Jumaat, 24 Julai 2009

Nikmat Sebiji Telur


Goreng telur-Goreng telur


Sedap....(nikmat air tangan sendiri)

Kini, giliran saya menyelia kanak-kanak di rumah. 5 orang sepupu berumur 2-8 tahun bukan kepalang untuk diurus.

Makan, minum, mandi, menangis.

Main, bergurau, jatuh, nangis lagi.

Lapar, nangis juga.

Segalanya nak diuruskan. Aduh, pening kepala.

Lalu saya cuba mencari formula. Bagaimana saya kecil dulu tak banyak yang diuruskan. Darjah satu sudah masak telur sendiri. Darjah dua, basuh baju sendiri. Ke sekolah hanya berjalan kaki. Darjah tiga, boncengkan adik dengan basikal tua.

Balik ke rumah, makan nasi dengan telur itik masak separuh dan kicap cap gajah. Masak sendiri. Lepas solat, riadahkan itik-itik ke sawah, nanti besoknya, sebelum ke sekolah, ada banyak telur yang boleh dikutip.

Semuanya sendiri. Berdikari.

" mana boleh kamu nak didik mereka sebegitu..mereka anak millenium, kamu anak pasca merdeka, makan ubi!!" seorang pak cik memberi pandangan.

" Betul juga.." getus hati saya. Tambah pula, teringat pesanan Saidina Ali R.A dalam mendidik anak.

"Didiklah anak-anak kalian dengan zaman mereka"

Tapi, bukan kepalang lagi, takkanlah setiap hari saya harus begini. Mengulangi perkara sama, menyusahkan diri pada masa yang sepatutnya boleh diisi dengan sesuatu yang lebih bererti.

5 0rang makan, telur mata lebih 10 biji. Nasi hanya dua sudu.

Saya dahulu, nasi hampir dua pinggan, telurnya hanya satu biji.

Lalu, saya terjumpa puncanya. Mereka gagal menghargai nikmat yang ada.

NIKMAT YANG DIKUFURI

Nikmat pembantu rumah yang ada dikufurkan dengan sengaja mensepahkan rumah. Sedangkan, rumah pandai dikemas sendiri sebelum tibanya pembantu rumah. Akhirnya disiplin diri menjadi lebih teruk dari haiwan.

Nikmat internet dikufuri dengan melayari laman sosial yang merosakkan. Bukan mencari sumber ilmu yang kaya disitu. Sedang dahulu, ada insan yang membelek buku sepanjang hari demi mencari punca nota kaki.

Nikmat berduit dikufuri dengan melaram, melobi dan judi. Sedang dulu, hanya hidup makan ubi.

BUKAN MELARANG

Namun, harus difahami bahawa, saya tidak melarang untuk meraih nikmat yang banyak. Namun, nikmat yang kaya itu harus juga desrtai dengan syukur yang raksasa. Kerana mensyukuri nikmat itu lebih aula dari bersabar dengan musibah.

Sepupu-sepupu saya kenal dunia dalam dengan memakai pampers, bukan lampin. Telur sangkar yang siap terhidang. Bukan telur itik bendang.

Berbeza dengan saya yang lebih menghargai nikmat sebiji telur yang keluar hasil keringat saya. Ternak itik, bela itik, kasi makan itik, lalu itik bertelur. Satu fasa.

Untuk makan, basuh telur itik tak semudah membersihkan telur ayam sangkar. Tanah dan najis itik telah mengeras di situ. Guna abu sebagai pemangkin untuk membersihkan telur.

Nak goreng telur itik tak semudah menggoreng telur ayam. Meletup-letup. Tambah pula, kuningnya lambat mengeras.

Bukan senang untuk saya merasai nikmat sebiji telur goreng. Maka saya menghargai nikmat itu. Berjimat dan berhemah.

Menghargai Nikmat

" Ok, hari ni kita belajar memasak...nak tak..?" saya cuba mempromosi 'manhaj tarbiyah' saya.

"Naak..."

Semuannya menyahut, termasuk yang berumur dua tahun. Semuanya melompat kegembiraan.

Ok, saya membahagikan tugas kepada semua tentera. Ada yang tugasnya membasuh telur, ada yang hanya menadah pinggan untuk diisi telur yang masak. Ada yang ke kedai membeli telur, meski telur masih berbaki di dapur. Sengaja untuk mengajar erti kesusahan, supaya nikmat kesenangan dapat dioptimumkan syukurnya.

Sambil mereka bertungkus-lumus menyiapkan tugas masing-masing, saya cuba berjenaka meningkatkan motivasi. Trademark wonder pets menjadi pilihan.

"Apa yang penting?", saya bertanya.

"Kerjasama" mereka menyahut. Memadamkan semangat dengki dan cemburu.

Bermula dengan cara membeli dan membawa telur, supaya tidak pecah dipertengahan jalan, sehingga cara makan telur, saya ajarkan mereka satu persatu. Semuanya secara verbatim. Bukan dengan gaya bebas.

Sesuai dengan minda mereka.

Verbatim lebih selamat untuk mereka ikuti. Mereka tidak akan memandai-mandai mencuba cara lain yang boleh mendatangkan bahaya dan petaka.

Dan natijahnya, untuk lima orang, hanya lima biji telur sahaja terhidang.

Dan saya dapat membaca dan menulis pada hari ini, sedang mereka sedang 'berkerjasama' untuk mengisi perut di dapur. Tidak ada lagi tangisan. Cuma kekadang diselangi dengan tempikan dakwah, bila ada yang tak mahu berkerja.

Namun apa yang penting, saya mungkin telah berjaya mengajar mereka mensyukuri nikmat. Mengajar mereka bersatu menuju matlamat. Mengajar mereka erti kerjasama dalam mencari bahagia.

"Give a Man a Fish, Feed Him For a Day. Teach a Man to Fish, Feed Him For a Lifetime"
Ya Allah, aku ingin memaknakan kehidupan ini dengan memberi dan menerima...kerana itulah maknanya seorang hamba...

Komen Anda Adalah Buah Tangan Terbaik [hasanhusaini]

2 ulasan:

  1. Alhamdulillah, rasa terharu mebaca artikel ini jika nak dibandingkan dengan kehidupan sekarang...
    Terima kasih saudara Ihsan Fadhli...wassalam

    BalasPadam
  2. wah, ngah.. kalau jadi ayah, komfem jadi ayah yang mithali ni.. saham besar ni :) tapi biasa la, bila da berada di tempat yang sangat mudah utk kita brgantung, maka kita semua akan amik kesempatan untuk bergantung.. cuba kalau kita berada jauh dari tempat pergantungan secara zahirnya.. Masa itu, kita akan mula berdikari, mencari rentak sendiri..

    BalasPadam

Komen Anda Adalah Buah Tangan Terbaik [hasanhusaini]