Lama benar tidak menulis. Lama benar tidak berkongsi. Bukan malas, bukan sibuk, bukan dah kecundang, namun hanya diri ini yang tahu, kenapa khabar minda ini semakin takut untuk terbit menjengah massa.
Mungkin alasan yang paling kukuh ialah, saya baru berpindah rumah. Darul Muttaqin yang baru sebulan diduduki. Kukuh. (padahal, rumah saya di Kelantan juga tak berinternet.)
Sudah banyak benar isu yang saya ketinggalan. Ulasan pertemuan dengan Timbalan Menteri Kementerian Pengajian Tinggi juga belum selesai. Isu-isu negara juga tak tersentuh. Semalam, gempar pula dengan cerita tentang watak antagonis bekas AJK Dewan Ulama' PAS dan bekas Prof Madya juga bekas calon Umno di pengkalan Chepa. Ya Allah, tetapkanlah hati kami. Kawan-kawan juga kepelikan melihat laman blog saya yang kian berhabuk.
Khabar Dari Syam
Sudah setahun saya mengikuti sistem pengajian di Jordan, khususnya di Universiti Mu'tah. Sistem yang saya suka dan saya pilih. Suka kerana bagus dan pilih kerana perlu. Berkesan atau tidak, terpulang kepada bagaimana saya memanfaatkan kebaikan yang ada ini.