Isnin, 26 Julai 2010

Cadangan Kepada DACS




Kehidupan pasca millenium menyaksikan gelombang kehidupan digital yang semakin ganas menghempas dan menelan penduduk negara membangun seperti Malaysia. Gelombang ini tidak hanya menyerang di bandar-bandar besar, malah desa dan kampung-kampung turut menerima tempiasnya.

Kalau 5 tahun lepas menjadi tanda pembandingan, kita pastinya tidak mampu membayangkan bahawa sebuah rumah usang berdinding buluh kasap mempunyai  penerima siaran satelit Astro. Namun, pemandangan begitu menjadi satu fanomena biasa pada hari ini.

Kehidupan berdigital sememangnya mepunyai kebaikan dan keburukannya tersendiri, samada kepada individu mahupun masyarakat. Namun, kebaikannya haruslah kita optimumkan manfaatnya dalam masa yang sama, keburukan pula kita minimumkan kerosakannya.

Dalam dunia maklumat, kita telah mampu memanfaatkan kebebasan media kelas ketiga seperti blog-blog peribadi untuk menyebarkan maklumat. Blog dan web pada hari ini telah menjadi alternatif yang baik kepada PAS secara khususnya.
Tranformasi PAS untuk mendepani cabaran dan kehendak semasa amatlah baik. Perubahan demi perubahan telah berlaku samada secara kecil mahupun yang berbentuk dasar. Penerimaan PAS di kalangan semua lapisan masyarakat harus menjadi keutamaan dalam merealisasikan PAS For ALL.

Saya cukup kagum dengan keberanian PAS melalui DACS menubuhkan ARC [Alternative Rider Club] untuk mengumpulkan anak-anak muda yang minat dalam dunia permotoran. Jambori dan program yang dianjurkan mendapat penyertaan dan sambutan yang memberangsangkan.

Saya juga melihat perkembangan yang cukup positif dalam proses penglibatan PAS secara tidak langsung dalam bidang kesenian yang akhirnya melihatkan kita akan natijah gelombang  perubahan oleh penggerak seni untuk berjinak dengan PAS. Dinsman dan A. Samad Said menjadi contohnya yang baik. Amy Search dan Renggo juga tidak ketinggalan.

Fanomena sebegini menjadikan rakyat Malaysia semakin yakin bahawa hadirnya Islam itu adalah merupakan jalan penyelesaian kepada masalah, bukannya punca masalah. Islam adalah rahmat kepada alam jagat. Konsep Islam For All semestinya diterjemahkan secara komprehensif oleh PAS selaku gerakan Islam unggul di Malaysia.

Kebelakangan ini, satu gelombang besar dalam dunia digital telah melanda rakyat Malaysia. Arus deras DSLR dalam bidang fotografi sememangnya tidak mampu untuk dinafikan. Kamera berteknologi tinggi itu semakin meluas kepenggunaannya di kalangan masyarakat. Arus ini melanda tidak kira peringkat umur dan latarbelakang agama. Pelajar sekolah, pensyarah, wanita, remaja dan petani. Malah lebih mengejutkan, tidak sedikit para ustaz yang turut terkena tempias fotografi DSLR. Ustaz Azhar Idrus menjadi ikon yang masyhur dalam bidang fotografi DSLR.

Statistik beberapa syarikat besar pengeluar kamera DSLR seperti Canon dan Nikon menunjukkan peningkatan yang cukup mendadak dalam jualan kamera dalam kategori DSLR. Peningkatan jualan adalah hasil dari peningkatan jumlah penggunanya.

Ini terbukti apabila kita mampu melihat kamera DSLR tergantung di leher ramai warga kota di ibu negara. Laman-laman internet yang berkaitan dengan bidang fotografi juga semakin menjadi perhatian dan menjadi semakin aktif. Fanomena sebegini harus dilihat secara positif oleh PAS dan DACS secara khususnya.

Saya, pembaca kerdil yang istiqamah mengikuti perkembangan Harakah, melihat kewujudan kolum fotografi dalam sebagai perkembangan positif. Namun, ianya sudah tidak diteruskan pada hari ini padahal, ianya mempunyai kelebihan yang baik. Harakah perlu menjadi jiwa dan lidah yang baik kepada PAS untuk menterjemahkan PAS sebagai gerakan yang bersifat 3600 degree. Boleh diterima oleh seluruh lapisan masyarata, bukannya sekadar bermain seputar siasah semata-mata.

Program mungkin perlu dibuat bagi  menarik golongan fotografer ini untuk berjinak dengan PAS. Proses ini tidak begitu susah kerana saya melihat, tidak sedikit di kalangan pimpinan pemuda PAS yang cukup mahir dalam bidang ini. Us Tantawi selaku Ketua Pemuda PAS Pusat sendiri adalah pengguna kemera DSLR. Begitu juga dengan Timbalan Ketua Pemuda PAS Kelantan yang merangkap Adun Pasir Tumbuh dan Timbalan Exco Kelantan juga tergolong dalam peminat dunia fotografi. Persamaan adalah punca kesatuan. Titik persamaan harus diperbanyakkan untuk mendekatkan PAS kepada semua lapisan masyarakat.

Langkah lanjutnya, sebuah organisasi mungkin boleh ditubuhkan seperti tertubuhnya ARC untuk golongan peminat dunia permotoran. Kita telah melihat ARC maju dan bermanfaat kepada PAS, apakata kita melihat pula manfaat dari penubuhan kelab fotografi PAS….?

Ini hanyalah pandangan kecil saya sempena Retreat Pemuda PAS Pusat awal Ogos ini. Walaupun saya jauh di perantauan, namun hati bergelojak dek ingin benar idea ini disampaikan.

Respon Ketua Pengarang Harakah, Saudara Zulkifli Sulong melalui kotak email, "Saya setuju dan bersedia menjadikan Harakahdaily sebagai Platformnya".

Respon Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat Ustaz Nasrudin Tantawi : "Alhamdulillah pandangan yg baik . Ana akan bincang dlm retreat pemuda 6 ogos ini".

Respon Saudara Herman Samsudeen : "InsyaAllah...cadangan yg menarik. Nanti ana sampaikan kpd pengerusi DACS Wilayah & Pusat".
Alhamdulillah.

HASANHUSAINI,
Darul Muttaqin, Mu'tah, Jordan.

1 ulasan:

  1. salam,mantap idea yg dcdgkan wpun jauh dr tanah air,mg ramai lagi yg mampu
    menyumbang idea praktikal utk kebaikan Islam.

    BalasPadam

Komen Anda Adalah Buah Tangan Terbaik [hasanhusaini]