Ahad, 18 April 2010

Vaksin Bisa Jarum Dajjal

Sejak kebelakangan ini, saya sering dikirim dengan email-email, posting blog, Facebook, YM dan pelbagai jenis alat teknologi canggih tentang beberapa peristiwa ajaib.

Fenomena 'ajaib' alam ciptaan Allah ini disebarkan secara meluas. Paling popular adalah kisah 'Pertemuan dua laut' dan 'Sungai Bawah Laut.'

Puluhan email hinggap di kotak masuk akaun email saya. Dari individu, Yahoo group, malah tag dari Facebook.

Saya lantas membaca email-email dan komen-komen  serta respon yang diterima.

Alhamdulillah. Rata-ratanya bagaikan cukup dekat dengan Tuhan Sang Pencipta. Kalimah Subhanallah pastinya terselit di celahan komentar ta'ajub para pembaca. Saya tersenyum.

Namun, tiba-tiba senyuman saya diragut oleh sebuah perasaan. Rasa serba tidak kena bertamu di hati. Rupanya, saya hanya asyik melihat sisi cerah fenomena ini. Terlupa untuk meneliti sisi gelapnya. Satu kebimbangn timbul apabila saya meninjau sisi gelap fenemona Subhanallah ini.

RACUN MINDA

Saya cuba mencelah di sebuah posting. Meninggalkan komen dan melontarkan pandangan serta persoalan untuk menyelidik apa yang sebenarnya berlaku. Pada saya, fenomena 'dua laut bertemu'  dan 'Sungai dasar laut' bukanlah fenomena baru. Saya pernah membaca tentangnya di National Geographic Megazine yang pernah mengulas tentang CENOTE dan memaparkan tajuk perbincangan ini di muka depan majalah mereka pada tahun 2003. Sumber : NGM

Rata-rata komen yang saya terima menunjukkan mereka tidak mempunyai maklumat tentang apa yang berlaku. Tanpa apa-apa maklumat itulah, mereka 'diracun minda' dengan menganggap itu 'mukjizat agung akhir zaman'. Sudahlah tidak bermaklumat, sebarkan pula maklumat yang salah.

Konklusinya, bukan SEBAR yang saya ketengahkan sebagai masalah, tetapi masalah SIKAP malas mengKAJI dan memBACA yang cuba saya perbetulkan.

Saya bukan muktazilah atau neo-muktazilah untuk saya kaitkan segala yang berlaku secara ilmu logik akal. Namun, saya bukanlah orang bodoh yang mengaku muslim, kemudiannya mudah ditipu dengan fenomena lumrah yang andai diselidiki sedikit, ianya akan bertemu dengan penemuan Sains ringkas. Dan ketahuilah, Sains yang menepati syariat akan menjadikan Subhanallah yang diungkap lebih bermakna. Iman akan lebih kukuh. Bukannya ungkapan Subhanallah tipu dan tertipu.

TERTIPU

'Sungai Bawah Laut'.

"Subhanallah...Waaah....tak sangka ye, ada sungai kat bawah laut, hebat benar Allah, tuhan pencipta alam...". Komen seorang rakan di Facebook yang pada tab infonya tertulis - Pelajar Tahun 4 Universiti ******-

Saya merenung jauh ke Malaysia menggaru-garu kepala. Andai pelajar yang bergelar Mahasiswa tertipu semudah ini, bagaimana dengan datuk dan nenek kita di ceruk kampung sana.

Tajuk adalah bahan penarik. Saya tak menyalahkan pembuat tajuk. Tapi yang bermasalah adalah pembaca yang hanya membaca tajuk. Pembaca yang malas membaca. Mudah tertipu dan ditipu. Sudahlah tertipu, sebarkan pula 'penipuan' kepada umum. Masuk bercerita di ceruk kampung bahawa ada sungai dalam laut. Terhangguk-hangguk pakcik makcik dan budak-budak di kampung mendengar perkhabaran 'mukjizat' dari seorang Mahasiswa. Tersebarlah satu khabar angin yang palsu.

Tak pernah ada sungai di bawah laut! Bacalah.  Sungai itu hanyalah sebuah ilusi. Ianya kabus atau awan, hasil lapisan Hidrogen Sulfida.

Saya pelik, bagaimana golongan ini cukup mudah tertipu, sedangkan sumber maklumat cukup senang untuk dicapai. Hanya dihujung jari !

