Ahad, 31 Januari 2010

Jerash, Ajloun dan Umm Qays

Seawal jam 4 pagi, ahli Darul Muttaqin bersiap-sedia menempuh pengembaraan sejauh lebih 300km, membelah tengah menuju utara Jordan.

Antara tempat yang bakal menjadi sasaran Jelajah Jordan kali ini adalah Jerash, Ajloun dan Umm Qays.

Saya, secara peribadinya agak kurang berminat untuk diri ini dipakejkan dalam musafir sejarah.  Pastinya tak banyak yang mampu saya cedok dan teguk. Namun, memandangkan ini kali pertama saya ke sana, ada baiknya saya menyertai mereka yang berpengalaman.

Rancangan awal untuk menziarahi Gua Ashab Al-Kahfi terpaksa dibatalkan. Jadual yang tak konsisten sentiasa menjadi cabaran kepada para Travel Guide.

 JERASH

JERASH

Terletak di bahagian tengah utara Jordan. Berdekatan dengan Irbid, bandar kedua terbesar selepas Ibu Negara Amman. Dengan koordinat 32 16 20.21N - 35 53 29.03 E pada perisian Google Earth, anda akan mampu melihat dengan jelas, bagaimana rupa bentuk Jerash dari udara.

Jerash berasal dari Gerasa, merupakan sebuah kota metropolitan di zaman pemerintahan Rom. Panjang Kota canggih di zaman Gangsa ini lebih kurang 2km. Berkelana dari pintu masuk setelah membayar tiket semurah 50 Qirsy ( RM 2.50 ), membelah dada kota klasik ini memerlukan masa hampir 20 minit. Namun, untuk menikmati kindahannya, pastinya hampir menelan separuh hari.

Lebih 50% infrastruktur kota ini musnah dek gempa bumi, namun keindahannya masih terasa. Dua buah theatre, atau Colosseum masih dalam keadaan hampir sempurna. Pusat pentadbiran dan rumah ibadat ( temple ) masih agak kacak berbanding usianya yang menjangkau ribuan tahun.

Sejarah mencatat, Jerash masih diduduki pada zaman Uthmaniyah. Roma saya tiba-tiba menegak.

Menjenguk masuk ke Colosseum, saya terjumpa satu maklumat baru. Teknikal binaan theater itu mempunya teknologi alam yang canggih. Berada di tengah-tengah pentas, saya tidak memerlukan sebarang alat pembesar suara. Pantulan dari dinding batu dan anak-anak tangga itu cukup membantu. Bagaikan system surrounding dari Sony dengan 8 speaker keliling. Nak merasainya..? Jom ziarah Jordan.

Teringat Masjid Biru Al-Fateh yang menggunakan telknologi yang sama. Kalaulah masjid Darul Quran dahulunya mengguna pakai teknologi ini, saya pastinya tak perlu memanjat menara tinggi yang menggerunkan itu berulang kali untuk membaik pulih pembesar suara yang selalu rosak! Saya bermonolog sendirian dan kemudiannya tersenyum.

AJLOUN

45 minit dari Jerash, membelok sedikit ke barat dan mendaki pergunungan yang menghijau, saya tiba di puncak gunung yang menempatkan sebuah Qal'ah ( kubu ). Qal'ah Al-Rabad.

Menurut maklumat dari pemandu pelancong kami, Us Fudhail yang baru sahaja menamatkan Ijazah Sarjana Mudanya, Kubu ini dibina oleh Jeneral Izzuddin Bin Usamah. Beliau merupakan anak saudara kepada Jeneral Agung Islam, Salahuddin Al Ayyubi.
Ustaz Fudhail sedang memberi taklimat ringkas di tembok Kota Al-Rabad

Menurut catatan sejarah yang terpampang di pintu masuk, kubu ini berfungsi sebagai tempat mengintip tentera salib dan markas penguasaan lombong besi yang terdapat di sekitar Ajloun. Tepat sekali firasat itu. Puncak gunung setinggi ini strategik dan cukup bagus untuk dijadikan tempat tinajaun. Liputan pandangan ke bawah cukup terang dan jelas. Lubang-lubang sempit untuk memanah musuh yang menyelinap naik terdapat di sekeliling dinding kota.
 
