Hari ini selepas 10 tahun, sepasang kasut sekali lagi menggemparkan dunia. Tetapi bukan melalui filem, bahkan ia benar-benar berlaku di dunia realiti. Ia tercetus dengan lemparan seorang wartawan Iraq, Muntadar al-Zeidi yang membalingkan kasutnya ke muka Presiden Amerika Syarikat, George W Bush ketika lawatan perpisahannya ke bumi yang dijajah itu kelmarin. Satu lemparan yang baik, namun sempat dielakkan oleh George Bush. Menurut laporan, wartawan televisyen Iraq itu melemparkan kasut kepada Presiden Amerika Syarikat, George W Bush dan memanggilnya ‘anjing’ pada satu sidang akhbar di Baghdad. Ia diikuti dengan kata-kata, “Ini kucupan perpisahan untuk kamu, anjing! Ini salam perpisahan daripada balu, anak yatim dan mereka yang terbunuh di Iraq.”
Hari ini, boleh dikatakan semua media di seluruh dunia melaporkan mengenai kejadian ini. Sepasang kasut Muntadar al-Zeidi benar-benar telah menggemparkan dunia! Kita tidak kenal siapakah Muntadar al-Zeidi yang bertanggungjawab mencetuskan insiden ini. Namun, melalui kata-kata yang dilemparkan bersama lontaran kasut itu, secara zahirnya beliau tentunya menyimpan rasa marah yang benar-benar mendalam terhadap presiden yang akan bersara itu.
Biarpun ia hanya sepasang kasut, namun itulah lambang kemarahan masyarakat antarabangsa terhadap Amerika. Ia mungkin bukan untuk Bush semata-mata, tetapi ia lebih kepada peringatan kepada Amerika Syarikat, bahawa dasar-dasar luarnya tidak pernah disenangi oleh masyarakat antarabangsa. Di zaman Bushlah, Afghanistan dan Iraq menjadi tanah terjajah hanya kerana ranapnya World Trade Center di atas sebab-sebab yang masih menjadi misteri. Di zaman Bush jugalah, Islam dikaitkan secara serius dengan keganasan yang menghasilkan tangkapan menyeluruh kepada mana-mana aktivis yang disyaki di seluruh dunia. Dan jangan dilupa, bapa Bush jugalah yang bertanggungjawab melakukan sekatan ekonomi terhadap Iraq bermula tahun 1992!
Hari ini, Bush akan bersara. Lawatannya ke Iraq ialah lawatan yang terakhir sebagai Presiden Amerika Syarikat. Ia merupakan satu majlis perpisahan. Namun hadiah perpisahan itu ialah sepasang kasut. Kegunaan kasut sebenarnya untuk dipakai di kaki, tetapi hari itu ia dilemparkan ke muka Bush. Apakah muka Bush mahu disamakan dengan kaki, hanya Allah yang mengetahui. Namun hakikatnya, mungkin ramai yang dukacita apabila Bush berjaya mengelak, alangkah baiknya kalau kasut itu mengenai sasarannya.
Muntadar al-Zeidi mungkin tidak berjaya memastikan lemparannya mengenai sasaran. Tetapi dia berjaya melahirkan rasa benci terhadap dasar Amerika. Ia juga berjaya menjadikan hari kelmarin sebagai hari yang dikenang selamanya dalam hidup Bush. Mungkin bagi Bush, ia tidak mendatangkan apa-apa kesan, namun sekurang-kurangnya ia merupakan peringatan kepada mana-mana pemimpin Amerika Syarikat selepas ini bahawa dasar luarnya menjadikan negara mereka dibenci. Obama mungkin dapat belajar sesuatu dari insiden ini.
Harapnya, pemimpin Malaysia yang akan bersara tidaklah mendapat ’hadiah’ seperti ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komen Anda Adalah Buah Tangan Terbaik [hasanhusaini]