Di Dukungan Ayah |
16 Ogos 1965
Seorang bayi perempuan lahir. Bidan tua menyambutnya dengan senyum. Sihat anak hawa ini. Anak sulung kepada Abdul Wahab dan Meriam ini dinamakan dengan nama yang baik, Nor'aini. Cahaya mataku. Anak itu dididik dengan acuan agama yang baik. Ayahnya seorang guru agama. Ibunya peniaga kecilan di kampung.
Bukan senang untuk mendidik anak perempuan dalam keadaan Islam yang ditekan.Waktu seharian diisi dengan pengajian Al-Quran. Pada awal 7 tahun, mereka dah khatam bacaan 30 Juz dengan baik. Bahasa dan tulisan jawi lebih dahulu sukses sebelum menjejak kaki ke sekolah. Berbaju kurung dan bertudung ke sekolah mengundang ejekan dan cemuhan kawan-kawan. Itulah yang pernah menimpa anak-anak perempuan itu.
1982
Keputusan SPM masih panas diperbualkan rakan-rakan sekelas. Namun, ada berita yang lebih panas dan mengejutkan. Noraini bakal dinikahkan dengan Ustaz Yunus, guru subjek agama yang paling selekeh di Sekolah Agama Tarbiah Mardhiah, Panchor. Noraini baru berusia 17 tahun, sedang bakal suami yang juga gurunya pula berusia 33 tahun. Separuh umur beliau, dan hampir menyamai umur ayahnya, Abdul Wahab.
Ketaatan Noraini tidak berbelah bahagi kepada kedua ibu bapanya. Tahun itu menyaksikan pernikahan keramat. Dengan mahar yang berjumlah RM 500, akad itu sah hanya dengan selafaz sahaja.
Mengharungi dunia rumah tangga bukanlah sesuatu yang senang. Berumah tangga dalam usia semuda itu juga bukan kepalang. Namun, itulah pelajaran secara langsung yang Allah kurniakan kepada jasad kecil keturunan hawa yang bernama Noraini. Menyemai cinta selepas kahwin bukan semudah yang diperkata dalam bait-bait puisi dan bahasa.
3 tahun bersama suami, rahim Noraini kini berisi. Muntah dan mabuk sememangnya menjadi tradisi. Namun, tugas sebagai isteri takkan pernah dilupai. Itulah ajaran yang diterima sejak azali. Taat kepada ibu dan bapanya kini telah dialihkan kepada suami. 9 bulan kemudian, seorang anak lelaki lahir. Anak itu dirancangkan untuk diberi nama Khairul Afifi oleh sang suami. Namun, suami yang baik lebih empati kepada isteri yang setia menampung beban bay itu sejak janin. Khairul Afifi disimpan kemas di sanubari. anak itu ditatahkan dengan nama pilihan isteri.
4 tahun kemudian, rahim Noraini diisi lagi dengan benih baik dari sang suami, melengkapi fitrah insani. anak perempuan kini menghirup nafas segar dari oksigen kurniaan Ilahi. Anak perempuan montel ini cukup disayangi oleh sang suami, lebih-lebih lagi si isteri. Si anak sulung lelaki juga tak kurang gembiranya. Namun, kekadang, diiringi rajuk yang selayaknya untuk kanak-kanak yang berusia 4 tahun.
Seminggu masanya 3 beranak bergembira menyambut kelahiran ahli baru. Seluruh keluarga kini berkumpul bersama. Dari ayah, nenek, datuk sehingga ke moyang. Kenduri aqiqah bakal diadakan sempena hari ketujuh kelahiran Kambing akan dikorbankan, kepada bayi perempuan itu bakal dibotakkan, nama yang baik juga akan digazetkan sebagai doa yang baik kepada bayi itu.
Siapa sangka akan takdir Allah. Siapa duga akan ujiannya. Siapa tahu akan perancangannya. Malam Jumaat yang riang itu akhirnya berubah menjadi duka nestapa. Kenduri aqiqah berubah menjadi kenduri arwah. Sang suami dipanggil menghadap Ilahi. jumaat, 2.05 am, 6 September 1990 menyaksikan si iseteri yang baru berusia 25 tahun mejadi janda. Anak lelaki yang baru 4 tahun, dan anak perempuan yang hanya berusia 7 hari kini bergelar yatim. seluruh ahli langit dan bumi bersedih atas pemergian ini.
Anak kecil itu dinamakan dengan nama Nor Afifah, ganti kepada Khairul Afifi yang tak kesampaian.
MOU ketaatan kini berpindah tangan. Dari ketaatan kepada suami, kembali kepada ayah dan ibu. Noraini sedar akan hakikat ini. Kwajipannya adalah menjadi anak yang taat kepada ibubapa serta menjadi ibu malah ayah yang baik kepada anak-anaknya. Itu tugasnya.
Sejak itu, Noraini membesarkan anak dengan keringatnya sendiri. Tiada harta yang ditinggalkan suami melainkan sebuha motor Honda C70 lusuh. Tiada EPF mahupun KWSP. Tiada pencen mahupun saguhati. Membesarkan anak lelaki nakal dan anak perempuan tanpa kehadiran seorang lelaki bernama suami bukan senang dan ringan. Tidak sedikit air mata yang tumpah. Bukan sedikit dadanya sempit dan lelah. Kekadang, bilahan rotan hinggap untuk menyelesaikan masalah. Setiap kali libasan hinggap ke kulit anaknya, setiap kali itu juga hatinya disiat-siat dan ditoreh-toreh. Bukan keinginan hatinya yang lembut untuk melihat anak meraung kesaikatan. Tapi, itulah wasilah sebuah pendidikan.
