Bahang Mesyuarat Agung Tahunan PERMATA semakin menyala-nyala. Poster-poster dan banner memenuhi ruang wall Facebook yang menjadi pengganti dinding rumah persatuan. Status-status dari Yahoo Messenger juga mengalami transformasi yang meluas. Semuanya berkisar tentang pilihanraya.
Dalam Islam, tugas memilih pemimpin adalah tugas dan tanggungjawab yang besar. Kesilapan tangan memangkah akan menyebabkan kesan yang buruk berpanjangan. Pengamatan yang tajam dan penelitian yang terperinci harus dibuat sebelum tangan mengguriskan pena ke kertas pencalonan apatah lagi kertas undi. Tindakan itu mengundang soalan yang perlu dijawab secara tuntas dihadapan Allah.
Dewasa ini, tidak susah untuk mencari dalil-dalil dan nas yang memberi tunjuk ajar bagaimana protokol dan prosedur serta tatacara memilih pemimpin. Justeru, tulisan saya agak jauh dari berbicara tentang nas dan dalil. Psikologi kemanusiaan menjadi tema saya untuk kesekiankalinya.
Kepemimipinan yang baik adalah kepemimpinan yang menggabungkan ketiga-tiga konsep kepemimpinan yang masyhur di dunia ini. Autoktratik, Demokratik dan Teokratik.
Autokratik yang bersifat tegas dan tetap. Demokratik yang bersifat anjal dan diplomasi yang mesra rakyat. Sementara Teokratik berdasarkan dalil serta ajaran dan pegangan kepada agama. Pemisahan ketiga-tiga ciri ini akan menjadikan sebuah organisasi itu kelihatan tempang, cacat dan gagal mengoptimumkan fungsi dan manfaatnya kepada ahli dan masyarakat.
AUTOKRASI DAN TEOKRASI
Autokrasi dan Teokrasi kebiasannya tidak berpisah. Autokrasi kepemimpinan Islam berdasarkan sumber agama yang mengandungi ciri-ciri Teokrasi. Namun, Contoh-contoh kepemimpinan sebegini tidak banyak melatari sirah pemerintahan baginda dan para sahabat, Khulafa' Rasyidin. Bahkan ia kebanyakannya tertumpu kepada pensyariatan hukum-hukum yang sememanganya datang dari Allah yang berkuasa autokrasi mutlak.
DEMOKRASI
Semangat demokrasi pastinya menjadi minat ramai. Rakyat dan ahli akan terasa lebih dihargai. Menghargai dan dihargai adalah sumber inspirasi kejayaan sebuah kepimpinan dan organisasi.
Saya lebih selesa untuk mengatakan bahawa demokrasi yang saya tekankan ini adalah demokrasi yang menepati sistem syura. Demokrasi terpimpin yang kena dengan dalil dan nas. Tepat dengan Al-Quran dan Hadith. Demokrasi yang tidak bertentangan dengan alam Allah. Ciri inilah yang banyak melatari kisah dan sirah kepimpinan Rasulullah sallallahualaihiwasallam dan para sahabat.
Kisah Badar pastinya menjadi teladan yang baik untuk kita renungi. Proses mencari tempat untuk batalion Islam bertahan malah menyerang harus dipilih dengan teliti. Strateginya harus tepat dengan masa dan tempatnya. Rasulullah sallallahualaihiwasallam berhenti ditempat yang kurang strategik. Lalu Habbab Bin Munzir bertanya kepada Rasulullah sallallahualaihiwasallam dan memberi pandangan peribadinya.
" Apakah ini wahyu yang diturunkan oleh Allah, ataupun hanya sekadar strategi yang kamu rancang?" tanya Habbab kepada Rasulullah yang mulia.
" Tidak, ini bukanlah wahyu, bahkan pandangan dan strategi aku sahaja", jawab Rasulullah sallallahualaihiwasallam.
" Kalaulah ianya pandangan kamu, maka aku juga berhak memberi pandangan. Dan pada pandangan aku, tempat ini tidak strategik untuk kita bertahan dan berkubu di sini. Ada baiknya kita beralih ke telaga paling hujung dan menimbus telaga yang berada di depan kita. Nescaya, kita akan dapat bekalan air, tidak pada musuh kita lalu kita mampu untuk membunuh dan mengalahkan mereka". Jelas Habbab panjang dan lebar.
Rasulullah sallallahualaihiwasallam dengan penuh tawaduk kembali menukar posisi sepertimana cadangan yang bernas dari Habbab Bin Munzir.
Begitu juga dengan kisah sebelum berlakunya Badar. Rasulullah sallallahualaihiwasallam mengajak para Muhajirin dan Ansar untuk bermesyuarat memberi pandangan dan cadangan. Baginda tidak berpuas hati sehinggalah bangkitnya Sa'ad Bin Mu'adz memberi jaminan kesetiaan mewakili Ansar yang pertama kali diuji.
LETAK JAWATAN?
Adakah istilah letak jawatan dalam Islam? Secara ringkasnya tidak ada istilah letak jawatan dalam Islam. Khulafa' Al-Rasyidin secara keseluruhannya menamatkan tempoh perkhidmatan dengan suratan ajal dari Izrail.
