"Ustaz, laptop ana 'mati' lagi. Boleh ustaz tengok-tengokkan?" Mesej seorang akhawat melalui peti masuk Facebook saya.
Permintaan sebegini bertamu hampir setiap bulan. Ia memaksa saya melakukan sesuatu. Cukuplah apa yang telah menimpa saya dan beberapa rakan lain menjadi iktibar. Kerugian yang amat besar dan menyedihkan apabila laptop yang bernilai hampir RM3000 tidur dengan nyenyak secara tiba-tiba. Enggan terjaga bila dikejutkan semula. Mother Board-nya terbakar.
"Saufi, jom makan Quick Burger Syimali." Hamdi mengajak kawannya mengisi perut di selang masa kosong antara dua kuliah pengajian.
"Eh, tak apalah, ana dah tapau sandwich falafil dari Mat'am Sya'bi tadi." Saufi menolak pelawaan rakan baiknya. Duit poketnya harus ditapis sebaik mugkin. Masuknya jarang-jarang, maka keluarnya perlu kadang-kadang. Sandwich Falafil paling sesuai untuk yang punyai bajet kewangan setinggan seperti kebanyakan pelajar persendirian di luar negara.
"Awalnya kamu ke kelas?", Tanya Subhi. Hairan melihat teman serumahnya bergegas-gegas untuk ke Universiti. Jam baru pukul 7 pagi, sedangkan kuliah bermula jam 9 pagi.
"Ana nak tunaikan apa yang patut dulu. Baru tenang nak dengar kuliah." Firdaus tersenyum sumbing sebelum menghilang di celah daun pintu yang dikaut. Perutnya perlu dikosongkan segera. 'Jentolak' dalam perutnya sudah memulakan kerja 'membajak' sejak sebelum Subuh.
Berjimat di Luar Negara
Itulah masam manis berkelana di luar negara dengan tajaan FAMA (Father&Mother) ataupun tajaan MAS (Mak Ayah Support). Tidak seperti rakan-rakan lain yang mendapat rezeki tajaan JPA, MARA dan sebagainya.Rutin kami kebiasaannya perlu diatur mengikut kesesuaian dan kemampuan, bukan ikut kemahuan. Kadang-kadang, keperluan digadaikan untuk memberi peluang kepada kewajipan. Itulah kisahnya apabila duit datang jarang-jarang, maka ianya perlu hanya keluar dari poket secara kadang-kadang.
Menjadualkan Pengeluaran
Air yang masuk ke tangki seminggu sekali hanya layak digunakan untuk membasuh pinggan mangkuk dan pakaian serta mandi wajib atau mandi sunat yang amat muakkad sahaja. Air yang berjumlah 2 meter padu untuk kegunaan 5 orang rakyat Malaysia yang setiap rumah ditanah air dilengkapi telaga yang membekalkan air percuma. Setiap titik air amat berharga. Malaysia tanah air, Jordan tanah pasir. Maka, air mineral berjumlah seliter setengah itu lebih mahal dari minyak petrol RON97.
Bagaimana?
Banyak teknik yang berguna boleh dipraktikkan. Antaranya seperti yang diamalkan oleh Firdaus, buang air di Universiti. Tidak ada yang lucu untuk kami ketawa. Bayaran yuran wafidin tidak banyak untuk dimanfaatkan kepada perkara lain. Dewan untuk program masih perlu dibayar. Maka, kami beranggapan, yuran itu adalah untuk kegunaan air di Universiti.
Air untuk minum harus dibeli. Air bernilai hampir RM 4 untuk 20 liter hanya mampu bertahan sehari setengah dengan 5 orang pengguna. Untuk membancuh air, kami hanya memanaskan air, bukannya memasakkan air. Kepanasan yang hanya untuk melarutkan kopi atau teh dan meleburkan gula. Jimat Gas.
