tok Che dan Mak hanya terjelepok lemah. Mengenagkan anak sulung kesayangannya yang dijemput tuhan. Saya didukung Tok Nik, di bawa dekat dengan ayah.
"Cium ayah", katanya. Saya dengan mudah menuruti saranan beliau. Dahi ayah ku kucup. Dingin.
"Ayah, bangun…bangun..orang dah ramai ni..nak dengan ayah mengajar…bangunlah”.
"Ayah kata haritu, tak baik tidur lama-lama…", begitu rungutan saya memujuk ayah bangun sambil menepuk-nepuk pipi dingin yang sedikit terbuka .
Esakan didengari dari tangisan orang sekeliling mengiringi. Entah sedih dengan kematian ayah atau sedih melihat kejahilan saya.
Jasad ayah dikebumikan di perkuburan Kg Demit. Kenduri Aqiqah bertukar menjadi kenduri kematian ayah.
Sebulan berlalu penuh kesepian. Makan jarang sekali. Seruan ayah, ayah menjadi zikir saya saban hari. Menambah luka di hati ibu dan tok ayah. Adik kini dinamakan Nur ‘Afifah, gantian kepada Khairul ‘Afifi yang tak tercapai.
Ya Allah, jadikanlah aku anak yang soleh..anak yang mampu berbakti kepada ibu dan ayahnya. Dunia dan akhirat.
terharu ana membaca artikel ni...
BalasPadamyang pergi tetap akan pergi kerana sejak azali lagi ajal dan maut telah tertulis.
BalasPadamkita hanya meminjam,dan sampai waktu barang yang dipinjam akan dipulangkan kpd pemilik sebenar,begitulah kehidupan,tabahkan hati dan redha dengan ketentuan Yang Maha Esa.
Perbanyakkan doa untuk arwah,panjatkan kesyukuran kpdNYA kerana kita berkesempatan untuk merasai kasih sayang seorang ayah wl hanya seketika,berbanding bayi2 yg lahir tanpa sempat merasai kasih sayang seorang ayah.
kepahitan kehilangan insan tersayang tetap akan dirasai wl bertahun lama kenangan itu berlalu,namun kehidupan yg sementara ini perlu diteruskan.smg arwah ditempatkan dlm kalangan hambaNYA yg soleh..semoga doa anak yg soleh dapat memberikan kabahagiaan dan ketenangan buat kedua ibu bapa di akhirat sana,insyaallah.
ya akhi...
BalasPadamkta sma2 mwarisi sejarah hdup yg sma...
nice start,dg bibir trsenyum.mngengkn knakaln kanda ku ini...nmun hti mula brgetar,saat hri kelahiranku mula di terokai..saat allah mngmbil 'che min' dn mngurniakn nor afifah..adakah ini akn mjd stu prtukaran yg brbaloi?? mampukh dri ini mngorak lgkah utk mjd hamba allah sebaik ayah??
abgku=AYAH BGKU=MY SWEETHRT=MY FREN=MY EVRYTIN...
truskn memimpin dri ini ya akhi...ipah xnk jd nor afifah yg hanya mampu goreng tlur utk abg kesayangany.. i missed u so much
Sayu hati membaca, terasa begitu dekat cerita ini dengan hati, semoga menjadi anak yang soleh dan solehah untuk diri ini dan kedua-dua beradik.
BalasPadam