Rabu, 18 November 2009

'Puzzle' Peduli : Satu Pencerahan

"Zul, baca akhbar hari ni..? ada berita besar..."
"Aduh nta, kita di jordan ni..kat sini mana ada utusan, berita harian atau metro..."
"Internet 2MB dirumah nta tu untuk apa...?"


"Pas bergolak sekarang ni..."
"Ye ke..? tak tau pun..."


"Umno dan MCA pon ada krisis jugak ye.."
"Ana tak minat la politik ni syeikh.."


"Ada junior kita meninggal di Malaysia..."
"Apa kita boleh buat...? lagi pun mana sempat kita nak melawat..."


"Kat sini pon ada orang hisap rokok juga ye.."
"Alah, biarkanlah dorang, apa kita nak sibuk-sibuk pula.."


"Palestin kena serang lagi ye.."
"Dah memang perangai yahudi jahat, nak buat macam mana kan?"


"Jenayah dah makin meningkat di tanah air kita...takut rasanya nak balik Malaysia"
"Alah, memanglah, dah hukum hudud tak mau dijalankan...memangla jenayah makin banyak.."

"Si Mamt tu asyik berkepit dengan awek dia je..."
"Alaah..biar la..bukan sampai tahap zina pon..."


"Ana tengok Sufian tu dah makin bebas ikhtilatnya..SMS dan YM dah jadi amalan istiqamah dia dengan muslimat, ada apa-apa ke..?"
"Nta ni, suka sangant jaga tepi kain orang..bukan nta dok satu liang lahad dengan dia pon..."

Perhatikan sikap individu yang memberi respon terhadap individu pertama yang prihatin.

IDENTITI

Islam cukup mementingkan identiti para penganutnya. Tersilap identiti, umat islam akan hilang jati diri. Ayat bacaan (syar'iatullah) datang memberi dalil, ayat pengajaran (sunnatullah) pula datang membawa contoh hidup yang mampu dilihat dan difikir, serta diambil iktibar.

Firman Allah :

Hai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mukmin: "Hendaklah mereka mengulurkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka." Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenal, dengan itu mereka tidak diganggu. Dan Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

Identiti  bertudung (bersyari'at) dikaitkan dengan sifat IMAN, manakala isyarat IMAN itu memberi manfaat tidak diganggu (selamat).

Hadith Rasulullah :
مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ


Sesiapa yang (identitinya, amalan, i'tiqadnya) menyerupai sesuatu kaum yang lain, maka ia juga tergolong dari mereka.

Itu secara jelas. Saranan dan tegahan yang nyata

PEDULI DAN IDENTITI

Dalam lima waktu sembahyang fardhu, kita telah ditanamkan dengan semangat peduli dan semangat jati diri dan identiti sebanyak 17 kali.

Bacaan Al-Fatihah yang menjadi ikrar kita dihadapan Allah, bahawa kita ingin menjadi kaum yang peduli dengan keadaan sekitar. Falsafah Al-Fatihah itu didatangkan dengan lafaz jama' dalam setiap permintaan, memberi erti bahawa kita adalah kaum yang sentiasa mengambil berat antara satu sama lain.
Tunjukkanlah kami kepada jalan yang lurus....bukan jalan kaum yang dimurkai, juga bukan kaum yang sesat.

Ifaadah kami memberi makna peduli. Tidak diajar kepada kita dengan memohon kebaikan untuk diri sendiri semata-mata.

Manakala ifaadah identiti dicedok dari pemisahan jalan antara jalan kami yang lurus dan jalan kaum yang dimurkai serta kaum sesat yang tidak selamat.
Tunjukkanlah kami kepada jalan yang lurus....bukan jalan kaum yang dimurkai, juga bukan kaum yang sesat.

Firman Allah SWT:

Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu bersaudara, maka hendaklah kamu memperelokkan di antara dua saudaramu… (Al-Hujurat 49 : 10)

Sabda Nabi SAW:
 
Perumpamaan orang yang beriman di dalam berkasih-kasihan sesama mereka, rahmat merahmati dan sayang menyayangi, adalah seumpama satu jasad. Apabila satu anggota mengeluh, ia memberi kesan kepada seluruh jasad sehingga berjaga dan demam.

