Untuk memenuhi nazar yang dilafazkan, aku dirancang untuk dihantar ke pusat pengajian tahfiz di MTAQ Pulai Chondong. Namum disebabkan result UPSR ku hanya sekadar 3A 2b sahaja, permohonanku ditolak. Lantas tempat ku bertapak adalah di Maahad Tahfiz Darul Quran Wal-Qiraat, Repek, Pasir Mas.
Tanggal 6 November 1998, aku denga rasminya bergelar budak pondok. Di sinilah setan macam aku diprogramkan untuk menjadi insan yang berguna dan di sini juga aku dipaksa menelan Al-Quran. Masakan niatku asalnya untuk ke MRSM memandangkan aku amat meminati bidang sains dan teknikal. Namun, atas dasar taat, ku turut jua perintah ibu tercinta.
Berada di sini, aku terpaksa menerima apa jua jenis tindakan atau balasan. Rotan dan sebatan menjadi juadah harian. Kekadang hati meronta dan memberontak. Namun percayalah, tiada murabbi yang menginginkan anak didiknya rosak, punah jahanam. Bahkan semuanya kerana inginkan kebaikan. Pernah aku dirotan 10 sebatan atas kesalahan membaca ayat tak cukup ‘semuka’ dalam sembahyang. Namun aku redha menerimanya. Inilah jalan tarbiyyah yang berjaya mengubah setan sepertiku menjadi seorang manusia akhirnya.
Hanya secebis yang ku ceritakan disini.
Namun akhir-akhir ini, cara ini semakin berkurangan. Penuntut remaja selepasku semakin hanyut di telan gelombang keseronokkan dunia. Tiada lagi nilai-nilai sebenar seorang pembawa Al-Quran mulia. Malah ada yang menganggap cara ini keterlaluan. Namu tidak bagiku, kerana aku didik begitu.
Disini juga aku belajar untuk menilai pelbagai jenis manusia. Ada yang setan menjadi manusia, manusia jadi setan, setan jadi malaikat dan ada juga yang setan forever.
Peristiwa 2 ogos banyak mengajar ku tentang mehnah dan tipudaya dunia. Keikhlasan semata tak mampu memberi apa-apa imbalan yang baik kepadaku. Mengimbau tragedi ini membuat tangkai hati ku pedih. Aku akui kesilapan diri. Namun ianya bukan sepenuhnya penyumbang kepada peristiwa hitam itu. Niatku mulus suci..ingin mengajak umat ini menunaikan fardhu Ilahi.
Namun takdir menentukan segalanya. Kemalangan yang hampir meragut beberapa nyawa itu membuat hidup ku gelap seketika. Dunia seola-olah menjadi sempit. Aku dipersalahkan sepenuhnya. Tidak ada yang sudi membela, meski rakan senda tawa sepenuh masa sebelum ini. Aku hilang tempat mengadu. Lebih menyedihkan ada lisan zalim yang tidak berperasaan membuat fitnah mengatakan aku memandu teramat laju. Dihadapanku, mulutnya manis bak manisan Melaka. Memujuk kononnya. Padahal mereka hanya ingin menutup kesalahan sendiri lantaran …..ah..tak sanggup ku ceritakan disini. Individu ini akan ku ingat sepanjang hayat. Bukan kerana dendam, tapi ‘budinya’ yang begitu tinggi mengajarku untuk tidak lagi mempercayai manusia warak kucing ini.
Namun dengan kehadiran beberapa sahabat sejati yang memujuk, walau sendiri terpalit kecelakaan akibat peristiwa itu, aku bangkit untuk meneruskan sisa hidup. Mempertaruh sedikit keazaman mengajar satu penyudah yang bergelar kejayaan. Terima kasih sahabatku. Zubaidillah, Fakhran, Fikhri dan Firdaus Thahawi. Jasa kalian akan ku ingat sehingga akhir hayat.
Berhadapan dengan masyarakat, ibuku berdepan dengan soalan maut.. “Hantar anak belajar pondok, besar nanti nak kerja apa..? soalan yang sering kali menjengah di telinga ini sedikit sebanyak meruntun jiwa jahilku untuk melepaskan tanggungjawabku sebagai pemikul Kalam Mulia. Namun dengan berkat kesabaran walau kejian dan hinaan terpaksa ku telan, aku teruskan perjuangan.
Bukan hanya yang duka untuk ku catat di sini. Indahnya, aku mengenal erti pahitnya cinta, andai bukan pada waktunya. Percayalah, aku pernah merasainya. Ia mampu melencongkan arah tuju tren yang berlari kejap di landasan. Halatuju kita bakal terpesong jauh dari rahmatnya lantaran asyiknya bergelumang dengan dosa dan nista. Namun tak ramai yang ingin mempercayainya kecuali kamu.. betul tak…? Mereka beralasan untuk dijadikan sumber semangat. Isy, satu perkara yang amat pelik, mencari ketenangan dengan kemaksiatan.
Pesan seorang 'Alim, "Kalau nak buat dosa, jangan sampai terbiasa".
Usah bicara berpanjangan, ada pula yang panas telinga.
Bangkit dari zaman gelap, aku teguhkan tekad, tegapkan tegak untuk menghadi realiti bahawa halatuju ku masih jauh dan akulah penentunya.
Setelah berhempas pulas dengan bermacam kenangan pahit dan manis, aku berjaya menghafal keseluruhan Al-Quran. Tanggal 12 ogos 2003 pertabalan title baru yang terpikul di bahuku… Al-Hafiz. Gembira bukan kepalang. Terasa ingin dikhabarkan seluruh dunia bahawa aku telah berjaya. Namun aku masih belum dii’tiraf manusia.
