Sabtu, 12 September 2009

Tetamu Syam

Tiba di Changi di pinggir tengah malam. Saya melangkah keluar dari pesawat A320 milik Airasia dengan seribu satu perasaan. Melangkah menuju ke pintu keluar. Menelusuri jalan hampir 600 meter berselangkan 'tangga bergerak' sebagai pembantu yang baik.

Selepas ke tandas, saya terus ke kaunter Imegresen untuk pemeriksaan sebelum ke kaunter tuntutan bagasi.

UJIAN PERTAMA

Lama beratur, tiba giliran saya.

"Mana borang imegresen..?", tanya pegawai tersebut, seorang makcik yang agak manis mukanya.

"Ada borang ke..?" soal saya kehairanan.

"Allah, adik pergi isi borang kat sana, pastu terus datang jumpa akak, tak perlu Q lagi..." jelasnya berbelas.

Saya bergegas ke belakang mengisi borang dan kembali, seterusnya melepasi imegresen itu dengan lafaz salam kepada 'ibu' yang baik hati itu.

Bergegas ke Terminal 3 dengan khidmat Skytrain yang bertugas setiap selang tiga minit. Di Terminal tiga, saya terus check in untuk memudahkan urusan.

Sambil meronda, saya terlihat sebuah arca cantik, lantas terlintas kepada tengkuk saya yang terasa ringan.

"Allah, mana kamera aku..?"

Kamera 1000D saya hilang di Airport Changi.

Ringkasnya, Allah ketemukan semula dengan gajet itu 10 min sebelum gate penerbangan QR649 ditutup.

UJIAN KEDUA

Penerbangan selama hampir 8jam membelah samudera ingin dijadikan medan istirahah selepas hampir seminggu saya bertungkus-lumus menyiapkan persediaan untuk nafar kali ini.

Pukul 3.55 am waktu Doha, saya tiba dengan selamat. Keluar dan menghirup udara segar padang pasir Doha yang kian berubah wajah menjadi lebih moden.

Akibat keletihan, saya terus menyelesaikan kewajipan, subuh berjemaah dan terus mencari kaunter pertanyaan untuk bertanyakan khabar tentang penginapan saya.

Akhirnya dimaklumkan bahawa, saya tidak disediakan dengan hotel. Bermakna saya transit selama 9 jam dengan i'tikaf di Musalla.

Rahmat mendatang. Udara Jordan akhirnya saya hirup di penghujung waktu Zuhur. Queen Alian International Airport masih dalam proses naik taraf. Sedikit kekalutan di hudud untuk pengesahan visa, namun akhirnya ungkapan syukur tidak terhingga apabila mata saya bertentangan denga empat mata dari Syria.

Azan dan Arif bermusafir dari Syria untuk menyambut ketibaan saya sebagai tetamu dataran Syam ini.

Air mata bergenangan. Ya Allah, manis sungguh ukhuwah ini....

Berpelukan dan bersalaman.

Ya Allah, mereka datang kerana aku ini adalah saudaranya, bukan kerana nikmat dunia yang fana, kurniakan kepada keduanya Syurga mu di sana...ameen.

Komen Anda Adalah Buah Tangan Terbaik [hasanhusaini]

Tiada ulasan:

Facebook Comments Box: Bloggerized by HASANHUSAINI.COM

Catat Ulasan

Komen Anda Adalah Buah Tangan Terbaik [hasanhusaini]