SENJATA DAJJAL

Dajjal adalah penipu. Bersaing dengan Imam Mahdi dan Nabi Isa untuk meraih pengikut yang ramai di akhir zaman. Imam Mahdi dikurniakan kelebihan oleh Allah. Nabi Isa diperkuatkan dengan mukjizat. Dajjal si penipu tidak punyai apa-apa kekuatan, karamah, apatah lagi mukjizat.

Bagaimana Dajjal mampu menawan hati ummat manusia ini....?

Dajjal membutakan sebelah mata manusia. Dengan mata buta yang tempang inilah, Dajjal mudah untuk menipu dan menarik kepercayaan umat manusia, bahawa Dajjallah sebenarnya penyelamat manusia, bukannya Nabi Isa dan Imam Mahdi.

Buta yang bagaimana...?

Buta maklumat. Samada maklumat logik yang berbentuk Sains ataupun maklumat Iman bernama Syariat. Tempang dari ilmu Sains atau tempang Ilmu Syariat apatah lagi tempang kedua-duanyya akan menjadikan kita mudah untuk ditipu Dajjal.

Dan ingat, senjata Dajjal pastinya datang dari Sains Teknologi terkini kerana dia tidak akan mempunyai kekuatan selain Logik dan Sains. Perbodohkan diri anda dari Sains, nescaya mudahlah kerja Dajjal untuk menipu anda. Butakan mata anda dari melihat Allah disebalik Sains, anda juga bakal ditipu Dajjal.

BUTA

2012, Sabtu 22 Ogos, Kuala Lumpur.

Manusia berkerumun. Ada benda ajaib berlaku. Seorang lelaki melakukan 'mukjizat' di tengah bandaraya Kuala Lumpur. Air tawar di Taman Air KLCC terpisah dari air masin yang diisi kedalam kolam tersebut. Dan lelaki itu ber'sabda', " Inilah mukjizat yang Allah kurniakan kepadaku...marajal bahraini yaltaqiyaan...Aku adalah Al- Masih yang akan menyelamatkan kalian dari kemusnahan, ikutlah aku....".

Anda akan ikut? Atau selidik...? Atau tunggu dan lihat...?

Andai anda 'buta', pastinya akan timbul satu keyakinan yang jitu di hati anda, bahawa Dajjal itu adalah Nabi Isa dan anda kan menjadi pengikut setianya. Sedangkan, apa yang berlaku adalah hasil dari tindak balas kimia yang dinamakan halocline terhadap garam dan bahan kimia yang dicampur ke dalam air garam dan dialirkan ke dalam kolam taman air KLCC. Baca Halocline

RACUN PEMBODOHAN

Anda mahu namakan proses 'pembutaan' itu apa...? Silakan saja. Sekularismekah ia..? Orientalismekah ia...? Ataupun Humanismekah...? Mahupun Liberalisme.

Yang penting, ianya adalah satu proses pembodohan yang anda sendiri usahakan. Dan ubatnya adalah baca dan renung. Zikir dan fikir. Merenung ciptaan Allah dengan Iman, hasil dari Ilmu dan keyakinan.

Perhatikan dua ayat Syariat da Iman,(1) serta ayat Logik dan Syariat (2) dari surah Al-'Alaq. Perintah BACA dan KAJI. Zikir dan Fikir.
Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu Yang menciptakan. Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah. [ Al-'Alaq : 1-2]
BACA dan KAJI. ZIKIR dan FIKIR adalah vaksin pembodohan, benteng anda dari Dajjal.


Sumber : Tafsir Al-Quran [Syed Qutb] dan Wikipedia .
1. Cenote
2. Halocline

HASANHUSAINI,
Darul Muttaqin, Mu'tah, Jordan.

14 ulasan:

  1. salam akhi, menarik. ana juga cuba membetulkan tentang sungai bawah laut tu. masalah kekangan masa. musim imtihan. syabas akhi..

    BalasPadam
  2. Zul Ikhwan : Alhamdulillah..moga dapat manfaatnya ya akhi...Bittaufiq wannajah dalam imtihan...

    BalasPadam
  3. X btul r ada sungai kat dlm laut...So yg professor msk islam sbb kaji sal ni...X btul gak leh...huhu

    BalasPadam
  4. Perkongsian yang sangar menarik. Terima kasih .

    BalasPadam
  5. Sesungguhnya Al-Quran dan sains harmonis (selari). Sains yang benar lagi tepat juga boleh menjadi wasilah bagi mengukuhkan iman. Bahkan beberapa saintis barat menemukan cahaya hidayah oleh sebab keharmonisan Al-Quran dan sains.

