Selasa, 2 Mac 2010

Penipuan Nilai

Semalam, generasi tahun pertama sesi 2009-2010 yang dinamakan generasi K.A.M.I menjalankan program sambutan Kelahiran Nabi Muhammad sallallahu'alaihiwasallam. Bertempat di Bayt Hamalatul Quran [rumah yang paling besar] dengan aturan majlis yang sungguh bagus.

Tahniah kepada Akh Rasyidi Ali selaku penyelaras.

Saya cukup berpuas hati. Pendekatan yang benar-benar menjinakkan peserta dan mengikat hati untuk menyelami erti sebenar nikmat kelahiran seorang Nabi dan Rasul.

Sebelum berlangsung, saya dan Rasyidi sempat menemuramah beberapa orang Doktor di Fakulti Syariah Univerisiti Mu'tah. Jawapan yang diberikan cukup baik untuk menjelaskan fikrah.

Pesanan Dr. Syuwesh paling terkesan. 

Perbuatan meliarkan manusia dari agama dengan alasan agama adalah perbuatan terkutuk. Terpesong jauh dari maqasid syariah Islam. Lantikan Allah kepada manusia sebagai pendakwah dan Khalifah adalah untuk menguruskan manusia dengan syariat Allah. Sebagai penyelesai masalah. Bukan penimbul dan pereka masalah.

DI MANA KESANNYA..?

Sambutan kesyukuran dikurniakan seorang Nabi dan Rasul dan diberi peluang untuk menikmati syariat Islam bukanlah hanya dengan slogan  dan kata-kata manis semata-mata. Bahkan kata-kata dan slogan itu harus ditukar kepada bentuk realiti. Bahkan slogan itu bakal ditagih di akhirat nanti.


Slogan kebiasaan saat sambutan Maulidur Rasul diketahui umum. Kain rentang dan sepanduk diarak dan dijunjung. Berarak pula keliling bandar dan kampung. Namun, anak bulan Rabiul Akhir belum terbit, sunnah dan ajaran Muhammad disepak terajang. 

Sedang perarakan beralangsung di Padang Merdeka, ada insan yang sedang merancang untuk merampas hak manusia lain secara zalim di puncak bukit. Ketika sepanduk Maulidur Rasul di papan-papan tanda masih belum diturunkan, sudah ada manusia yang sanggup memadam peta syariat Allah yang pernah dilakarkan oleh Muhammad sallahu'alaihiwasallam suatu ketika dahulu.

Periuk kenduri maulid masih belum terbasuh, namun rasuah sudah mula di'kenduri'kan beramai-ramai. Lenggang selawat dan burdah bertukar menjadi lengang mabuk di pub dan kelab malam, lenggang karaoke.

Seakan tiada kesannya mengingati kelahiran dan perjuangan Rasulullah.

Kenapa..?

SYARAT MENCONTOHI NABI

Allah berfirman:
" Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak mengingati Allah."
Sambut kelahiran Nabi, namun diri tak rindukan rahmat Allah, takutkan kematian, cintakan dunia, bencikan akhirat. Mana mungkin sambutan itu memberi kesan kepada mereka.

Rasulullah hanya kan menjadi contoh yang baik untuk mereka yang rindukan rahmat Allah. Untuk mereka yang rindukan akhirat. Sudut pandang yang berbeza akan membezakan cara manusia menilai apa yang berharga dalam hidup mereka.

Cintakan dunia akan menghasilkan mereka yang gila harta, pangkat dan kekayaan. Hasilnya, rasuah merata, peras ugut menjadi raja, monopoli memenuhi duit menjadi raja. Maka, mereka yang cintakan dunia tidak mungkin akan cintakan akhirat. Maka dia juga tak mungkin akan cintakan Rasulullah sallallahu'alaihiwasallam.

Bencikan syariat Allah, mana mungkin boleh mengaku sayangkan Rasulullah.

HASANHUSAINI,
Darul Muttaqin, Mu'tah, Jordan.




1 ulasan:

  1. Menarik2, seumpama satu msg tuntas kpd seluruh komuniti ber-title Muslim!

    BalasPadam

Komen Anda Adalah Buah Tangan Terbaik [hasanhusaini]