Ahad, 11 April 2010

Liku Insan Mencari Tuhan

Sepanjang hujung minggu ini, saya merasa tidak selesa. Buku yang baru dibeli dari Malaysia belum habis dibelek dan dibajak. Teguran keras saya petang tadi benar-benar menghantui diri. Pastinya, banyak hati terluka dengan tindakan itu. Mungkin caranya salah, namun mesejnya pula jangan dilupakan. Pada saya, itu bukan caranya untuk mengukir kenangan indah. Itu bukan cara orang Syariah.

Bacalah...carilah maklumat, anda akan tahu, kenapa saya berang dan bengang. Ianya bukan berdasarkan material, tapi spiritual. Bukan kebendaan, tapi pemikiran. Tahap pemikiran yang menjadi ukuran kematangan. Tahap matang seorang pejuang. Matangnya Al Fateh pada awal 20an. Matangya Ali pada belasan.

Saya hanya menawarkan kebimbangan berdasarkan pengamatan dan pengalaman serta pembacaan. Sejarah jujur mengajar. Sirah telus bercerita. Figur dan sosok yang bijak dan handal membela Islam itu, bagaimana karaternya...? Saya bukanlah anti hiburan. Bukan juga anti gembira dan gurau senda. Saya juga manusia. Bergembira dengan kegembiraan teman, dan sedih dan bersimpati dengan kesedihan mereka.

Ya, sahabatku, mungkin caranya salah, namun mesejnya pula jangan dilupakan. Bukanlah tindakan ini menjadi tanda benci, bahkan kalianlah yang paling daku sayangi. Bukan senang untuk dipertemukan dalam jalan Aqidah dan perjuangan. Bukan senang untuk bersaudara dengan ikatan Iman. Andai ada utusan Allah yang menanyakan, "siapakah teman cerita dan cintamu? Maka nama kalianlah yang akan daku senaraikan.

Saya berkoreksi. Makam Jaafar menjadi sasaran untuk saya santuni.

Dari tingkap kaca itu, saya terbang sejenak, meneroka masa lampau, mengkoreksi kekurangan diri.


ANAK SULUNG YATIM

Sejak kecil, saya diasuh untuk berdiri di atas kaki sendiri. BERDIKARI. Jarang diajar untuk bergantung harap. Mungkin itu latihan dan didikan terbaik untuk anak yatim miskin seperti saya.

Untuk merasai nikmat sebiji telur, menternak 50 ekor itik menjadi wasilah.

Andai mengidam nak makan roti canai, bukan kedai roti canai yang menjadi destinasi, tetapi, kedai runcit untuk membeli sekilo gandum yang akan menghasilkan 30 biji roti canai.

Nak duit poket lebih? Jeruk maman dan telur masin dijaja dengan basikal tua sekeliling kampung.

Jarang sekali saya dihidangkan dengan kesenangan dan kerehatan. Remaja saya tak seperti dunia remaja lain. Saya selalu digelarkan sebagai 'budak tua'  sewaktu di sekolah dan di kalangan kawan-kawan sebaya.

Latihan sebegini akhirnya menjadikan saya tak mudah untuk menelan fakta. Tak senang untuk menerima sogokan. Minda saya sentiasa ligat berputar mencari jalan dan peluang. Mancari fakta dan cerita. Teknikal dan taktikalnya.

Saya pernah dihadiahkan dengan sebuah kereta mainan sempena keberangkatan ibu saya ke tanah suci. Belum sampai 24 jam, kereta itu telah saya bedah siasat untuk melihat isi perutnya. Alasan saya bila ditanya, " kenapa rosakkan kereta tu...?"

"Bila dah tahu macam mana susunan waktu elok, senanglah nak baiki bila dah rosak betul nanti..." jawab saya bersahaja dan kemudiannya telinga saya dicubit mak cik. 

KERAS KEPALA

Rupanya, ada yang tak baik dengan didikan begitu. Saya menjadi budak keras kepala. Sering tak dengar cakap. Terutamanya mereka yang lebih muda dan sebaya dengan saya. Saya juga mudah panas baran. Pantang ada yang tak kena, saya mudah meradang.

