Rabu, 12 Mei 2010

Tiga Watak Utama

Sesebuah tamadun tidak akan berdiri teguh andai tiga komponen utama ini tidak berada pada landasannya yang betul. Namun, di antara ketiga-tiga komponen tersebut, Ulama dan hukama’ yang paling penting. Malah, jika dibandingkan pula ulama’ dan hukama’ , maka ulama’lah yang akan menduduki senarai tertinggi carta kepentingan dan kebergunaan mereka di mata tamadun. 

Cerdik pandai menafsirkan Ulul Amri [ketua] yang diisyaratkan oleh Allah di dalam surah An-Nisaa’ ayat ke-59 itu terbahagi kepada dua jenis ulul amri. Pertama, pada bidang siasah [politik] dan yang kedua pada bidang ilmu dan pegangan kepercayaan. Maka, hukama’ akan menjadi ulul amri pada sistem siasah dan politik manakala ulama’ akan menjadi ketua di laman ilmu dan kepercayaan. 

Ketaatan kepada kedua-dua pimpinan ini bersyarat, bukan seperti ketaatan kepada Allah dan rasulNya yang mutlak. Maka, andai salah satunya melencong dari landasan sebenar yang digariskan oleh Islam, tidak ada lagi istilah ketaatan kepada ketua. 

Sejarah banyak berbicara, bagaimana apabila ulama’ dan hukama’ berkolaborasi secara baik, akan terhasillah pemerintahan dan tamadun islam yang baik dan ulung. Lihat bagaimana kepemimpinan Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam dan para Khulafa’ Rasyidin. Lihat Juga Sultan Muhammad Al-Fateh yang cukup rapat dan sinonim namanya dan guru baginda, Syeikh Syamsuddin. Lihatlah juga sebahagian pemerintahan Khalifah Bani Umayyah dan Bani Abbasiyyah yang begitu memuliakan ulama’. Maka pada waktu itu, kita akan melihat Islam akan menjadi dominan pada penduduk dunia. Tamadun Islam menjadi kiblat untuk ditaati oleh penduduk dunia. 

Posisi terbaik ulama’ adalah apabila ulama’ tersebut dalam masa yang sama adalah hukama’ yang mengepalai sistem politik dan pemerintahan. Ini kita dapat lihat dalam contoh kepemimpinan Rasulullah sallahllahu’alaihiwasallam dan para sahabat dan serta beberapa tab’iin selepas zaman Nubuwwah dan Khulafa’ Rasyidin. 

Namun, dunia harus akur pada kemampuan manusia. Tidak ramai yang mampu melonjakkan diri untuk bergelar ulama’ yang hukama’ atau hukama’ yang ulama’. Maka, pilihan ideal kedua yang kita ada ialah, apabila hukama’ mendampingi ulama’. 

Para cendekiawan Islam didampingi untuk oleh para pemerintah untuk mendapatkan khidmat nasihat dan tunjuk ajar yang bertepatan dengan kehendak pemerintah hakiki. [Allah]. 

Situasi begini dapat kita lihat pada zaman pemerintahan Bani Umayyah dan Bani Abbasiyyah. Pemerintahan Sultan Muhammad Al-fateh dan Sultan Nuruddin Az-Zenki adalah contoh ideal untuk menggambarkan kolaborasi yang baik antara ulama’ dan hukama’. 

Sultan Muhammad Al-Fateh dilihat begitu mengambil berat akan nasihat, pendapat dan tunjuk ajar serta teguran gurunya Syeikh Syamsuddin. Kisah penaklukan Kota Kostantinopel cukup baik untuk dibaca bagi memahami konsep ini. 

MASALAH HARI INI 

Sudahlah kita tidak mempunyai Hukama’ yang Ulama’ malah Ulama’ yang Hukama’. Kita juga tak mempunyai Hukama’ yang sudi untuk mendampingi para ulama’. Lebih menyedihkan, ulama’-ulama’ yang kini tinggal beberapa kerat juga telah dibuang ke tepi. Ada ulama’ yang dipenjarakan, dibunuh, dibuang negeri dan diperlakukan dengan pelbagai ragam penyeksaan dan penghinaan. 

Ulama’ bagaikan tidak bernilai di mata masyarakat. Ruang untuk ulama’ timbul di mata masyarakat disempit malah dihalang dan dihilangkan. 

Tinggal satu jalan untuk kembali melihat Islam menjadi sinar penyuluh umat akhir zaman ini. 

ULAMA’ DAN RAKYAT 

Talian Ulama’ dan rakyat jangan diputuskan. Peranan ulama’ harus berterusan dalam menunjukkan jalan yang benar kepada Masyarakat. Peranan ini bukanlah ringan untuk dipikul oleh sebatang tubuh ulama’ yang juga manusia. Bukan mudah untuk berhadaan dengan kejahatan dan kekufuran Hukama’, namun janji Rasulullah dan janji Allah sentiasa benar dan meyakinkan kita selaku muslim hakiki. 

Sabda Rasulullah : 

“Tidak akan putus dari ummat aku, akan ada satu golongan yang tegas mempertahankan kebenaran, mereka tidak tergugat dengan pencabar dan penentang meraka dan meraka akan terus istiqamah sehingga datangnya janji Allah”. 

Firman Allah : 

“Wahai Orang yang beriman, sesiapa yang murtad dari kalangan kamu dari agamanya [Islam], maka Allah akan mendatangkan satu kaum [menggantikan kalian] yang Allah cintakan mereka dan mereka pula mencintai Allah. Mereka adalah kaum yang lemah lembut terhadap mukmin, iman dan keimanan serta keras dan tegas terhadap kafir, kufur dan kekufuran. Mereka akan berjuang di jalan Allah tanpa takut dan menghiraukan celaan sang pencela...” [Al-Maidah : 54] 

Ulama’ yang ikhlas akan sentiasa ada dan wujud pada setiap masa. Persoalannya, mahukah kita menjadi tangan untuk mereka berjuang, menjadi lidah untuk mereka bertutur, menjadi kaki untuk mereka melangkah dan menjadi mata untuk mereka melihat....? 

Atau kitakah yang akan menjadi batu penghalang mereka dan mengguriskan hati-hati mereka sehingga mereka terpaksa berteleku merayu-rayu bantuan dari Allah...? Juga berteleku sedih mengenangkan generasi pewaris mereka kini hancur ditelan globalisasi...? Lantas mereka lemah kerana kitalah yang melemahkan mereka. 

Fikir-fikirkanlah. 

Petikan terbaik dari Dr Syuesh Mahamid : “Orang yang menghulur tangan [menadah tangan meminta gaji] pada akhir bulan tidak akan mampu menghulurkan lidah [untuk menegur] pada awal bulan”. 

* Artikel ini disediakan sebagai rurmusan tafaqquh bersama Dr. Syuesh Mahamid kepada Biro Akademik PERMATA.

HASANHUSAINI, 
Darul Muttaqin, Mu'tah, Jordan.

Tiada ulasan:

Facebook Comments Box: Bloggerized by HASANHUSAINI.COM

Catat Ulasan

Komen Anda Adalah Buah Tangan Terbaik [hasanhusaini]