Sabtu, 13 Disember 2008

Cerita Sebuah Hikayat

Hari Raya yang kedua. Berpagi lagi saya ke tapak sembelihan. Hari ini, sembilan ekor lembu mesti ditumbangkan. Semuanya untuk menjamu anak cucu Tok Dak. Moyang kami yang tak pernah saya kenali. Sejarahnya hanya berjalan melalui lidah-lidah yang bercerita.Seminggu sebelum hari raya, saya sudah cuba menyelidiki, siapa Tok Dak yang namanya saya dengari sejak kecil. Beberapa orang lama saya temui. Dengan sedikit cerita ringkas yang ada, tidak sulit untuk saya menyelesaikan plot yang timbul. Hasilnya..teruskan pembacaan anda.

Tok Dak, nama sebenarnya DAHAK ( Senopati Dahak ), kesatria Mataram di zaman Amangkurat. Sikap pemerintah Amangkurat yang banyak mengalah kepada Belanda menyebabkan beliau amat kecewa dan mengambil sikap menentang dan menyertai gerekan menentang Belanda. Sikap menentang dan permusuhan itu menyebabkan Belanda mengambil inisiatif untuk memburu dan membunuh beliau. Untuk menyelamatkan diri, Dahak meninggalkan tanah leuhur, ( Jawa Barat ) berkelana ke Pattani yang pada waktu itu tersohor sebagai sebuah pelabuhan islam yang makmur. Setibanya di Pattani, beliau disambutoleh Pembesar Raja Mas Kelantan. Raja Pattani pada waktu itu. Khidmatnya diminta kerana Pattani pada waktu itu sedang bermusuhan dengan kerajaan Siam Ayuthai. Beliau mengahwini anak pembesar tersebut dan dikurniakan beberapa putera dan puteri.

Pada tahun 1760-an, Ayuthai menyerang Pattani secara besar-besaran dengan mendapat bantuan penuh dari kerajaan islam Senggora. Dahak para hulubalang dan perajurit Pattani berjuang berhabis-habisan tetapi kemaraan tentera siam yang lengkap di samping perpecahan dalaman di pihak Pattani menyebabkan Pattani tewas dalam perang tersebut. Raja Mas Kelantan di tawan. Akibatnya, ramai pejuang dan ulama Pattani mencari perlindungan di Kelantan. Dahak juga tidak terkecuali berlindung di Kelantan.

Beliau menyeberangi Sungai Tak Bai bersama beberapa pembantunya ke Tumpat dan bersinggah di Kota Kubang Labu. Kota Kubang Labu merupakan pusat pemerintahan Kelantan pada waktu itu. Namun, akhirnya Dahak tidak dapat bertahan lama di situ akibat perebutan takhta kuasa pemerintah Kelantan antara Long Deraman, anak Raja Legih dan Long Yunus, anak Long Sulaiman.

Dahak yang tidak betah dengan keadaan tersebut segera mencari tempat lain untuk berlindung. Beliau lantas mengembara ke Hulu Kelantan. Kelantan selatan. Namun, dalam perjalanan ke Hulu Kelantan, beliau menemui sebuah tempat yang agak sesuai untuk menetap di situ. Kawasan kampong yang pada sebelah timurnya (matahari naik) sungai manakala sebelah baratnya ( matahari jatuh )adalah tanah pamah berair subur yang luas terbentang.

Dahak memilih kawasan itu untuk dijadikan tempat tinggal kekal mereka lantaran tidak ada penghuni, tanah luas yang subur dan sungai yang elok. Tempat yang cukup sempurna dijadika tempat tinggal. Sungai merupakan pengankutan utama pada waktu itu. Pondok tempat tinggal didirikan di tengah kampong baru itu. Tapak pondok itu sekarang didirikan sebuah masjid. Masjid Ar Raudhah, dan Maahad Tahfiz Ar Raudhah. Kawasan pamah lembab berair dijadikan sawah. Oleh kerana terdapat banyaknya pokok Perol di kawasan tersebut, maka Dahak menamakan Kampung yang baru dipugar itu sebagai KaMPUNG PEROL. Sungai yang mengalir dari hulu kampong itu dinamakan sebagai SUNGAI JAWA ( kini dinamakan semula dengan nama SUNGAI PEROL) sempena tanah leluhurnya, Jawa Barat.