Untuk memasak nasi pula, saya lebih suka untuk menggunakan beras usang siam yang nyata lebih murah dan keras. Fizikalnya yang kecil itu bakal mengembang sehingga 4 kali ganda. Namun, untuk sampai ke tahap itu, ianya memerlukan air yang banyak dan masa yang agak lama dari beras biasa. Maka, untuk menjamin penjimatan aktif, saya rendamkan beras tersebut terlebih dahulu selepas ianya dibasuh bersih. Beras yang lembut selepas direndam tidak akan memerlukan air dan masa yang lama untuk masak. Jimat gas lagi. Kontur nasi juga lebih lembut dan lebih besar. Enak.
Ayam RM 7 sekilo. Daging lembu RM 35 sekilo. Telur ayam RM 10 sesangkar untuk saiz B. Maka, perbanyakkan menu telur untuk menjamin penjimatan anda. Telur goreng mata kerbau. Telur dadar. Telur rebus. Telur pedas. Gulai Telur. Sup telur dan sebagainya. Hanya perlukan 5 biji telur untuk 5 orang, dengan kos RM 2 sahaja. Jimat.Ops, tunggu, ada teknik tambahan. Tambahkan pula bawang sebanyak mungkin ke dalam telur dengan sedikit garam, kemudian dikacau sebati supaya ianya lebih kembang dan besar.
Masakan terhidang secara ala kadar. Tidak ada pinggan digunakan. Lauk, nasi dan kuah serta sayur mahupun sambal dilambakkan ke atas talam yang telah dilapikkan dengan safrah dari plastik. Jimat air untuk basuh pinggan mahupun talam. Hanya perlu membasuh tangan dan mulut selepas makan.
Atur Subjek Pengajian
Pada awal semester, kami pastinya pening kepala untuk menyusun jadual pengajian. Subjek perlu diatur dengan penuh strategi. SWOT khusus perlu dibuat. Semua subjek perlu disusun dengan rapi supaya tidak ada selang masa yang lama di antara dua kuliah. Susunan ini penting supaya penjimatan mampu dioptimumkan. Masa yang kosong di antara dua kuliah akan memberi peluang kepada sereblum untuk sedar bahawa perut anda sedang berkeroncong. Masa itu juga akan mengingatkan kita untuk balik ke rumah. Ingat, tambang coastersemakin meningkat, ditambah pula dengan pemandu kerek yang tak mahu bayar baki 3 qirsy yang bersamaan dengan 15sen. Setiap sen itu cukup berharga pada kami. Satu sen melambangkan setitik keringat ibu dan ayah.
Teknik tambahan yang agak praktikal untuk dipraktikkan ialah dengan bayarkan tambang kawan-kawan sekali-sekala. Moga-moga, mereka akan membayarkan untuk kita 10 kali-20 kala. Bukankah kebaikan itu digandakan sepuluh?
Winter Oh Winter
Antara musim yang paling banyak memakan duit ialah musim sejuk. Musim sejuk biasanya bermula bulan 12 sehingga bulan 4. Udara yang amat sejuk pastinya memerlukan pakaian yang tebal dan berlapis-lapis. Maka, setiap minggu, bergandalah pakaian yang perlu dibasuh. Sabun juga berganda, begitu juga dengan air yang harganya hampir menyamai harga petrol.
Sejuk musim sejuk bukan sejuk sembarangan. Lebih sejuk dari berada dalam peti sejuk jenama LG. Rumah yang diduduki akan menjadi peti sejuk gergasi. Semua perkakas rumah akan menjadi sesejuk ais. Pisau, cawan, pinggan, pensel, kitab dan sebagainya. Udara yang lembap pula akan mudah merosakkan buku dan kitab. Maka, kebiasaannya, pemanas udara perlu dipasang selalu. Pemanas elektrik akan memakan belanja yang besar. Pemanas gasolin pula akan menghasilkan asap, bau busuk dan gas yang boleh memudaratkan kesihatan. Maka, pemanas gas akhirnya menjadi pilihan. Berapa harga setong gas di sini? Murah sahaja, RM 30. Alternatif yang terbaik untuk menjimatkan wang adalah dengan memastikan masa anda berada di dalam selimut bulu lebih lama dari waktu anda berada di luar selimut bulu.
