Proses memilih pemimpin adalah salah satu proses dalam usaha membangunkan agama. Justeru, Allah telah meletakkan prasyarat yang mesti kita penuhi demi menjadikan usaha kita itu dinilai baik oleh Allah. Saranan membela agama disertakan dengan syarat supaya jangan berpecah-belah. Sematkanlah ayat ini dalam dada kalian saat melayang pena, mahupun melunak lidah membela calon pilihan hati masing-masing.
"Hendaklah kamu dirikan agama dan janganlah kamu berpecah-pecah dalam agama" (26:13)
Bersatu-padu lebih baik dari mencari yang terbaik! Berpecah-belah itu lebih buruk dari memilih yang paling buruk.
Ingatlah jua, bahawa rosaknya pemimpin adalah kerana taksubnya pengikut. Rosaknya pengikut adalah kerana takjubnya pemimpin. Pemimpin dan yang dipimpin adalah sebuah bangunan. Kuat dan menguatkan serta kukuh lagi mengukuhkan. Kesalahan pemimpin adalah kerana pengikut dan kesalahan pengikut adalah kerana pemimpin. Begitulah sebaliknya.
Jangan takut tersilap memilih pemimpin, kerana kita selamanya adalah penasihat mereka. Akan tetapi, takutilah satu bala yang akan menimpa, andai kerana tepatnya pilihan kita, menjadikan kita lupa untuk menasihati mereka. Menjauhkan diri dari pemimpin dan mengambil sikap berdiam diri dari menegur mahupun mensihati akan menjadi cara terbaik untuk 'membunuh' pemimpina dan kepemimpinannya.
"Sesungguhnya agama itu adalah [proses] nasihat."Hadith
Tidak ada pemimpin yang kuat dibumi ini bahkan pemimpinlah yang paling lemah. Dek kerana kekuatan sebenar mereka berada pada tangan-tangan kita yang memilih mereka. Janganlah tangan-tangan kita yang telah menjulang mereka pada hari ini disorokkan saat mereka menghulurkan tangan memerlukan bantuan kita di depan hari.
Berjanjilah kita pada hari ini untuk tegar bak hawariyyun pembantu Isa alayhissalam. Bukannya persis umat Musa Alayhissalam yang pemalas lagi menyakitkan hati. Hanya duduk dan bersenang-lenang saat Musa dan Harun membanting tulang mengajak manusia beriman kepada Allah.
Teman-teman sekalian, kitalah Abu Bakar untuk mereka. Kitalah Umar, Uthman dan Ali. Kitalah juga Khadijah untuk mereka. Kitalah juga Aisyah dan Fatimah.
Sesungguhnya Salahuddin bukanlah agung bersendirian. Al-Fateh tidak akan gagah berseorangan. Bahkan mereka adalah hasil dari generasi yang penuh dengan militansi dan kesatuan.
~We Unite For Islam~
Membangunkan militansi, membentuk generasi.
Salam Muktamar dari Hasanhusaini.Com.
HASANHUSAINI,
Darul Muttaqin, Mu'tah, Jordan.
saya suka baca artikel ini =)
BalasPadam"..kepimpinan mereka (abu bakar,umar dan uhtman r.a) kuat dan hebat kerana golongan yang mereka pimpin adalah orang yg seperti AKU, manakala kepimpinan ku lemah dan tragis kerana golongan yang ku pimpin adalah orang yang seperti KAMU..!"
BalasPadamsaidina Ali r.a..