Sabtu, 15 Oktober 2011

Thaif 2011


Borang permohonan zakat Majlis Agama Islam Kelantan dan borang permohonan pinjaman Yayasan Negeri Kelantan telah dikumpul. Borang-borang ini mesti disahkan di Education Malaysia Jordan sebelum ianya diterbangkan ke Malaysia. Tarikh terakhir untuk dikirim ke Malaysia adalah 14 Oktober 2011.

Saya termenung. Kuliah, duit, peperiksaan dan tanggungjawab. Itu pertimbangan yang timbul dibenak kepala saya. Akhirnya, saya nekad untuk ke Amman selepas kuliah hari Rabu, pulang malamnya untuk rehat sebelum kuliah bermula semula jam 9.00 pagi Khamis.

Berpakat dengan beberapa orang teman untuk menyewa kereta ustaz Hussin Fauzi, Presiden MPPMJ. 12.45 tengah hari, kami bertolak dengan tenang. Sekuntum doa musafir dipanjat kepada Allah agar perjalanan kami selamat. Meneladani sunnah, Ustaz Ihsan Pajaruddin dilantik sebagai ketua merangkap pemandu musafir kami.

"Alahai, jalan jem ke?", rungut ustaz Ihsan sewaktu tiba di persimpangan lebuhraya PLUS versi Jordan. Tak ada tol, tapi banyak bonggol. Treler beratur panjang. Asap hitam berkepul-kepul. Puluhan kenderaan lain membelah padang pasir sebagai alternatif. Jalan utama ditutup oleh penganjur mogok sempena pilihanraya tempatan. Mereka menuntut perhatian pihak kerajaan Jordan. Selatan Jordan dihuni oleh bumiputera, maka mereka sedikit keras kepala dan naik toncang berbanding dengan penduduk di utara Jordan yang kebanyakannya terdiri dari pelarian Palestin.

KIA Sedona biru gelap itu dianjur ke gigi aspal, berjengket di laluan bertentangan, merentasi mogok. Lepas. Pedal minyak ditekan lagi.

Tidak sampai sepuluh kilometer, satu lagi mogok dianjurkan dengan gaya yang sama. Batuan besar dilonggok di tengah lebuhraya, tayar dibakar dan jalan diawasi oleh pemuda tahan lasak bersenjatakan besi, parang dan kayu. Kami sekali lagi mengelak ke gigi jalan seterusnya masuk ke jalan kampung. Seorang pemuda mengejar kami dan memberi isyarat supaya kami berpatah balik. Ustaz Ihsan menguak tangan dan menjenguk sedikit kepalanya ke luar kenderaan. Menyedari kami warga asing, pemuda itu melepaskan kami pergi.

Peristiwa ini menjadi perbualan hangat kepada tiga orang tetamu baru Dataran Syam. Mereka terpinga-pinga dengan kejadian aneh ini.

Musafir diteruskan. Empat halangan yang sama kami harungi. Semuanya mudah dengan mengidentitikan kami sebagai warga asing.

Tiba di jejantas 'kopi'. Halangan di sini agak 'meriah'. Kami sekali lagi berhenti. Ustaz Ihsan bertanya kepada seorang pakcik akan jalan ke Amman. Tangan dan kepalanya diunjukkan pada sebatang jalan di celah kawasan penduduk. Kereta dihala ke situ. Menyusur perlahan melalui pasir sahara yang berdebu.

Tiba-tiba, sekumpulan kanak-kanak datang menyerbu dengan batu dan kayu. Kereta kami dikepung. Saya menganjur untuk mengundur. Budak-budak itu masih pendek akalnya, bukan boleh diajak berbincang. Tombol  gear ditarik ke R. Kereta mengundur ke belakang.

Kanak-kanak itu masih mengepung. Gaya mereka bagaikan kanak-kanak Palestin mengepung kereta kebal Israel. Kereta kami diketuk-ketuk. Ustaz Ihsan berhenti, kaca tingkap diselak. Kemahirannya berkomunikasi menarik minat budak-budak itu. Sambil memancing kanak-kanak itu, sambil kereta diundur untuk kami lolos.

Tang! Dang! 

Kereta dipukul di sebelah tempat saya duduk. Saya lantas membuka pintu, budak-budak itu saya herdik, SYABAB, ROUH!! (Hey budak, pergi jauh-jauh)

Tiba-tiba, pintu sebelah pemandu dibuka kasar. Seorang pemuda meluru masuk dan mencekik leher ustaz Ihsan dan melayangkan beberapa penumbuk ke kepalaya. Cermin mata hitamnya diragut kasar. Seorang lagi pemuda datang, menghulurkan tangan untuk merampas kunci kereta. Saya cepat mencengkam kunci sehingga memecahkan keychain dan jari saya terluka. Tali pinggang keselamatan yang diikat rapi menyelamatkan ustaz Ihsan dari ditarik keluar dan dibelasah teruk. Penumpang lain resah dan cemas. Muka mereka pucat, namun mulut masih tidak putus dari rayu dan doa.

Pergelutan berlangsung beberapa minit. Budak-budak nakal (sial) masih mengetuk-ngetuk kereta dengan batu dan kayu di tangan mereka. Ketukan di dinding kereta itu terasa cepat di hati saya. Mahu sahaja  dipenyet-penyet muka budak kurang ajar tersebut.

Seorang pakcik tua datang meleraikan pergelutan. Kami diminta lari segera. Tiga pemuda samseng itu masih geram. Sambil mengetap bibir, satu libasan dihayun ke bonet depan kereta. Kemek. Pedal minyak ditekan, kami keluar dan menyusur ke jalan kampung, mengekori trailer dan lori, membelah sahara mencari jalan ke ibu negara, Amman.

Perjalanan yang biasanya hanya sekitar kurang 2 jam, kini telah menelan lebih 4 jam. Kedutaan dan EMJ dimaklumkan. Kami tiba di EMJ dan Kedutaan Malaysia Jordan jam 5 petang. Nasib baik, urusan sempat diselesaikan. Pegawai yang bertugas setia menanti. Terima kasih kepada En. Anuar dan Ustaz Saifuddin.

Maaf kepada Ustaz Ihsan yang mungkin tercedera hasil permintaan saya. Juga kepada ustazah Atiqah atas bimbang dan runsingnya. Hari lahir ustaz Ihsan disambut ala kadar tanpa kehadiran isteri dan anak-anak.

Maaf dipohon kepada pemilik KIA Sedona, Ustaz Hussin dan Ustaz Muhammad. Saya akan menanggung kos baik pulih kereta berjasa itu.

Maaf juga kepada Hanif, Zulhusnayain, Syahmi dan Amir. Musafir kalian ke Amman tidak aman.

Terima kasih kepada ustaz Farid Ravi, Kudratullah, Hazwan dan Danial yang sudi menumpangkan kami semalaman.

Saya tak mampu mengarang panjang. Jemari meliar geram, mata pula bulat menyaga dan hati kuat mendidih bila teringatkan peristiwa ini. 

Bagaimana Rasulullah di Thaif? Mulianya baginda bila masih menaruh harapan pada generasi Thaif yang akan datang. Berbanding kami yang hanya teringatkan doa Nabi Nuh 'alayhissalam. "Jangan kau tinggalkan diatas bumi ini akan zuriat mereka!!"

HASANHUSAINI,
Darul Muttaqin, Mu'tah, Jordan.
15 Oktober 2011   02:20

Tiada ulasan:

Facebook Comments Box: Bloggerized by HASANHUSAINI.COM

Catat Ulasan

Komen Anda Adalah Buah Tangan Terbaik [hasanhusaini]