MTDQ Repek

Waktu antara Maghrib dan Isyak adalah waktu yang paling baik untuk menghafaz Al-Quran. Terutamanya bagi sang pemalas yang tak akan bangun sebelum subuh seperti saya. Justeru, saya meng'haram'kan diri saya dari melakukan perbuatan selain MENGAHAFAZ.

Suatu malam yang malang. Sejak asar, saya tak turun ke padang. Surah Al-Hijr cukup susah untuk dilumatkan. Ayatnya yang pendek-pendek menyukarkan saya. Hayunan saya laju, kedua telinga saya pekup dengan dua telapak tangan. Mata dipejam untuk menagih konsentrasi yang tinggi.

Tiba-tiba....

Bukk..belakang saya dilanggar. Konsentrasi hilang 100%. Dua pelajar tersungukur di karpet masjid selepas tersadung belakang saya. Mereka berkejar dalam masjid ! Dalam WAKTU HARAM antara Maghrib dan Isyak !!

Darah saya menyirap. Tempikan singa menjadikan masjid itu sunyi sepi. Warden yang berjaga (terjaga) terpinga-pinga. Pang!!  Dua tamparan hinggap di pipi kedua-dua budak malang itu. Saya bingkas turun dari masjid dan menyambung hafalan di bangunan baru yang masih belum siap dibina. Tarikh itu adalah tarikh terakhir saya mengahafal di masjid.

Disember 2004

Selepas selesai dari Imtihan SMU, saya merancang bersama 'usrah' di MTDQ untuk mendaki gunung di Cameron Highland. Gunung Irau. Sebuah van disewa untuk memuatkan 10 orang teman dan seorang cikgu yang cukup rapat dengan kami. Cikgu Muhammad.

Bermalam dipuncak Gunung Berinchang selepas mendaki selama hampir dua jam. Plan kami untuk memanjat Gunung Irau selepas sarapan dan selepas menyaksikan keindahan matahari terbit dari puncak menara tinjau.

Saya dilantik sebagai komandan untuk mengatur perjalan kali ini. Sebuah peta diperturunkan oleh Cikgu Mad. Dengan sedikit perbincangan dan curahan pengalaman, saya mengambil keputusan untuk membahagikan barangan yang perlu dibawa ke atas kepada semua peserta. Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing.

Namun, cadangan saya dibangkan dan dibantah oleh seorang senior. Katanya, semua peserta mudah penat. Lebih baik dikumpulkan semua barang yang perlu dibawa ke dalam satu bag besar dan kami akan bergilir untuk memikulnya. Keputusan akhirnya berpihak kepada beliau. Saya bungkam.

Bukan senang untuk memikul beban 25kg. Ada baiknya 25kg diagihkan menjadi 2.5kg untuk setiap orang !

Akhirnya, perjalan belum mencapai separuh, semua kami dipukul keletihan memikul beban 25kg mendaki bukit selama 15 minint seorang! Sewaktu sampai dipuncak, kami kehabisan air. Sudah kehabisan air, makan pula maggi dengan kuah cetek yang amat masin. Tekak kami semakin haus. Perjalanan pulang memakan masa  3 jam. Manakala jam di tangan saya menunjukkan pukul 12 tengah hari. matahari terik di atas kepala.

Akhirnya saya mengamuk memarahi senior yang berlagak pandai itu. Natijahnya, air simpanan saya harus dikorbankan.

Namun Allah maha kaya. Setengah jam selepas perjalan pulang, hujan lebat mencurah. Kami menadah lumut untuk memerangkap air hujan kemudinnya diminum. Hijau dan pekat. Air spirulina, kata seorang teman.


TAQADDUM MAARIF

Sebulan selepas mendaftar di Sekolah Menengah Agama Taqaddum Maarif, saya dilantik memimpin Badan Dakwah. Ketua Unit Pengisian dan Usrah. Mendapat tanggungjawab ini, saya bertungkus-lumus menyusun dan merangka perjalanan program yang akan dilaksanakan. Siap dengan 'manhaj', silibus dan VMOnya yang lengkap. Draf itu adalah hasil perbincangan saya bersama guru saya yang berpengalaman luas dalam organisasi dan dakwah di UM. Setiap modul diperincikan dengan objektif besrta hujah yang konkrit.

