Sesampai di madinah pada waktu subuh yang agak suam itu, saya terus bergegas mandi sunat, bersiap untuk pergi sembahyang subuh berjemaah dengan melupakan keltihan akibat 'jetleg'. Berlari anak ke masjid, namun solat subuh yang hanya 2 rakaat itu telah selesai. Maka saya dengan automatiknya menjadi imam solat subuh di masjid nabawi !! Makmumnya hanya dua orang. Tak bangga ke?
Seusai solat subuh, saya menyusur ke bahagian hadapan masjid, menuruti naluri mencari taman syurga yang bernama Raudhah. Berpandukan kepada tiang-tiang berjalur emas yang sedikit berbeza dari tiang-tiang lain, saya yakin, itulah raudhah. Kata Nabi, “Raudhah itu diantara rumah dan minbarku”. Kesesakan manusia di situ seolah memustahilkan saya mencelah untuk bersolat. Namun gelora hati membuak untuk sujud di situ. Hati berdoa dengan sedikit kumat-kamit yang dizahirkan pada bibir agar diberi peluang bersujud di situ. Tidak sampai 2 minit, tiba-tiba pakcik arab bangkit dari zikirnya memanggil saya untuk menggantikan tempatnya. Alhamdulillah. Spontan air mata mengalir. Terharu, memang betul Allah maha pendengar.
Solat dua rakaat itu agak panjang meski sudah diringkaskan. Segala hajat yang terkandung dalam bungkusan kecil hati dipamerkan di situ. Terasa diri betul-betul berada di hadapanNya.
Mihrab nabi, salah satu tempat di Raudhah
Bersalam dengan Rasulullah
Petangnya, pada waktu yang agak tenang, saya pergi menjenguk Rasulullah. Melalui Bab As Salam, melangkah lurus ke hadapan melepasi minbar dan mihrab, terus menuju ke hadapan baginda. Manusia yang agak lengang memberi, tidak sesibuk pagi tadi, memberi ruang yang agak lama dan selesa untuk saya bertegur sapa dengan baginda. Sesampai di pintu tembaga kuning itu, dada saya sebak mendadak. Air mata mengalir laju. Selawat yang ingin dibaca hanya tersekat di kerongkong.
Memang betul, bukan mimpi, bukan khayalan, di hadapan aku ketika ini adalah Muhammad Bin Abdullah. Rasul penutup segala Rasul. Subhanallah. Setelah agak lama, akhirnya ucapan salam terkeluar, “Assalamualaika ya Rasulullah, aku datang untuk berjumpa dengan mu…” Air mata semakin melebat. Hati betul-betul lunak. Serasakan pada waktu itu aku betul-betul sedang berhadapan dengan jasad mulia itu. Sedang menerima watikah sebagai salah seorang yang akan berjuang meneruskan risalah yang dibawanya. Terimalah aku sebagai ummat mu. Syafaatkanlah aku pada hari mahsyar. Ya Rasulullah. Setelah menyampaikan kiriman salam dari sahabat di Malaysia untuk baginda, saya meluahkan isi hati terhadap kekasih agung itu.
Makan Nabi Muhammad s.a.w
Terasa kasih sayang terhadap baginda tidak berbelah bagi lagi. Teringat kisah baginda ketika hampir wafat, nama saya terpancul dari bibir baginda, berpesan supaya menjaga solat, “ ummati, solah..” Aku adalah ummat baginda.
Melangkah sedikit kedepan. “Assalamualaika wahai sahabat nabi di dalam gua, wahai As Siddiq”. Terkenang peristiwa selepas Isra’ dan Mi’raj. “ Benarlah engkau wahai Rasulullah”. Bersahabat dengan Muhammad dari hidup sehingga mati. Mem'backup’ baginda setiap masa. Mengiyakan apa yang dituturkan sepanjang waktu. Alangkah baiknya jika saya juga begitu. Mentasdikkan baginda, tanpa terpengaruh dengan sebarang provokasi.
Tiga langkah lagi saya maju, kini Umar berada di hadapan ku. Terasa aura ketegasan itu. Air mata yang mengalir sedari tadi tiba-tiba berhenti. Aura semangat tiba-tiba memabakar. Mungkin terkena tempiasnya aura Umar. Umar Al Khattab akhirnya di pilih, sedangkan Umar bin Hisyam terus dicerca dan dilaknat. Melupakan zaman gelapnya ketika jahiliyyah, bangkit dengan kesedaran berbekalkan keimanan yang begitu utuh membela Rasulullah dan memartabatkan islam. Teringat kata-katanya yang amat memberi makna kepada saya. Lafaz yang beliau ucapkan ketika dalam perjalan untuk berhijrah itu berbunyi, " Barangsiapa yang ingin isterinya bergelar janda, anaknya menjadi yatim, tunggulah Umar di pintu keluar Makkah"... Begitulah lebih kurang bunyinya. Hebat dan bergaya.
Tiang Malaysia
Tiang Malaysia
Malam kedua di Madinah, kami di bawa untuk bertamu di salah satu tiang di dalam Masjid Nabawi yang dinamakan tiang Malaysia oleh rakyat Malaysia disini. Ia menjadi tempat pertemuan dan mesyuarat bagi rakyat Malaysia yang merantau di Madinah. Bertaaruf dengan 2 orang Professor yang bertugas di salah sebuah universiti di Madinah, pelajar MTQN Pahang yang mendahului kami bermuqabalah di Jami'ah Islam.
Seterusnya, Masjid Quba.. dan air mata di Uhud.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komen Anda Adalah Buah Tangan Terbaik [hasanhusaini]