Ahad, 25 April 2010

Hikayat Si Penebar Roti

Setahun yang lalu.

Kesibukan dan kesuntukan masa membelenggu saya. Ibu selalu bertanya, bila saya akan bermukim di rumah. Masakan tidak, pengajian saya di Darul Quran telah tamat Februari 2009. Namun, Jun hampir berlalu, dan saya masih menjadi anak rantau. Membesar dalam kereta.

Berurusan dengan SMUTEM DQ dan Kemeterian Pengajian Tinggi, mencari sumbangan untuk menyambung pelajaran, dan mencari sumber pendapatan.

Sesi berkhidmat sebagai pendidik telah tamat. Saya dan Syaukani telah bersara dari dunia pendidikan di Sekolah Tenik Kuantan. Sumber pendapatan baru harus segera dirancang. Setelah mencuba beberapa usaha, akhirnya roti canai menjadi pilihan saya. Berniaga roti canai kepada sahabat-sahabat Darul Quran.

Bermulalah episod menghargai sebuah kehidupan. Saya menjadi seorang penebar roti canai. Menguli, mengadun doh, canai, masak, buat kuah dan menjual. Semuanya sendirian. Bukan senang untuk membuat 300-400 biji roti canai. Letih dan penatnya bukan kepalang. Sakit pinggang, lelnguh kaki dan tangan.

Terkenang arwah nenek yang berniaga roti canai. Mejanya hanya talam besi. Kualinya hanya ceper lama. Namun itulah sumber kewangannya menyara anak-anak.

Terkadang, saya termenangis sendirian. Bukan kepenatan, bukan keletihan dan kesunyian yang saya hadapi, tapi  mengenangkan inilah jalan yang pernah dilalui oleh mereka yang membesarkan saya.  Kekadang tangan terkena kuali panas dan sakitnya bukan kepalang. Namun, kesakitan itu cepat membawa saya kembali ke dapur selepas mengembara jauh 15 tahun dahulu, memangkin laju air mata yang luruh.

Terkenang ibu yang pernah berjaga malam menyediakan kuih yang bakal di jual di kantin sekolah. Nenek pernah berkata, " Mak kamu tu, buat kuih banyak sangat sampai muka dia dah jadi gelap..." Saya baru berumur 7 tahun.

Pernah sekali saya menangis, takut untuk ke sekolah, takut juga untuk pulang ke rumah. Kuih yang saya kendong bertaburan di jalan raya. Bimbang ibu akan marah. Takut peha dicubit lagi.  Hendal basikal dikawal sekali-sekala. Kedua tangan saya ditadahkan ke langit, minta dijauhkan dari murka bonda. Air mata saya luruh sebelum tiba ke rumah. Namun, bukan itu yang saya terima. Bimbang ibu bukan pada kuihnya, namun pada zuriat jantan tunggalnya.

HARI INI

Saya menguli roti canai lagi. Kali ini di Bumi Syuhada' Mu'tah, Jordan. Mengisi jadual kosong di hujung minggu. Mengisi juga tabung yang kian ringan di hujung tahun.

Teringat kenangan itu. Kenangan saya bertatih sendirian. Sekali-sekala tidur berteman, lumrahnya seorang bujang menganggur, saya hanya sendirian.

Darul Muttaqin, Jordan

Batang Kali, Selangor

HARI ITU

5 guni berisi gandum kini kosong. Guni keenam juga sudah hampir separuh. Bulan depan, saya akan pulang ke kampung halaman. Nilam Puri telah lama melambai.

Usai solat Jumaat yang diimami Uda Ghuraba' As'ad, saya mengajak beberapa orang anak usrah untuk melawat sambil belajar di 'apartment' saya. Janji saya, mereka akan dijamu dengan roti canai istimewa.

"Abang, rumah ni memang tak kunci ke...?", tanya Humaidi. Matanya bulat memandang saya disebalik kaca matanya.

"Tak kunci...?", saya meminta kepastian.

"Ye, tak kunci..."

Saya berlari ke dalam rumah. Memanjat tangga ke aras atas. Baju Melayu kuning yang saya jadikannya sebagai 'bank' diraba-raba. Ringan!

Duit hasil titik peluh saya untuk membeli tiket kapal terbang yang ditabungkan selama dua bulan lesap. Saya terduduk. Air mata laju menumpah. Ya Allah, ujian apakah ini. Adik-adik saya hanya mampu mengusap lembut belakang. Sabar bang.....

Alhamdulillah. 

Itulah kalimah yang saya ucapkan dalam sujud aduan saya pada Sang Pencipta sore itu. Syukur, saya masih tersenarai dikalangan hambaNya yang layak untuk diuji. Sukar juga untuk memperbetulkan emosi dan dalaman sebelum turun ke SBPI Rawang dengan wajah manis untuk meneruskan cerita dan perkongsian tentang Kenapa Aku Muslim. Siri diskusi saya bersama adik-adik SBPI Rawang, pemimpin masa depan.

Ya Allah, aku sebagai hamba, sentiasa layak diuji bila-bila masa. Ujilah sekadar yang aku mampu. Moga ku tidak patah kaki dan tersungkur saat menerima belaian ujian-Mu, menjadi kesimpulan terbaik sesi diskusi malam tersebut.

p/s : Muadz, Terima Kasih hadiahkan saya sesikat pisang penyejuk hati....

Baca juga : Dakwah Roti Canai

HASANHUSAINI,
Darul Muttaqin, Mu'tah, Jordan.

6 ulasan:

  1. akhirnya..baru la ana dpt mengetahui suka-duka si penebar roti canai fleksibel..kalo ana, diuji dgn kehilangan brg2 pemberian sdh memeritkan , apatah lg hasil titik peluh sendiri..benarlah, hikmah bersabar mmg hebat, cukup ajaib..br td us yusof embong ceramah, "kita ni kena betul2 yakin rezeki dari Allah, bkn sekadar sebut je.."

    BalasPadam
  2. Ayahsu : Ayahsu sibuk buat benda lain...apapun, nta banyak 'bantu' ana...:-)

    BalasPadam
  3. salam.
    setiap kehidupan mempunyai jalan liku2nya utk memberi keindahan nikmat kehidupan itu sendiri. begitu juga setiap hamba-Nya akan diuji dengan ujiannya tersendiri.ana teringat pesan ma tersayang pada anaknya ini, bilamana ditimpa kesusahan,ingatlah ada orang lain lagi susah dari kita.pesanan itulah yang menjadi semangat kpd ana dlm meniti perjalanan sebagai seorang anak,pelajar dan plg utama hamba-Nya.thanks perkongsian enta.
    moga enta dirahmati-Nya.

    BalasPadam
  4. salam..produk terbaik roti canai versi jordan a.k.a mu'tah..terbaik setakat ni!huhu

    BalasPadam
  5. salam abg ihsan...
    tringat ksh ni mmpu mnitiskn air mata,
    bru2 ni mlwat 'apartment' abg 2,trimbau keadaan n kenangan brsame suke duka abg..
    sgguh tbah n sbar abg..
    smge hdup abg dprmudahkn sntiase oleh Allah,
    BARAKALLAH!

    BalasPadam
  6. terima kasih ahli izzatul islam, ntumlah penguat semangat ana haritu...:-) apapun, setiap orang, ada ujiannya masing2...

    BalasPadam

Komen Anda Adalah Buah Tangan Terbaik [hasanhusaini]