Memaparkan catatan dengan label Kembara Jordan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Kembara Jordan. Papar semua catatan

Isnin, 31 Oktober 2011

Dari KAMI Untuk KITA

"Ustaz, laptop ana 'mati' lagi. Boleh ustaz tengok-tengokkan?" Mesej seorang akhawat melalui peti masuk Facebook saya.

Permintaan sebegini bertamu hampir setiap bulan. Ia memaksa saya melakukan sesuatu. Cukuplah apa yang telah menimpa saya dan beberapa rakan lain menjadi iktibar. Kerugian yang amat besar dan menyedihkan apabila laptop yang bernilai hampir RM3000 tidur dengan nyenyak secara tiba-tiba. Enggan terjaga bila dikejutkan semula. Mother Board-nya terbakar.

"Saufi, jom makan Quick Burger Syimali." Hamdi mengajak kawannya mengisi perut di selang masa kosong antara dua kuliah pengajian.

Sabtu, 15 Oktober 2011

Thaif 2011


Borang permohonan zakat Majlis Agama Islam Kelantan dan borang permohonan pinjaman Yayasan Negeri Kelantan telah dikumpul. Borang-borang ini mesti disahkan di Education Malaysia Jordan sebelum ianya diterbangkan ke Malaysia. Tarikh terakhir untuk dikirim ke Malaysia adalah 14 Oktober 2011.

Saya termenung. Kuliah, duit, peperiksaan dan tanggungjawab. Itu pertimbangan yang timbul dibenak kepala saya. Akhirnya, saya nekad untuk ke Amman selepas kuliah hari Rabu, pulang malamnya untuk rehat sebelum kuliah bermula semula jam 9.00 pagi Khamis.

Ahad, 31 Januari 2010

Jerash, Ajloun dan Umm Qays

Seawal jam 4 pagi, ahli Darul Muttaqin bersiap-sedia menempuh pengembaraan sejauh lebih 300km, membelah tengah menuju utara Jordan.

Antara tempat yang bakal menjadi sasaran Jelajah Jordan kali ini adalah Jerash, Ajloun dan Umm Qays.

Saya, secara peribadinya agak kurang berminat untuk diri ini dipakejkan dalam musafir sejarah.  Pastinya tak banyak yang mampu saya cedok dan teguk. Namun, memandangkan ini kali pertama saya ke sana, ada baiknya saya menyertai mereka yang berpengalaman.

Rancangan awal untuk menziarahi Gua Ashab Al-Kahfi terpaksa dibatalkan. Jadual yang tak konsisten sentiasa menjadi cabaran kepada para Travel Guide.

 JERASH

Selasa, 29 Disember 2009

Menanti Batu Berbicara

“Israel dan Yahudi pasti akan kalah…” Kata Dr. Amin [bukan nama sebenar], Pegawai tentera yang mengajar mata pelajaran Sains Ketenteraan di Universiti Mu’tah.

“Itu janji nabi yang wajib kita yakini…kita pasti akan mengalahkan Yahudi dan Israel..segala makhluk akan membantu kita, hatta batu dan pokok kayu.”


“Meski bukan kita, pastinya generasi anak cucu kita yang akan menjadi saksi benarnya janji nabi itu..kita hanya perlu bersabar dalam menunggu janji itu terlaksana…”


Saya terkedu seketika. Sudah entah ke berapa kali saya mendengar hadis tersebut. Namun, inilah sudut pandang baru yang saya mampu lihat.

Tidak akan berlaku kiamat sehingga Yahudi akan ditentang habis-habisan, maka Yahudi akan berlindung di sebalik batu, maka berkatalah batu tersebut : “wahai hamba Allah, ini Yahudi di belakang aku, marilah kamu membunuhnya…”

Jumaat, 25 Disember 2009

Forum FISCO 2009

Saya baru empat bulan di bumi Jordan. Masih mentah dan muda dalam menilai dan mengkritik. Apatah lagi untuk mengutarakan pandangan dalam sebuah majlis rasmi, persidangan tahunan mahasiswa Malaysia Mu'tah.

Namun, seminggu yang lalu, saya menerima kejutan itu. Surat jemputan sebagai ahli panel forum sempena "Festival Of Islamic Scholars Conference 2009".