    Tapi berhati-hatilah dengan pseudo science (sains yang palsu). Kerana sains yang palsu dan salah malah menyebabkan manusia bertindak meragukan kebenaran Al-Quran. Harapkan orang kafir masuk Islam, malah orang Islam menjadi kafir. Wa al-'yadzu billah!

    Ana pun ada dapat maklumat berkenaan 'sungai bawah laut' dan 'pertemuan dua laut' tu. Sekilas, hati merasa takjub dengan fenomena tersebut. Tapi untuk menyebarkannya, entah kenapa terasa begitu berat.

    Mungkin kerana belum dapat memenuhi tanggung jawab 'tabayun' (al-Hujurat: 6) sebelum menyebarkan sesuatu maklumat.

    Begitu juga dengan gambar-gambar yang menunjukkan lafaz Jalalah. Sesetengah gambar tersebut terlalu memaksa supaya kelihatan berbentuk lafaz Jalalah. Ana keliru hendak bagaimana.

    Wallahu ta'ala a'lam.

    BalasPadam
  6. Tanpa Nama Dan Us Rais :

    Ya...memang tak ada sungai hakiki dalam laut. Tapi fenomena Helocline dan Cenote tu, andai dikaji, ianya bakal bertemu dengan Ayat Al-Quran, " Pertemuan Dua Laut"....

    Tentang Prof yang masuk Islam, ana tak tahu pasal maklumat tu...tak mustahil andai ada yang mendapat hidayat untuk memeluk Islam apabila mengkaji tentang CENOTE dan Helocline.

    Apapun, pada artikel ni, ana kedepankan isu MALAS MEBACA DAN MENGKAJI = MALAS ZIKIR dan FIKIR..bukan soal maklumat 'sungai bawah laut' yang silap....

    Malas MEMBACA dan MENGKAJI menyebabkan si pembaca mudah tertipu.

    Itulah kesimpulan yang ana dapat dari ayat pertama dan kedua, surah Al-'Alaq...

    BalasPadam
  7. Tahniah ust ihsan..Usaha menyedarkan ummah akhir zaman...kelemahan yang perlu diakui dan wajib diperbaiki...

    BalasPadam
  8. jazakallah.... kena tingkatkan pembacaan...

    BalasPadam
  9. Betul tu...Malas MEMBACA dan MENGKAJI menyebabkan si pembaca mudah tertipu...Sama-sama selamatkan diri dari sifat malas nie..

    BalasPadam
  10. salam ziarah...
    membaca menambahkan pengetahuan...
    mengkaji membuahkan kefahaman....
    tinggal lagi aspek pembacaan dan pengkajian yang betul dan berkualiti..
    ada yang mendakwa telah mengkaji, padahal yang dilihat hanyalah aisberg kecil di permukaan..

    teruskan mengkaji.. moga 'ketakutan' itu lahir pada diri kita ya akhi..

    "..sesungguhnya yang takut kepada Allah di antara hamba-hambanya, adalah ulama.." (al-faathir, 28)

    BalasPadam
  11. Ustaz, memang ni fenomena yg melanda sekrang, iaitu kita akan mudah takjub dengan benda2 pelik dan aneh, cthnya kalimah Allah di telur,sejadah yg seola-olah sedang solat dsb. Selidik dan berpijak di bumi nyata, tanda2 yang nyata telah disebut oleh Allah Yang Maha Berkuasa di kitab AL-Quran. WA

    BalasPadam
  12. salam. saya tak berapa faham dengan maksud saudara yang umat islam tertipu dengan kes sungai bawah laut ini. boleh x saudara terangkan dengan ayat yang lebih mudah?

    salam

    BalasPadam
  13. insan lemah : secara mudah dan ringkas.

    Ramai yang tertipu apabila membaca tajuk " sungai di bawah laut" dengan beranggapa bahawa tajuk itu adalah hakikat isi yang ingin disampaikan oleh penulis. Bahkan sebenarnya tajuk itu hanya sekadar penarik minat...sebenarnya, tidak ada sungai di dalam laut....wallahuaalam...

    BalasPadam
  14. adakah sebenarnyer ia hanye ilusi semata mata?
    boleh ustaz terangkan?

    BalasPadam

Komen Anda Adalah Buah Tangan Terbaik [hasanhusaini]