Pemanah Salahuddin

Sekali lagi sejarah mencatat, tentera Uthmaniyyah pernah berpengkalan di sini. Saya menghiud-hidu tapak tentera Khilfah terakhir Islam itu, mencari semangat menjejaki keringat. Namun sayang, bau nasionalisme romantisme cukup menebal menutupi semangat Pan-Islamisme.
Saya meminjam sebuah teropong, meninjau-ninjau ke kaki gunung, melihat-lihat sekiranya  masih ada saki baki manusia yang masih berjiwa tentera salib!
Menuruni gunung Ajloun untuk ke tempat parkir coaster akan menemukan kita dengan papan tanda ' Makam Nabi Khidir Alaihissalam'. Masa singkat yang mengikat tidak memberi ruang untuk saya menjenguk ke situ. Perjalanan lebih sejam ke Umm Qays perlu diutamakan.

Perut saya pula sudah berbicara dari puncak kubu, meminta untuk diisi setelah hampir 12 jam dibiarkan kosong.
 
Umm Qays | Berlatarbelakangkan Bukit Golan dan Tasik Tabari. 
Sebelah kiri : Israel    |    Sebelah kanan : Syria
UMM QAYS

Hujung paling Utara Jordan menjadi matlamat kami. 30km dari Barat Laut bandar Irbid. Di situ terdapat sebuah perkampungan di puncak gunung. Bersempadan dengan Syria dan Israel. Umm Qays.

Perkampungan berusia ribuan tahun itu cukup unik. Dari sini, saya dapat menyaksikan penempatan Israel,  bukit di Syria yang putih dilitupi salji,Tasik Tabari dan Bukit Golan yang masyhur. Bukit yang menjadi sumber air iu menjadi mangsa rebutan tiga negara. Jordan, Syria dan Israel.

Penempatan klasik ini masih mempunyai ciri-ciri Rom. Tiang-tiang tinggi dan Colosseum sekali lagi menjadi identiti. Penempatan unik ini merasai empat bentuk pemerintahan. Greek, Rom, Byzantium dan Uthmaniyyah. Kesan itu masih jelas terlihat pada warna batu yang digunakan untuk membina bangunan di situ.


Binaan sebelum kedatangan Uthmaniyyah dan Islam menggunakan batu Igneus berwarna hitam. Manakala binaan zaman pemerintahan Islam Uthmaniyyah menggunakan batu  dan marmar berwarna putih. Saya menjenguk-jenguk ke dalam rumah. Kalau masih ada generasi berjiwa kental Uthmaniyyah, bolehlah saya menumpang semangat.

Dalam perjalanan pulang, hampir keseluruhan kami terlena dipukul keletihan.

Saya sempat bergurau : "Seronokkan kalau kita datang ke sini sebelum SPM, mesti sejarah dunia dapat A1!.." . Namun gurauan itu tidak mendapat sambutan yang sepatutnya. Letih. Mujurlah adinda Fadzil Athif sudi bercerita tentang minat kami yang hampir sama. Hilang juga lesu sehari perjalanan.

Terima kasih Permata Jordan. Anjurkan lagi jelajah semurah ini.

Bersedia untuk menjelajah Petra minggu seterusnya sambil menunggu 'tetamu' dari Jepun. Moga ia tiba dengan selamat dan jimat.

HASANHUSAINI,
Darul Muttaqin, Mu'tah, Jordan.

Tiada ulasan:

Facebook Comments Box: Bloggerized by HASANHUSAINI.COM

Catat Ulasan

Komen Anda Adalah Buah Tangan Terbaik [hasanhusaini]