Digandingkan bersama Timbalan Exco Biro Penerbitan dan Publisiti PERMATA, Us Afifah Azzam dan juga orang lama yang bakal graduasi sebulan sahaja lagi, Us Ifwat yang juga merupakan tenaga pengajar kelas bantuan akademik untuk pelajar Malaysia di Mu'tah. Beliau juga mantan Timbalan Presiden MPPMJ dan meupakan naqib saya.

Terasa kurang ajar benar untuk berganding dengan orang lama sehebat mereka di pentas forum mahasiswa. Namun, dengan semangat dan dorongan dari kekanda Us Ridzuan Khalin, say cuba menggagahkan kaki melangkah.

Selasa, 24 November 2009

Cerita Anak Khatulistiwa

P/S : Cerita ini cukup berkaitan dengan yang hidup, mahupun yang telah mati. Tujuan ianya diceritakan semula adalah untuk diambil iktibar oleh mereka yang masih hidup. Samada menghirup nafas  dari oksigen  bekalan Tropika di Khatulistiwa malahan yang menghirup udara di garisan ekstrim, Mediterranean. Iktibar yang baik adalah dengan membacanya dengan kaedah : Al-I'tibaar bi 'umuum al-lafz, laa bi khusuus al-Sabab...Terima Kasih.

Tepat jam 5.30 pagi. Jam surau berjenama Protime sumbangan ahli korporat berdecit-decit.

Azan berkumandang dari corong speaker TOA Model TC-650 M, buatan asli diimport dari negeri matahari terbit, Jepun. Jelas dan nyata. Menggerudi anak telinga yang masih nyenyak tidur. Ayam jantan Khatulistiwa pula sudah kering anak tengkuknya memanggil-manggil anak Adam ke masjid.

Namun, tentera syaitan yang berikrar dihadapan Allah, bahawa hidup dan matinya akan diwaqafkan untuk menyesatkan anak-anak Adam tidak akan lena. "Sejuk diluar sana, 27 darjah selsius...tidurlah.." Bisik anak murid Azazil.

Sabtu, 31 Oktober 2009

Ada Apa Pada Mu'tah

Kedatangan saya ke Mu'tah sememangnya mengundang pelbagai persepsi, tinggal lagi, untuk menukarkan negatif persepsi itu dan menerima positifnya sebagai tanda sayangnya mereka terhadap jasad ini. Saya cuba mengelak dari menjustifikasikan persepsi tersebut kepada baik dan buruk.

Abang-abang di Jordan terkedu, kenapa saya memilih Mu'tah sedangkan mendapat tawaran istimewa dari bandar Nabi, Madinah Al-Munawwarah.

Begitu juga abang-abang dan sahabat se'muqabalah' dari Madinah ditinggalkan dengan penuh persoalan, mengapa saya menolak tawaran berjiran dengan Rasulullah S.A.W?

Tak dilupakan sahabat-sahabat saya yang kebingungan dengan kenyataan-kenyataan saya yang 'pelik' di penghujung nafas di bumi semenanjung Melayu.

Sementelahan pula sanak saudara yang cukup (dibaca hanya) mengenali Madinah, amat pelik dan janggal bila diberitahu bahawa saya memilih Mu'tah yang sepi dari pengetahuan mereka.

Bukanlah tujuan saya 'mencipta' senario tersebut untuk mencari publisiti, tapi demi menjaga hati-hati banyak yang menyayangi diri ini. Saya berjauh diri dari melukai hati-hati mereka yang banyak membantu  diri ini meski sering kali bantuan itu tidak saya hargai.

Sehingga ke hari ini, jawapan kenapa ke Mu'tah masih digantung jauh di sudut hati saya. Saya masih belajar, mengkaji, merenung dan meneliti, bagaimana untuk memberi jawapan yang harmoni kepada semua yang sudi bertanya. Supaya kelak, yang menerima kehadiran saya tidak terlalu gembira dengan pilihan saya, dan yang terpaksa melepaskan pula tetap redha dan mendokong perjuangan saya.

Ada apa pada Mu'tah?

Tidak ada kurangnya Muta'h dan tidak ada lebihnya Madinah. Begitulah sebaliknya.

Faktor utama yang harus saya teliti adalah diri saya sendiri. Bukan tempat yang harus saya tuju. Dengan mengenali potensi diri, saya akan mengetahui, jalan mana yang sesuai untuk saya lalui demi mengukir diri ini agar menjadi bintang dalam masyarakat, andai tidak menyuluh, masih mampu memberi petunjuk meski dengan kerdipan halus di hujung penjuru bima sakti.

