Ahad, 27 September 2009

Malu Aku Berjiran Dengan Mu

Semalam, saya bermimpi lagi. Setelah hampir sebulan saya berkelana di Dataran Syam, harapan untuk menziarahi Makam Syuhada' Mu'tah belum tercapai. Meski jarak kurang 5km dari Bayt Malizi, tempat saya berteduh sementara mendapat mahligai baru.

Perasaan bersalah timbul. Saya melawat Karak pada hari keempat saya di Jordan. Di situ, saya telah melawat tempat yang dikatakan Maqam Nabi Nuh a.s. Di situ juga saya melawat Qal'ah Saahuddin. Kubu yang baginda perolehi selepas menawan kerajaan Rom Bzyntine.

Semalam, saya ke Laut Mati yang jauhnya melebihi dua marhalah. Mencari pengajaran penting di situ.

Namun, makam Syuhada' yang berjiran dengan tempat tinggal saya masih belum dijejaki.

Dek mimpi itu, saya bersiap di awal pagi. Membelek sedikit sebanyak buku-buku dan kitab sirah. Buku Sejarah Peperangan tulisan Us Riduan Mohd Noor menjadi pilihan. Al-Rahiq Al-Makhtum tulisan Syeikh Sofiyurrahman juga tidak dilupakan. Akhirnya, Sirah Ibnu Hisyam juga saya selak.

Sejarah perang Mu'tah saya teliti sebenar-benarnya.

PERANG MU'TAH

Peperangan Mu'tah berlaku pada tanggal 13 Jamadil Awwal tahu ke-8 Hijrah. Bersamaan dengan Ogos dan September 629 Masihi.

Perang Mu'tah tercetus disebabkan oleh terbunuhnya utusan Baginda Muhammad S.A.W, Al-haarith bin Umair Al-Azdi yang diutuskan untuk menghantar surat kepada pemimpin Basra.

Beliau akhirnya telah dibunuh oleh Gabenor Al-Balqa' bernama Syurahbil bin Amru Al-Ghassani di Mu'tah, daerah berhampiran dengan Kota Karak di Jordan. Al-Balqa' merupakan kawasan taklukan Rom berdekatan dengan Syria.

Mengetahui berita tersebut, Baginda S.A.W amat bersedih lantas mengumpulkan tentera seramai 3000 orang untuk mara ke Mu'tah bagi menuntut bela atas kezaliman yang telah dilakukan oleh Kerjaan Rom ke atas Islam, khususnya ke atas Al-Harith.

Sebelum berangkat ke Mu'tah, baginda S.A.W telah berpesan kepada tiga orang sahabat baginda.
إن قتل زيد فجعفر، وإن قتل جعفر فعبد الله بن رواحة ، وعقد لهم لواء أبيض، ودفعه إلى زيد بن حارثة
Rasulullah S.A.W telah memberi arahan dari segi kepimpinan ketika berlakunya peperangan yang mana dimulai dengan Zaid bin Harithah diikuti oleh Ja'afar bin Abi Thalib jika Zaid gugur. Kemudian diganti oleh Abdullah bin Rawahah apabila Ja'afar telah syahid. Jika ketiga-tiganya telah gugur maka para tentera diminta memilih salah seorang yang thiqah atau dipercayai di kalangan mereka untuk memimpin.

Saat membaca wasiat baginda ini, saya menangis. Hati saya bertutur, "Seolah-olah ini adalah petanda awal bahawa mereka akan syahid!"

Lalu maralah tentera Islam ke Mu'tah.

Sebaik sahaja mereka tiba di Mu'tah, tentera musuh telah mendengar kemaraan tentera Islam yang mana dengan segera panglima perang musuh, Harcules mengumpul bala tentera lebih seratus ribu orang disamping Syurahbil pula mengumpul seramai seratus ribu bala tentera yang lain hasil gabungan qabilah Lakham, Juzam, Qain dan Bahara'.

Apabila mendengar berita mengenai jumlah tentera musuh yang begitu ramai, maka tentera muslimin telah berbincang langkah mereka yang seterusnya di Ma'an selama dua malam. Ramai di kalangan mereka telah mencadangkan agar menghantar maklumat kepada Rasulullah S.A.W mengenai perkara ini tetapi Abdullah bin Rawahah dengan tegas bangun bekata:

يا قوم، والله إن التي تكرهون لَلَّتِي خرجتم تطلبون : الشهادة، وما نقاتل الناس بعدد ولا قوة ولا كثرة، ما نقاتلهم إلا بهذا الدين الذي أكرمنا الله به، فانطلقوا، فإنما هي إحدي الحسنيين، إما ظهور وإما شهادة

"Wahai kaumku, sesungguhnya apa yang kita benci itu sedang kita hadapi dan kita mahukan sekarang ini, iaitu mati syahid. Kita tidak memerangi musuh kerana bilangan, bukan juga kerana kekuatan dan bukan juga kerana jumlah tentera yang ramai, namun kita berperang hanya semata-mata untuk agama yang telah Allah muliakan kita ini dengannya. Marilah kita mara, di sana nati ada dua kegembiraan yang menanti, Menang atau Syahid."


Maka maralah tentera islam yang dipimpin oleh Zaid Bin Harithah, anak angkat Baginda S.A.W yang disayangi merempuh pertahan musuh. Lantas akhirnya Saydina Zaid terbunuh.

