Semalam saya bermimpi. Cerita mimpi biasanya khusus untuk empunya diri sahaja. Namun saya cuba untuk berkongsi mimpi saya kepada dunia. Bermimpi di katil, menerbangkan saya jauh ke kampung halaman di Kelantan, sedang saya masih di katil besi di Jordan. Berbungkuskan selimut tebal seberat 10KG.
Kebiasaan, andai ada sedikit duit lebihan, ibu akan memanjakan diri untuk tidak memasak. Pastinya nasi berlauk dari simpang tiga Nilam Puri menjadi pilihan. Nasi putih, Ikan Tongkol di gulai kunyit bersama sedikit timun dan sedikit sambal cili padi. Itulah menu istimewa kami. Ayah kebiasaannya akan disediakan dengan kopi pekat bersama dua bungkus nasi.
Andai saya 'merungut' tidak cukup, ibu pastinya akan memasak lauk yang sama, namun dengan kelazatan yang 10 kali ganda. Dan saya pula, akan makan nasi dengan pinggan kedua sedangkan pinggan pertama yang dibasuh masih belum kering. Alasannya, terlupa dah makan. Ibu pula pastinya tersenyum puas.
Itulah memori. Terbawa ke dalam mimpi.
Terjaga.
Jam menunjukkan pukul 8 malam. Saya terlelap jam 7, usai solat Isya'.
Huh. Mimpi. Masuk ke dapur dan meninjau-ninjau makanan yang boleh disumbat ke dalam perut untuk mematikan rindu kepada nasi berlauk ikan tongkol gulai kunyit. Pastinya, snek Chocolord dari Syaarawi menjadi pilihan lantaran itulah satu-satunya (mungkin) snek di Jordan yang bebas dari E-kod yang meragukan.
Beberapa keping disumbat ke rongga perut.
Namun rindu pastinya belum reda. Rongga hidung saya bagaikan terhidu aroma gulai ikan tongkol. Aroma masakan ibu.
Tepat jam 10, saya tak mampu bertahan. Dengan tambahan sehelai lagi jaket tebal membalut badan, saya membelah dingin malam menjejaki 'jus hindi' (kelapa parut). Namun bekalan di Pasaraya Hamzah kemarau. Akhirnya jus hindi. Berkejar pula ke Mahaden untuk membeli ikan. Pastinya Mackarel menjadi pilihan bersama isi ikan (catfish fillet).
Sejam kemudian, Nasi berlauk ikan tongkol gulai kunyit terhidang bersama sambal yang diubahsuai secara kimia dari lada kering.
Itulah pengubat rindu...rindukan masakan ibu. Rindukan juga tazkirah khusus dari ibu.
Nasi Berlauk Ikan Tongkol (Nasi Berlauk Ikan Aya : versi Kelantan)
Nasi Berlauk Ikan Tongkol
Resipinya :
(A)
- Sekilo ikan Mackarel bersih (dipotong kepala dan dibuang isi perut)
- 10 keping asam kandis
- 10 hiris lengkuas kering (dari Malaysia) Kredit untuk Us Saifuddin
- 5 ulas bawang putih (dicincang halus)
Bahan (A) direbus dengan 5 cawan air selama 30 minit @ sehingga air berbaki 1/10.
(B)
- 10 hiris lengkuas kering (jimat)
- 2 sudu besar rempah ketumbar.
- 2 ulas bawang besar.
- 1 sudu teh serbuk kunyit
- 6 cawan santan (jus hindi)
- sedikit lada kering
Bahan (B) dikisar hancur. Seterusnya dimasak selama 15 minit dengan ditambah 2 keping asam, dan sedikit gula dan garam.
Selepas hilang buih santan (masak) Barulah ikan yang direbus dengan bahan (A) dimasukkan ke dalam (B) dan test rasa dan aromanya...
Enak dimakan bersama sambal cili api dan 'ikan rebus goreng.'(ikan (A) digoreng rangup)
Selamat mencuba. Inilah ubat rindu saya bersama keluarga yang jauh nun di sana.
HASANHUSAINI,
Darul Muttaqin, Mu'tah, Jordan.
oo..patut la smale bunyi 'kokeh2' kt dapur..duk smeta bbau ike gulai...masuk2 dapur abis doh..x dok rezeki nk wak ggane...ni lah dia ustaz syumul..yallah..
BalasPadamana cukup setuju dgn latest post ni..sekali pun makanan di hotel yg menunya pergh (nak kata power) msh xleh lawan masakan ibu sendiri...walaupun ikan kicap..rahsianya 'kasih sayang'..=)
BalasPadamawat x beli je halia...maujud je kt kedai...muallim...fi zanjabil??('',)
BalasPadam