Seperti mana peperangan Mu'tah yang diatur penuh strategi, begitulah juga saya menyusun langkah dan strategi jihad ilmu saya. Memilih tapak pengajian tanpa mengenakan dengan sedikit kajian dan selidikan  untuk disesuaikan dengan diri sendiri pastilah ianya menjadi kebodohan yang mengundang sesalan.

Bukanlah Mu'tah kerana ramainya sahabat saya ke sini. Bahkan semasa memilih Mu'tah, saya hanya berseorangan memilihnya, barulah kemudiannya mendapat undian kedua tertinggi selepas bumi Kinanah, Mesir.

Bukanlah Mu'tah kerana diracuni Saifulislamisme. Saya hanya mengenalinya sebagai sifu dalam dakwah dan penulisan, bukan dunia pengajian. Meski gaya berfikir saya banyak berubah selepas mengenali susuk itu. Memilih untuk datang ke 'bumi' yang banyak 'menyeksa' susuk itu pasti bukan pilihan yang baik.

Saya juga tahu akan seksanya berada di sekeliling persekitaran yang kurang bersistem. Saya tahu akan sesaknya dada berhadapan dengan kerenah segelintir arab. Saya tahu akan betapa sengsaranya menggantung perut di sini dek kerana kewangan yang sempit. Saya juga sedar akan seksanya rakyat Malaysia dengan kurangnya air di dataran ini. Saya sedar, bahawa saya sedang meninggalkan ibu sendirian sepi.

Tidak dinafikan, jauh di sudut hati, ingin sekali menjadi jiran jasad mulia dan suci itu.

Namun, saya masih ke sini. Saya sedar akan mahalnya mahar yang saya bayar untuk menyambut sapaan mesra Saidina Ja'far At-Tayyar yang sungguh mengugat hati.

Inilah jalan yang akan saya lalui.

Di Medan Mu'tah, Dataran Syam yang pernah didoakan Nabi.

Doakan saya teguh di sini meski kita berbeza 'bumi. Moga saya terus disayangi meski memilih jalan sendiri.

p/s : Artikel ini ditulis sebulan yang lepas, diulang tayang semula atas sebab yang munasabah.

Komen Anda Adalah Buah Tangan Terbaik [hasanhusaini]

Rabu, 23 September 2009

Kita Pernah Berjanji...

Hujung minggu, saya berkesempatan ke bandar untuk mencukupkan bekalan kehidupan harian. Pengubat bosan, saya bawa bersama seorang sepupu yang baru berusia 4 tahun.

Umur yang sedang mabuk mengeja. Segala-galanya ingin dieja. Sehinggakan model kereta dan no.plat pendaftarannya sekali.

Fitrah benda baru, segalanya enak.

Namun hakikat sebenar adalah untuk menunaikannya dengan niat untuk menyumbang manfaat nanti, apakah ianya masih segalak itu saat membaca menjadi kewajipan?

Saya pernah menjadikan tugas memandu sebagai ubat mengantuk paling efisien. Sebut sahaja mahu ke mana, pasti mampu menjadi jawapan saya, meski pukul 4 pagi yang siangnya belum sempat qailullah.

Namun kini?

Untuk mencukupkan jarak dua marhalah boleh membuatkan saya menguap puluhan kali. Stamina sudah hilang berkala dengan kegemaran yang bertukar menjadi rutin dan kewajipan yang membosankan.

Mydin Kota Bahru

Seperti biasa, hujung minggu menjanjikan lautan manusia turun ke Bandar. Rakyat Kelantan dengan kuasa belinya yang maha tinggi membanjiri pasaraya yang ada di sekitar Bandar. Khususnya Mydin.

Usai memilih barangan yang diperlukan, saya menolak troli ke kaunter bayaran. Dengan autopilot, saya mencari kaunter yang paling pendek barisannya.

Beratur.

Sepupu yang saya bawa bersama asyik mengeja apa saja tulisan yang terbayang dimatanya.

Tiba-tiba, baju saya ditarik-tarik. Saya menunduk dan bertanya, “ kenapa?”

Sambil memuncungkan mulutnya ke arah satu label dan mengeja.

W-A= Wa, N-I=ni, T-A=ta....

WANITA! Lorong Wanita!