Tahun berikutnya aku mendaftarkan diri sebagai calon Peperiksaan Sijil Menengah Ugama (SMU), bersama-sama rakan-rakan seperjuangan.
Suasana aman damai tidak berpanjangan. Ujian tuhan menziarahi ku lagi. Mungkin untuk menguatkan, atau untuk menyedarkan.. Datuk sebelah ibu ku yang selama ini banyak member tunjuk ajar dan bantuan ini telah pergi meniggalkan ku selamanya. Malah, sepanjang hidupnya, dialah tempat aku bermanja dan mengadu. Dia dijemput ketika usianya yang hanya 63 tahun 4 bulan 9 hari itu genap di hitung Yang Esa. Setelah hampir 3 tahun dihinggapi penyakit lumpuh (stroke). Kini aku tak lagi berpeluang untuk berbakti padanya. Aku takkan dapat menyuap nasi berlauk ikan keli kesukaanya lagi. Aku tidak dapat mencium pipinya sebelum menyarung helmet setiap kali ingin bertolak ke MTDQ Repek. “tok ayah, maafkan cucu tok ayah yang selalu sakitkan hati tok ayah ini..” Namun aku puas, hasratnya untuk melihat cucu sulungnya bergelar Al-Hafiz tercapai. Terbayang kepuasan di raut mukanya saat aku pamerkan segulung IJAZAH lambang pengi’itirafan Al-Hafiz. Al-Fatihah. Semoga rohnya ditempatakn di Syurga.
Tinggal aku yang masih berjuang mencari indentiti hayat sendiri sebelum usia ini genap dihitung Yang Esa. Imtihan SMU menjelma, aku hadapi dengan tabah dan tenang. Natijah yang zahir tidak memalukan. Aku dinobatka sebagai calon terbaik pusat SMU Rahmaniah Tasik Berangan sekaligus calon terbaik MTDQ Repek.
Untuk menghadapi yang seterusnya (spm), aku dinasihati oleh ahli keluargaku untuk bertukar ke MML Kota Bharu. Alasannya, prasarana dan kepakaran tidak mencukupi disini. (MTDQ). Namun tekadku untuk mengharumkan nama MTDQ menetapkan aku disini lagi (MTDQ). Namun begitu, aku harus menggandakan usaha untuk mengejar sukatan pelajar yang tertinggal semenjak form one. Bayangkan kami terpaksa cover sukatan pengajian selama lima tahun dalam masa tidak sampai setahun. Hanya tuhan yang tahu betapa suntuknya masa yang dimilikki.
Dalam kesuntukkan masa yang aku hadapi, ujian bertandang lagi. Nenekku pula yang dijemput Yang Esa. Mengikuti jejak suaminya yang baru berapa bulan meninggalkan kami. Lantaran anak nenekku yang kedua-duanya perempuan, sementara aku anak dan cucu lelaki tunggal, aku terpaksa menguruskan segala urusan kematian nenekku hingga selesai.Ini kerana suami makcikku (yang juga anak angkat nenekku) baru sahaja menjalani pembedahan menukar kanta matanya yang tercedara akibat terkena serpihan paku. Dan aku hanya berumur 18 tahun.
Masa depan SPMku seolah gelap, terasa ingin melepaskan segalanya dan terus tinggal dirumah untuk berkerja demi meringankan beban ibuku. Namun tekadnya mahuku terus belajar kerana katanya, harta lelaki adalah ilmu dan kepakaran yang melaut didada. Ku teruskan perjuangan yang berbaki.
Siang malam berganti, peperiksaan ku bertamu. Dalam kesedihan yang ku alami, sahabat di sisilah menjadi penawar. Namun kekadang aku belayar berseorangan bersama motor pusaka peninggalan ayahku mencari damai dan ketenangan. Banyak sugguh kenangan bersama Honda C70 tu.
Satu hari, semasa aku berehat sambil membelek-belek buku bahasa inggeris di selang waktu peperiksaan, handphone Nokia 1110 ku bordering. Ibu ditalian. Ditanya padaku tentang seorang lelaki yang telah beberapa kali masuk meminangnya.. Tawa berderai, namun air mata yang berlinangan mengiringi tawaku yang entah kenapa. Aku faham maksud ibuku. Jawabku, greenlight. Duka takkan berpanjangan. Sepanjang peperiksaan Bahasa Inggeris tengah hari itu, senyum tak pernah lekang dari bibirku sehingga pengawas peperiksaan kepelikkan melihat telatahku. Alhamdulillah.
Seminggu sudahnya, ibuku selamat dijabkabulka dengan lelaki yang sama umurnya dengan arwah datukku dan hanya bekerja kampong. Kenapa aku cari lelaki ini sebagai pengganti ayahku..? jawabnya kerana keikhlasan cintanya terhadap ibuku.. sanggupmenunggu selama 16 tahun.. memang cinta sejati. Aku rela serahkan ibu kesayanganku kepadanya. Terima kasih, Ayah.
Natijah SPM menjelma, pahit menimpa sebelum aku dapat merasa manisnya, namun tak perlu ku ceritakan.. Pentingnya, aku sekali lagi mendapat keputusan terbaik bagi MTDQ sekaligus untuk pusat DC305. Syukurku bukan kepalang. Ini sudah semestinya bantuan tuhan. jika tidak, masakan ku melebihi mereka yang siang malamnya asyik study dan di selangi dengan tusyen lagi. Sedang aku hanya belajar SPM di pondok. Terima kasih tuhan, sejenak ku rapatkan dahi ke lantai. Sujud bersyuku padanya. Sejurus air mataku mengalir.
Bersambung... Alam Kolej.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komen Anda Adalah Buah Tangan Terbaik [hasanhusaini]