Ancaman Rasul :

"Barangsiapa yang tidak mengambil berat tentang urusan orang-orang Islam, maka bukanlah dia itu dari kalangan mereka"

Kepedulian berkadar langsung dengan Ukhuwwah. Ukhuwwah pula berkadar langsung dengan Iman. Masyarakat yang tidak ada peduli adalah masyarakat yang membelakangkan iman.

Itu maknanya peduli. Peduli itu identiti. Apa kita peduli?

APA YANG KITA PEDULI?

Teringat saya setahun yang lalu, ketika umat islam sedang menangisi pemergian Syeikh Ahmad Deedat yang merupakan pendakwah islam terkenal, ada segelintir ( baca : ramai ) yang juga menangis. Namun bukan tangisannya keran pemergian Syeikh Ahmad Deedat, bahkan kerana kalahnya Felix di arena Akademi Fantasia.

Kita berbeza peduli, lantaran berbezanya kita pada menilai sesuatu. Kita akan peduli sesuatu yang  kita anggap baik dan bermanfaat untuk kita. Kita tidak akan mempedulikan sesuatu yang tidak memberi erti pada diri kita. Maka, apa sebenarnya yang bernilai untuk kita?

Maka, jawapannya adalah, PANDANGAN ALLAH. Pilihlah yang Allah pandang, bukan yang Allah radang.

IDENTITI , PEDULI DAN ISTILAH

Pada awal kejatuhan Daulah Uthmaniyyah, krisis umat Islam di Palestin diungkap sebagai krisis muslim Palestin. Sepuluh tahun kemudian, ia  ditukar kepada krisis arab Palestin. Dan kini, hanya tinggal krisis rakyat Palestin, Palestinian crisis.

Maka Jordanian, Malaysian, dan warganegara lain malah arabian tidak lagi ambil PEDULI tentang apa yang berlaku pada UMMAT ISLAM Palestin.

Di Malaysia, umat islam cukup sensitif dan peduli tentang halal dan haram, terutamanya dalam bab makanan dan barang gunaan harian. Contohnya babi. Ummat islam Malaysia pasti akan terasa jijik bila disebut babi, mahupun khinzir. Bahkan terasa seakan terbatal wuduk bila menyebut babi, lantaran najis dan haramnya haiwan tersebut.

Bagaimana dengan riba?

Riba kini seakan hilang haramnya di kalangan muslim Malaysia khususnya. Kerana apa? Penggunaan istilah. Riba yang terang haramnya itu diistilahkan pada awal merdeka dengan 'bunga'. Sungguh berbeza. Bagai langit dan bumi. Riba yang totally huduh dan buruk, digambarkan dengan bunga yang harum mewangi, cantik dipandang dan ingin dimilikki oleh semua orang. Hasilnya, hilang rasa 'haramnya' riba.

Pada sedekad yang lalu, riba diistilahkan pula dengan faedah. Lingkup.

Hitungkan pula istilah lain yang telah diubahsuai dalam kegunaan seharian kita, dan lihatlah apa persepsi kita terhadap benda tersebut...? Bagaimana pula kesan jangka masa panjangnya terhadap Islam, jatidiri dan Identiti muslim?

KESIMPULAN


Identiti - Peduli - Sensitiviti - cukup berkait rapat dengan penggunaan istilah kita seharian. Beringat-ingatlah dalam tutur kata kita, pastikan minda dan akal didepan lidah anda. Ingatlah juga pesan junjungan mulia, Muhammad s.a.w :

" Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah ia berkata dengan perkataan yang baik ataupun diam..."


Hasanhusaini : Darul Muttaqin : Mu'tah, Jordan.


1 ulasan:

  1. aiwah...Masya Allah..perkongsian yang menarik..kadang-kadang kita semua tidak peduli kpd sifat peduli ini..peduli yang mengandungi sensitiviti,,identiti,,

    BalasPadam

Komen Anda Adalah Buah Tangan Terbaik [hasanhusaini]