“ Ni lorong wanita la abe long…nun lorong lelaki…” suara nyaringnya mudah menghinggapi cuping telinga mereka yang berada sekeliling.

Saya berbasa-basi, menarik troli ke kaunter sebelah yang agak panjang.

Kebiasaan saya di tengah ibu negara Malaysia melupakan terma dan undang-undang yang diamalkan di negeri sendiri. Kelantan tidak sama dengan Kuala Lumpur!

FITRAH

Fitrah kanak-kanak sekecil itu pasti akan tertarik ke arah yang baik. Mengikuti undang-undang fitriyah. Cuma, seandainya fitrah itu tidak dijaga dan dididik dengan baik, ia akan hangus ditelan kebiasaan yang dipaksa-paksa lantas merosakkan.

KEBIASAAN

Sejak awal menjejakkan kaki ke Darul Quran, saya memasang tekad untuk menjadi best student.

Maka, saya ke kelas seawal 7 pagi, sedangkan kelas akan bermula pada pukul 8 pagi.

Saya istiqamah dengan jadual yang saya bawa dari MTDQ Repek yang padat. Meng'haram’kan waktu selepas Maghrib selain dari diperuntukkan untuk menghafal ( dibaca mengulang ).

Saya beristiqamah untuk datang ke Masjid 1jam sebelum subuh. Jadual ketat saya sebelum ini (MTDQ Repek) dapat saya praktikkan dengan baik.

Namun itu hanya untuk beberapa bulan cuma. Selepas beberapa ketika, pergaulan dengan teman-teman, kekangan tugas dan sebagainya, saya terlencong dari ‘kebiasaan fitrah’ kepada kebiasaan yang buruk.

Kalau ingin disyarahkan dari sudut pandangan ‘Us Stephen Covey’ maka ia pastinya berpunca dari diri saya yang tidak Proaktif.

Hingga akhirnya, bagaikan nasi yang sudah menjadi bubur, saya menyesal dengan apa yang berlaku. Ingin saja dikalaukan apa yang telah dirancang dahulu berjalan lancar.

BAHARUKAN NIAT

Kini, saya bakal melangkah ke dunia baru. Ke Dataran Syam Insya-Allah. Ameen.

Saya sudah mula memasang-masang tekad lagi. Untuk menjadi yang terbaik sekali lagi.

Sesuai dengan akta imtihan Allah dalam surah Al Mulk. Mati dan hidup diciptakan untuk menguji, siapa yang TERBAIK amalnya.

Berbagai niat di'pasangkan' di kepala.

Pengajian musim panas.

Talaqqi.

Ziarah Syria untuk ‘mencuri’ sanad dan sebagainya yang terlintas di kepala…

“ Ana nak buat degree 3 tahun je kat Mu’tah” seorang sahabat memahat niat di Kuala Kubu Bharu.

“ Musim panas, ana nak ke Syria, talqqi kitab dan cari sanad Al-Quran dengan Syeikh Qurraa’..” azam seorang sahabat yang lain.

" Ingat ye janji kita, nak menadah kitab dan muzakarah antara kita..." janji diingatkan oleh seorang sahabat.

“ Kat Jordan nanti, ana nak tinggal dengan arab, senang dapat bahasa..” seorang lagi sahabat berazam luar kotak.

" ana kalau ditakdirkan ke Jordan, ana nak mujahadah betul-betul..ana kesian pada ibu dan ayah ana, bukannya berduit sangat mereka tu...", seorang lagi merancang kehidupan.

"moga-moga hijrah ana ke Jordan, betul-betul menghijrahkan ana ke arah yang lebih baik..doakan ana dapat kekuatan untuk tinggal perangai-perangai lama yang buruk..." keluh seorang sahabat lagi.

" Insyaalah, selagi ada rezeki untuk ana, kita akan berkongsi..kita akan saling kuat-menguat dan tak akan berpecah haluan..." lafaz ala bai'ah yang pernah dituturkan di tulang belakang semenanjung.

“ Ana nak sambung master terus kat Jordan..” Getus seorang lagi.

Dan saya yakin, mereka semua berniat untuk menjadi yang terbaik demi Islam.

KEBIMBANGAN SAYA

Saya cuma mampu menawarkan kebimbangan untuk diambil perhatian andai ianya baik. Bimbangkan beberapa hepotesis saya menjadi kenyataan.

Bimbang kita bermudah-mudah dengan alasan uruf.

