Selasa, 28 Julai 2009

Huffaz : Perbetulkan Posisi Kita

“Assalamu'alaikum abang, ana ada hajat yang tak tertunai lagi…nak minta tolong sikit boleh? Itupun kalau free..?” Tanya seorang junior yang merupakan pengerusi IQRAC 2009, Hanif.

“Insyaallah..ada apa yang boleh ana bantu?”

“Ana dah lama bercadang untuk menemukan abang dengan pimpinan-pimpinan Iqrac…”

Usrah rupanya.

“Insyaallah, pukul berapa..?” Saya cuba untuk meluangkan masa bila usrah yang ingin dihidangkan kepada saya.

“5.30 petang, di bilik gerakan Iqrac”

Selesai beberapa urusan di pekan Kuala Kubu Baru yang masyhur di kalangan sahabat-sahabat Darul Quran dengan jolokan Pekan Koboi, saya bergegas kembali ke asrama untuk memenuhi jemputan tersebut.

“Alhamdulillah, hari ini kita bakal disajikan dengan sedikit pengisian berharga dari abang kita…” begitulah lebih kurangnya isi ucapan aluan dari pengerusi majlis.

Ya Allah, pengisian rupanya.

Tanggapan saya, hanyalah perjumpaan untuk bertaaruf lantaran itulah perjumpaan pertama kami. Meskipun mereka sudah memikul amanah kepimpinan IQrac selama lebih sebulan yang lalu.

Secepat kilat, saya merangka isi yang bakal saya kongsikan bersama adik-adik baru saya ini.

Seperti biasa, persoalan yang tidak akan lari dari menjadi tema saya apabila berkesempatan bersama penghafal Al-Quran ialah, Kenapa Nak Hafal Quran?

Namun, sentuhan permulaan diringankan sedikit untuk memikat hati-hati yang belum pernah berdamping dengan saya secara peribadi. Pelbagai pengalaman saya kongsikan bersama mereka.

Pengalaman saya yang pernah hidup ‘dua alam’ itu saya ulas sebaik mungkin supaya dekat di hati mereka. Lebih senang untuk di ambil manfaatnya.

Alam belajar dan perjuangan mahasiswa dalam proses dakwah dan tarbiah kampus. Begitu juga alam pekerjaan serta perjuangan realiti dalam dakwah dan tarbiah serta siasah dalam masyarakat.

Meski saya hanya bekerja selama kurang dua bulan, namun ianya amat meninggalkan kesan yang amat besar kepada perubahan yang sedang saya alami sekarang.

Bermula bagaimana saya cba untu memahami betapa sekularnya pendidikan yang sedang dihadapi oleh lebih 1 juta pelajar di Malaysia sehingga mendalami bagaimana rosaknya dua sistem yang mempengaruhi kehidupan para pemuda, institusi rumah tangga dan institusi pendidikan.

Rosaknya institusi rumahtangga berpunca dari hilangnya sifat amanah dikalangan ibubapa dalam MENDIDIK anak-anak. Sehingga kebanyakan mereka hanya pandai ‘mengajar’ apabila anak-anak melakukan kesalahan.

Rosaknya institusi pendidikan apabila guru-guru hilang amanah juga dalam MENDIDIK para pelajar, malah lebih teruk, hanya mengajar dengan berorientasikan A semata-mata.

Dan, saya serta sahabat baik, Syaukani didatangkan untuk menjadi ubat kepada dua sakit parah ini.

Kesan langsung dari dua penyakit ini, anak-anak muda ( saya anak-anak ‘tua’) menjadi kebingungan dalam mencari contoh untuk mereka hidup. Apa yang lebih teruk ialah, mereka kehilangan tempat untuk meluahkan perasaan seandai ada krisis yang berlaku sepanjang tempoh masa mereka mencari identiti untuk di'pakai' seumur hidup.

Hakikat kesedihan yang berlaku ialah, kebanyakan dari mereka tersilap pilih teman komunikasi lantaran rosaknya dua intitusi terdekat dengan mereka, Keluarga dan Warga pendidik.

Maka, pesan pertama saya kepada mereka untuk mengambil tugas menyelamatkan generasi muda sebaya mereka dengan menjadi saluran alternatif untuk generasi tersebut meluahkan perasaan . Menyerap frekuensi gelombang tekanan yang tinggi (beta) dengan mendengar rintihan batin mereka.

Itulah yang saya lakukan dalam usaha kecil saya untuk mengubati barah hasil virus dua intitusi penting sepanjang bekerja di Kuantan.

Sesi kedua, persoalan ditimbulkan sebelum sempat saya meneruskan point berikutnya.

“ Macam mana generasi huffaz nak selamatkan orang lain, sedang mereka berada di posisi untuk diselamatkan. dengan akhlaq yang tak bagus malah perangai yang buruk dan cacat di mata masyarakat..?” tanya seorang junior yang sedari tadi menjarangkan kadar kerdipan matanya, tanda tekun mendengar.

HUFFAZ TERSILAP POSISI

Itulah kesimpulan baru yang saya dapat timbulkan setelah merenung sejenak sebelum memberi respon terhadap persoalan yang dilontarkan sekejap tadi.