Seorang kawan saya pula memberi cadangan, rumah baru jangan dipasang langsir. Menjimatkan tenaga elektrik kerana boleh menumpang cahaya dari lampu jalan. Dia tersengih selepas memberi cadangan tersebut.
ELEKTRIK
Terkenal dengan pendawaian tanpa kabel bumi. Soket di Jordan hanya soket dua mata. Pendawaian setiap rumah pula tidak disediakan kabel bumi untuk mengalirkan lebih tenaga ke dalam bumi. Setelah sesat, maka beberapa alatan elektrik yang 'manja' menjadi mangsa. Laptop dan Skrin LCD, printer dan handphone selalunya menjadi mangsa.
Di samping ketiadaan kabel bumi, Jordan juga terkenal dengan pembekalan tenaga elektrik yang sangat tidak stabil. Kadang-kadang voltnya turun ke paras bawah 100V dan kadang-kadang memanjat sehingga 280-300V.
Untuk keselamatan, pastikan anda mempunyai pengatur voltan (Voltage Regulator) yang berfungsi mengekalkan satu aras voltan yang kekal dan malar secara automatik. Ia boleh mengelakkan barangan elektirk rosak akibat lebihan dan kekurangan volt.
ELEKTROSTATIK
Selepas mensterika baju, anda akan dapati ada sesuatu yang meletup-letup di hujung jari anda. Ia juga berlaku ketika anda menyarungkan baju ke badan dan ketika bangun dari tidur. Ia adalah Elektrostatik. Cip-cip halus dalam beberapa alatan elektronik seperti handphone, laptop, Ipad, tablet sangat sensitif dengan elektorstatik. Justeru, pastikan anda menyahcaskan daya elektrik tersbut dengan memegang besi seperti pemegang pintu, sinki dan sebagainya bagi mengelakkan barangan kesayangan anda rosak.
Antara langkah yang baik untuk dipraktikkan ialah :
- Elakkan mengguna touchpad, sebaliknya gunakanlah tetikus berwayar. [wireless lebih baik]
- Elakkan plug charger dari bersambung ke soket laptop sewaktu tidak digunakan.
- Elakkan mengelap dan menyapu debu-debu sewaku laptop terpasang. Geseran akan menghasilkan elektrostatik.
- Elakkan mengguna laptop sewaku anda memakai pakaian kain sintetik. Pakai cotton, ikut sunnah. :-)
- Sebaiknya, charge laptop selepas laptop dimatikan.
- Memasang Voltage Regulator
DAPUR
Antara lubang paling besar yang mengalirkan duit dari poket pelajar di Jordan adalah mulutnya sendiri. Sentiasa terliur dengan makanan yang lazat dan enak. Makanan yang terjual di kedai-kedai arab pula sangat mahal sehingga mencecah RM 20 sehidangan. Maka, dapur adalah tempat untuk anda merancang kewangan anda. Guna ia sebaik yang mungkin.
Namun, dalam proses mengguna dapur, beberapa perkara perlu dititikberatkan untuk menjamin penjimatan optimum. Harga setong gas di Jordan lebih mahal berbanding Malaysia. Begitu juga caj bil elektrik. Maka, rancang penggunaan gas anda dengan baik. jangan sesekali menggunakan cerek letrik untuk memasak air. Kalau boleh elak juga memasak nasi dengan periuk letrik.
Tips penjimatan di dapur :
- Gunakan beras usang siam. Harga murah. Saiznya kecil, namun akan mengembang sehingga 4 kali ganda selepas masak.
- Rendam beras sejam sebelum di masak. Ia akan mengurangkan tempoh beras untuk lembut dan empuk.
- Panaskan air untuk melarutkan gula sahaja, bukan memasak air sehingga mendidih kerana air anda sudah dirawat dan ditapis.
- Masak daging dengan menggunakan sedikit serbuk soda bikarbonat supaya cepat empuk. Sebaiknya, goreng telur dadar je, murah dan cepat.
