Sabtu, 7 November 2009

Kunci Syurga, Kunci Neraka

"Geddesh?" saya bertanyakan harga caj telefon yang saya gunakan kepada Ahmad, tuan empunya kedai tersebut.

"Liratain khamsa sab'ien..", jawabnya sambil tersenyum selepas mengetuk-ngetuk mesin kira di mejanya. 2.75 JD. Bersamaan dengan RM 14.50. Sejam 5 minit saya berkongsi cerita bersama ibu di Malaysia. Cerita saya mungkin hanya 5 atau sepuluh minit. Selebihnya, saya akan menemani sepi ibu dengan menjadi pendengar setia di corong telefon, di kedai terpencil di pekan Mu'tah, Jordan.

Begitulah rutin saya setiap petang Khamis.


BIMBANGKAN DOSA

Saya kini jauh dari ibu. Menyibukkan diri di Bumi Syam dengan matlamat yang sedang dikejar, mungkin tidak banyak masa untuk saya melayan perasaan rindu kepada keluarga. Namun saya perlu sedar, ibu pasti kekosongan dan kesepian lantaran hilang kedua-dua permatanya dari pandangan.

Surah Al Israa' yang saya tadabburkan selepas Maghrib sempena murajaah wajib cukup menyentuh hati saat itu. Seolah-olah ayat waalidain itu belum pernah saya tenung sebelum ini.

Betapa berbuat baik kepada ibu bapa dipakejkan di dalam ayat yang sama dengan larangan mensyirikkan Allah.


UFF  ITU APA?

Saya pernah termenung memikirkan, apakah intonasi sebenar uff yang diungkapkan pada ayat tersebut. Buntu tanpa jawapan. Namun, setelah tiba di Jordan, saya dikurniakan pencerahan dengan meneliti sedikit budaya arab di sini.

Lira wahid ya mu'allim...?  saya cuba menawarkan harga barang dari seorang pak cik.

Tiba-tiba, pak cik itu memuncungkan mulut sambil mendongak dan menunduk kepala, dengan bunyi uff. Di fikiran saya, itu tandanya setuju. Saya hulurkan sahaja not hijau bernilai sedinar.

"Haraaam..." sergahnya kembali. Ops..tak setuju rupanya.

UFF DI MALAYSIA

"Latip, tolong belikan bawang untuk mak..." Pinta mak Senah.

"Umpt.."..bingkas Latip malas sambil mengetap bibir kerana rehatnya diganggu. Itulah UFF di Malaysia. Mmecap, Istilah loghat Kelantan.

Apatah lagi kalau yang dijawabnya berbunyi begini :

"Alaah...asyik saya je yang kena beli barang, letih la mak..suruh la si Siti tu..saya ni baru balik ke kelas..."


UFF DI PERANTAUAN

Dua minggu yang lalu, saya diprogramkan oleh para senior dengan kerjasama Kedutaan Malaysia Jordan dan Jabatan Penuntut Malaysia Jordan di dalam program Minggu Haluan Siswa. Sejak Khamis, saya terikat dengan jadual yang telah ditetapkan. Sabtu petang barulah program berakhir. Saya hanya tiba di rumah selepas tengah malam.

Usai menjamah sedikit makan, saya bersiap untuk tidur. Rutin harian, memeriksa HP, kalau ada pesanan yang ditinggalkan. 7 sms yang tersimpan.

Salah satunya dari ibu. Bertanyakan khabar anaknya yang jauh dari mata. Anaknya yang terlupa untuk mengingati ibunya, sedang si ibu tak lekang diingatannya, doa tulus untuk si anak.

Aduh. Aku anak durhaka !!. Bentak saya sendirian.

Pasti sakit dan lebam hati itu menanti detik demi detik dengan HP nokia 1200 yang digenggamnya setiap masa sejak selepas Maghrib hari Khamis ( waktu Malaysia ) sehingga jam 2 pagi Ahad. Sehingga akhirnya utusan berbentuk luahan SMS itu tiba dengan pasport rindu dan visa 'murka Allah' (mungkin), ke Mu'tah.

Teringat kisah nenek saya yang akan bermula gelisahnya bila Azan Asar petang Khamis berkumandang. Pastinya susuk tua itu akan menjenguk-jenguk di muka pintu, menanti-nanti anak perempuan bungsu bersama menantu dan cucu-cucunya pulang dari 'benua' Tanah Merah, 60 000 meter dari 'kepulauan Nilam Puri'.

Pastinya setiap detik yang berlalu akan menyentak-nyentak tangkai hati ibu tua itu. Dan akhirnya, saya akan dipanggil untuk menghubungi mak su saya, bertanyakan lokasi, sudah berapa jauh bahtera mereka belayar. Begitulah saban minggu sehingga kekadang mengundang jemu. Namun, setalah jasad itu jauh di perut bumi, detik itu menjadi rindu yang tak akan terubat. Namun ianya kini menjadi pengajaran yang tak terbeli, melainkan dengan pengalaman.

Dan kini saya mengerti, apa itu kasih dan cinta tanpa syarat dari seorang yang bernama ibu.

ANAK MANJA

"Manja betul nta dengan mak nta..." tegur seorang sahabat.

"Manja denagn ibu tu kunci pintu syurga, penutup pintu neraka.." saya merespon ringkas sambil tersenyum.

Balik ke Daar Muttaqin untuk makan malam sebelum Azan Maghrib berkumandang dari corong Masjid Syuhada', Pekan Mu'tah tepat jam 5 petang.

Tiada ulasan:

Facebook Comments Box: Bloggerized by HASANHUSAINI.COM

Catat Ulasan

Komen Anda Adalah Buah Tangan Terbaik [hasanhusaini]