Kebanyakan (malah hampir seluruh) huffaz yang lahir ke dalam masyarakat hari ini berada di posisi yang perlu diselamatkan.

Berbeza dengan figur-figur yang lahir dalam generasi terdahulu. Mereka gah menyumbang di dada masyarakat.

Generasi baru perlu diselamatkan dalam medan pelajaran sehingga perlu diberi tempat untuk belajar, bukan bersaing dengan pelajar-pelajar lain di medan tersebut.

Perlu diselamatkan dalam bidang pekerjaan sehingga perlu disediakan peluang pekejaan, lantaran ketempangan mereka dalam memenuhi kompetensi sebagai seorang pekerja yang baik.

Perlu ditunjuk ajar berpanjangn, sedangkan dalam dada mereka adalah kitab petunjuk yang tidak diragui lagi.

Perlu disuap, dibelai dan diusap. Pasif dan tidak reaktif, apatah lagi proaktif. Berada di posisi yang perlu diselamatkan, bukan penyelamat.

DI MANA SILAPNYA?

Saya yakin, para pemikir yang telah memerah otak membentangkan draf untuk menubuhkan institusi tahfiz sejak berzaman mengimpikan graduasi Huffaz bakal terjun dalam masyarakat sebagai penyelamat.

Bukan yang sebaliknya, yang diselamat.

Kenyataan dari Dr.Sidek Baba tempoh hari membenarkan hepotesis saya ini. Temu ramah saya secara tidak langsung ketika sedang menyiapkan draf cadang tajuk pertama tesis saya dengan beberapa orang pengetua dan ahli lembaga dari beberapa buah institusi tahfiz juga sebegitu.

Ibu bapa yang menginfaqkan anak mereka untuk memikul tugas sebagai Huffaz juga mempunyai harapan sebegitu.

Namun, kenapa begini hasilnya huffaz generasi millenium yang serba canggih?

KRISIS NILAI DAN WORLDVIEW

Saya pernah berbual dengan seorang ustaz yang bertugas sebagai pensyarah di sebuah institusi pengajian masyhur. Beliau lulusan Universiti Al-Azhar. Kiblat ilmu.

“Nta nak sambung degree di jami’ah mana?”

“Insyallah, Jamiah Mu’tah ustaz..” saya cuba yakin dengan harapan saya itu.

“Ana tak nak kata bagus, juga tak bagus…tapi terpulang kepada yang menjadi faktor KENAPA nta nak ke sana, pastikan bukan kerana terikut-ikut dan juga kerana tengok ramai yang cemerlang dan berkualiti dari sana, ana Azhari, namun ana sudah tidak mampu berbangga dengan Azhari sekarang yang hilang TUJUAN mereka dalam persoalan KENAPA mereka memilih Azhar sebagai medan jihad ilmu mereka” jelas ustaz secara panjang lebar.

Persoalan KENAPA mudah untuk diselesaikan oleh generasi salaf dalam dunia tahfiz.

30 tahun lepas, industri tahfiz bukanlah bidang yang menjadi tumpuan. Justeru, yang memilih untuk terjun ke sini merupakan mereka yang sebetulnya jelas dengan TUJUAN dan persoalan KENAPA mereka memilih jalan ini.

Tidak pada generasi khalaf. Generasi yang sudah kabur akan TUJUAN dan jawapan kepada persoalan KENAPA lantaran banyak insentif dan ganjaran yang disediakan. Tambahan pula, institusi tahfiz kini telah menjadi kegilaan ramai lantaran ianya sudah menjadi satu sistem pengajian alternatif dari sistem sekular.

Maka, ramai dikalangan 'ahli baru' dalam dunai huffaz tersilap memilih bidang kerana tersilap dalam menilai peranan sebenar huffaz dan tersilap dalam menajwab persoalan kenapa nak hafal Al-Quran.

Memilih dunia Huffaz dengan melihat faktor kecil akan menjadikan huffaz yang lahir itu cacat dan tidak sempurna. Malah, mereka bukan menjadi generasi penyelamat, bahkan membebankan kerana terpaksa diselamatkan.

Maka, point kedua dan terakhir saya ialah, KENAPA NAK HAFAL QURAN- dan saya cuba membantu mereka mencari jawapan itu sebaik-baiknya.

Saya tak mahu digelarkan sebagai penentang sunnah. Juga peruntuh institusi huffaz yang mulia. Juga tak ingin digelarkan sebagai penulis jahat yang tak mampu menghafal Al-Quran lantas dengkikan mereka yang berjaya meraih gelaran Al-Hafiz.

Moga generasi yang bakal mendaftarkan diri sebagai HAMALATUL QURAN jelas tentang TUJUAN dan jelas juga dengan jawapan KENAPA NAK HAFAL QURAN…?

Moga usaha sekecil ini mampu menjadi sebutir pasir dalam binaan idea generasi Al-Quran Unik yang digagaskan Syed Qutub.

Komen Anda Adalah Buah Tangan Terbaik [hasanhusaini]

Tiada ulasan:

Facebook Comments Box: Bloggerized by HASANHUSAINI.COM

Catat Ulasan

Komen Anda Adalah Buah Tangan Terbaik [hasanhusaini]