Bimbang kita mudah hilang identiti dan jati diri dalam kegelapan tanpa penyuluh melainkan diri sendiri. Andai diri berTAQWA, maka jalan yang baik itu senang dijumpai. Namun andai diri kontang TAQWA kerana maksiat dan nista, maka pastinya jalan itu sulit untuk dijejaki.

Bimbang kita melencong dari niat dan qasad awal. Bimbang juga teralih keutamaan dalam amalan.

Bimbang kita lupa akan janji-jaji yang pernah terlafaz.

Moga Allah mempermudahkan laluan saya untuk menjadi yang TERBAIK dalam konteks manusia dengan mampu memberi MANFAAT kepada Ummat…ameen.

P/S : Artikel ini ditulis pada 1 Julai 2009 dengan tajuk "Sebelum Kebiasaan Menyelimuti" dan diterbitkan semula atas asbab dan faktor yang munasabah. Moga saya tidak terlepas peluang untuk kali kedua....
Komen Anda Adalah Buah Tangan Terbaik [hasanhusaini]

Isnin, 21 September 2009

Raya Di Perantauan

Assalamualaikum wbt..minal aidin wal faaizin,kullu am wa antum bikhoir diucapkn kepada seluruh ummat Islam,semoga raya kali ini merupakan hari kemenangan yang amat bermakna bagi kita.Mudah-mudahan kita memperoleh taqwa hasil tarbiyyah selama sebulan dalam bulan Ramadhan yang lalu.Taqwa inilah juga yang akan menjadi bekal untuk kita mendepani bulan-bulan yang akan datang,Insya Allah.



Inilah kali pertama saya beraya di perantauan nun jauh di bumi anbiya',tempat syahidnya 3 panglima ghuzwah Mu'tah.Terasa juga sayu tatkala beraya tanpa umi ayah dan keluarga di sisi,namun demi matlamat ilmu saya gagahkan hati ini.Terkenang akan semangat dan pengorbanan para ulamak terdahulu dalam menuntut ilmu.Hebat!Mereka memang hebat,hemah mereka tinggi,hasilnya lahirlah Imam-imam mazhab yang empat,Imam Nawawi dan ramai lagi.



Berbalik pada cerita idulfitri,pelbagai persiapan dibuat untuk hari kemenangan ini.Inilah cara untuk mengubat kerinduan pada tanah air yang baru ditinggalkan kira-kira dua minggu.Kerinduan pasti terubat dengan nasi kapit Perol,satay Bandar,rendang Ket dan lontong DBH.Pengalaman baru sebagai anak rantau kerana kesemuanya dihasilkan bersama adik beradik seperjuangan,,marveleous!





Allahumma taqabbal minna! Ya Allah,terimalah ibadah puasa kami sepanjang Ramadhan yang lalu,berilah kekuatan kepada kami untuk terus istiqamah beribadah padaMu,jadikan kami hambaMu bukan hamba Ramadhan.Kurniakn kami taqwa hasil didikan Ramadhan.





Kredit untuk Us Fakhrul Hayyi selaku penulis.

Komen Anda Adalah Buah Tangan Terbaik [hasanhusaini]

Sabtu, 12 September 2009

Tetamu Syam

Tiba di Changi di pinggir tengah malam. Saya melangkah keluar dari pesawat A320 milik Airasia dengan seribu satu perasaan. Melangkah menuju ke pintu keluar. Menelusuri jalan hampir 600 meter berselangkan 'tangga bergerak' sebagai pembantu yang baik.

Selepas ke tandas, saya terus ke kaunter Imegresen untuk pemeriksaan sebelum ke kaunter tuntutan bagasi.

UJIAN PERTAMA

Lama beratur, tiba giliran saya.

"Mana borang imegresen..?", tanya pegawai tersebut, seorang makcik yang agak manis mukanya.

"Ada borang ke..?" soal saya kehairanan.

"Allah, adik pergi isi borang kat sana, pastu terus datang jumpa akak, tak perlu Q lagi..." jelasnya berbelas.

Saya bergegas ke belakang mengisi borang dan kembali, seterusnya melepasi imegresen itu dengan lafaz salam kepada 'ibu' yang baik hati itu.

Bergegas ke Terminal 3 dengan khidmat Skytrain yang bertugas setiap selang tiga minit. Di Terminal tiga, saya terus check in untuk memudahkan urusan.