Keadaan air yang bertakung menyebabkan Dahak terpaksa menggali parit besar untuk mengalirkan airnya ke sungai. Parit sepanjang 1.5 km itudapat dilihat sehingga ke hari ini. Parit itu pernah ditambahbaik oleh British sekitar tahun 1930-an.

Berdasarkan riwayat lisan, Dahak yang dikenali oleh anak cucunya sebagai Moyang Tok Dak memiliki beberapa kelebihan yang luar biasa. Beliau dikatakan kebal dan mempunyai keistimewaan lain yang turut dimiliki oleh keturunannya.

Pada satu masa, Keluarga diraja Kota Kubang Labu datang bertandang ke rumah beliau. Di rumahnya, hanya tinggal anak perempuannya, beliau sendiri berada di sawah. Tetamu istimewa kebiasaanya dijamu air kelapa. Maka anak perempuan tersebut membaling lesung untuk menjatuhkan kelapa muda. Melihat keadaan tersebut, waris diraja itu terus pulang tanpa sempat bertemu dengan Tok Dak ( Dahak).

Suatu ketika lain, diceritakan ada hulubalang yang dating untuk mencabar kehebatan Tok Dak. Beliau pada waktu itu sedang menggali parit. Sesampai di rumah, hulubalang tersebut meminta bara api dari anak perempuan Tok Dak untuk menghidupkan puntung rokok. Anak perempuan Tok Dak keluar dengan memegang bara api dengan tangan kosong. Salah seorangnya balik tak bertangga. Seorang lagi hulubalang yang tinggal tidak segera menyampaikan hasratnya, tetapi menyamar sebagai orang biasa. Sekembali Tok Dak dari kerjanya, betisnya dipenuhi lintah. Sambil membongkok, Tok Dak mencnicang lintah-lintah dibetis itu dengan sabit panjangnya. Lintah pu tus, betisnya tak luka walau sedikit. Selepas itu, Tok Dak menggunakan betisnya untuk menajamkan kayu nibung yang akan dugunakan untuk merejam ikan. Hulubalang itu terus balik dengan hajat yang tak kesampaian.

Tok Dak juga dikatakan mempunyai hubungan baik dengan Long Ghaffar. Kemungkinan besar Tok Dak dan anaknya, Sulong telah menyertai tentera Dato’ Kadok 1 ( Panglima Adas ) berperang bersama Long Ghaffar untuk membebaskan Kelantan dari cengkaman kerajaan Terengganu.

Tidak hairanlah Tok Dak mempunyai hubungan baik dengan Long Ghaffar yang bersemayam di Limbat. Sulong dikatakan berkhidmat kepada Dato’ Kadokdan menetap di Kadok. Senik (cucu Tok Dak ) pula dilantik sebagai Syahbandar Raja Limbat dan jawatan ini diwariskan kepada anaknya Awang Kecik (Cicit Tok Dak) . Awang Kecik merupakan Syahbandar terakhir Raja Limbat. Cukai sebanyak 0.12 sen dikutip bagi setiap perahu yang menggunakan Sungai Jawa di Pengkalan Peringat.

Berdasarkan pengkajian secara riwayat lisan serta peristiwa sejarah di Pattani dan Kota Kubang Labu, Kampung Perol dibuka oleh Tok Dak ( DAHAK ) sekitar tahun 1780-an. Tok Dak meniggal dunia pada awal 1800 dan disemadikan di Kubur mukim Perol. Batu nisan besar menjadi tanda kubur beliau dan masih boleh dilihat sehingga ke hari ini. Boleh dikatakan bahawa seluruh penduduk Kampung Perol merupaka anak cucu Tok Dak @ Dahak @ Senopati Dahak.

Wallahua’lam. 

Ditulis oleh : MOHD IHSAN FADHLI BIN CHE MIN 
Anak kepada Noraini Binti Abd Wahab, anak Meriam binti Namat @ Awang Hamat bin Awang Kecik bin Abdullah bin Abdullah bin Senik bin Sulong bin Dahak @ Tok Dak @ Senopati Dahak. (Generasi ke-10)

Selesai salsialah pertama, Keturunan Hulubalang Diraja. Bersambung. Salsilah kedua. Keturunan Ulama'.

Tiada ulasan:

Facebook Comments Box: Bloggerized by HASANHUSAINI.COM

Catat Ulasan

Komen Anda Adalah Buah Tangan Terbaik [hasanhusaini]