- Jangan basuh talam anda! Air di Jordan hampir sama mahalnya dengan petrol di Malaysia! Gunakan plastik safrah untuk melapik talam. Selesai makan, plastik dibuang, talam bersih.
- Ayam beku lebih murah dari ayam segar. Tapi, telur ayam jauh lebih murah.
- Banyakkan minum air masak berbanding air Winner.
BILIK AIR / TANDAS
Di Selangor, kerajaan negeri memperuntukkan 20 meter padu percuma. Di Jordan, meski berbayar setiap bulan, hanya 2 meter padu sahaja disalurkan. Ianya untuk kegunaan 5 orang bagi tempoh seminggu. Justeru, merancang penggunaan air sangatlah penting. harus diingat, seliter air di Jordan hampir sama dengan harga seliter petrol di Malaysia. Maka, teknik yang saya senaraikan di bawah mungkin akan membantu.
- Basuh pakaian pada hari air naik sahaja.
- Rancang penggunaan pakaian anda.
- Rancang air basuhan. Basuh yang putih dahulu, kemudian basuh yang berwarna, kemudian yang hitam. Semua dengan air yang SAMA kerana air basuhan tidak penting, yang utama ialah air untuk membilas.
- Tolong-menolong ketika membasuh, kumpulkan pakaian untuk semua ahli rumah, basuh bersama-sama. Lebih jimat, lebih berkat, lebih rahmat.
- Tandas di Jordan kebiasaan tidak menggunakan mangkuk S yang menyukarkan najis 'melarikan diri'. So, tak perlulah simbah banyak-banyak ye....
- Mandi? Sunat pagi Jumaat cukuplah. 2 meter tu bukannya banyak. Empati kepada kawan-kawan anda.
- Dan kalau sudi, optimumkan kepengunaan tandas sewaktu kuliah. ;-)
Dari KAMI untuk KITA
Sebagaimana air yang masuk ke tangki anda perlu dikawal agar ianya tidak kering sebelum tiba hujung minggu, maka kawalan dinar dalam poket anda pastinya lebih perlu. Keluar masuk kewangan perlu dirancang, dalam kehidupan seharian, apatah lagi dalam pengurusan persatuan. Aliran keluar yang terlalu banyak akan menyebabkan individu mahupun persatuan menjadi muflis! Purata perbelanjaan setiap orang pelajar adalah RM 400 sebulan. Semuanya dilaburkan kepada arab. Pelaburan kepada arab tidak menjamin pulangan manfaat kepada anda.
Saya cuba membantu dengan menyediakan beberapa perkhidmatan. Tujuan utamanya bukanlah untuk mencetak dinar, tapi untuk mengawal aliran duit anda kepada pasaran yang tidak ada pulangan. Duit yang diberikan kepada arab tidak akan dapat dipulangkan semula. Tidak ada satu pun samada secara langsung mahupun tidak langsung. Justeru, sejak tahun satu, saya berusaha ke arah itu. Dan hari ini, anda mempunyai sebuah studio, sebuah maktabah, sebuah mesin fotostat. Semuanya untuk mengawal aliran duit agar ianya mampu dipulangkan semula ke dalam poket anda, meski hanya berjumlah 5qirsy seorang.
Setiap manusia perlu berhubung dan perlukan komunikasi. Topup di sini amat mahal. Kami perlu membayar RM 32 untuk mendapatkan nilai topup RM 25. Kadar SMS dan kadar panggilan pula adalah sama. 20 sen untuk seminit dan satu SMS. Kalaulah ada Unipax di sini.
Justeru, kami lebih selesa untuk berhubung hanya dengan Yahoo Messenger, Skype dan Facebook. Free.
Opss...saya tidak boleh ke udara terlalu lama. Nanti bil akan meningkat. Jumpa lagi.
HASANHUSAINI,
Darul Muttaqin, Mu'tah, Jordan.
Moga najah di bumi jordan. Mahal brg2 d jordan,alhamdulillah brg di yaman xsemahal harga disana..=)
BalasPadam