Sambil meronda, saya terlihat sebuah arca cantik, lantas terlintas kepada tengkuk saya yang terasa ringan.

"Allah, mana kamera aku..?"

Kamera 1000D saya hilang di Airport Changi.

Ringkasnya, Allah ketemukan semula dengan gajet itu 10 min sebelum gate penerbangan QR649 ditutup.

UJIAN KEDUA

Penerbangan selama hampir 8jam membelah samudera ingin dijadikan medan istirahah selepas hampir seminggu saya bertungkus-lumus menyiapkan persediaan untuk nafar kali ini.

Pukul 3.55 am waktu Doha, saya tiba dengan selamat. Keluar dan menghirup udara segar padang pasir Doha yang kian berubah wajah menjadi lebih moden.

Akibat keletihan, saya terus menyelesaikan kewajipan, subuh berjemaah dan terus mencari kaunter pertanyaan untuk bertanyakan khabar tentang penginapan saya.

Akhirnya dimaklumkan bahawa, saya tidak disediakan dengan hotel. Bermakna saya transit selama 9 jam dengan i'tikaf di Musalla.

Rahmat mendatang. Udara Jordan akhirnya saya hirup di penghujung waktu Zuhur. Queen Alian International Airport masih dalam proses naik taraf. Sedikit kekalutan di hudud untuk pengesahan visa, namun akhirnya ungkapan syukur tidak terhingga apabila mata saya bertentangan denga empat mata dari Syria.

Azan dan Arif bermusafir dari Syria untuk menyambut ketibaan saya sebagai tetamu dataran Syam ini.

Air mata bergenangan. Ya Allah, manis sungguh ukhuwah ini....

Berpelukan dan bersalaman.

Ya Allah, mereka datang kerana aku ini adalah saudaranya, bukan kerana nikmat dunia yang fana, kurniakan kepada keduanya Syurga mu di sana...ameen.

Komen Anda Adalah Buah Tangan Terbaik [hasanhusaini]

Rabu, 9 September 2009

Saya Dan Mu'tah


Lima Keluarga yang mengiringi Musafir Saya
Setahun yang lalu, saya mula merindui bumi ini. Bumi yang tersemadinya wira saya, Saidina Jaafar At-Tayyar R.A. Bumi yang menyaksikan syahidnya tiga sahabat agung di medan ini, medan Mu'tah.

Dan hari ini, saya di sini. Udara Mu'tah yang terselit bau Khubuz kini memenuhi paru-paru saya pada setiap helaan nafas. Alhamdulillah.

Namun di luar sana, mungkin ada yang mengucapkan kalimah lain, lantaran saya ke sini membiarkan surat dari Jamiah Madinah terbiar tanpa jawapan.

4 September 2009

Persiapan ringkas dibuat. Semalamnya, sedikit solat hajat dilakukan selepas Tarawih. Sanak saudara menziarahi. Saya mengemas dan menyusun barang-barang yang perlu dibawa.

Usai berbuka dan solat Maghrib, dua buah kereta bersiap sedia untuk bertolak ke Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra. Belum sempat bertolak, datang lagi dua buah, ingin menyertai rombongan kami untuk menghantar saya ke Jordan.

Jam 1130 malam, terbang ke awan biru membelah semenanjung ke LCCT Kuala Lumpur.

Singgah di Bangi untuk sehari. Menziarahi Surau Al Mujahidin, Desa Surada, Naqib- Us Idris di UKM, sahabat usrah-Khalil, Hafizan, Fadhlan, juga Sahril.

Selepas Asar, adik-adik Darul Quran tiba untuk mengiringi saya ke LCCT sekali lagi untuk ke Singapura.

Berbuka puasa di LCCT bersama adinda saya dari USIM yang datang bersama kawan-kawannya.


Mereka Yang mengetahui 'Rahsia' saya.....

Dan sebelum berlepas, memberi dan menerima sedikit wasiat dari sahabat-sahabat seperjuangan.

Terima kasih atas cenderamata kenangan kalian.

8.35 malam, sekali lagi saya membelah semenanjung untuk ke Changi International Airport. Transit di sana sebelum menukarkan penerbangan ke Qatar Airways ke Amman, Jordan melalui Doha, Qatar.

Cabaran bermula dalam kembara sendirian saya mencari bekalan TAQWA. Bersambung lagi.

Komen Anda Adalah Buah Tangan Terbaik [hasanhusaini]