Maka Saydina Jaafar menyambut panji Islam dan memimpin peperangan dengan penuh semangat. Namun, kerana semangat juangnya yang tinggi, beliau juga telah gugur dengan kesan tikaman dan anak panah yang tidak kurang dari 70 tikaman di badan beliau. Manakala kedua belah tangan beliau terputusu ditetak musuh.

Abdullah Bin Rawahah seterusnya menggantikan Jaafar sepertimana kehendak Rasulullah. Dan akhirnya, beliau juga gugur syahid.

Lalu tentera islam memilih Khalid Al-Walid untuk menjadi panglima. Dengan pemikiran strategis beliau, akhirnya tentera islam berjaya mengundurkan musuh setelah ratusan musuh berjaya dibunuh sedangkan hanya 12 orang tentera islam yang terbunuh.

Rasulullah yang menerima berita kematian 3 perajurit itu amat bersedih dan air mata nubuwwahnya menitis.

Kesedihan keluarga Jaafar dipadamkan dengan khabar bahawa Perajurit itu telah dikurniakan sayap, digantikan dari kedua tangannya yang terputus mempertahankan panji Islam.


Sehari Senyuman saya hilang

Bersendirian memenuhi jemputan Saidina Jaafar, saya menaiki Coaster dari pekan Mu'tah ke Mazar. Dengan tambang 15 Qurusy, saya tiba di hadapan masjid besar yang sedang di ubahsuai.

Berteleku di sisi makam Zaid di bawah kubah kiri masjid, saya menitiskan air mata. Anak angkat kesayangan nabi ini terbunuh. Air mata kesedihan saya mengalir. Terasa bagaimana terhirisnya perasaan baginda S.A.W. Zaid Ibn Harithah dalah satu-satunya nama sahabat yang terukir di dalam Al-Quran.

Melangkah pula ke Makam Saidina Jaafar Al-Tayyar. Sekali lagi air mata saya mengalir. Namun kini lebih deras. Esakan saya menarik pengawal makam menepuk-nepuk bahu saya.

"Selawat ke atas nabi wahai anakku" kata pakcik berbaju biru itu.

Baginda Nabi amat menyayangi Jaafar. Baginda juga pernah bersabda mengatakan bahawa Jaafarlah orang yang paling mirip dengan baginda dari sudut akhlak, tingkah laku dan rupa paras.

Berbahagialah Wahai Jaafar, sayapmu menjadi mahkota agung syuhada' Mu'tah.

Lama di makam Jaafar, saya ke luar kawasan masjid. Melangkah ke sebelah kiri menuju ke kubah putih di celah-celah pohon Zaitun. Di dalam taman itu, tersemadinya jasad Panglima ke-3 Mu'tah, Abdullah Bin Rawahah.

Seorang pakcik menyambut. Saya terus ke dalam. Membaca bait Syair puitis yang menyentuh hati, nukilan sekeping hati suci milik penyair nabi itu. Sekali lagi saya menangis.

Azan Asar berkumandang. Saya bingkas ke Masjid.

Menunggu solat, saya termenung mengenang diri. Malunya aku berjiran dengan para syuhada' Mu'tah yang kental semangatnya, kukuh tekad perjuangannya. Sedang aku masih bertatih berperang dengan diri sendiri.

Malu aku pada Zaid yang terbunuh untuk membela Islam. Malu aku pada Jaafar yang hilang kedua tangannya. Malu aku pada Abdullah Ibn Rawahah.

Terkenang kembali saat saya memimpin persatuan suatu ketika dahulu. Bagaimana ingin mencontohi Jaafar yang menjemput dan manyambut saya ke bumi ini, sedang semangat saya semakin merudum, hati saya semakin rapuh, motivasi saya semakin kusam.

Masih meraba-raba mencari bekalan TAQWA di kelana panjang perjuangan ini. Moga semangat Syuhada' itu meresapi juga hati kotor jiranmu ini...

Artikel sebelum : "Laut Mati Yang Mematikan Hati".

Komen Anda Adalah Buah Tangan Terbaik [hasanhusaini]

2 ulasan:

  1. uh, siapa2 yg pgi ke tanah mu'tah pasti akan terkesan dengan jejak juang sahabat agung rasulullah S.A.W ni.

    Allahuakbar, siapalah kita hendak meraih cinta Allah dan rasul-Nya, jika hendak dibandingkan dengan taat setia bersulam taqwa para Sahabat r.a.

    Mengaku perjuangkan Islam, tapi tkut dengan org yg menentang..

    seakan-akan tidak yakin dgn pertolongan Allah.

    seakan-akan Allah tidak pernah membeli jiwa kita dengan syurgaNya

    Ya Allah, saya yang bercakap dan menulis ini pun belum semua terlaksana... apatah lagi yang dipelajari, walau tahu baik buruknya..

    Allah, ampunkanlah hamba-Mu yang lemah dan jahil ini..

    nastaghfirullah...

    BalasPadam
  2. Alhamdulillah, walaupun Allah belum izinkan hambanya ini sampai ke sana, tapi ana berbangga anak murid ana dah sampai ke mu'tah dan boleh menghayati perjuangan para sahabat menegakkan agama Allah. Perasaan sebegitu biasa dirasai oleh org yang menghayati perjuangan baginda nabi. Waktu ana menziarahi uhud ketika umrah dulu pun perasaan hiba dtg tanpa dijemput. Teruskan perjuangan anakku. moga kembali sebagai pejuang islam tulen. moga sahamku mengajarkan ilmu nahu buatmu diterima Allah sebagai amal jariahku. Amin

    BalasPadam

Komen Anda Adalah Buah Tangan Terbaik [hasanhusaini]