Sumber mata pencariannya kerap berubah. Yang pasti, peluh dan air mata menjadi modalnya. Dari menoreh getah hingga ke penjual kuih. Dari pengusaha padi ke penjual nasi. Hinggalah Allah mengurniakan peluang yang berharga, guru KAFA yang memberi pulangan RM 250 sebulan. Namun, bukan sekali beliau diigut untuk dipecat dar jawatan tersebut akibat tidak mengisi borang keahlian parti pemerintah. Bukan Sekali. Namun, hatinya sudah kukuh, pegangannya sudah cukup kuat, menyakini bahawa rezeki bukan pada tangan manusia, borang itu hanya dihantar kosong dan namanya masih terpilih sehingga sekarang.
September 2005
Lebih 15 tahun Noraini menjanda. Tempoh jandanya berlangsung bukan sebentar. Kehidupan menjanda bukan senag dan riang. bahkan dipenuhi dengan kata dan nista orang. Anak lelakinya kini berusia 19 tahun. Anak perempuan pula sudah 15 tahun. Keduanya bersekolah di sekolah agama. Ibu dan ayahnya telah dijemput tuhan. Sepanjang hayat mereka berdua, Noraini yang menjaga makan minum mereka. Keduanya dijemput tuhan diatas ribaan Noraini. Seperti arwah suaminya sedekad setengah dahulu.
Lamaran seorang lelaki diterima hasil perbincangan bersama dua anaknya. Perkahwinan ini menamatkan zaman jandanya. Lelaki yang lebih tua dari ayahnya tu diharapkan mampu memberi sinar baru dalam kehidupan keluarganya. Handsomenya bukan pada rupa, tapi pada tingkah laku dan agama.
Hampir 3 tahun bersama suami baru, Noraini bercadang membeli sebuah kereta dengan duit simpanannya. Beliau masih belum ada harta sendiri. Rumah yang didiami adalah hasil pusaka ibunya. Kereta usang DJ 1500 juga adalah hasil pusaka dari ayahnya. Tidak ada harta miliknya sendiri. Pendapatanya selama iini ditumupukan untuk pendidikan anak-anaknya.
Setahun kemudian, sebuah kereta Proton SAGA selamat menjadi milik Noraini dengan bantuan dari adik perempuannya dan adik iparnya. Seisi keluarga gembira dengan nikmat itu. Kepalang memilki harta sendiri.
14 Jun 2010
Kereta Proton itu baru berusia setahun lebih. Odometernya belum pun mencapat 6 angka. Tayarnya baru bertukar sekali. Namun, takdir Allah ingin menguji jasad kecil yang disayangiNya itu. Pagi 14 Jun itu menyaksikan kereta itu selamat dicuri oleh sang pencuri yang tak berhati perut. Noraini longlai melihat satu-satu harta titik peluhnya sendiri dilarikan orang.
6 September 1990, dia kehilangan suami pada umur 25 tahun.
Jun dan Disember 2005, dia kehilangan ayah dan ibu yang tercinta.
14 Jun 2010, dia kehilangan harta dari titik peluhnya sendiri.
Namun, sedihnya tak lama. Hatinya cepat terpujuk dengan kalimat-kalimat cinta dari kalam pencipta.
Itulah sebuah kisah wanita waja. Noraini Binti Abdul Wahab. Saya sentiasa menjadikannya idola dalam hidup. Doa rahmat sentiasa dititipkan untuknya, mendahului doa kebaikan untuk diri sendiri.
Ya Allah, kau rahmatilah ia dengan rahmat tanpa batasMu seperti mana dia menyayangiku dengan kasih sayang tanpa hadnya sewaktu kecilku...
Noraini Binti Abdul Wahab adalah Ibu saya. Yunus @ Che Min adalah ayah saya. Abdul Wahab dan Meriam adalah datuk dan nenek saya. Khairul Afifi adalah nama cadangan arwah ayah untuk saya, yang akhirnya diberikan kepada adik permpuan saya, Nor Afifah.
Catatan : Menulis tentang ibu pada hari mengingati jasa ayah. Wanita yang menjadi Ibu dalam kasih sayang, dan yang menggantikan ayah dalam ketegasan. Wajah ayah sentiasa muda dirakam potret. Namun, kenangan dan peristiwa bersama ayah semakin hilang dikambus masa. Yang tinggal adalah cerita-cerita orang tentang ayah yang cukup disanjungi masyarakat. Saya berusaha melukis wajah seorang ayah, namun yang terbit adalah wajah ibu. Wanita yang menggantikan ayah dalam hidup saya. Inilah catatannya.
HASANHUSAINI,
Darul Muttaqin, Mu'tah, Jordan.
salam ustaz~
BalasPadamsegugus doa dr ana utk ustaz dan keluarga..
semoga Allah sentiasa merahmati kalian..
Fakeh : Terima kasih atas maklumat anda. Namun, saya kurang berminat dengan maklumat 3rd party anda. Saya lebih selesa untuk mengenali tokoh dengan menemui mereka sendiri. Andai tokoh itu telah dijemput Ilahi, maka saya akan baca tulisan tinggalan beliau. Itu pada saya lebih adil dari membaca tulisan para penyokong ataupun para pengongkong mereka...
BalasPadamDear bro,
BalasPadamLife is a struggle. However, never ever surrender.
Grüsse
Allah.. berair mata ana baca.. barakallahu lak..
BalasPadamsedih saya membaca..pasti ibu mu itu lebih bangga dgn usaha dan kejayaan mu di ketika ini..
BalasPadamsedih saya membaca..pasti ibu mu itu lebih bangga dgn usaha dan kejayaan mu di ketika ini..
BalasPadam