Tiba hari mesyuarat, draf itu saya bentangkan dengan sebaiknya. Buku demi buku, silibus demi silibus. Objektif demi objektif untuk mencapai misi dan visi badan dakwah sekolah. Belum sempurna saya membentangkan hasil titik peluh saya, pengerusi merangkap ketua saya mencelah.

" Ana  tak mahu pakai draf nta...ana rasa tak sesuai..lagipun, nta budak pondok, tak pernah merasai dunia sekolah menengah..ana dah bawak draf dari sekolah lama ana, jadi kita paka yang ini sahaja....", tanpa perasaan.

Saya diam,  muka merah padam dan telinga saya berdesing. Kemudiannya mengemaskan fail dan menghempaskannya di meja lantas mengucapkan selamat tinggal kepada badan dakwah yang ketuanya karut macam teman saya tadi.

TAHUN PERUBAHAN

Natijah temuduga Darul Quran telah zahir. Saya layak untuk bertamu di Dataran Huffaz itu. Saya menghubungi Cikgu Muhammad meminta nasihat.

Sepucuk SMS mengetuk kotak Inbox. Cikgu Mad.
Ingatilah pesanan Saidina Ali : Lelaki yang gagah adalah lelaki yang mampu mengawal lantas menewaskan amarahnya...
Saya pergi pula menziarahi Baba Abd Rahim. Guru Tasawuf yang pernah membasahkan rohani saya dengan Al-Hikam. Pesannya :
Ketertiban dan bertenang itu dari Tuhan Al-Rahman, dan gopoh serta kasar itu dari Syaitan yang tercela...
Akhirnya, murabbi yang banyak mendidik saya dan membentuk saya. Ibu.

" Nanti bila belajar di Darul Quran, cuba belajar juga untuk menjadi orang bawah...Jangan lagi menjadi 'kerani langit'...belajar untuk menjadi orang 'bodoh'...hanya orang bodoh yang akan belajar dari semua orang...Ma tak nak dengar ada lagi perangai panas baran kamu tu...cukup-cukuplah..."

Alhamdulillah...Dataran Huffaz itu banyak membentuk dalaman saya.  Perasaan bahawa diri ini benar-benar bodoh timbul sejak hari pertama. Haluan Siswa, Mafatih Al-Mahabbah...Usrah GEGAR...AQRAB, PERKEMAT DQ...

Akhirnya saya menjadi seorang yang naif. Tak punyai keyakinan diri...takut berdepan dengan realiti...Namun, semangat saya dibangkitkan semula. Diperbetulkan. Yakin pada tempatnya. Tawadhuk pada tempatnya. Sombong ada tempatnya. Terima Kasih sahabat, teman dan guru...Nasihat dan teguran kalian yang membina diri ini....

Saya tahu, kembara masih panjang, dan saya masih muda dan mentah. Perlu belajar dan diajar, supaya saya tidak lagi kurang ajar.

Akhirnya, di tepi Tasik biru disapa angin lembut dari celehan bukit dan gunung banjaran Titiwangsa, saya menulis sebuah sajak, Burung Abang Tua.

Moga saya tak tersalah jalan untuk menjadi Insan Bermanfaat. Mati dan Hidup mencari Amal terbaik. Menggapai akal cerdas dengan hati yang sejahtera.

HASANHUSAINI,
Darul Muttaqin, Mu'tah, Jordan.




3 ulasan:

  1. Insyaallah...moga menjadi insan yang bermanfaat...

    masing-masing punya kelebihan maksimakan demi islam...

    BalasPadam
  2. BarakaLlahhu fiik.

    BalasPadam
  3. salam ziarah..
    tidak ingin memuji lebih, namun terus cermin diri dengan penulisan enta kali ini..

    ana disini, menunggu hujan emas untuk enta bawa balik ke negeri hujan batu ini...

    BalasPadam

Komen Anda Adalah Buah Tangan Terbaik [hasanhusaini]