Malah, nabi berpesan kepada Saydina Uthman radhiallahu'anh :
Wahai Uthman, seandainya suatu hari nanti kamu dilantik oleh Allah mengendalikan urusan kepimpinan ini, dan kaum munafiq mahu menanggalkan pakaian engkau yang Allah pakaikan kepadamu, maka JANGANlah engkau menanggalkannya!” [riwayat Ibn Majah]
KEMANUSIAAN
Menjadi khalifah di muka bumi bererti sedang berhubung secara langsung dengan penghuninya. Manusia adalah sasaran utama sistem khalifah dan kepemimpinan diturunkan. Menjadi pemimpin bukanlah bererti menjadi ketua kepada manusia, bahkan menjadi hamba kepada mereka. Pemimpin harus bersifat manusiawi untuk memahami masalah manusia.
Bongkak dan sombong bukanlah sifat manusia. Ianya sifat khusus untu tuhan pencipta. Pemimpin yang sombong tidak akan dihormati rakyat jelata.
Benar, mungkin syura dan mesyuarat menjadi kata pemutus kepada permasalahan yang tidak mempunyai dalil dan nas. Namun perbuatan menutup mulut ahli dari berbicara, bertanya dan memberi pandangan bukanlah teknik yang baik untuk diamalkan secara istiqamah. Ianya bakal mengundang mual dan muak.
Janganlah menshut-upkan ahli dengan frasa , "Ini keputusan pimpinan, kalian hanya wajib taat tanpa banyak soal." . Semangat dan sistem syura bukanlah proses pembodohan tersusun untuk menutup mulut dan menyembelih idea bernas serta daya intelektual dari ahli-ahli bawahan.
Sebaiknya, tutuplah mulut mereka dengan perancangan yang tuntas tanpa kelemahan. Perancangan yang bebas dari kecacatan. Penuh dengan kebijkasanaan. Terhias dengan ketelitian. Maka saat itu, orang bawahanmu akan menutup mulut dari soalan yang mengganggumu. Dan segalanya itu tidak akan tercapai dengan hanya menggunakan satu dua otak dan minda.
Tunjuk pandai juga bukan gaya manusia. Pemimpin yang tunjuk pandai akan berdepan dengan ahli yang akan memandai-mandai. Protes, pertelagahan dan pertembungan idea secara emosi pastinya akan berlaku dan ianya akan merumitkan sebuah pentadbiran.
Harus diketahui bahawa pemimpin yang paling lemah adalah pemimpin yang hanya mengharapkan kepada kuasa, jawatan dan pangkat untuk menyalurkan arahan. Andai tidak ada jawatan, maka tidak ada lagi daya kepemimpinan pada manusia tersebut. Rasulullah sallallahualaihiwasallam sebagai pemimpin agung mampu menyebarluaskan manfaat sebelum baginda diberi jawatan RASULULLAH. Para pemimpin arab Makkah sudah sedia memberi ketaatan kepada baginda. Jelas kisah itu tercatat dalam sirah peletakan Hajarul Aswad.
Andai Rasulullah sallallahualaihiwasallam yang ma'sum lagi terjaga, melayan pertanyaan para sahabat dengan manis muka, maka sikap itulah juga yang harus ada pada para pemimpin kita.
Dan kita pula sebagai ahli dan rakyat, haruslah sehebat Abu Bakar, Umar, Uthman serta Ali untuk dikurniakan pemimpin sehebat Rasulullah.
Saidina Ali radhiallahuanhu pernah ditanya perihal pemerintahannya yang agak sedikit kelam-kabut. Lalu beliau memberi jawapan yang mampu membuatkan kita berfikir panjang.
"Mereka hebat sebab mempunyai rakyat seperti kami (yang banyak membantu), dan aku lemah kerana mempunyai rakyat seperti kamu (yang banyak membantut)!"
Sesungguhnya, kehidupan berorganisasi bukanlah mudah untuk difahamkan pada sebuah catatan seringkas ini. Namun ianya mungkin boleh disimpulkan pada frasa yang mudah. Ianya adalah sebuah proses memberi hak oleh kedua pihak, pemimpin dan yang dipimpin. Bukannya proses menuntut hak yang tak kesudahan.
"Tanyalah diri, apa yang patut disumbangkan, bukannya berkira-kira melantik diri untuk menerima sumbangan."
"Kritiklah seperti jurulatih bola sepak, krtikannya tajam dan membina pasukan. Bukannya seperti penyokong bola sepak, krtikannya tajam berserta sepak terajang yang meruntuhkan."
-Artikel Khusus Untuk Warga Mu'tah Dan Jordan Sempenan Pilihanraya 2010-
HASANHUSAINI,
Darul Muttaqin, Mu'tah, Jordan.
salam ulama muda, artikel saudara sangat menarik..
BalasPadamsaya cadangkan saudara dalami lagi falsafah demokrasi, kerana saudara menyatakan definisi yg tersangat simple dlm tulisan ini.. Tn guru Hj hadi menulis islam n demokrasi dgn bersebab.. maksudnya, sebagai panduan ringkas.. saya yakin, saudara sudah dalaminya..begitu juga mengenai integrasi antara autokrasi dan teokrasi.. cuba lihat sejarah barat sejak sebelum masihi dgn selepas masihi.. lihat sejarah mereka berhubung teokrasi dan autokrasi..
-saya anak usrah saudara (abg ihsan).. hehe